SILA KLIK

pages

Friday, May 11, 2018

Siasat Peguam Negara dan bekas KPN, kaji semula SPRM


PEGUAM Negara, Tan Sri Apandi Ali dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kemungkinan akan disiasat berikutan pembabitan dalam kes syarikat pelaburan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pada masa ini nampaknya Peguam Negara memperlekehkan peranannya dan seakan menyembunyi perkara sebenar.
Katanya, tindakan akan di ambil berdasarkan undang-undang negara atas nasihat peguam serta pentadbiran negara.
“Kita akan siasat mana-mana pihak yang kita tahu terbabit dengan jenayah rasuah ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Presiden Pakatan Harapan (PH) di Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri menegaskan kerajaan akan fokus memerangi rasuah dan mengawalnya pada tahap paling minimum.
Katanya, mungkin sukar menghapuskan rasuah buat masa ini, namun ketika pilihan raya ada sokongan yang dibeli dan wujud persempadanan semula kawasan pilihan raya.
“Semua perkara itu semakin teruk jika tidak dibanteras. Malah, tidak mustahil PH boleh menang dengan majoriti dua pertiga jika semua itu tidak berlaku,” katanya.
Dr Mahathir tidak menolak kemungkinan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan diteliti semula fungsi dan peranan dalam membanteras rasuah.
“Jika kita lihat wujud prejudis atau berat sebelah mungkin akan berlaku perubahan besar, termasuk pengurusan tertinggi suruhanjaya itu,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang kempen pilihan raya, SPRM nampaknya seperti tidak menghiraukan fakta berlakunya rasuah.
“Kita boleh lihat banyak gambar yang membuktikan rasuah berlaku. Malah dua hari lalu kita lihat tiada ceramah dibuat hanya wang diberikan kepada penyokong.
“Kita akan siasat perkara ini kerana kita mahu pastikan undang-undang negara dipatuhi bukannya hendak membalas dendam,” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohamad Hashim Abdullah boleh disiasat jika ada unsur salah guna kuasa dan rasuah.
Sementara itu, ditanya mengenai kedudukan ringgit yang jatuh berikutan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri, belia berkata, buat masa ini negara berada dalam kedudukan tidak menentu kerana Kabinet belum dibentuk lagi.
Katanya, Malaysia akan mengekalkan hubungan baik dengan semua negara dan tidak tertumpu pada satu negara atau kuasa besar saja.
“Ini demi kelangsungan produk Malaysia supaya dapat memasuki pasaran antarabangsa.
“Kita sedar bahawa ada kemungkinan kuasa besar membuat sekatan terhadap dasar perdagangan negara. Namun kita akan bersikap adil tanpa mengira fahaman sama ada negara itu komunis atau bukan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 3:25 PM

No comments:

Post a Comment

Sila Klik

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com