pages

Thursday, June 14, 2018

Raja bimbang ada pemberontak di Perlis


Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menzahirkan dukacita baginda dengan kemelut pemilihan calon Menteri Besar yang diboikot oleh semua sembilan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sehingga pelantikan anggota Exco tertangguh.
“Dah lebih sebulan pilihan raya berlalu (PRU14 pada 9 Mei). Baru hari ini istiadat angkat sumpah anggota Exco dapat diadakan. Saya memandang serius perkara ini kerana berlaku di istana dan saya sendiri terlibat.
“Saya bimbang kerana kes ini menunjukkan ada pemberontak dalam negeri kita,” titah baginda pada istiadat mengangkat sumpah jawatan Exco oleh lapan orang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN di Balai Menghadap Istana Arau di Arau, hari ini.
Mereka ialah Asmaiza Ahmad (Chuping); Nurulhisham Yaakob (Simpang Empat); Azizan Sulaiman (Santan); Hamizan Hassan (Kayang); Ruzaini Rais (Beseri); Rozieana Ahmad (Pauh); Siti Berenee Yahaya (Mata Ayer) dan Teh Chai Aan (Titi Tinggi).
Hanya ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim (gambar, kanan) tidak dilantik sebagai Exco dan beliau juga tidak hadir pada istiadat itu.
ADUN Bintong Datuk Seri Azlan Man yang mendapat perkenan Tuanku Syed Sirajuddin mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar pada 24 Mei lepas namun tidak disokong oleh pengerusi BN yang juga pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim.
Pada PRU14, BN menang 10 kerusi, Pakatan Harapan tiga dan PAS dua kerusi daripada 15 kerusi DUN di Perlis.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah istiadat angkat sumpah tersebut boleh diadakan lebih awal jika semua pihak menghormati keputusan baginda, dan baginda turut meminta mereka menjadikannya sebagai pengajaran supaya tidak berulang.
Baginda turut memaafkan kesemua sembilan wakil rakyat BN itu yang menghadap baginda untuk memohon ampun dan maaf baru-baru ini.
Amanah tanpa kira warna kulit
“Mulai sekarang saya mahu tuan-tuan tumpu pada tanggungjawab. Lupakan parti….jangan berpolitik 24 jam. Tuan-tuan hendaklah tunaikan tanggungjawab dengan amanah kepada rakyat tanpa mengira warna kulit, agama dan bangsa. Kalau tak boleh, jangan jadi wakil rakyat.​​
“Tuan-tuan juga kena baca kertas mesyuarat. Jangan buat keputusan mudah. Kalau buat silap 50 tahun lagi pun jadi macam ini. Saya selalu dok komplen pembangunan slow (perlahan) sangat. Cuba prove (buktikan) saya silap,” titah baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah baginda turut memberi komen perkara-perkara yang hendak dilaksanakan dan ada juga yang tidak dipersetujui semasa berbincang dengan menteri besar yang menghadap sebelum mesyuarat Exco berlangsung.
Baginda mencabar kerajaan negeri mencari jalan supaya kadar kemiskinan menjadi sifat di samping memikirkan cara mengatasi defisit belanjawan kerajaan negeri yang mencecah RM60 juta hingga RM70 juta setahun.
- Bernama

No comments:

Post a Comment

Sila Klik

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com