pages

Thursday, May 10, 2018

Mungkinkah 3 ADUN BN di Kedah lompat parti?


STATUS minoriti tiga wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Kedah yang masih bertahan, mencetus pelbagai spekulasi termasuk di andai berisiko untuk ‘lompat’ menyertai parti lain.
Ia susulan status milikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang menyaksikan PKR memenangi 18 daripada keseluruhan 36 kerusi, manakala PAS menang 15 kerusi dan baki tiga milik BN.
Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan ialah Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak), Datuk Norsabrina Mohd Noor (Bandar Baharu) dan Datuk Suraya Yaacob (Sungai Tiang).


Status ketiga-tiga mereka yang pernah mengisi barisan EXCO kerajaan negeri ketika diterajui Datuk Seri Mukhriz Mahathir, menguatkan spekulasi mengenai usaha menarik ADUN terbabit menyertai barisan kepemimpinan Kedah yang baharu.
Ku Abdul Rahman ketika dihubungi menafikan spekulasi itu, sebaliknya menyatakan pendirian untuk kekal dalam BN berikutan menang atas kapasiti parti terbabit dan menjalankan tanggungjawab sebagai ADUN seperti biasa walaupun tidak berada dalam barisan kerajaan.
Katanya, beliau tidak janggal untuk terus berkhidmat kerana ini adalah kali kedua dirinya menjadi ADUN pembangkang selepas kali pertama pada PRU-12 ketika Kedah jatuh ke tangan PAS.
“Saya yakin kemenangan ini mencerminkan sokongan pengundi terhadap saya sebagai wakil rakyat mereka dan saya akan menjalankan tugas seperti biasa.
“Saya akan kekal sebagai ADUN BN dan mengikut sistem demokrasinya... kami masih sebahagian daripada kerajaan dan kita sebagai pembangkang akan memainkan peranan masing-masing, ” katanya.
Ku Abd Rahman meraih 6,518 undi menang di kerusi DUN Guar Chempedak dengan majoriti 259 undi mengalahkan calon PKR, Mohd Saffuan Sabari dan Musoddak Ahmad (PAS).
Suraya ketika diajukan soalan sama turut senada apabila menegaskan tidak akan sesekali mengkhianati kepercayaan pengundinya yang memilih beliau atas kapasiti sebagai calon BN.
Mengakui pengalaman kali kedua sebagai ADUN pembangkang adalah situasi yang jarang berlaku, pihaknya bagaimanapun mengatakan situasi politik di Kedah buat masa ini masih samar.
“Kita pun tak tahu kerajaan apa yang nak dibentuk nanti jadi kita tunggu sahaja.. depa (PH) sibuk kata saya akan kena beli, entah-entah ahli depa kena beli... baik jaga ahli masing-masing, ” katanya yang memenangi kerusi DUN Sungai Tiang dengan majoriti 641 undi mengalahkan calon PKR dan PAS.
Sementara itu Norsabrina pula menegaskan berterima kasih kepada pengundi yang masih memberi kepercayaan serta mandat kepadanya untuk berkhidmat di DUN Bandar Baharu untuk penggal kedua.
“Saya akan berkhidmat bagi pihak BN di kawasan ini walaupun berseorangan di dalam kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu, dengan senario politik di peringkat negeri dan negara yang berbeza. Saya tetap setia dengan UMNO dan BN,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 5:31 PM

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com