pages

Thursday, June 7, 2018

Pemilihan PKR akhir Ogos ini - Saifuddin

PKR akan mengadakan pemilihan parti pada akhir Ogos ini, kata Setiausaha Agung parti Datuk Saifuddin Nasution Ismail. Foto: Astro AWANI
PKR akan mengadakan pemilihan parti pada akhir Ogos ini, kata Setiausaha Agung parti Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata tempoh sah jawatan setiap pemimpin cabang dan pusat parti berakhir 22 Feb tahun hadapan.

Bagaimanapun, katanya proses pemilihan parti itu tidak boleh dilaksanakan melangkaui tempoh 18 bulan penangguhan Kongres Nasional Tahunan parti itu yang berakhir, 21 Nov ini.

"Parti ini dah hampir tamat 18 bulan tempoh lanjutan. Jadi kongres ini mesti diadakan tidak lebih dari tarikh berkenaan, kalau lebih kita (parti) akan terbatal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada anggota Parlimen dan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR di sini, pada Rabu. Turut hadir Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada majlis itu seramai 48 daripada 50 anggota Parlimen dan 51 daripada 67 ADUN PKR hadir.

Mengikut Perlembagaan PKR, Kongres Nasional Tahunan parti hendaklah diadakan sekali dalam setahun pada bila-bila masa sebelum berakhir bulan Jun atau pada tarikh yang ditetapkan Majlis Pimpinan Pusat dengan syarat tidak lewat daripada lapan belas bulan dari tarikh Kongres Nasional Tahunan yang lalu.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution yang juga anggota Parlimen Kulim Bandar Baharu berkata Anwar dalam taklimatnya menegaskan bahawa setiap wakil rakyat PKR perlu menyokong dan mendukung kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya pentadbiran negara dapat dijalankan dengan efektif tanpa masalah.

"Tugas dan tanggungjawab Tun Dr Mahathir sejurus menerima mandat kerajaan adalah satu tugas berat. Ini penting bagi membolehkan Tun Mahathir menjalankan tanggungjawab dengan lebih tenang dan efektif tanpa fikir sebarang benda yang boleh ganggu perjalanan kerajaan," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com