pages

Saturday, February 3, 2018

[KELANTAN SENGAJA LAMBATKAN PEMBANGUNAN?] Mengilas isu kemajuan cara Tok Guru dulu


Sewaktu timbalan menteri besar Kelantan mengeluarkan satu kenyataan yang kedengaran pelik baru-baru ini, ramai benar orang tercengang.
Menurutnya, pembangunan fizikal di Kelantan diakui lambat.
"Kita sengaja melambatkan supaya kita nak pastikan pembangunan ini dapat dinikmati rakyat,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Dengan pengakuan yang dibuatnya pada 20 Disember 2017 itu, rata-rata orang ramai tidak mampu mentafsir maksud tersirat yang lain daripada kenyataan Naib Presiden PAS itu, kecuali seperti dilaporkan Malaysiakini.
Ia sejenis admission statement yang sifatnya lemah menyerah. Kata kuncinya cukup mudah.
Pertama, beliau mengakui aktiviti pembangunan fizikal di Kelantan lembab; dan kedua, ianya sengaja dilambatkan oleh pemimpin kerajaan. Pelik, kan?
Sewaktu berborak di kafe sebuah universiti pagi tadi, seorang kenalan yang sedang menyiapkan tesis untuk ijazah doktor falsafahnya telah tanpa sabar memberitahu saya: “Sepatutnya tak perlu kenyataan lain. Cukup dengan kenyataan ini untuk rakyat Kelantan menghukum kerajaan negerinya yang telah membuat pengesahan proses penderaan yang telah dilakukan oleh pemimpin Islam yang dilantik mereka sendiri."
Kemudian dia mengacah saya.
"Jika pada zaman Allahyarham Nik Aziz dulu, lagu mana lazimnya Tok Guru respon, awak ingat tak?" katanya.
Tiada pembangunan di Kelantan
Saya kemudian teringat dua pendirian pernah Tok Guru buat secara bertulis pada 2002 seputar isu "Kelantan tiada pembangunan”.
Dia bertanya lagi: "Masih adakah tulisan Tok Guru atau tulisan saudara yang tersimpan di mana-mana? Kelak, bolehlah saya buat perbandingan dua stail pendekatan pada dua era kepimpinan Kelantan untuk melengkapkan lagi tesis kajian saya yang sudah berada di penghujung ini.”
Saya memberitahunya supaya tunggu sahaja kolum saya dalam portal Malaysiakini minggu ini. Mungkin ia relevan untuk diperhatikan.
Artikel ini terbit pada 2002 sebagai reaksi kepada tuduhan Datuk Seri Mustapa Mohamed. Politiklah, apa lagi!
Mari kita lihat bagaimana gayung disambut setelah silat ditari. Berbezakah rentak yang diatur oleh timbalan menteri besar Kelantan dengan mantan menteri besar yang ikonik itu?


Dari awal lagi Tok Guru memilih untuk mengambil posisi yang bersifat menyerang. Mungkin ada ketika Tok Guru percaya bahawa sistem pertahanan yang terbaik adalah dalam bentuk menyerang.
Mari kita cermati laluan serangan minda yang diambil dan diaturnya. Ia mirip apa yang disebut dalam buku The Art of War tulisan penglima perang bernama Sun Tzu pada zaman Raja Helu antara 544 hingga 496 SM.
Menjawab kenyataan pemimpin Umno itu Tok Guru berkata:
Datuk Mustapa ni, pah satu, satu. Pah satu, satu. Puas ratib PAS ganas, balik semula kepada PAS tiada pembangunan. Hok Tok Pa kata tu, perkara sama yang diulang. Jenis suko ngatib hok tulo (ratib yang sama). Jawab pun tak faham-faham, ke tak membaca, tak tahulah.
Orang dah jawab, pembangunan di mana-mana pun dibuat oleh tiga pihak iaitu pusat, negeri dan swasta.
Hok dia duduk sebut empat lima projek tu, itu dah kira sebahagian daripada pembangunan dah tu. Hok napok kurang maju sebab pusat sengaja tidak beri peruntukan. Mana ada kawasan bebas cukai cukup dengan isytihar? Mana peruntukan untuk bangunkan infrastruktur? Kenapa tak bagi ke Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor seperti yang diberi kepada Langkawi?
Ini terang-terang diskriminasi. Begitu juga dengan pelabuhan, baik di Tanjung Pelepas atau Klang, atau Pasir Gudang atau Tanjung Berhala atau Kemaman. Semuanya datang dari komitmen pusat dan tidak sangat dari peruntukan negeri.
Soalnya, jika pusat boleh curahkan berbilion-bilion wang ke Selangor, Johor dan Pahang, kenapa tidak diberi layanan yang sama kepada Kelantan. Ini apa kalau tidak kerana diskriminasi? Nak tunggu Umno menang dulu ke atau bagaimana?
Rakyat hok tulo jah (rakyat yang sama)! Orang Islam itulah dan orang Melayu itulah. Tangguh dan lambat-lambatkan – itulah dirkriminasi namanya.
Kenapa Kelantan ditolak daripada pembangunan zon eksklusif IMT-GT (Segi Tiga Pembangunan Indonesia - Malaysia - Thailand)? Kenapa saluran paip gas yang sepatutnya mendarat di pantai Senok, dilarikan ke Songkla (walaupun) terpaksa redah bukit, redah hutan rimba dengan kos yang berkali-kali ganda untuk sampai ke Kuala Kedah dan Changlun?
Sana ada, Kelantan pun ada
Semuanya semata-mata untuk mengepung dan menyekat segenap faktor yang boleh menguatkan kerajaan Kelantan.
Kenapa lambatkan geran wajib hampir setiap tahun kalau tidak mahu ganggu cash flow kita? Buktinya amat mencukupi. Tak ada cara untuk kita bersangka baik daripada gerak-geri dan tindak-tanduk mereka.
Bagaimana pun, kita masih bangun juga, cuma cara kitalah. Slow tapi steady juga. Pelancong makin meningkat juga. Hotel lima bintang dah ada tiga di Kota Bharu. Ada resort, ada chalet, ada bazar dan bangunan pencakar langit.
Kita ada taman rekreasi, ada bandar baru, ada jalan raya, ada lebuh raya, ada pasar raya, ada masjid, ada musolla, ada hospital, ada sekolah. Ada jambatan Tendong, Jambatan Salor, Jambatan Dabong. Ada private medical centre. Ada macam-macam.
Pendeknya, apa yang ada di sana adalah di sini. Cuma kita tidak ada tol, tidak ada judi, tidak ada night club dan tidak ada kabaret.
Siapa yang buat - swasta ke, siapa - itu tidak penting. Yang penting ia berlaku di Kelantan dan Kelantan sedang membangunlah tu. Buken payoh sangat nok pehe mugo ni (bukan susah sangat nak faham perkara ini).
Kalau kata itu pihak swasta, baiklah. Cuba Tok Pa senaraikan semua projek besar di Kuala Lumpur seperti Putera LRT, STAR, hotel , resort, shopping complexmall, kilang itu dan ini yang buat bangunan tinggi-tinggi, estet perumahan, Indah Water, pelabuhan, lapangan terbang, MAS di udara. MISC di laut – semuanya itu kerajaan atau swasta?


Kalau jawabnya swasta, maka duduk diam-diam sudahlah. Serupa sahaja kita. Peranan kita ialah selaras. Adakan dasar, adakan strategi dan susuli dengan program aktiviti untuk memajukan lagi negeri kita ini.
Nak kata Kelantan tiada strategi, ini orang panggil bohong. Tok Pa perlu semak dan cakap macam orang yang ada ilmu. Ikut hentam suka-suka itu kita tak mahu. Jagalah sikit maruah sebagai bekas timbalan menteri dan penasihat ekonomi.
Kelantan tak ada dasar dan strategi macam mana apabila saya pernah berunding, minta pertimbangkan tiga benda daripada perdana menteri seawal 9 Ogos 1991 lagi.
Masa tu, Datuk Mustapa entah jawatan apalah ketika itu, saya pun tak tahu. Saya minta Tok Bali, sebuah pelabuhan di Kemasin dan pembesaran lapangan terbang yang ada sekarang.
Jangan diikut si anu tu
Kita sudah dapat tengok dua sudah berjalan. Tinggal satu lagi iaitu pelabuhan. Tak apalah, pelan-pelanlah. Ini strategi dah tu.
Kerajaan Kelantan juga sudah ada Pelan Pembangunan Strategik Negeri yang melakarkan visi masa depan dari tahun 2000 hingga 2010. Ini di bawah portfolio exco. Ia kemudian di seminar, dibahas dan diluluskan menjadi dasar dan garis panduan negeri. Hala tujulah tu.
Dalam belanjawan tahunan pula, kita ada strategi dan tekanan sektoral ikut titik tumpuan mengikut keupayaan dan kadar pertumbuhan semasa. Eh, tak payahlah saya ajar benda-benda lagu ni.
Kemudian, soal tak tercapai atau tercapai separuh, ini biasa. Pusat pun begitu. Benda ni, ada kajian separuh penggal. Buat bajet tambahan dan adakan suntikan dana. Pendek kata, Tok Pa jangan cakap ikut sedap mulut. Cakaplah ikut ilmu perancangan dan pengurusan. Jangan ikut si anu si anu tu. Punah kita sama Kelantan ni!

Kalau nampak jujur sangat dia nak tolong, kempen samalah pelabur luar supaya datang ke Kelantan. Kita bimbang, ada menteri atau menteri-menteri turut menakut-nakutkan pelabur supaya jangan datang Kelantan.
Negeri mundur, kerajaan ganas - ini kita biasa dengar. Kita pun ramai kawan-kawan. Orang besar-besar di Kuala Lumpur banyak anak Kelantan seperti yang disahkan oleh perdana menteri. Kita ada kaki kita.
Dah dia penasihat ekonomi, kenapa tak nasihat perdana menteri bagi duit banyak sikit kepada Kelantan dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8)? Ni Kelantan duduk nombor 11 daripada 13 buah negeri. Kita nombor tiga, tapi dari bawahlah.
Sudah 10 tahun duduk nombor sebelas dalam RMK-7 dan RMK-8. Tok Pa duduk nasihat benda apa? Tentu dia nasihat benda lainlah tu.
Pah, nak nanti juoh, soghok (ejek) tak ada pembangunan. Demo jugok kato, Kelate ni miskin, pah demo jugok tindas kenyek sesame Islam sesame bangsa. Pah, hok sebenarnyo demo ni acu royak teh, lagu mano?
Jawab lain keluar lain
Baiklah. Tidakkah 95.5 peratus orang Kelantan itu Melayu? Dah demo Umno sangat, dah Melayu sangat dan Islam sangat-sangat dah, kenapa Umno duduk tindas? Patutnya berilah peruntukan terbanyak atau kedua terbanyak dalam mana-mana rancangan lima tahun Malaysia.
Rakyat Kelantan ni cerdik. Dia faham, dia reti. Ini dah masuk kes dera dah ni, tapi pura-pura buat macam lembu kenyang. Ingat, kita ni nombor 10. Dah 10 tahun begitu dalam RMK-7 dan RMK-8. Ini bendanya; jangan duduk kona ke lain.
Kita tahu dah. Esok dia puas ratib tiada pembangunan, dia kata kita ganas pula. Pah, dia beralih kepada mencarut. PAS tu, kerajaan tak bagi wanita bekerja; pusing naik balik pula ke tiada pembangunan. Tahu dah. Perhatilah. Pusing cerito tulo (kitar kisah yang sama).
Cerita dia pula berpusing dalam pitis. Mana pergi duit PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin) RM36.5 juta? Mana pergi duit Tabung Haji? Sekejap RM8 juta, lepas tu naik RM200 juta. Cukup dua tu jahlah dulu sebagai contoh.


Nak bela nasib orang miskin. Dapat duit, hok jadi kaya orang yang sudah kaya. Kalau duit orang nak naik haji pun kebas tok tahu doh laa ambo!
Sentuh sedikit jamuan perdana menteri dalam majlis Jamuan Rakyat pada malam 12 April 2002 di Istana Negeri, Kubang Kerian. Nampak sangat beliau berpolitik. Dapat pingat, dapatlah. Tahniahlah. Tapi apa pula suruh orang ganti kerajaan? Ganti apanya tayar penuh bunga, ggelek tengoh molek lagi?
Tahulah. Fikir sendirilah. Kerajaan Kelantan ni, macam anak tiri. Nak jawab tak ada saluran. Jawab lagu lain, keluar (dalam media) lagu lain. Orang baik dilihat jahat. Orang jahat dilihat baik.
Nak mengadu kepada ayah pun, ayah yang turun dari Kuala Lumpur sekali-sekala siap dengan tali pinggang. Hanya Allahlah tempat kami mengadu siang dan malam.
Bagi saya kita tetap bangun. Duit orang duit rakyat, kita tidak mahu. Jangan usik. Itu amanah. Kena buat begitu. Nampak Kelantan miskin, kena pakat-pakat bantu. Parti soal lain. Ini bendanya. Baru orang panggil gentleman.
Mustapa ni orang tengok ada cutting ore baik. Potongan dia tu macam ada gaya orang baik tapi kenalah dia bercakap dan buat kerja macam orang baik-baik. Jangan berkawan dengan orang yang tidak baik.
Kalu tidok, serupo jah laa Stopa (jika tidak, Datuk Mustapa pun sama saja dengan yang lain-lain).
Sedikit analisis
Tidak payah banyak. Jika mampu menjadi sedikit tajam, kita boleh nampak perbezaan bagaimana Tok Guru menjawab pemimpin Umno - hujah ke hujah - tanpa syarat. Bila dengan Umno, dia cukup fokus.
Ini amat berbeza dengan gaya pendekatan kepimpinan PAS ketika ini. Mereka seakan-akan alergik, rela dilihat daif, bersikap apolitical tak bertempat, tak nak sentuh sedikit pun Umno sedangkan musuh politiknya - katanya - parti itulah.
Atas political pretext “politik matang dan sejahtera” dia ghairah menjual peranan baru sebagai king maker atau selesa menjadi power broker dari blok ketiga.
Anehnya, dia tegar membawa wajah itu; sedia diherdik siapa saja tanpa segan silu. Apa yang dia nak pun, rata-rata rakyat tidak.
Jika pada zaman Allahyarham Datuk Fadzil Noor, beliau cukup sibuk menghisab selera massa demi mahu menjadi sebuah gerakan yang kontemporari. Kini, saya pun.... ah, lupakan.
Paling minimum, PAS seakan rela dirinya dilihat tidak relevan dengan mengaku benda yang bukan-bukan seperti: “Kita mempunyai pendekatan tersendiri menggerakkan pembangunan. Memang kita akui pembangunan fizikal negeri kita, lambat. Kita sengaja melambatkan.”
Pengakuan jenis apakah ini?

ANNUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam aktiviti seni termasuk penulisan dan muzik.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com