pages

Sunday, August 12, 2018

LGBT: Minta Mujahid belajar dengan Mufti Wilayah


Mukadimah
Dalam era globalisasi dan dunia tanpa  sempadan  ini, pelbagai budaya asing mudah   menyerap  ke  dalam  kehidupan sesuatu bangsa. Segala  bentuk   budaya daripada  pelbagai   bangsa  dapat  dilihat  dan  diamalkan  serta  merta.  Kecelaruan budaya  ini begitu mudah  berlaku dengan alat teknologi moden dan maklumat yang begitu  pantas dalam era globalisasi  ini.
Masyarakat yang beriman dan berbudaya tinggi dapat menilai budaya yang harus diikuti dan sesuai dengan syariat. Tetapi bagi masyarakat yang tidak cukup ilmu keagamaannya dan lemah pula keimanannya, budaya songsang terus menjadi ikutan lebih-lebih lagi banyak prasarana yang disediakan.
Antara budaya songsang yang menjadi ikutan umat Islam, khususnya remaja ialah budaya perempuan menyerupai lelaki dan sebaliknya. lni adalah kerana tersebarnya fahaman   unisex, iaitu satu kefahaman yang tidak menyediakan pemisah antara  yang  lelaki dan  yang perempuan. Sehubungan itu, sekarang ini wujud pula golongan  anak-anak gadis  yang  membedung payu daranya, memakai pakaian lelaki, malah ada pula yang sanggup melakukan apa sahaja.
Begitu juga  bagi  golongan lelaki yang  sudah mula berpakaian perempuan (lakonan dalam  sitkom) membentuk buah dada dan menyuntik silikon, walaupun memerlukan perbelanjaan   yang besar. Walaupun kes-kes ini jarang kedengaran, tetapi  ianya memberikan  impak  yang  besar kerana ia bukan sekadar satu kisah, tetapi sedikit sebanyak telah mendorong  pembinaan  pemikiran  hingga  mengharuskannya dan menjadikannya  satu hak asasi pula.
Dr. Abdullah Nasih 'Ulwan dalam buku beliau menyebut bahawa: "Pemuda-pemudi kita telah dilanda gelombang penyerupaan dan ikutan membabi buta. Justeru, semestinya tanggungjawab terhadap pendidik merawat penyakit ini dengan cara yang baik." Tanpa  berprasangka, inilah antara dakyah musuh-musuh Islam untuk merosakkan kemuliaan  umat  Islam itu sendiri.
lsu yang  berlaku pada masa kini berkenaan dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang     membenarkan  rayuan  kes  lelaki  berpakaian wanita telah  menjadi perbincangan  hangat  di kalangan pengamal undang-undang dan cerdik pandai di Malaysia ini.  Dengan menginsafi  apa  yang  dinyatakan   oleh  mantan  Ketua  Hakim Negara,  Tun Abdul   Hamid  Mohamad:  "Apabila hukum syara’ diukur dengan nilai liberal, hak asasi ala-Barat dan apabila  hukum  syara’ boleh dicabar atas alasan ia tidak  munasabah  kepada  seseorang hakim, termasuk yang bukan Islam, maka hukum syara’ akan sentiasa terdedah kepada kemungkinan  diisytiharkan sebagai tidak  sah."
Alhamdulillah pada 8 Oktober 2015, satu keputusan yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan dengan menolak rayuan bagi kes transgender yang mana telah menjadi perbualan hangat pada tahun ini. Mahkamah menolak rayuan tersebut yang mana pihak responden telah mencabar Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Undang-Undang Negeri Sembilan 1992 yang melarang kaum lelaki memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam.
Justeru, risalah Bayan Linnas kali ini (yang telah dikemaskini) akan membincangkan sekali lagi secara khusus berkaitan hukum tasyabbuh di mana perempuan menyerupai lelaki atau sebaliknya.

Perempuan Menyerupai Lelaki & Sebaliknya (Tasyabbuh)
Dalam Bahasa Melayu, anak perempuan bersifat kelakian (misalnya suka memakai pakaian lelaki dan sebagainya) dipanggail ‘tomboy’ dan perkataan ‘mak nyah’pula selalunya dirujuk kepada lelaki. Manakala di dalam Bahasa Arab, perkataan ‘tasyabbuh’ secara lughawinya bermaksud menyerupai sesuatu.
Dari segi perbahasan fiqh pula, ianya bermaksud seorang perempuan yang menyerupai lelaki atau sebaliknya dalam perkara-perkara berikut:
  • Pakaian
  • Perhiasan
  • Percakapan dan suara
  • Gaya berjalan dan gerak badan
  • Mengubah bentuk fizikal badan

Hukum Tasyabbuh
Hukum tasyabbuh adalah HARAM bahkan salah satu dosa besar kerana telah sabit nas-nas syar’ie bahawa Allah SWT melaknat orang yang melakukannya dengan lisan Nabi SAW. Dari Ibn ‘Abbas R.Anhuma dalam sabda Baginda SAW:
لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ[1]
Maksudnya: Nabi SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.

Ibn al-Athir[2] berkata: Al-Mutarajjilat ialah perempuan yang menyerupai lelaki dari segi pakaian dan keadaannya. Al-Mukhannath pula ialah lelaki yang menyerupai perempuan. [Al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar. Dar al-Fikr, 2/203]
Dalam riwayat yang lain:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ[3]
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang yang menyerupai kaum lelaki daripada kalangan perempuan.”

Di dalam Tuhfah al-Ahwazi  bi Syarh Jami’ al-Trmizi dinaqalkan kalam al-Imam al-Tabari[4] yang mana tidak boleh bagi lelaki menyerupai wanita di dalam pemakaian dan perhiasan yang telah dikhaskan buat wanita dan begitulah sebaliknya. Begitu juga kata al-Hafiz Ibn Hajar[5], tidak boleh menyerupai di dalam percakapan dan cara berjalan manakala dari segi pemakaian pula berbeza mengikut adat pemakaian sesuatu tempat dan kaum. [Tuhfah al-Ahwazi. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 8/57]
Al-Imam al-San’ani[6] mengatakan bahawa laknat Rasulullah SAW terhadap maksiat itu menunjukkan kepada besarnya dosa tersebut. Dalil tersebut menunjukkan keharaman untuk menyerupai perempuan bagi lelaki dan sebaliknya. [Subul al-Salam. Dar al-Hadith, 2/421]
Al-Imam al-Shaukani[7] mengatakan hadis tersebut menjadi dalil akan pengharaman ke atas lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki dalam pertuturan, pemakaian dan selain itu. [Nayl al-Awtar. Dar al-Hadith, 6/230]
Syeikh Muhammad Soleh al-‘Uthaymeen  dalam komentarnya terhadap masalah ini berkata: “Ini kerana penyerupaan boleh membawa kepada kecacatan sunnatullah pada makhluk-Nya yang diciptakan lelaki dan perempuan.”
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh antara lain menyatakan haram ke atas lelaki menyerupai wanita dan begitu juga sebaliknya, haram wanita menyerupai lelaki.

Fatwa
Dinyatakan di sini beberapa fatwa antaranya:
  • Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada April 1982 memutuskan bahawa seseorang dilahirkan lelaki, hukumnya tetap lelaki manakala seseorang dilahirkan perempuan, hukumnya tetap perempuan walaupun (lelaki atau perempuan itu) berjaya menukarkan jantinanya melalui pembedahan. Pertukaran jantina daripada lelaki kepada perempuan ataupun sebaliknya, melalui pembedahan adalah haram dari segi syara’.[8]
  • Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan juga pada Oktober 2008 memutuskan bahawa pengkid iaitu wanita berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki adalah haram di sisi agama.[9]
  • Fatwa yang diwartakan di Perak pada Jun 2010 menyebut bahawa pengkid iaitu wanita berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki dan lelaki menyerupai wanita (mak nyah atau pondan) sama ada dari segi pakaian, penampilan dan gerak laku serta naluri seksual seperti wanita adalah haram di sisi Islam.[10]
  • Fatwa yang diwartakan di negeri Melaka[11] dan Kedah[12] juga mengguna pakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 bertarikh 22 hingga 24 Oktober 2008 yang menyatakan bahawa pengkid, iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki adalah haram di sisi Islam.
  • Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada5 Zulhijjah 1429H bersamaan 3 Disember 2008M telah membincangkan mengenai Hukum Wanita Menyerupai Lelaki (Pengkid) dan mesyuarat menyatakan bahawa pengkid iaitu wanita yang berpenampilan seperti lelaki dan melakukan hubungan sejenis sesama mereka adalah haram di sisi Islam.[13]
  • Syeikh Ibn Jibreen juga dalam fatwanya menyatakan haram bagi seorang lelaki untuk menyerupai wanita dan begitu juga wanita yang menyerupai lelaki dari segi pemakaian, pertuturan dan cara berjalan.[14]

Penyerupaan Dari Sudut Pakaian
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ[15]
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan orang perempuan yang memakai pakaian lelaki.”

Al-Imam al-Zahabi[16] berkata: “Apabila wanita memakai pakaian yang dipakai oleh lelaki dan berlagak seperti seorang lelaki, dengan pakaiannya yang serba sempit, yang kelihatan jelas bentuk tubuh badannya, maka yang demikian itu dia sudah menyerupai lelaki dan dia sudah berhak menerima kutukan Allah SWT dan Rasul-Nya.
Laknat juga akan menimpa pada si suami jika dia yang menyuruh isterinya berpakaian seperti itu, ataupun dia rela isterinya berpakaian seperti itu dan tidak mencegahnya kerana sebagai seorang suami, dia wajib berusaha untuk meluruskan (memperbetulkan) isterinya supaya taat kepada perintah Allah SWT dan Rasul-Nya dan menjauhkannya daripada melakukan dosa dan maksiat. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT di dalam Surah al-Tahrim, ayat ke-6:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارٗا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡهَا مَلَٰٓئِكَةٌ غِلَاظٞ شِدَادٞ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ ٦
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. 
(Al-Tahrim: 6)

Al-Imam al-Qutrubi[17] dalam mentafsir ayat di atas mengatakan bahawa wajib ke atas  seorang lelaki untuk memberbaiki dirinya dengan ketaatan kepada Allah SWT. Memperbaiki ahli keluarganya sepertimana pemimpin memperbaiki orang bawahannya. Mengajarkan mereka halal dan haram, menjauhi maksiat dan dosa dan juga perkara lain yang melibatkan hukum-hakam, [Al-Jami’ li Ahkam al-Quran. Dar al-Kutub al-Misriyyah, 18/195]
Al-Imam Ibn Kathir[18] menaqalkan kalam Mujahid mengenai tafsir ayat di atas dengan mengatakan perlunya bertaqwa kepada Allah SWT dan juga mengingatkan ahli keluarga agar bertaqwa kepada Allah. Begitu juga Qatadah menyebut bahawa ketua keluarga wajib mengarahkan ahli keluarganya agar taat kepada Allah SWT, menegah mereka dari melakukan maksiat, melakukan suruhan Allah SWT serta menyuruh dan membantu mereka dalam melakukan segala arahan Allah SWT. [Tafsir al-Quran al-‘Azim. Dar al-Taybah, 8/167]

Pengenalan GID
Gender Identity Disorder (GID) atau Gangguan Identiti Jantina ialah keadaan seseorang merasakan bahawa dia adalah seorang lelaki atau wanita, di mana terjadi konflik antara anatomi jantina seseorang dengan identiti jantinanya. Keadaan kesihatan ini mencirikan individu yang ingin menjadi atau menegaskan bahawa mereka adalah anggota jantina yang berlawanan. Gejala gangguan identiti jantina boleh berlaku seawall  usia kanak-kanak 2 hingga 4 tahun.
Bagi individu yang dilahirkan sebagai lelaki, pengenalan silang jantina dimanifestasikan oleh keasyikan dengan permainan, pakaian dan aktiviti-aktiviti yang bersifat wanita. Manakala bagi individu perempuan, mereka mengenal pasti dengan jantina yang bertentangan melalui keasyikan terhadap role-play, impian dan fantasi.
GID adalah penyakit mental dan tidak ada kena kaitannya dengan golongan transgender. Golongan transgender kebanyakannya terkait dengan tindak-tanduk dan juga penampilan yang mereka bawakan. Kecenderungan peribadi seseorang untuk berperwatakan dan perilaku jantina berlainan tidak boleh dikatakan seseorang itu dikatakan menghidap GID.

Apakah GID Boleh Dirawat?
Gangguan identity jantina dikatakan hanya boleh dirawat dengan terapi hormone dan pembedahan untuk membantu fizikal individu menyerupai jantina yang diingini. Langkah-langkah ini secara umumnya diambil hanya selepas ujian dan penilaian yang ketat.
Sebenarnya kecelaruan identiti mula tersebar pada segelintir masyarakat masa kini merupakan isu yang perlu diberi perhatian dan hendaklah ditangani dengan bijaksana. Isu pemulihan mereka boleh dilaksanakan dan kebolehan untuk berjaya dengan berkesan adalah tinggi. Ini kerana telah terbukti lebih 3,000 ribu individu transgender terdiri daripada mak nyah, lesbian, gay dan biseksual berjaya dibimbing ke pangkal jalan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Setelah meneliti pelbagai isu dan juga pendapat para ulama dan cendiakawan serta pengamal undang-undang, kami berpendapat seperti berikut:
  • Perlunya rayuan dibuat dan kesungguhan dari semua pihak untuk mendaulatkan hukum dan fatwa yang telah diputuskan sementelahan lagi ianya berdasarkan nas syarak yang sarih lagi nyata. Alhamdulillah, tahniah kepada badan-badan yang terlibat hingga mampu mempertahankan Islam.
  • Memuliakan syara’ dan mematuhinya hendaklah mengatasi segala-galanya. Ia sekali-kali tidak boleh dihukum kepada hukum syara’ kerana ia datang daripada Rabb al-‘Alamin.
  • Islam telah menetapkan bahawa lelaki hendaklah menjadi lelaki begitu juga perempuan hendaklah menjadi perempuan mengikut sunnatullah yang telah ditetapkan. Hikmah Allah dalam penciptaan sudah pasti membawa pelbagai rahmat dan rahsia-Nya kepada makhluk seperti manusia.
  • Beralasan dengan penyakit tertentu tidaklah boleh diterima dengan begitu mudah apatah lagi ia merupakan kesongsangan jiwa dan watak yang sepatutnya dihalang untuk menjadi golongan yang ketiga dalam masyarakat.
  • Kami berharap agar rasa takut kepada Allah dan perasaan dalam hati untuk mentaati perintah Allah SWT dengan sami’na wa ata’na (kami dengar dan kami taat) hendaklah sentiasa terpahat di dalam sanubari setiap umat Islam.
  • Hukum bukanlah diasaskan kepada logik akal semata-mata atau merasakan sebagai kebebasan hak setiap manusia tetapi dalam Islam hendaklah berpandukan wahyu Ilahi dan hadyun nabawi (petunjuk nabi). Inilah yang mesti difahami oleh umat Islam.
  • Jangan sesekali mencabar fatwa yang diputuskan oleh para ulama kerana mereka bukan mengeluarkan hukum sesuka hati mereka dan juga mahu kepada pengaruh atau harta benda dunia tetapi fatwa yang diberikan mempunyai asas sandaran dan sumber yang muktamad daripada Al-Quran, al-Sunnah, qiyas dan juga ijma’.
  • Menghormati para ulama adalah salah satu daripada ciri muslim dan mukmin yang baik. Kalaulah kita tidak menghormati ulama maka siapa lagi yang patut kita hormati.

Saya berharap dengan keputusan yang telah dikemukakan, marilah sama-sama kita menginsafi diri dengan melihat bahawa ini bukanlah lagi isu menang atau kalah tetapi sama-sama menghayati nas Ilahi dan Nabawi mengikut neraca syara’. Semoga dengan ini, hati kita dapat tunduk dan patuh kepada perintah-Nya dengan penuh keredhaan dan berjanji setia dengan kalimah karamah sami’na wa ata’na (kami dengar dan kami patuh).
Semoga kenyataan ini menjadikan kita bermuhasabah sebagai seorang mukmin yang taat dan patuh kepada perintah Allah. Marilah sama-sama kita mencari mardhatillah.

Akhukum fillah,
S.S. Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

Dikemaskini pada 22 April 2015 bersamaan 14 Rejab 1437H

[1] Riwayat al-Bukhari (5886 & 6834), Abu Daud (4953) & al-Tirmizi (2785)

[2] Majd al-Din, Abu al-Sa’adaat, Al-Mubarak bin Muhammad bin Muhammad bin Abdul Karim bin Abdul Wahid al-Shaibani al-Jazari kemudian al-Mousuli. Dilahirkan di Jazirah Ibn Umar pada tahun 544H. Merupakan penulis bagi kitab Jami’ al-Usul dan al-Nihayah fi Gharib al-Hadith. Meninggal dunia pada tahun 606H di Mousul, Iraq ketika berumur 62 tahun.

[3] Riwayat al-Bukhari (5885), Abu Daud (4097), al-Tirmizi (2784) & Ibn Majah (1904)

[4] Al-Imam, Abu Ja’far, Muhammad bin Jarir bin Yazid bin Kathir bin Ghalib masyhur dengan nama Abu Ja’far al-Tabari. Merupakan ahli-Tafsir dan ahli sejarah yang terkemuka. Dilahirkan pada tahun 224H di Tabrastan (sekarang Iran). Tafsirnya yang diberi nama Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Aay al-Quran merupakan sebuah tafsir yang tergolong  dalam kategori Tafsir al-Ma’thur. Begitu juga dengan kitab sejarahnya Tarikh al-Tabari yang mana menghimpunkan kisah-kisah sejarah Islam yang mana menjadi rujukan utama dalam bidang sejarah. Beliau wafat pada tahun 310H pada umur sekitar 85 tahun.

[5] Amir al-Mu’minin fi al-Hadith, al-Hafiz, Syihabuddin, Ahmad bin Ali bin Muhammad bin Ali bin Mahmud bin Ahmad bin Hajr bin Ahmad al-‘Asqalani al-Kinani. Dilahirkan di Kaherah, Mesir pada tahun 773H Beliau merupakan salah seorang yang telah mensyarahkan hadis-hadis di dalam Sahih al-Bukhari dan dinamakan kitab tersebut dengan Fath al-Bari. Antara kitab lain yang telah dikarang oleh beliau ialah Al-Isobah fi Tamyiiz al-Sahabah, Tahzib al-Tahzib, Nukhbah al-Fikar, Bulugh al-Maram, Lisan al-Mizan dan banyak lagi. Antara anak muridnya yang masyhur adalah al-Imam al-Sakhawi. Al-Hafiz Ibn Hajar wafat pada tahun 852H.

[6] Beliau ialah al-Amir, Muhammad bin Ismail al-Son’ani. Merupakan salah seorang imam dari kalangan mutaakhirin yang berasal dari Yaman. Dilahirkan pada tahun 1099H. Kitabnya Subul al-Salam antara kitab yang terpenting dalam membicarakan mengenai hadis-hadis hukum dan kitab tersebut merupakan syarah kepada kitab Bulugh al-Maram karangan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani. Beliau wafat pada tahun 1182H.

[7] Beliau ialah al-Imam Muhammad bin Ali bin Muhammad al-Shaukani. Dilahirkan di Shaukan pada tahun 1173H kemudian dibesarkan di San’a. Dari kalangan ulama’ besar Yaman. Antara hasil karyanya ialah Nayl al-Awtar di dalam mensyarahkan hadis-hadis di dalam kitab Muntaqa al-AkhbarFath al-Qadir di dalam tafsir al-Quran, Irsyad al-Fuhul di dalam Usul al-Fiqh dan lain-lain lagi. Beliau wafat pada tahun 1255H.








[15] Riwayat Abu Daud (4098). Syeikh Syu’aib al-Arnaout mengatakan bahawa sanadnya sahih.

[16] Al-Imam, al-Hafiz, al-Muhaddith, al-Muarrikh Abu Abdullah, Shamsuddin, Muhammad bin Ahmad bin ‘Uthman  al-Zahabi. Dilahirkan di Damsyiq pada tahun 673H. Banyak mengembara untuk mencari ilmu dan dalam pengembaraannya itu, banyak berjumpa dengan ulama-ulama yang hebat seperti Ibn Daqiq al-‘Id, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, al-Hafiz al-Mizzi dan ramai lagi. Antara kitabnya yang termasyhur ialah Siyar al-A’lam al-Nubala’Mizan al-I’tidalTarikh al-IslamTazkirah al-Huffaz dan lain-lain lagi. Beliau wafat pada tahun 748H.
[17] Al-Imam, al-Mufassir, Muhammad bin Ahmad bin Abi Bakr bin Farh. Dilahirkan di Qurtubah (sekarang dikenali dengan Cordova di Sepanyol) dan kemudian berpindah ke Mesir. Beliau terkenal dengan karyanya di dalam mentafsirkan ayat-ayat hukum di dalam Al-Quran dan kitabnya itu diberi nama Al-Jami’ li Ahkam al-Quran. Selain itu beliau juga menulis kitab Al-Tazkirah fi Ahwal al-Mauta wa Umur al-Akhirah yang membincangkan tentang kematian dan hari akhirat. Beliau wafat pada tahun 671H.

[18] Al-Imam Abu al-Fida’ Ismail bin Umar bin Kathir al-Dimasyqi. Antara gelaran yang telah diberikan kepadanya adalah al-Hafiz (gelaran khas bagi mereka yang mempunyai pengetahuan luas dan mendalam di dalam ilmu hadith), al-Muarrikh (ahli sejarah) dan juga al-Mufassir (ahli tafsir). Beliau juga digelar dengan gelaran ‘Imad al-Din (tiang agama) dan beliau bermazhab Syafi’e. Merupakan salah seorang dari anak murid Ibn Taimiyyah dan al-Zahabi. Wafat pada tahun 774H dan antara karya agungnya ialah Tafsir al-Quran al-‘Azim dan juga al-Bidayah wa al-Nihayah.

5 comments:

  1. Tak habis2 lagii kerr..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ted, Belum habis selagi si kafir tak dikalahkan. Selagi kesongsangan tak dibetulkan.

      Delete
  2. Pelikla aku. Tak habis2 si Mujahid ni duk pertahan LGBT. Apa dia dapat? Atau dia pun LGBT?

    ReplyDelete
    Replies
    1. dia tu taik sama mcm ted taik.

      Delete
  3. dia ni syiah brooo...ber takkiyah untuk kesemppurnaan iman syiah nya..

    selagi taj bertakiyah (munafik) tak sempurna iman syiah kepala bana org syiah...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com