Beliau berkata, pembatalan notis pembubaran sementara PPBM bertarikh 5 April 2018 di bawah Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 itu selaras dengan Seksyen 14(6) akta yang sama.
Menurut Alwi, di bawah Seksyen 14(6), Pendaftar Pertubuhan boleh membatalkan notis di bawah Seksyen 14(5) apabila maklumat-maklumat yang diminta itu telah diberikan.
"Keputusan tersebut telah dicapai setelah pertimbangan ke atas maklumat-maklumat yang dikemukakan oleh pihak PPBM yang diterima oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
RoS pada 5 April lalu mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap PPBM berdasarkan notis mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan, yang memperuntukkan PPBM diberi tempoh 30 hari untuk menghantar semua dokumen diperlukan RoS. - Bernama