pages

Saturday, June 2, 2018

GST 0%: SAH harga Barang TURUN, rakyat perlu terus pantau peniaga


KEBANYAKAN orang awam berpendapat harga barangan terutamanya barang keperluan harian menjadi semakin murah apabila kerajaan melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar sifar berkuat kuasa hari ini.

Orang awam yang ditemui menzahirkan rasa syukur dan berpuas hati apabila mendapati harga barang turun selepas membeli-belah di kedai runcit dan pasaraya.

Pesara kerajaan, Abdul Rahman Markam, 75, berkata, penurunan harga barang tersebut lebih dirasai apabila membeli dalam kuantiti yang banyak.

“Hari ini saya beli barangan seperti sabun pencuci, biskut, beras, minyak masak dan pelbagai lagi barang keperluan dapur, memang rasa lebih murah berbanding harga sebelum ini.

“Ada satu jenama biskut yang saya selalu beli, sebelum ini harganya dalam RM3.90, tapi hari ini tinggal RM3.70. Mungkin bila pengguna beli barang dalam jumlah harga RM10 tak rasa penurunan, tapi bila beli dalam jumlah yang besar, memang akan rasa kurang dalam jumlah yang banyak,” katanya.




Menurutnya, penurunan harga barangan itu mampu mengurangkan beban orang awam terutamanya menjelang musim perayaan tidak lama lagi dan menjimatkan perbelanjaan isi rumah.

Pekerja swasta, Hairul Suman, 34, berkata, barangan yang dikenakan GST 6 peratus sebelum ini mengalami sedikit penurunan harga berbanding sebelum ini.

“Memang harga turun, barang yang orang ramai selalu beli seperti roti dan sardin dalam tin saya lihat turun beberapa sen.

“Contohnya harga roti jenis ‘cream roll’, sebelum ini 90 sen, tapi hari ini dah jadi 85 sen satu, harga kurang dalam lima sen. Walaupun kurang sedikit sahaja, tapi beri kesan kepada pembeli yang membeli dalam kuantiti yang banyak,” katanya.

Katanya, dia bersetuju apabila harga barangan turun harga terutamanya menjelang Aidilfitri yang bakal disambut umat Islam tidak lama lagi.

Manakala pelajar, Siti Khairunnisa Mohd Nayan berkata, barangan kecantikan diri turut mengalami penurunan harga yang agak ketara selepas GST kadar sifar dikuatkuasakan.

“Saya beli barang kecantikan seperti gincu, pencuci muka dan sabun di sebuah pasaraya, harga hari ini memang murah sedikit, mungkin sebab ada promosi, tapi bila lihat resit, GST yang dikenakan sebelum ini juga sudah tiada menyebabkan harga semakin murah.

“Sebagai contoh, sabun sebelum ini harganya RM10.20, hari ini jatuh kepada RM9.58 sahaja. Penurunan ini memang beri kesan kepada kuasa membeli saya sebagai seorang pelajar,” katanya.

Menurutnya, dia amat bersetuju dengan pemansuhan GST kerana ia dapat mengurangkan beban golongan kurang berkemampuan dan pelajar sepertinya.

Cubaan menipu? Naikkan harga sebelum GST dan mungkin akan kurangkan bila GST 0%
Sementara itu, pemilik kedai runcit, Wong Kam Lee, 41, berkata, beberapa jenis barangan yang diterima daripada pembekal di kedainya mengalami penurunan harga selepas GST berada pada kadar sifar berkuat kuasa semalam.

“Tak semua barang turun, yang ada GST sahaja turun, tapi memang betul harga barang turun selepas GST dimansuhkan.

“Setakat ini di kedai saya, beberapa barang yang diterima dari pembekal pagi tadi jadi semakin murah. Tapi kena tunggu dan lihat beberapa hari lagi untuk lihat jumlah sebenar barangan yang turun harga,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kewangan mengumumkan GST yang sebelum ini pada kadar enam peratus dikurangkan sehingga kadar sifar bermula 1 Jun.

Pemansuhan GST merupakan antara 10 janji Pakatan Harapan (Harapan) untuk dilaksanakan selepas 100 hari memerintah negara. - SH

4 comments:

  1. http://theunspinners.blogspot.com/2018/06/tanpa-gst-barang-naik-gst-ker-penyebab.html?m=1

    link atas

    ini laporan 1 akan menyusul lapuran 2 lagi banyak barang naik lepas gst zero.

    ReplyDelete
    Replies
    1. gst sifar ke harga turun ke tetap sama,macam mana nak imbang semua harga kalau nilai duit kita macam sekarang banding dgn us dollar,lg 10 tahun baru dapat turun rm 3.50 .

      Delete
  2. Alhamdulillah......harap harap SST tak dikenakan jugak yang mungkin akan menjadikan harga lagi mahal. Sepatutnya kerajaan kena lihat macam mana boleh kurangkan kos dan bukan cerita sangat pasal cukai.

    ReplyDelete
  3. KPDNK.perlu membuat lebih pemantauwan rapi.mempastikan peniaga yg berdegil tidak ambil kesempatan

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive

Total Pageviews