SILA KLIK

pages

Thursday, May 17, 2018

Tulisan Terkini Tun M di Blog Chedet - PERUTUSAN RAMADHAN


Alhamdulillah, sekali lagi kita umat Islam di negara bertuah ini dapat menyambut Ramadhan dalam keadaan aman, tenteram dan berharmoni. Lebih-lebih lagi setelah kita melalui Pilihanraya Umum baru-baru ini yang membawa perubahan kepada politik dan pentadbiran negara.

Kita lihat di sesetengah negara lain, proses pilihanraya, terutamanya apabila melibatkan pertukaran Kerajaan, kerap membawa kepada kekecohan, ketegangan. Lebih teruk lagi, apabila tunjuk perasaan yang melampau berlaku rusuhan serta perang saudara akan menyusul. Kerajaan tidak dapat ditubuh, dan negara terus berada dalam keadaan kucar-kacir.

Tetapi tidak di Malaysia ini. Alhamdulillah. Semua rakyat Malaysia sedar akan tanggungjawab mereka untuk mengekalkan keharmonian serta kestabilan dalam negara.
Polis dan tentera juga memainkan peranan utama di dalam mengekalkan keselamatan dan ketenteraman ini.

Bulan Ramadhan bulan yang mulia bagi umat Islam. Selain menahan diri dari lapar dan dahaga, kita juga perlu tegas mengelak perlakuan perkara-perkara yang dilarang oleh agama Islam. Kita juga digalakkan bersikap sederhana di dalam apa jua tindak-tanduk kita.

Di samping mengerjakan solat tarawih di waktu malam, kita digalakkan membaca dan memahami isi kandungan Al-Quran di dalam usaha ke arah menjadi ummah yang mengamal cara hidup Islam.

Walaupun kita digalakkan melakukan semua ini bagi diri kita untuk selamatkan kita di akhirat, kita juga harus ingat akan tugas dan tanggungjawab kita dalam pembentukan masyarakat Islam yang terbaik didunia.

Al-Quran merupakan panduan yang utama bagi umat Islam. Panduan yang tidak difahami tidak mungkin menjadi kita umat Islam yang berjaya. Sementara kita menghafal, kita juga perlu faham ajaran sebenar agama Islam.

Pilihanraya yang baru lepas ini akan membawa perubahan kepada pentadbiran negara dan pentadbiran agama Islam. Tekanan akan diberi oleh Kerajaan Pakatan Harapan kepada ajaran Islam seperti yang terdapat dalam Al-Quran dan hadith-hadith yang sahih.

Adalah diharapkan rakyat akan memberi sokongan kepada Kerajaan seperti mereka sokong mengubah Kerajaan dalam PRU 14.

Insya’allah dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, kita akan mendapat taufik dan hidayah dari Allah subhanawata’ala agar segala tindakan kita diberkati

Sekali lagi saya ingin mengucapkan selamat menyambut puasa di bulan Ramadhan yang mulia ini.

DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
16hb Mei 2018

No comments:

Post a Comment

Sila Klik

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com