Dalam pernyataan tuntutan bertarikh 6 Jun lalu, Felcra selaku pihak plaintif menamakan Chee Keong dan Editor Roketkini.com sebagai pihak defendan.

Pihak plaintif mendakwa, pada sekitar 12 Mac lalu, defendan kedua menerbitkan artikel bertajuk, Peserta Felcra rugi RM600 juta setahun akibat urusniaga haram?

Artikel tersebut menurut pihak plaintif disiarkan portal tersebut berdasarkan kenyataan Chee Keong dan telah dikongsi olehnya yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Artikel itu dalam maksud biasa dan innuendo menggambarkan antara lain pihak plaintif menjalankan urus niaga haram dengan pihak ketiga sehingga menyebabkan kerugian kepada para pesertanya, satu organisasi yang tidak amanah dan berniat jahat untuk mengaut keuntungan.

Akibatnya, dakwa plaintif, reputasi mereka telah terjejas dan mengalami kerosakan reputasi.

Pihak plaintif sehubungan itu menuntut ganti rugi dan perintah injunksi terhadap defendan selain ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi keterlaluan daripada pihak defendan.

Pada pengurusan kes saman itu hari ini, peguam Norja Abdul Razak yang mewakili pihak plaintif memberitahu pemberita, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Faizah Jamaludin menetapkan 13 September ini bagi pengurusan kes selanjutnya. -UTUSAN ONLINE