innity

pages

Tuesday, May 15, 2018

Kesatuan wartawan gesa Umno lepaskan saham dalam Utusan

Nasib Utusan Malaysia yang selama berdekad menjadi lidah rasmi Umno kini dalam keadaan terumbang-ambing, selepas kekalahan mengejut parti Melayu itu pada pilihan raya umum Rabu lalu.
Sumber boleh dipercayai dalam akhbar itu yang selama ini bergantung kepada kontrak kerajaan walaupun jumlah pembacanya semakin merosot, berkata syarikat itu berdepan ketidakpastian dengan rancangan menggalakkan kakitangan meletak jawatan.
Ada juga gesaan dalam kalangan ahli Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) supaya Umno melepaskan pegangan saham dalam Utusan Melayu Bhd, ketika pemimpin kesatuan itu menemui pihak pengurusannya untuk membincangkan masa depan syarikat itu.
Sebahagian besar dana Utusan datang daripada projek dikaitkan dengan Umno apabila berkuasa dalam kerajaan. Ini termasuk satu kontrak kontroversi untuk membekalkan lebih 180,000 unit tablet kepada guru di seluruh negara, tahun lalu.
“Umno ada bagi banyak projek kepada Utusan, ada projek yang Umno tak bayar. Jadi, macam mana Utusan nak menjalankan perniagaan, kalau kita buat tapi kita tak dapat apa-apa,” kata seorang jurucakap NUJ kepada FMT.
Katanya, syarikat itu turut mendapat kontrak mencetak poster kempen Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya baru-baru ini yang bernilai kira-kira RM30 juta.
Beliau berkata, Utusan perlu bersedia untuk beroperasi sebagai syarikat berorientasikan keuntungan, bukannya politik semata-mata.
Perkembangan di Utusan ini menyusul selepas sebuah lagi syarikat media disokong Umno, New Straits Times Press, menggesa kakitangannya melakukan penyesuaian kepada “persekitaran politik baru”.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NSTP, Datuk Seri A Jalil Hamid berkata, ada keperluan untuk akhbar itu menyesuaikan diri dengan pendapat umum susulan kekalahan mengejut Umno dan BN.
“Kita perlu membuat penyesuaian dari segi editorial. Sama ada isi kandungan, jualan iklan, pengeluaran, sumber manusia dan banyak lagi. Kita harus ubah mengikut persekitaran politik,” katanya kepada kira-kira 200 kakitangan dalam satu taklimat khas.
Sementara itu, timbul spekulasi PPBM, parti yang yang ditubuhkan bekas pemimpin Umno berhasrat mengambil alih kumpulan media itu.
Naib Presiden PPBM, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bagaimanapun menolak spekulasi itu.
“Kita tak perlu ambil alih, kita boleh buat kita punya sendiri. Tapi kalau ada saham-saham yang dijual itu mungkin ada ahli-ahli kita yang nak beli.
“Kalau ada ahli-ahli kita yang nak beli saham-saham yang dijual tak ada masalah. Mungkin Utusan itu tidak menjadi milik PPBM. Tapi pemegang saham itu mungkin orang PPBM,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com