pages

Monday, September 24, 2018

(Zakir-Mujahid MESTI DEBAT Terbuka) Mujahid dulu bukanlah yang sekarang

Kenyataan Mujahid pada tahun 2016 ketika belum jadi Menteri 

Kenyataan Mujahid pada tahun 2018 ketika menjadi Menteri Segala Agama

Semakin mengelirukan. 

1. Mengapa tidak diadakan pertemuan terbuka, malah sepatutnya diumumkan dan dibuat pula sidang akhbar, bagi memberi ruang Dr ZN membela memberikan penjelasan?

2. Bukankah cara yang dibawa oleh DrZN sesuai dengan dakwah Nabi untuk mengangkat Islam sebagai agama yang diredhai Allah?

3. Bukankah kaedah DrZN adalah dialog ilmiah yang memberi ruang menjawab salah faham terhadap Islam?

4. Bukankah kaedah yang beliau lakukan telah berjaya membawa ribuan non-muslim daripada kejahilan kepada hidayah, dari mensyirikkan Allah kepada mentauhidkan Allah?

5. Mengapa dihighlightkan pula bahawa usaha beliau kononnya merendahkan agama lain?

6. Adakah ini usaha terancang untuk memberi hujah kepada kumpulan ekstremis (seperti Ramasamy yang dibuat laporan polis terlibat kumpulan pengganas) untuk menghantar keluar DrZN dari Malaysia?

7. Iniikah sebenarnya aplikasi rahmatan lil alamin yang dicanangkan di mana-mana sekarang ini? Adakah ini rahmatan lil alamin atau lebih kepada rahmatan lil kafirin?

Fikir-fikirkan - Omar Kassim 

[ANWAR BAKAL MENANG MUDAH] BN tak tanding PRK Port Dickson


KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan depan, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi BN itu berkata, keputusan itu dicapai selepas perbincangan dengan parti komponennya, iaitu Umno, MCA dan MIC.
“Kami ambil keputusan BN akan memboikot PRK Port Dickson, ertinya kita tidak akan meletakkan sebarang calon yang mewakili komponen BN atau atas nama BN,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Umno hari ini.
Zahid yang juga presiden Umno berkata, PRK itu diadakan hanya untuk memenuhi cita-cita politik pemimpin tertentu.
PRK Port Dickson akan diadakan 13 Oktober ini susulan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk memberi laluan kepada Presiden PKR, Anwar kembali ke Parlimen.

Ketua UMNO Bahagian Cheras keluar parti


KUALA LUMPUR - Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee, sebentar tadi, mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Bekas Setiausaha UMNO Wilayah Persekutuan itu berkata, keputusan terbabit dibuat atas sebab tertentu iaitu demi menjaga kelangsungan dan kepentingan Melayu di Wilayah Persekutuan.
"Secara rasminya, saya nak beritahu bahawa saya ambil keputusan yang berat. Saya umumkan keluar daripada UMNO," katanya berdasarkan laporan sebuah portal berita tempatan, dalam satu sidang akhbar di sini hari ini. - Kosmo

Benarkah Timbalan Menteri PH main HUBUNGAN SULIT dengan pembantu?


KUALA LUMPUR, 24 Sept — Timbalan menteri tenaga, teknologi, sains, perubahan iklim dan alam sekitar menafikan menjalinkan hubungan sulit dengan seorang pegawainya.
Isnaraissah Munirah Majilis turut menafikan terlibat dengan dakwaan krisis rumah tangga pegawainya itu seperti yang dilapor sebuah blog.
Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak terlibat sebagai mana yang diperkatakan dalam sebuah blog mengaitkan nama saya,” catatnya di Facebook bersama aduan polisnya.
Artikel blog ini berniat jahat untuk mengaibkan dan menggugat integriti saya sebagai seorang wakil rakyat”.
Isnaraissah Munirah, ahli parlimen Kota Belud daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) ingin polis menyiasat penulis blog tersebut yang membuat dakwaan tersebut semalam.
Dalam aduannya, beliau mendapat mesej satu WhatsApp daripada rakannya yang menghantar pautan blog itu ketika berada di Putrajaya semalam.

“Saya membuat laporan ini untuk membersihkan nama saya dan keluarga saya dan agar penulis dapat disiasat...,” katanya.
Blog itu mendakwa isteri pegawainya itu membuat laporan polis beliau dicekik dan dipukul suaminya bulan lalu setelah mengetahui hubungan timbalan menteri itu melalui mesej WhatsApp. - msn.com

[PECAH RAHSIA] Rupanya Ali Hamsa 'HUKUM' 22 Pegawai Tinggi JPA, SPA sehari sebelum bersara, bukan KSN baru


Keputusan untuk menempatkan 22 orang pegawai tinggi persekutuan daripada pelbagai peringkat ke Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) yang mencetuskan kontroversi rupa-rupanya dibuat oleh bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa sehari sebelum beliau bersara pada 28 Ogos lalu.

Kesemua pegawai tadbiran awam dan diplomatik itu sebelum ini berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan juga di beberapa buah kementerian.

Mereka dipindahkan ke Intan selepas timbulnya isu berkaitan kelewatan urusan pelantikan dan pembayaran gaji kepada kakitangan kontrak dan lantikan politik di pejabat-pejabat menteri serta timbalan menteri kabinet Kerajaan Pakatan Harapan selepas pilihan raya umum ke-14.

Bagaimanapun berdasarkan siasatan mStar Online, adalah didapati proses kelewatan pembayaran gaji dan lantikan ini berlaku atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan yang mana sebahagian besarnya kerana kelewatan pegawai-pegawai menteri dan timbalan menteri itu sendiri memproses dokumen perjanjian pelantikan mereka.

Ekoran daripada kelewatan ini, mStar Online dimaklumkan, pegawai paling kanan yang dihantar berkursus ke Intan ialah Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohtar Abdul Rahman dan Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Dato Zainal Abidin Ahmad.

Lain-lain pegawai kanan yang terlibat ialah Pengarah Pembangunan Organisasi JPA, Mohamad Fauzi Isa dan Timbalan Pengarah Kanan JPA, Zohari Said.

Di samping mereka, beberapa orang pegawai daripada Bahagian Pembangunan Organisasi dan tiga timbalan pengarah Bahagian Perkhidmatan JPA turut menerima nasib yang sama, kata sumber itu lagi kepada mStar.

Sementara pegawai-pegawai dari beberapa kementerian yang turut dipindahkan ke Intan melibatkan setiap seorang daripada Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan Pengurusan di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertanian.

Dalam perkembangan berkaitan, mStar Online turut dimaklumkan sehingga 24 Ogos lalu, sejumlah 101 lantikan kakitangan pejabat menteri dan timbalan menteri telah berjaya diselesaikan.

Daripada jumlah itu, 84 pegawai telah dilantik dan urusan pembayaran gaji juga telah turut diterima, manakala selebihnya belum melalui proses pembayaran gaji.

Adalah difahamkan, antara sebab mengapa para pegawai menteri dan timbalan menteri ini lewat menerima pembayaran gaji antara lainnya kerana pegawai yang terlibat belum mengemukakan dokumen perjanjian lantikan yang ditandatangani.

Sebab kedua adalah kerana pegawai yang terlibat tidak mahu menandatangani perjanjian lantikan atas sebab tidak menyatakan gaji minimum yang dipohon atau kerana pegawai berkenaan belum mengemukakan maklumat bank atau nombor akaun.

Lain-lain sebab yang lain ialah pegawai menteri atau timbalan menteri berkenaan masih belum mengemukakan dokumen kontrak yang ditandatangani atau kerana pegawai tersebut masih bertugas dengan majikan lama dan harus memberi notis tiga bulan.

Sehingga analisis berita ini ditulis, adalah dianggarkan masih terdapat 60 lantikan di pejabat menteri dan timbalan menteri masih belum diisi atas sebab-sebab tertentu antara lain belum ada calon yang sesuai atau calon memohon tanggagaji yang tidak diperuntukkan di bawah Pekeliling Perkhidmatan Kakitangan Awam Bilangan 6.

"Terdapat pegawai-pegawai menteri yang menuntut gred yang tinggi yang tidak diperuntukan di dalam pekeliling perjawatan pejabat menteri dan timbalan menteri seperti Jawatan Utama Sektor Awam atau JUSA walaupun kerajaan baru bersetuju untuk menambah satu lagi jawatan iaitu Pegawai Tugas-Tugas Khas (PTTK) daripada seorang kepada dua orang dengan gred 54 tertakluk kepada kelayakan individu lantikan politik," kata seorang pegawai kanan ketika dihubungi mStar Online.

Sebelum ini Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar mengesahkan bahawa pegawai berkenaan dikenakan tindakan tersebut ekoran masalah yang timbul berhubung pelantikan pegawai baharu anggota Kabinet.

-mStar

17 soalan Najib kepada Lim Guan Eng



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengemukakan 17 soalan untuk dijawab Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, supaya tidak terus menuding jari terhadap dirinya dalam isu menyentuh hal ehwal ekonomi negara.
Bekas perdana menteri mengemukakan soalan berkenaan atas alasan mahu membantu Setiausaha Agung DAP itu dan orang awam untuk memahami fakta serta kebenaran mengenai isu berkaitan kewangan negara.
“Nampaknya, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng masih tak berpuas hati dengan jawapan dan penelitian saya mengenai hal ehwal ekonomi negara.
“Oleh itu, saya kemukakan 17 soalan untuk bantu beliau dan orang awam memahami fakta dan kebenaran mengapa beliau tiba-tiba mahu menuding jari kepada saya,” katanya dalam entri di Facebooknya, malam ini.
Antara soalan dibangkitkan Najib ialah sejauh mana kebenaran kerajaan hilang RM30 bilion atau lebih bagi pendapatan tahun ini berikutan pelaksanaan sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) selama tiga bulan serta pengenalan semula subsidi menyeluruh selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Adakah benar Malaysia adalah satu-satunya negara dalam sejarah dunia yang menghapuskan GST dan kembali kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), pada ketika lebih banyak negara beralih kepada GST bagi meningkatkan daya saing negara mereka?
Adakah benar juga bahawa ada barang yang naik harga selepas SST dilaksanakan?
Adakah benar, sebagaimana pernah dijelaskan sebelum ini, adalah mustahil wang disatukan kerajaan hanya berbaki RM450 juta pada hujung April lalu kerana sentiasa ada ‘buffer’ dua bulan sebagai penampan bayaran gaji dan pencen sekitar RM8 bilion sebulan.
Bagaimanapun, Najib berkata Guan Eng tidak akan berani atau jujur untuk menjawab soalan dikemukakan, dan beliau terpaksa bangkitkan bagi memberi kefahaman kepada rakyat.
“Selepas ini, saya jangka (Veteran DAP) Lim Kit Siang (pula) akan mengeluarkan lagi banyak kenyataan akhbar untuk marah saya.
“Tidak dapat dinafikan Guan Eng adalah ahli politik berbakat, terutama dalam memutar belit dan gemar menyalahkan orang lain dalam meyakinkan penyokongnya, tetapi ini adalah ekonomi sebenar yang berlandaskan kepada fakta angka sebenar dan akan memberi kesan kepada kehidupan 31 juta rakyat Malaysia selain masa depan negara ini,” katanya.
"Tiada sekelumit putar belit pun akan membantu anda jika pengurusan serta dasar anda teruk," katanya.

[PTPTN] Kamu Kencing Rakyat, Rakyat KENCING Balik, Apa rasa?




KENYATAAN MEDIA

1. Saya setuju kalau usaha dibuat supaya penerima pinjaman PTPTN membayar hutang pinjaman mereka. Ini kerana itulah yang dilakukan oleh PTPTN sewaktu dibawah Kerajaan BN dahulu. Walaupun usaha kita dulunya ditentang dan kononnya kita zalim serta tidak menjaga anak muda, namun itu dibuat untuk pastikan aliran pusingan kewangan kita berjalan dengan baik demi kelestarian PTPTN serta memastikan keupayaan PTPTN menyediakan dana secukupnya untuk hampir 200,000 pelajar baharu dan sekitar 600,000 pelajar sedia ada yang sedang belajar di universiti. Ini kerana setiap tahun PTPTN mesti sediakan dana antara RM3 bilion - RM4 bilion untuk keperluan pembiayaan pendidikan. Ini kita lakukan dalam usaha mengurangkan kebergantungan PTPTN kepada institusi kewangan bagi mendapatkan dana untuk pembiayaan pelajar. Kita mahu gunakan kutipan balik itu untuk diberikan pula kepada pelajar baharu.

2. Namun jika melabelkan keseluruhan mereka sebagai " tidak amanah" ia rasanya adalah tidak berapa sesuai. Ini kerana kerajaan atau Wan Saiful selaku Pengerusi PTPTN perlu memahami bahawa banyak sebab kenapa mereka yang telah dapat pembiayaan ini tidak membayar balik pinjaman. Saya akui ada sebahagiannya memang sengaja tidak mahu membayarnya walaupun mereka sudah punyai pendapatan tetap. Bagaimanapun, ada juga faktor lain yang menyebabkan mereka tidak bayar misalnya masih lagi tidak bekerja, ada yang bekerja tetapi pekerjaan mereka masih di bawah tahap kelulusan yang mereka miliki. Kalau hendak diteliti banyak lagi faktor lain, tetapi juga ramai yang tidak bayar hutang sebenarnya kerana terpengaruh dengan janji pembangkang dahulu yang menjadi kerajaan sekarang.

3. Saya ingin kongsi pengalaman bahawa, pernah suatu ketika aliran pusingan kewangan PTPTN berada dalam keadaan tidak baik dan jauh merosot. Ramai yang tidak membayar pinjaman. Kenapa mereka tidak mahu bayar ? Ini kerana terpengaruh dengan mainan politik dan janji populis pembangkang ketika itu. Di mana menjelang PRU13, ramai terpedaya kononnya “ hutang PTPTN akan dihapuskan “. Kesannya aliran kewangan PTPTN begitu teruk akibat ramai tidak membayar pinjaman kerana terpengaruh dengan janji pembangkang untuk hapuskan hutang dan PTPTN.

4. Apabila ramai tidak membayarnya menyebab dana tidak cukup maka potongam terpaksa dibuat sebanyak 5% kepada pelajar ke IPTA dan 15% pinjaman pelajar ke IPTS. Ini satu daripada “ jasa “ pembangkang ketika itu kepada rakyat. Potongan terpaksa dibuat kerana kutipan jatuh hanya sekitar RM50 juta sebulan dan hanya sekitar RM700 juta setahun ketika itu. Sedangkan PTPTN mesti mengutip semula pinjamannya paling kurang RM900 juta setahun. Inilah kesannya jika ramai tidak membayar hutang pinjaman.

5. Pada saya apa yang penting Kerajaan PH melalui Pengerusi PTPTN mesti lakukan usaha secara bersungguh. Ketika ini belum nampak sesuatu pendekatan terbaharu kerajaan lakukan melainkan hanya kenyataan media sahaja atau menyambung apa yang PTPTN lakukan sejak dulu. Walaupun melepaskan sekatan imigresen dilakukan, pada saya itulah antara punca jumlah kutipan merosot dan menyebabkan bilangan mereka tidak membayar hutang sukar dikurangkan. Ini kerana polisi itu mengalakkan mereka tidak membayar hutang.

6. Suka saya nyatakan, Kerajaan BN dahulu sedar tentang semua ini. Kita faham masalah yang mereka hadapi. Jadi kita melakukan pelbagai usaha mengalakkan pembayaran dilakukan, antaranya ialah memberikan diskaun 10% kepada yang membayar sekurangnya 50% pinjamannya atau kepada mereka membuat potong gaji dan 20% yang membayar penuh baki hutangnya. Ini yang kita lakukan. Malah saya ingat PTPTN di zaman Kerajaan BN telah mempermudahkan segala urusan di mana mengurangkan urusan di kaunter dan hanya berurusan dihujung jari melalui pelbagai kaedah setanding, malah ada diantaranya melebihi apa yang dilakukan oleh institusi kewangan dalam negara ini.
7. Kemudian, di Sambutan Ulang Tahun Ke 20 Tahun PTPTN pada awal 2018 lalu, PTPTN melancarkan program “Jobmatching” iaitu program Nasional Blue Ocean Strategy ( NBOS ) atau kolobrasi dengan sektor swasta di mana antara lain ia adalah usaha menyediakan peluang pekerjaan kepada peminjam kita yang tidak mampu membayar pinjaman. Ini bermakna PTPTN sewaktu Kerajaan BN terdahulu mempelbagaikan usaha untuk mendapatkan semula pinjaman PTPTN. Kita lakukan pelbagai usaha dan tidak menyalah atau memaksa mereka membayar saja malah melaksanakan konsep mesra pelanggan atau#bolehbincang.

8. Semua langkah ini, berjaya membuahkan hasil iaitu mengikut rekod menjelang 2018 kita telah berjaya kurangkan jumlah peminjam yang langsung tidak pernah membayar balik pinjamam mereka. Iaitu mereka yang di kumpulan langsung tidak pernah membayar balik pinjaman.

9. Malah kutipan balik pinjaman PTPTN meningkat 2016 kepada sekitar RM3.4 bilion setahun dan lebih RM3.9 bilion diperolehi pada 2017 bersama dengan Simpanan SSPNi PTPTN. Kerana itu juga PTPTN sejak beberapa tahun telah menukar imejnya kepada Tabung Pendidikan PTPTN. Ini sebagai usaha kerajaan ketika itu mengalak rakyat menabung agar kebergantungan kepada pinjaman dikurangkan dan rakyat beralih untuk melanjutkan pelajaran dengan menggunakan duit simpanan mereka. Budaya ini kita terapkan di kalangan rakyat.

10. Justeru, kalau Kerajaan PH hanya melabelkan peminjam dengan pelbagai gelaran ianya adalah tidak wajar sebaliknya usaha sebagaimana kerajaan terdahulu lakukan hendaklah dibuat. Sebab itu jugalah, 

kalau ditanya siapa sebenarnya yang tidak amanah tentulah kerajaan hari ini. 

Kenapa saya berkata begitu sebab rakyat khususnya anak muda menggundi mereka kerana termakan janji manis Pakatan Harapan sewaktu kempen menjelang PRU14. Apabila janji tidak ditunai itu sebenarnya tidak amanah.

11. Justeru, sebagai bekas Pengerusi PTPTN, saya memang tidak setuju jika bayaran balik dimulai di tangga gaji RM4000. Walaupun alasan Wan Saiful Pengerusi PTPTN kononnya data PTPTN tidak lengkap yang menjadi punca ia tidak dilaksana. Pada saya ianya adalah alasan beliau untuk mengelak melaksanakannya kerana mungkin apabila sudah menjadi Pengerusi PTPTN baharu dia sedar bahawa kesan besar pada kewangan PTPTN akan berlaku jika ia dilaksana.

12. Dan satu lagi ingin saya nyatakan adalah tidak tepat jika mengatakan bahawa bekas Perdana Menteri telah mendidik peminjam agar tidak bayar hutang PTPTN. Kerana lihatlah siapa yang tidak bayarnya. Ada antara mereka adalah daripada kumpulan pertama atau terawal mendapat pinjaman yakni sebelum Dato Sri Najib Razak menjadi Perdana Menteri lagi .

*YB DATO’ DR SHAMSUL ANUAR HJ NASARAH*
Ahli Parlimen Lenggong
TARIKH : 23 SEPTEMBER 2018

Hubungan semakin tegang, China siap sedia 'serang' AS

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping dalam pertemuan di Florida pada April 2017. REUTERS / Fail
BEIJING: Hubungan dua hala China-Amerika Syarikat (AS) semakin tegang selepas China menegaskan sedia untuk bertindak balas terhadap tindakan AS menyekat agensi ketenteraan China serta pengarahnya dari membeli pesawat pejuang Rusia dan sistem peluru berpandu.

Pada Ahad, China yang berang dengan tindakan AS itu memanggil Duta Besar AS ke China, Terry Brandstad, serta menangguhkan rundingan ketenteraan bersama.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanan China berkata, AS tidak berhak masuk campur urusan pembelian senjata oleh China.


Selain itu, China turut memanggil pulang ketua tentera laut Jinlong dari lawatan di AS serta menangguhkan rancangan rundingan antara pegawai ketenteraan AS dan China yang dijadual berlangsung di Beijing minggu hadapan.

Jurucakap Kementerian, Wu Qian berkata, keputusan China membeli pesawat pejuang dan sistem peluru berpandu dari Rusia merupakan langkah biasa dalam kerjasama antara dua negara berdaulat.

Pada Khamis, Jabatan Negara AS mengenakan sekatan ke atas Jabatan Pembangunan Peralatan China (EED), cawangan yang bertanggungjawab membeli senjata, selepas ia melakukan transaksi besar bersama Rosoboronexport, pengeksport senjata Rusia.

Sekatan itu melibatkan pembelian 10 unit pesawat kombat SU-35 pada 2017 dan sistem peluru berpandu S-400 pada 2018. - Asro Awani

Adakah Syiah diberi tempat oleh Kerajaan PH?


Kumpulan Syiah ini pernah menghubungi kami untuk bekerjasama. Mereka menafikan mereka Syiah tetapi setelah kami melakukan siasatan, terbukti mereka ini Syiah!

Kami memaklumkan kepada mereka bahawa kami tidak mahu bekerjasama dengan mereka.

Hari ini, kumpulan ini terlebih awal mengambil tempat kami selalu melakukan Street Dakwah di Bukit Bintang. 

Sukarelawan mereka terdiri dari orang Melayu, Arab & Cina.


Kini tugasan sukarelawan Street Dakwah kami bukan sahaja perlu berhadapan dengan Missionari dan menyantuni Belum Muslim tetapi perlu berdepan dengan Syiah yang memberikan Donut Krispy Kreme secara percuma! Usaha dakwah kami tetap diteruskan.

When the going get tough, the tough get going.

#Islam #Muslim #Sunni #CinaMuslim #ChineseMuslim #Muallaf #Revert#firdauswong @ Multiracial Reverted Muslims - MRM

Firdaus Wong Wai Hung (Official) 

Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili CG

Veteran ATM kecewa dengan Mat Sabu

MENTERI PERTAHANAN
Saya seperti juga rakan2 saya yang lain adalah penyokong PH tegar. Saya telah membantu PR dan sekarang di tukar nama sebagai PH. Saya juga seorang perjuangan Veteran, bekas seorang pegawai komando dalam TUDM. Mula berkhidmat pada tahun 1974 Dan bersara pada tahun 1995.

Sejak PRU 12, saya bergerak dalam kumpulan saya membantu menegakkan kebenaran dan melawan kezaliman pemerintah. Saya tidak pernah menyertai mana-mana parti politik tetapi berkerja membantu mereka tanpa sebarang upah. Semua Kami lakukan dengan Wang Dan tenaga Kami sendiri.
4 tahun yang lepas, perjuangan saya telah menubuhkan kepada perjuangan masaalah dan kebajikan Veteran Dan Kuasa ATM. Dengan ilmu Dan kelulusan undang2 yang ada pada saya, saya mula mengkaji kenapa ATM menjadi lemah Dari segi pentadbiran Dan kebajikan Veterannya. Pada mulanya saya bergerak seorang diri hingga 3 tahun yang lepas PVTUDM menjemput saya dan beberapa orang bekas pegawai kanan untuk menubuhkan team kajian pencen ATM. Saya juga bersuara Di RAFOC, di persatuan matan Panglima2 perkhidmatan ATM. Saya juga pernah jadi SUK Patriot dan cuba suarakan di pentas Patriot. Saya dengan berani menegur dan menetang mantan Menteri Pertahanan BN. Dua Kali saya meminta YB Lumut dulu bawa isu Veteran menurut undang2 tapi Mantan Menteri Yang lalu tidak pedulikan hal Veteran.
Apabila PH menang, saya gembira melihat Mat Sabu di lantik jadi Menteri Pertahanan. Tetapi kegembiraan saya itu sebentar sahaja. Saya mula naik meluat melihat cara Mat Sabu berkerja. Saya ada nombor telefon dia, no.telefon SU politik nya, malah ramai pemimpin PH dari berbagai parti saya ada kerana mereka pernah minta saya tolong mereka berkempen. Malah mereka minta saya tulis semula manifesto janji no.20 iaitu manifesto untuk ATM dan Veteran. Saya lihat selepas jadi Menteri Mat Sabu asyik berjalan sakan naik pesawat dan kapal ATM. Melawat kem2 didalam dan luar negara. Saya mula bertanya di manakah keutamaan dia? Ramai yang menegur saya supaya sabar tunggu 100 Hari habis. Mereka kata dia sibuk nak selesaikan masaalah 1MDB. Betul ke? Apa Yang MAT Sabu selesai Kan? Dapat baliklah tanah2 ATM Yang Di Jual pada China?
Saya mula nak mutah bila baca puji2an penyokong dia. Dia makan roti canai di warong2 pakai kot pon di puji sebagai jujur dan perbagai. Dia cerita pekong kelemahan sistem Pertahanan negara pun dikira sebagai Wira yang hebat. Dia Ada masa bersama Artis2 untuk menyanyi dan kumpulan motor besar jam dua pagi pun di kira hebat. Dia naik pesawat dan masak di atas kapal pun hebat. Ini lah kerja Menteri Pertahanan?
Baru2 ini Mat Sabu larang pegawai guna kereta tentera pergi main golf. Tapi Mat Sabu pergi bank dengan kereta Kerajaan siap dengan bodyguard yang ramai dan outriders lagi. Adakah itu jujur? Tahukah berapa Kos gaji, latihan, peralatan dan semua kenderaan yang mengikut Mat Sabu? Mungkin gaji Dan selengaraan mereka sahaja melebihi RM500k sebulan. Perlu kah Mat Sabu mempunyai bodyguard seramai itu? Perlukah dia outriders? Mat Sabu ada musuh nak bunuh dia ke? Ini semua membazir bagi saya. Bukan sahaja pada Mat Sabu tapi pada Menteri2 PH yang lain juga. Kalau nak bodyguard pun seorang sudah cukup. Kalau di hitung semua kakitangan Menteri2 PH ini tidak ada kurangnya pebaziran di lakukan oleh BN dulu. Kalau betul mat Sabu ikhlas, dia tak perlu buat baju di jakel, semua orang tahu itu kepunyaan Rosmah Mansor. Kalau dia nak ke selatan Siam nak jumpa sahabat2 syiah nya pun tak perlu letak gambar dalam blog dia. Ini semua hal peribadi. Saya tak ada halangan samaada dia nak jadi syiah atau apa, itu hak dia. Sebagai Menteri tak payah lah makan pakai kot makan roti canai. Balik tukar baju lah dulu. Adakah nak bagi sampoi, sampai Di Istana pun nak makan macam itu? Nanti bila pembesar2 luar negara datang ajaklah mereka makan Di warong2. Semua orang melayu makan Di warong2 tapi tak perlukah pakai lot Dan bawa bodyguard. Tak kena pada tempat nya.
Yang paling saya terkilan dengan Mat Sabu adalah cara dia menjawab di parliamen dan ucapan2 rasmi. Text yang dia baca adalah sama macam text DS Hishamuddin dulu. Mungkin penasihat2 Mat Sabu adalah penasihat2 yang sama berkerja dengan DS Hishamuddin dulu. Mat Sabu bercakap lebih seperti pembangkang dari seorang Menteri. Tun M pun berkata begitu. Mat Sabu longgokkan semua masaalah di sebabkan BN. Rayaat dah lama tahu BN tak guna. Tak perlu ungkit kesalahan mereka. Rakyat mahu tahu apa polisi Mat Sabu tentang ATM dan Veteran. Kalau dok jadi Burung kakak Tua baca text tak guna ada menteri pun. Kalau pergi melawat rasmi, orang hampar karpet merah dan semua masaalah di sapu bawah karpet, tidak ada apa masaalah yang nampak. Jika masaalah besar Yang tak boleh tutup, alasan di beri adalah peruntukan kewangan tak cukup. Kalau harga sebatang sekrew harga RM 200 dan upah pasang RM200, upah tukang Beli RM500 dan upah tukang lulus pembelian RM1000, duit besar gunung Kinabalu pun tak cukup.
Pesawat dalam Negara pun tak boleh selengara, apatah lagi di luar negara. Mat Sabu tahu tak bahawab2 buah C130 kita di hantar ke Saudi Arabia sejak tahun 2015, tapi satu je beoperasi. Pasti dia tahu. Itu pun kerap rosak. Nak balik pun rosak. Mat Sabu dah kaji ke kenapa? Kalau Tanya pegawai2 di KEMENTAH pasti jawapan mereka berbalik kepada duit tetapi bukan sistem yang lemah. Saya tidak mahu cerita dengan terperangkap di sini macam Mat Sabu cerita kat semua orang tentang kelemahan2 ATM. Begitu juga hampir 50 kereta kebal Kita hanya 2 sahaja boleh beoperasi. Kapal perang..?? Itu pun belum saya cakap pasal kemahiran dan ketahanan anggota kita berperang. Kita hanya lihat Tentera bust demo sahaja. Hebat. Yang lain Kita tak tahu. Mat Sabu tak perlu syok sendiri. Jangan jadi macam Menteri BN. PH perlu ubah. Kalau Mat Sabu suka sangat melawat, saya lebih suka lihat Mat Sabu duduk di bawah pesawat bersama juru teknik baiki pesawat di tengah panas.. dan tanya mereka kenapa pesawat atau kereta kebal atau kapal tidak boleh di baiki. Kemudian baru tanya pegawai kenapa. ATM mengambil berpuluh ribu juru teknik, latih mereka, belanja berbillion2...tapi Yang senggarakan peralatan semua di swastakan. Pemikiran? Kerajaan bayar gaji anggota, kerajaan bayar syarikat Yang senggarakan peralatan. Kemudian Menteri cakap Di parliamen tak cukup duit.
Saya sebagai Veteran masih menunggu apakah cara Mat Sabu nak selesaikan masaalah Veteran. Saya tidak mahu dengar text yang sama yang di baca olih DS Hishamuddin dulu. Kalau Mat Sabu masih mahu mendengar penasihat yang bukan ahlinya, percayalah ATM akan sama seperti era BN dahulu selepas PKM hentikan perjuangan mereka.
23 Sep 2018

Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili CG

Sunday, September 23, 2018

Pudin Tak Layak jd Menteri Luar, mengeluh terpaksa lawat negeri dia tak suka


Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah diselar pihak pembangkang kerana menghantar ciapan umum di Twitter mengenai dirinya terpaksa melawat negara yang beliau tidak suka kerajaannya.
Anggota Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, yang juga bekas timbalan menteri luar berkata, beliau "terkejut" apabila seorang menteri luar membuat kenyataan sebegitu.
"Menjadi pegawai tertinggi kementerian luar - kenyataan sebegitu tidak dialu-alukan dan tidak profesional
"Beliau patut mendapat panduan daripada pegawai kanan Wisma Putra sebelum membuat ciapan Twitter itu. Sudah pasti, pegawai kita sangat terlatih dan profesional dalam melaksanakan tugasnya," kata Reezal.
Beliau juga berkata sebagai Menteri Luar, Saifuddin juga tidak boleh mendakwa "memiliki ruang peribadi" ketika membuat ulasan di media sosial.
Saifuddin, dalam ciapan Twitternya berkata: "Ada dua negara yang tidak saya sukai kerajaannya, tapi terpaksa dilawati juga, satu kerana urusan agama dan satu lagi kerana urusan negara."
Bagaimanapun, ciapan Twitter berkenaan telah dipadam menteri tersebut.
Bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang juga MP Rembau turut menyasarkan tegurannya terhadap Saifuddin.
"Kamu ialah diplomat nombor satu negara, jadi tingkah laku pun kena sesuai kedudukan itu," kata Khairy.
Pada ciapan Twitter selanjutnya, Saifuddin berkata beliau menerima kritikan tetapi menegaskan perlu dibezakan antara "mengkritik dan membalun." - MK

promosi doktrin Syiah, Mujahid sokong ke?

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa diminta bertegas terhadap pihak yang berani mempromosikan doktrin ajaran Syiah secara terbuka di negara ini.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang mendakwa berlangsung acara mempromosikan doktrin Syiah di Bukit Bintang semalam berkata,  pihaknya kesal dengan dasar kelunakan dan keterbukaan kerajaan sehingga pihak terbabit berani melakukannya secara terbuka.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pemuda UMNO Dr. Asyraf Wajdi  meminta Dr. Mujahid agar bertindak tegas dengan menggerakkan agensi-agensi di bawahnya terutama Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi menyekat penularan doktrin Syiah.

Dr. Asyraf Wajdi  turut memohon agar peruntukan undang-undang berkaitan dengan penyebaran doktrin Syiah dan ajaran-ajaran lain yang difatwakan sesat serta menyalahi akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dikuatkuasakan.

"Walaupun Menteri sentiasa melaung-laungkan prinsip 'rahmatan lil alamin' yang diamalkan Kerajaan hari ini, namun ia tidaklah bermakna kita bebas membiarkan kesucian Islam dicabuli dengan membenarkan doktrin songsang dan menyesatkan seperti Syiah disebarkan secara terbuka.

"Untuk makluman, kebanyakan negeri sudahpun memfatwakan ajaran Syiah sebagai sesat dan boleh memudaratkan jika dibenarkan tersebar di negara ini," kata Dr. Asyraf Wajdi.

Dalam hantaran di Facebook itu, Dr. Asyraf Wajdi berkongsi gambar sekumpulan belia memberi donat percuma kepada orang ramai. Dalam gambar yang tersebar di media sosial itu terdapat sepanduk dengan tulisan 'Who is Hussain' (Siapa Hussain).-UTUSAN ONLINE

“Jangan BAYAR (PTPTN) sehingga bergaji RM4,000 ok?” - KJ


Khairy Jamaluddin terus menyindir mengenai isu bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kali ini membabitkan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu mencadangkan agar peminjam tidak membuat bayaran semula pinjaman sehingga gaji mereka mencecah RM4,000.

“Jangan bayar sehingga gaji RM4,000, okay?,” kata Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menerusi status yang dikongsikan di akaun Twitter miliknya pada Ahad.


Terdahulu, Kementerian Pendidikan meminta pihak-pihak tertentu termasuk pembangkang agar tidak berterusan mengaitkan hutang pinjaman PTPTN dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Maszlee berkata, ini kerana setiap peminjam apa sekali pun, mereka perlu melunaskan hutang berkenaan termasuk dituntut di dalam Islam.

“Apa pun manifesto kata tetapi kalau sudah pinjam kenalah bayar hutang itu. Kalau sudah pinjam kenalah berusaha untuk membayar pinjaman itu.

“Pembangkang semua nak politikkan isu tetapi ini soal akhlak dan moral apabila pinjam duit kenalah bayar. Bayarlah walau dengan hanya RM10 sebulan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Siputeh di Kodiang, Ahad.


Dilaporkan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kesal terhadap sikap tidak amanah peminjam PTPTN yang menjadi punca jumlah tunggakan hutang pembayaran balik pinjaman tersebut menjangkau sehingga RM36 bilion.

Dr Mahathir berkata, kebanyakan daripada peminjam telah mempunyai pekerjaan dan memperoleh pendapatan sendiri namun masih belum mahu membayar hutang tersebut.

Bagaimanapun, Khairy membalas kenyataan Dr Mahathir dengan mengatakan perdana menteri tidak seharusnya malu kerana kerajaan PH yang menggalakkan peminjam menangguhkan pembayaran hutang PTPTN.


“Jangan malu, tuan. Siapa yang keluarkan mereka daripada senarai hitam? Siapa yang janji mereka hanya perlu bayar selepas gaji mencapai RM4,000 sebulan?

“Apa pula cadangan @chedetofficial (akaun Twitter Perdana Menteri) untuk meningkatkan pembayaran balik hutang PTPTN?” soalnya di Twitter, Khamis lalu.

Manifesto PH pada kempen pilihan raya umum lalu menyebut untuk menangguh pembayaran balik pinjaman PTPTN untuk graduan berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan. - mStar

Pengerusi SPR baru pernah cabar Buktikan Pesta Arak Naikkan Kadar Jenayah


Pengerusi SPR yang baharu yang juga seorang peguam, Azhar Harun, pernah mencabar Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk membuktikan bahawa penganjuran pesta arak seperti Oktoberfest meningkatkan kadar jenayah. 

Azhar Harun yang juga dikenali sebagai Art Harun mempersoalkan pendirian PAS dalam menentang kelangsungan pesta arak. 

“Adakah terdapat kajian atau kaji selidik yang telah dilakukan oleh PAS berkenaan kadar jenayah pada setiap bulan Oktober apabila pesta arak itu berlangsung?” soal Art Harun.

Art Harun juga pernah mempersoalkan jaminan PAS ketika mengusulkan pindaan Akta 355, bahawa Akta ini tidak akan memberi kesan kepada golongan bukan Islam. 

“Tengok ini, ini adalah acara untuk golongan bukan Islam dan mereka sudahpun memaksa nilai-nilai dan agama mereka ke atas orang bukan Islam,” kata Art Harun.

“Di manakah hujah PAS bahawa hudud dan pindaan (Akta 355) undang-undang tidak akan memberi kesan kepada orang bukan Islam? Untuk saya, ianya satu penipuan yang jelas,” ujarnya lagi. 

Art Harun juga mendakwa bahawa negeri Kelantan tidak meraikan pesta arak ini, namun kadar ketagihan dadah dan HIV adalah yang paling tinggi di sana. 

Inilah pendirian Pengerusi SPR yang baharu. 

mantan Timb. Menteri, Ahmad Jazlan nafi sertai Bersatu


KOTA BHARU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob menafikan beliau antara ahli Parlimen yang tersenarai untuk menyertai Parti Peribumi Bersatu Malaysia, PPBM.

Tegasnya beliau setia dengan perjuangan UMNO dan tidak akan meninggalkan parti itu seperti yang dilakukan Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Saya membuat penafian. Saya tidak akan tinggalkan UMNO. Saya hadapi pilihan raya lepas atas tiket UMNO Barisan Nasional (BN) dan saya serahkan tauliah bertanding.

"Maka saya tidak akan khianati amanah parti dan amanah rakyat yang memilih atas nama UMNO,” katanya pada satu sidang media selepas mengadakan mesyuarat tertutup bersama Biro Politik Empat Peringkat UMNO Kelantan di Bangunan UMNO Kelantan di Kota Bharu, pada Sabtu.

Ahmad Jazlan antara 18 Ahli Parlimen yang dikatakan akan meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.


Beliau turut mendakwa terdapat usaha membeli dan mempelawa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Kelantan oleh pemimpin Bersatu.

Namun tegasnya, tiada Ahli Parlimen dan ADUN UMNO dari Kelantan yang terpengaruh dengan pelawaan itu.

Dalam masa sama, Ahmad Jazlan melahirkan keyakinan Mustapa. juga dikenali sebagai Tok Pa, tidak akan 'memancing' anggota lain untuk keluar meninggalkan parti itu.

Katanya, walaupun Mustapa belum menjelaskan keputusannya keluar parti Selasa lalu, beliau yakin bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri tersebut masih menyayangi UMNO.

"Saya tak terfikir perkara ini akan berlaku tapi kita hormati keputusan beliau atas prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini.

"Sehingga hari ini saya belum dapat jumpa beliau untuk mendengar penjelasan berhubung pengundurannya daripada UMNO.

"Saya dan rakan-rakan ambil keputusan untuk tidak menuduh dan membuat andaian yang bukan-bukan kerana penjelasan perlu datang daripada beliau sendiri.

"Tapi saya yakin Tok Pa tidak akan mempengaruhi orang lain untuk meninggalkan parti dan bersama-sama beliau," katanya. 

Menyentuh mengenai kerjasama antara UMNO dan Pas Kelantan, beliau menjelaskan, tiada kerjasama politik diputuskan oleh pucuk pimpinan, namun hubungan terjalin sebagai parti pembangkang di Kelantan.

UMNO Kelantan, katanya, belum lagi mengadakan sebarang rundingan dengan kerajaan Pas Kelantan. 

Pemilihan PKR: Keputusan Kedah batal, empat negeri ditangguh


SEBERANG JAYA: Proses pengundian bagi pemilihan PKR yang dijadualkan pada Ahad di empat negeri iaitu Perak, Perlis, Negeri Sembilan dan Melaka ditangguhkan berikutan beberapa masalah yang timbul ketika pengundian berlangsung di Pulau Pinang dan Kedah pada Sabtu. 

Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR Ismail Yusop berkata, pemilihan itu akan dijadualkan semula selepas penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson manakala pemilihan bagi negeri Johor akan berjalan seperti dijadualkan pada 30 September.

"Semua proses pengundian yang telah dijalankan di Kedah dibatalkan. Proses pengundian yang dijadual untuk Perak dan Perlis yang dijadualkan esok (Ahad) juga ditangguhkan.

"JPP akan menetapkan tarikh-tarikh baharu bagi kesemua cabang di negeri-negeri berkenaan," katanya pada sidang media, di sini malam tadi.

Ismail berkata, keputusan penangguhan dibuat selepas pihaknya meneliti beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya insiden tidak diingini sepanjang tempoh pengundian berjalan.

BACA: Pemilihan PKR cabang Padang Serai kecoh

BACA: Kerusi dibaling, penyokong PKR cedera di kepala
 
Menurutnya, banyak insiden berlaku di luar jangkaan JPP sehingga pihaknya terpaksa menangguhkan pengundian, seterusnya membatalkan keputusan di enam daripada 15 cabang di Kedah.

"Kami amat dukacita kerana beberapa insiden di luar jangkaan kami telah berlaku, khususnya di Kedah dan Pulau Pinang, sehingga JPP terpaksa menangguhkan pengundian di sembilan cabang di Kedah," katanya.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan keputusan pemilihan di Pulau Pinang diterima tanpa perubahan sehingga terdapat bantahan secara bertulis daripada pihak yang tidak berpuas hati.

BACA: Pemilihan PKR: Empat lelaki ditahan di Sungai Petani

BACA: PKR Pulau Pinang mahu parti beri penjelasan

BACA: Manuty cadang guna semula sistem manual 


Ujarnya, pihak JPP akan meneliti semua bantahan itu dan akan mengadakan perbincangan bersama pimpinan PKR sebelum sebarang keputusan dibuat bagi kes Pulau Pinang.

"Kami menerima keputusan di 13 cabang di Pulau Pinang dan tiada perubahan sehingga ada bantahan," jelasnya.

Bagaimanapun, Ismail sekali lagi menegaskan, insiden yang berlaku pada proses pengundian pada Sabtu bukan disebabkan masalah teknikal dari sistem e-voting.

Ini kerana, katanya, proses pengundian menggunakan sistem sama di Pulau Pinang berjalan dengan lancar.

Katanya, pihaknya telah mengenal pasti beberapa masalah yang dihadapi semasa proses berjalan di Kedah dan Pulau Pinang pada Sabtu, terutama daripada segi kefahaman terhadap sistem dan proses e-voting.

BACA: Pemilihan PKR Secara e-voting - Setiausaha Agung

BACA: Sistem e-voting oleh PKR perlu kajian menyeluruh 


Selain itu, masalah kekurangan sokongan teknikal di tempat pengundian bagi membantu petugas mengendalikan proses itu menyebabkan beberapa insiden tidak diingini berlaku selain wujud kekeliruan mengenai status ahli parti dalam senarai ahli yang layak mengundi.

Turut hadir pada sidang media itu, Pengerusi JPP, Datuk Rashid Din dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Dr Afif Bahardin.

Pemilihan PKR 2018 bermula di Kedah dan Pulau Pinang pada Sabtu melibatkan 105,056 ahli layak mengundi di 28 cabang bagi memilih barisan kepimpinan peringkat pusat dan cabang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com