innity

pages

Saturday, June 9, 2018

Wawancara Bersama Tun M: "ANWAR PENGGANTI SAYA" {Pasti Ramai Kecewa Dengar Kata-kata Tun ini]



PADA usia 93 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad masih mampu menguruskan kerja dengan tekun. Malah beliau diberi tugas yang amat berat sekali iaitu menjadi Perdana Menteri negara yang kita cintai Malaysia.

“Saya sangat sibuk. Nak tulis buku pun tak ada masa. Nak tulis dalam blog pun tak sempat. Semua simpan dalam kepala,” katanya.

Ikuti inti pati wawancara Dr Mahathir bersama Pengarah Urusan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; Penasihat Eksekutif Editorial, Datuk Abd Jalil Ali; Pengarang Eksekutif Cetak, Azmi Tarmizi; Pegarang Eksekutif Digital, Ruzy Adila Idris; Penulis Khas, Farush Khan dan wartawan, Nurul Riduan Nor Ashaha.Beliau ditemui di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Negara, Putrajaya, Khamis lalu. Dalam temu bual eksklusif dengan Sinar Harian itu, beliau menyentuh mengenai isu berkaitan usaha kerajaan melindungi raja-raja, mengenai kesilapan Umno dan azam Pakatan Harapan demi rakyat dan masa depan negara.


Boleh Tun ceritakan bagaimana perasaan Tun selepas kali kedua kembali ke Putrajaya sebagai perdana menteri?

Selepas (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) keluar daripada parti, saya tunggu 21 tahun. Kalau saya pergi awal, saya tidak langsung pergi Putrajaya. Putrajaya dibuka pada 1999.
Saya mungkin dah bersara pada waktu tu. Sekarang ini saya balik ke Putrajaya. Sesuatu yang saya tak mimpi langsung. Saya ingat bila saya sudah bersara, dapatlah rehat, tiada masalah politik tetapi orang tak bagi saya rehat.

Macam-macam rombongan datang minta saya buat sesuatu. Masa Paklah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) pun mereka suruh saya buat sesuatu. Saya buat sesuatu sampai Paklah kena turun. Lepas tu naik (Datuk Seri) Najib (Tun Razak).
Ingat saya boleh rehat tetapi tidak boleh rehat juga seperti orang tahu saya kena aktif balik kerana orang suruh buat sesuatu.

Sesuatu itu pada awalnya adalah nasihat saja. Cuba pujuk Najib jangan guna wang dan sebagainya tetapi dia percaya dengan duit dia boleh berjaya, cash is king.

Jadi akhirnya kita dapat tunjuk bahawa cash bukan king, semangat manusia lebih kuat daripada cash. Apabila manusia berasa marah, mereka tidak peduli berapa duit yang diberi, mereka mungkin terima tetapi mereka tidak akan sokong. Itulah yang berlaku dalam PRU ini.

Rakyat tidak ada simpati pada Najib walaupun dia bagi duit banyak. Mereka nak Najib jatuh. Bermakna bila Najib sudah jatuh tidak ada lagi duit yang mereka dapat itu.
Sebab duit itu bukan duit Najib sebenarnya. Itu duit yang dia dapat secara tidak halal.

Sekarang ini saya terpaksa ambil alih jadi perdana menteri. Walaupun saya biasa jadi perdana menteri pengalaman itu lain sedikit. Dulu saya jadi perdana menteri, mudah. Saya masuk pegang jawatan, tidak ada kerja banyak. Sekarang ini saya nak kena bentuk jentera dan nak isinya.

Kita pula ada empat buah blok parti yang sama penting dalam parti. Saya kena pilih. Jadi saya sekarang ini amat sibuk. Tak sibuk macam dulu.

Sekarang ini ada beberapa suratkhabar pun saya tidak dapat buka. Kesan kepada saya dari segi tenaga lebih teruk dari dulu.

Tetapi Alhamdulillah saya masih sihat, masih boleh buat kerja dan terpaksa buat kerja lebih lama. Sedikit sebanyak saya rasa senang hati balik. Sebab saya ini orang kata workaholic. Lagi banyak kerja lagi seronok.

Tun sebelum ini mengatakan akan memegang jawatan perdana menteri dalam tempoh dua tahun dan sepanjang tempoh itu, apakah keutamaan Tun selain isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?

Dua tahun itu bukan tempoh masa. Dia adalah satu cadangan. Tetapi kita tidak tetap. Boleh jadi lebih awal, boleh jadi lebih lewat.

Keutamaan adalah mengembalikan kekayaan negara, ekonomi negara menjadi sebuah negara yang berupaya.
Kalau boleh dalam masa terdekat saya nak atasi masalah-masalah yang dihadapi, itulah tujuan saya. Kalau saya berjaya, bukan duit yang penting. Yang penting adalah hasil kerja. Jadi inilah yang saya sedang usaha.

Jika melihat kepada apa yang berlaku hari ini, adakah Tun meletakkan tempoh masa bagi memulihkan kerosakan yang telah berlaku dan adakah semua kerosakan itu akan dapat diperbaiki?

Mungkin tidak sepenuhnya tetapi major problem itu saya yakin kita dapat selesaikan. Bukan duit sahaja tetapi soal rosak jentera pekerjaan. Kita dapati bahawa pegawai-pegawai tidak lagi berkhidmat untuk negara tetapi untuk parti sebelum ini.

Kadang-kadang mereka sampai jadi fanatik. Sampai sanggup berkempen. Memburukkan parti lawan. Tetapi sekarang ini mereka terpaksa bekerja di bawah parti lawan yang mereka cemuh dahulu.

Jadi untuk ini saya tidak tahu. Nak tak nak pun, orang yang dulu serang kita, kita kena bekerja dengan dia. Sebab jentera itu kalau tak ada orang, jentera tak boleh bergerak. Jadi orang itu kalau kita buang semua, kita tiada orang lain. Nak ganti dengan siapa? Kualiti di jentera pekerja kita sudah rosak teruk. Mereka tidak lagi menjalankan khidmat tetapi kepada parti politik yang mereka sokong

Umno pada hari ini sudah berusia 72 tahun. Dahulunya Umno adalah parti yang kuat tetapi sekarang tumbang disebabkan rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah dan ketirisan. Apa yang boleh Tun lakukan supaya penyakit ini tidak merebak ke dalam Pakatan Harapan?

Itu satu tugas yang cukup susah untuk ditangani kerana kita daripada parti Bersatu terutamanya kita berasal dari Umno.
Saya sendiri sudah berkhidmat dalam Umno lebih 40 tahun. Apa yang berlaku adalah Umno dahulu wujud kerana perjuangannya. Perjuangannya adalah untuk agama, bangsa dan negara.

Bagaimanapun apabila saya dapati bahawa ini bukan lagi perjuangan Umno, dia sudah tidak lagi jadi Umno, dia jadi sebuah parti lain walaupun namanya masih sama.

Dia berjuang atas kepentingan satu orang dan mereka sanggup buat apa sahaja walau tidak halal kerana nak kekalkan diri mereka bukan berkhidmat untuk negara.
Jadi Umno yang ada sekarang ini sudah begitu rosak. Begitu teruk kebencian rakyat sehingga rakyat tolak Umno. Ya masih ada yang sokong dalam PRU tetapi ramai Melayu tolak Umno kerana bukan memperjuangkan bangsa, agama dan negara.

Itu Umno yang ada sekarang ini. Rosak Umno itu sukar untuk diubati. Walau suka atau tidak, itulah yang akan terjadi (terkubur) kerana orang nak balik kepada Umno itu susah.

Kerajaan sekarang ini membongkar segala salah laku pimpinan terdahulu dan adakah ini sebenarnya taktik untuk menakutkan rakyat, sebagai contohnya hutang mencecah trilion, fail merah dan sebagainya?

Rosak yang jelas adalah apabila kerajaan yang dipimpin Najib berhutang berbilion-bilion. Dulu kita tidak pernah hutang macam itu. Dulu kita ada had siling. Tidak boleh lebih daripada hutang sebanyak ini.

Saya sendiri tidak pernah berhutang berbilion-bilion. Bila Najib hutang banyak dan dia bukan sekadar hutang, duit itu hilang. Jadi bagi ramai orang kampung dia tidak boleh faham yang ini (hutang). Bagi mereka semua kerajaan memang macam itu. Jadi nak terang kepada mereka agak sukar. Bahkan mereka kata, Tun dulu pun macam itu juga. Saya tidak macam itu.

Angka hutang itu pun orang kampung tidak faham. Mereka hanya tahu, satu bilion ringgit ada sembilan sifar sahaja. Jadi itu masalah utama yang perlu kita betulkan iaitu soal kewangan.

Tetapi kerajaan perlu ada jentera dia. Jentera itu dijalankan oleh pekerja yang terlatih dan tidak terlatih. Sebab merekalah jentera itu dapat berjalan tetapi jentera itu sudah dirosakkan kerana orang yang menjalankan jentera itu sudah lari daripada landasan.

Jadi peranan jentera itu sudah tidak betul. Nak bawa balik landasan ini, fikiran manusia bukan mudah nak diperbaiki setelah dia dirosakkan. Mahu dia kembali ke landasan yang betul mengambil masa kerana ada culture change, value system change, yang ini yang jadi masalah yang perlu saya tangani.

Sudah tentu antara jentera, bukanlah semua rosak tetapi ada beberapa orang. Kita tidak kenal, kita tidak tahu di masa dulu apa dia buat. Kita kena selidik, kita kena cari yang bersih, nak gantikan orang yang tidak boleh dibersihkan lagi. Jadi ini mengambil masa dan tenaga yang banyak. Maklumat yang kita dapat yang betul-betul tulen.

Jadi ini masalah yang sedang saya tangani. Pekerja itu begitu banyak. Masa tidak cukup sebenarnya. Saya cuba bekerja sepanjang masa tetapi itu pun masih tidak cukup. Ada banyak benda yang nak kena buat serta merta seperti lantikan, kelulusan wang, agihan wang. Semua itu perlu dibuat segera kerana orang menunggu. Jadi inilah tekanan yang kita kena, sukar untuk ditangani.

Ada juga yang mengatakan apa yang Tun lakukan sekarang ini adalah politik dendam seperti membongkar kelakuan sebelum ini, memansuhkan jabatan tertentu. Adakah benar tanggapan itu?

Ini bukan dendam. Mereka ambil bekerja bukan sebab mereka mahu bekerja tetapi kerana nak dapatkan sokongan mereka. Orang parti ini dimasukkan semata-mata, kalau mereka ada mereka akan sokong kerajaan. Orang ini berdedikasi. Dia terpaut dengan parti yang lepas.
Sekali lagi ini bukan dendam. Saya awal-awal sudah kata kita tidak akan balas dendam. Sebaliknya kita perlu tentukan tetapi kalau kita tidak dedahkan kesalahan, orang akan tertanya-tanya kenapa ambil tindakan begini kerana tidak nampak kesalahan.

Jadi kita kena dedah kesalahan. Umpamanya hutang yang lebih daripada 1 trilion. Ada 12 sifar. Ini satu angka yang cukup besar. Kita tidak pernah bercakap soal trilion ringgit dahulu. Orang tak terfikir pun. Dulu kita cakap pasal juta, sekarang kena cakap pasal bilion.

Jadi semua ini memerlukan mind set lain. Untuk ubah, kalau tiada sebab, dia akan duduk balik kepada yang lama. Kita kena tunjuk sebab dia. Bukan sengaja mahu aibkan orang tetapi kalau kita tidak bertindak, contoh orang kata dulu kamu kata dia tidak baik, kenapa sekarang kamu tidak buat apa-apa.

Kerajaan mendedahkan bahawa negara berdepan dengan hutang yang begitu besar mencecah trilion ringgit dan daripada apa yang diperkatakan itu ia menimbulkan kebimbangan awam sekiranya kerajaan hari ini tidak mampu untuk menyelesaikannya. Jadi, apa keutamaan pentadbiran baharu hari ini?

Kalau Najib menang, dalam manifesto dia janji nak bagi tiap-tiap negeri, RM60 bilion, RM70 bilion, RM80 bilion. Kita ada 13 buah negeri. Persoalannya, duit yang dia nak bagi itu datang daripada mana?

Dia akan pinjam lagi. Ia akan jadi lagi banyak. Bukan RM1 trilion sahaja. Jadi bila sampai kepada tahap kita tidak mampu untuk membayar. Hutang kalau kita tidak bayar, dia boleh umum kita bankrap.

Jadi kita dalam keadaan cemas nak cari duit di mana. Najib apa dia buat? Pertama , jual tanah untuk bayar bunga. Tanah tiada, dia pinjam pula. Bila kita pinjam untuk bayar bunga itu bermakna kita tambah hutang kita. Dia seboleh-boleh tidak peduli untuk membayar. Dia seronok nak belanja. Kalau tiada duit, hutang.

Dulu waktu saya jadi perdana menteri, ya kita bangunkan banyak juga. Kita ada Lebuhraya Utara-Selatan, lapangan terbang, kereta api landasan berkembar dan sebagainya. Macam-macam kita buat tetapi kita tidak hutang banyak.
Kalau kita nak hutang pun kita berkira. Jepun bagi hutang, kadar bunga hanya 0.7 peratus. Macam dapat percuma sahaja. Tetapi Najib hutang dengan kadar bunga 6 peratus, komisyen 10 peratus. Saya tidak tahu mengapa dia buat seperti itu. Saya hairan. Bermakna dia tidak peduli kalau negara jadi bankrap.

Kalau dia menang dia nak buat lagi. Dia dah kata dalam manifesto. Sebab itu kita bukan nak belanja lagi. Kita nak kurangkan. Kalau kita nak bayar, kita kena cari jalan. Bukan nak pinjam untuk membayar.

Negara tidak patut hutang lebih daripada kemampuan. Kita belanja setakat kita mampu sahaja. Saya sendiri secara peribadi saya tidak pernah hutang. Saya tidak hutang bank pun. Share pun saya tidak beli.

Apa yang saya dapat hari ini memang banyak berbanding dulu. Sewaktu sebelum saya menjadi perdana menteri, saya dapat RM2,000. Jadi perdana menteri dapat RM20,000. Tidak habis makan. Semua diberi. Duit itu saya simpan. 

Mereka sediakan rumah, air, api, kenderaan, kapal terbang dan sebagainya. Saya tidak perlu berbelanja. Jadi kita kena jaga kewangan supaya kita tidak terlibat dengan hutang. Macam hutang along, kalau tidak bayar, along akan pukul.

Apakah yang Tun boleh lakukan untuk menjamin hubungan baik antara institusi diraja, pentadbir negara dan rakyat.

Saya dulu biasa buat peralihan undang-undang supaya rakyat rasa terselamat dan kalau-kalu tindakan yang diambil oleh raja-raja. Tetapi tidak bermakna bahawa saya tolak raja-raja. Tetapi kita kena tentukan bahawa raja-raja tidaklah melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat. Kita nak rakyat hormat raja.

Kita sama juga buat dengan pemimpin lain. Sokong pemimpin kalau dia buat benda yang baik daripada benda yang tidak baik. Kalau kita boleh nasihat ok la. Tetapi kita nak nasihat raja ni susah sikit. Tak banyak orang yang boleh nasihat raja. Jadi saya nak supaya raja menentukan cara hidup mereka. Kita bagi elaun, kita bagi tanah, kita bagi kereta, kita bagi macam-macam. Jadi kalau nak hidup sempurna, saya ingat cukup.

Tetapi bila raja-raja nak lebih daripada itu, buat perniagaan dan bukanlah raja sendiri buat perniagaan cuma memudahkan orang dapat peluang. Yang itu rakyat rugi kerana kita tidak boleh bersaing dengan raja. Kita kalau ada kontrak nak bagi, raja nak kontrak itu, kita masuk kita tak dapat. Jadi ini yang menyebabkan rakyat gelisah.

Kalau raja mengekalkan kedaulatan itu, dia tidak terlibat dengan benda-benda yang boleh menaikkan kemarahan rakyat, itu sebenarnya satu cara bagi sistem monarki ini kekal. Kita lihat di beberapa negara di mana raja disingkir. Kenapa? Kerana mereka tidak membuat sesuatu yang dihormati oleh rakyat.

Kita kena jaga, raja janganlah terlibat dengan benda-benda yang rakyat tidak suka. Rakyat ini dia tidak ada kuasa, tetapi bila dia dah marah, dia akan memberontak. Untuk elak, kita kena elak raja dengan kebesarannya itu tidak tercemar. Saya bukan menolak raja-raja tetapi saya berpendapat bahawa kalau raja buat sesuatu yang salah, patutlah kita ambil tindakan dengan menyelamatkan raja.

Macam kita ada undang-undang yang kita gubal sehingga tertubuhnya Mahkamah Khas Raja-Raja. Ini hasil daripada raja yang telah menimbulkan kemarahan rakyat. Kita nak elak daripada itu , rakyat tidak berasa tertekan, dia tidak perlu bersaing dalam perniagaan dengan raja. Kalau semua itu ada, rakyat akan suka jenis kerajaan monarki.

Sama juga dengan pelantikan AG dan angkat sumpah perdana menteri. Perkara semacam itu tidak harus berlaku. Kita ada undang-undang. Kita ada perlembagaan. Kita akur kepada undang-undang.

Kita nak kembali kepada the rule of law. Apabila sesuatu yang berlaku tidak mengikut undang-undang, maka orang akan timbul kemarahan. Tetapi saya fikir raja-raja sedar kerana ramai raja-raja yang berusaha supaya mereka semua dan agung patuh kepada undang-undang.

Sebenarnya majoriti raja-raja tidak bersetuju kalau dilewat-lewatkan pelantikan itu. Ada yang datang jumpa saya, ada yang cuba meredakan kerajaan, termasuk kelewatan saya angkat sumpah dan juga soal AG. Dan ini sudah diselesaikan atas nasihat raja-raja sendiri.

Sebelum PRU14, Pakatan Rakyat berkempen dengan elemen provokasi tetapi apabila Tun bersama Pakatan Harapan, cara berkempen berubah dan paling menarik adalah Tun berjaya meletakkan musuh-musuh politik berjuang bersama-sama dalam PRU lalu.

Formulanya senang sahaja. Selagi mereka berperang sesama mereka, mereka akan kalah. Kalau mereka berjuang bersendirian satu-satu parti, mereka akan kalah. Mereka akan lawan sesama sendiri.

Dulu saya dalam Umno-BN, saya tidak takut langsung nak kalah. Saya tahu mereka ini tidak boleh kerjasama, dia lawan sesama mereka, mereka jatuh, kita menang. Jadi bila saya masuk dengan mereka, saya terangkan kepada mereka, kalau bersendirian awak tidak boleh menang. Kena bersatu.
Kalau nak bersatu, lupakan perjuangan masing-masing. Utamakan satu perjuangan dan satu perjuangan itu saya kata ialah untuk menjatuhkan Najib kerana perbuatannya bukan kerana dendam.

Dulu banyak parti lawan ini berasa nak balas dendam, marah. Kalau rasa nak balas dendam, marah, kita jadi macam apa yang berlaku di negara-negara Arab. Dia lawan bukan sebab nak menang tetapi nak balas dendam. Kita tidak mahu seperti itu.

Saya kata kepada parti-parti lawan ini, sudah 60 tahun berjuang, apa yang dapat? Jadi mereka sedar tidak dapat apa-apa selagi mereka tidak bergabung. Jadi disebabkan itu walaupun saya ini dulu musuh ketat mereka, mereka sanggup menerima nasihat daripada saya, jauh lebih daripada itu sampai angkat saya jadi pengerusi dan calon perdana menteri.

Berapa tempoh masa yang Tun ambil untuk merapatkan diri dengan musuh politik sebelum ini?

Sebenarnya ini berlaku, saya nak cerita betul-betul, bila saya cadangkan supaya diadakan Deklarasi Rakyat, saya terkejut kerana semua mereka sokong. Lim Kit Siang (Penasihat DAP) datang, semua daripada parti lawan datang sebab mereka mempunyai pendirian yang sama dengan saya.
Jadi bila mereka datang sama, saya dapati bahawa mereka boleh bekerjasama dengan saya dan saya boleh bekerjasama dengan mereka. Kita dapat masalah daripada Najib dan saya tahu kalau kita tidak bergabung kita tidak boleh lawan dengan Najib.

Sebab mula-mula kita buat parti sendiri. Lepas itu parti ini bergabung dengan mereka walaupun kita ada latar belakang yang lain. Bagaimanapun kita jelaskan kepada mereka. Tuduhan mereka kononnya saya diktator, tidak benar sama sekali.

Sekarang mereka tahu kalau mesyuarat dengan saya, semua orang dapat peluang bercakap. Saya tidak pernah paksa pendapat saya saya diterima. Dulu pun seperti itu.
Kalau kita nak lawan dengan satu orang, kita kena burukkan orang itu. Kalau ketika itu mereka kata saya perdana menteri yang terbaik, macam mana mereka mahu lawan dengan saya.

Jadi mereka perlu kata saya perdana menteri yang terburuk. Ini diktator, maha zalim, maha firaun. Tapi bagi saya tiada kesan. Saya anggap ini sebagai perkara biasa.

Bila saya masuk dengan mereka, kalau saya masih dianggap sebagai maha zalim, mana boleh orang dia sokong saya. Sebenarnya tuduhan ini tidak ada asas. Seperti kononnya saya rosakkan mahkamah sebab saya buang Salleh Abas (bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Salleh Abas).

Bukan saya yang buang. Yang buang adalah Peguam Negara (AG). AG tidak mahu sebut nama Agung yang mahu buang dia. Bukan saya. Tetapi dalam tribunal sebab tidak mahu sebut nama Agung, nama saya la yang terpalit dan buruk. Saya sudah cerita semua ini tetapi masih kata saya yang buang Salleh Abas.

Saya tidak buang tetapi Agung. Ceritanya, Salleh Abas ini tulis surat kepada Agung sebab bising. Rumah Agung waktu itu tengah diperbaiki. Dia tulis surat kepada Agung.

Dia bagi semua salinan kepada semua sultan-sultan. Agung marah dan mintak supaya saya buang Salleh Abas. Saya kata tidak boleh buang. Nak buang kena ada tribunal. Agung kata tak kisah, buat sahaja tribunal.

Semua ini berlaku. Takkan saya nak buat cerita memburukkan Agung. Kalau saya tak cerita orang fikir ini yang saya buat. Saya tidak buat seperti itu. Saya cuba nak tadbir dengan secara yang terbaik tetapi kadang-kadang sukar juga bila orang hentam kita buat macam-macam. Ini kita nak kena lawan.

Kes Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bukan saya. Ini polis, ‘oh yang ini timbalan perdana menteri tidak bolehlah buat seperti itu, dia buat apa kena ketepikan’. Tidak boleh buat seperti itu. Kalau kita nak ke arah rule of law, walaupun kena kepada sahabat kita, kita kena biar undang-undang berjalan.

Bagaimana dengan pertemuan bersama Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi? Apakah inti pati pertemuan itu memandangkan gambar pertemuan itu sudah tular.

Dia (Ahmad Zahid) nak tahu cara mana nak urus Umno. Jadi saya berkata secara terus terang, Umno telah mengkhianati orang Melayu. Kita tubuh Umno untuk bagi tolong orang Melayu, nak jadi benteng, mempertahankan dan memberi keselamatan kepada orang Melayu.

Apabila Umno pindah daripada itu, dan utamakan kekayaan diri dan lupa kepada itu, umno dibenci sekarang ini. Umno nak pulih susah. Nama Umno yang dulu begitu bersih, dihormati, dipandang mulia, sekarang ini dipandang jijik. Orang tak suka dah pada Umno. Saya cakap, kamu fikirlah apa yang kamu nak buat.

Saya tidak kata suruh dia tutup tetapi pilihan itu ada. Kita tidak pandang siapa nak masuk pakatan harapan terutamanya bersatu..orang sekarang nak masuk pakatan harapan terutamanya Bersatu. Kena ada syarat.
Kalau dia orang politik, dia perlu putus hubungan dengan parti politik itu, jadi bebas dan kalau nak masuk Bersatu dia kena ikrar tidak buat lagi cara lama.

Sebelum ini sewaktu Tun menjadi perdana menteri, orang beranggapan bahawa Tun merupakan sorang yang ekstrem contohnya tentang Nabi dan bercukur sehingga ia menjadi satu isu yang besar. Boleh Tun perjelaskan?

Saya kata terang-terang, orang Islam takat sembahyang, puasa, keluar zakat, buat haji umrah, lain daripada itu dia tidak amal ajaran Islam. Dia kata orang Islam itu bersaudara. Kita tidak bersaudara walhal kita bermusuh sampai tahap kita berperang, membunuh. Membunuh itu dilarang dalam Islam. Macam-macam lagi.

Saya baca al-Quran dalam bahasa yang saya faham. Kalau anda ikut ajaran al-Quran, kamu tidak boleh jadi buruk. Kamu mesti jadi seorang yang berjaya. Islam menekankan, kalau kamu mahu menghukum, hukumlah dengan adil. Ini bila nak buat hukum hudud, orang Melayu kena potong tangan kalau mencuri tetapi orang bukan Islam pula dapat penjara dua bulan. Adilkah hukuman ini?

Kalau seorang wanita dirogol, dia tahu siapa yang rogol tetapi dia tiada empat orang saksi, sebab dia buat laporan, dia kena sebat. Itu tidak adil. Islam bukan tidak adil. Islam cukup adil. Kita yang tidak adil. Macam-macam lagi. Saya baca al-Quran untuk mengetahui apa mesej yang disampaikan.

Saya juga akan adakan pertemuan dengan beberapa tokoh agama dan dengan orang lain yang boleh bagi input.
Kita nak tentukan Jakim umpamanya, bukanlah menjadi satu badan yang ditakuti orang kerana sekarang ini sampai kerusi roda itu halal atau tidak halal. Saya yang tubuhkan Jakim tetapi dia lari jauh daripada hasrat kita. Kita mahu bagi panduan yang benar.

Saya buat Ikim (Institut Kefahaman Islam) sebab saya dapati orang banyak tidak faham dengan Islam. Islam satu agama yang cukup baik. Dia ajar kita sebab itu, Islam itu addin, cara hidup.

Maknanya ada benda yang boleh buat dan ada benda yang tidak boleh buat. Kita mahu bentuk orang itu. Orang itu mestilah Islam mengikut karakter dia bukan setakat dia sembahyang sahaja. Curi duit buat kerja haji, bukan benda baik.

Nilai hidup kita orang Melayu menyebabkan kita orang Melayu itu mundur. Bukan kerana Islam. Kerana kita buat tafsiran, Islam mengikut pemimpin kita. Kalau dia seorang ulama, dia buat tafsiran kita ikut dia, sampai ke tahap yang kita anggap orang lain ini tdak Islam, kafi. Inilah yang berlaku dalam politik negara kita bila dikatakan orang Umno ini kafir.

Siapa pengganti Tun selepas ini?

Anwar akan mengganti saya.


6 comments:

  1. Terimalah hakikat bahawa Tun akan menunaikan janji2nya iaitu Anwar Ibrahim akan mengambil alih tugas sebagai PM ke.8.

    Walaubagaimapun pengomen ini tidak akan menyokong mahupun bersubahat dengan perlantikan anwar ibrahim sebagai PM ke 8, kerana terdapat calon dari PKR yg lebih berwibawa dan berintergriti seperti wan azizah, azmin mahupun rafizi.

    Anwar ibrahim tidak pernah mengaku bersalah inikan pula bertaubat diatas perbuatan meliwat dan salahgunakuasa.

    Selagi Tun berada diatas sebagai PM ke.7, membersihkan, membaiki rumah yg sudah rosak dirobek hampir runtuh dek angkara perbuatan mungkar lagi durjana umno najib dan kroni2nya,

    Selagi itulah Pengomen ini akan terus memberi bantuan dari sudut perang saraf seterusnya membawa kebenaran Allah sebelum mengundurkan diri.

    Amat penat rasanya membawa kebenaran ini., untuk menyakinkan rakyat, mengubah minda mereka yg memakan masa bertahun tahun lamanya tanpa mendapat sebarang upah dan ganjaran,.hanya semata mata menjadi sukarelawan tentera Allah.

    ReplyDelete
  2. kenapa bangnag wartawan tu tak soal sapa Top Dog dalam PH...

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul tu anon 11.51 apanya bangang mamat ni jadi wartawan betul2 nya takde class jadi la bangang sebagai pencacai baru ada class...tak gitu anon 11.51

      Delete
  3. Sejuk membaca wawancara dengan Tun.Sayang Tun sepanjang masa.Semuga Tun diberikan Allah kesihatan yang baik dan dipanjangkan umor.InshaAllah.

    ReplyDelete
  4. Tun Mahathir tidak lagi bertanggungjawab ke atas perlantikan PM ke 8 kali ini.Keputusan dibuat oleh PH,dan Tun kena terima keputusan itu.Selepas ini,rakyat yang memilih kerajaan Pakatan Harapan,mempunyai hak untuk mengkritik keputusan PH dalm mentadbir urus negara ini.Perdana Menteri Malaysia mesti seorang yang berkebolehan memimpin negara menuju ke arah yang lebih baik,dan sama sekali bukan seorang yang hanya pandai bermain wayang dan beretorik.

    ReplyDelete
  5. Anon 2:08pm, sye sgt bersetuju.. lagi2 ayat yg akhir tu..hehe

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com