innity

pages

Wednesday, March 22, 2017

KKM nasihatkan pengguna elak beli lapan kosmetik beracun

 

23 Jamadilakhir 1438H, Rabu – Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli dan menggunakan lapan produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual, merkuri, hydroquinone dan tretinoin. 


Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua produk yang mengandungi bahan-bahan itu tidak dibenarkan dalam produk kosmetik.
Antara produknya seperti Moleek Day Cream, Adel Miracle Flawless Serum, Ah Beauty Night Cream yang mengandungi merkuri, Ndz UV Whitening (hydroquinone), Snow Cream Normal, Snow Cream Sensitif, Dnars Nar Cream – Sensitif dan Ellfie Night Cream (hydroquinone dan tretinoin).
Sehubungan itu, Noor Hisham berkata, penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.
Ia berikutan, penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.
“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya. - ismaweb

[VIDEO] PUNCA HUSAM MUSA DIARAH KELUAR DEWAN DUN KELANTAN



DEWAN KULIAH UNDANGAN NEGERI KELANTAN......

Paginya, saya dihalang berbahas.

Semasa sidang penggulungan hari ini, saya tekun mendengar 'kuliah' Exco Agama.

Itulah rutin Dewan 'Kuliah' Undangan Negeri Kelantan kebelakangan ini.


Tidak ada enakmen baru berkaitan Islam yang dibentangkan. Tidak ada program baru, penyelesaian permasalahan ummat atau pembentangan prestasi portfolio beliau.

Di negeri lain, tanpa slogan Membangun Bersama Islam, Enakmen Wasiat dan Enakmen Wakaf telah lama diluluskan.

Enakmen berkaitan urusan mal atau kewangan ummat Islam, yang juga penting.

Tidak di Kelantan.

Mahkamah Syariah Jajahan masih berkongsi pejabat dengan Pendakwa Syariah.

Enakmen Pentadbiran Syariah kali terakhir disemak ialah sejak 1998.

Namun, syarahan nya mengalahkan Mufti dan Profesor. Kuliahnya pagi ini mengenai gugur nya talak orang yang berbai'ah talak ta'lik.

Tetapi apakah beliau layak memberi fatwa?

Apa kelayakan beliau berfatwa sesenang hati?

Pertanyaan seperti itu paling wajar ditanyakan kepada MB yang melantik beliau.

Rupanya, harga soalan mengenai kelayakan Exco Agama Kelantan sangat mahal.

Saya diiringi Bentara dengan cokmar diusung, keluar Dewan!
Sensiitif kepada Speaker Dewan menanyakan kelayakan kawan beliau, Exco Agama Kelantan?

Tanpa amaran. Saya 'digiring' keluar Dewan Undangan atas arahan Speaker DUN Kerajaan Islam Kelantan, dua tiga minit sebelum sidang ditamatkan.

Sejarah tercipta oleh sebuah Kerajaan pimpinan Dato Ahmad Yaakob. InsyaAllah ia kekal menjadi rekod sama ada kerajaan ini demokratik atau menghayati semangat 'syura' atau ketiadaan kelayakan menjadikan pimpinannya takut dengan bayang bayang sendiri.

YB Dato Husam Musa
22 Mac 2017/ 23 Jamadilakhir 1438

[VIDEO] Husam Musa DIHALAU KELUAR DUN Kelantan


Rakaman Sidang Media oleh ADUN Salor, YB Dato Husam Musa sejurus beliau dihalau keluar dari Sidang DUN Kelantan yang mana hanya berbaki tempoh lebih kurang 5 minit lagi.




KENYATAAN 
Dato Haji Husam Musa

Tak Berbaloi Speaker Kelantan Tuntut Elaun Sehari Penuh
Mendukacitakan!
Sikap pengecut Kerajaan Kelantan semakin ketara.
Apa yang ditakutkan? Jika tiada kelemahan ketara cuba disembunyikan?
Atau menjunjung publik akauntabiliti secara telus?
Amalan biasa DUN, sebelum sesi perbahasan ditutup, Speaker akan memberitahu Dewan atau bertanya bilangan Adun yang masih ingin berucap.
Ini tidak berlaku.
Jam 4.30 semalam, selepas Adun Selising habis berucap, saya bangun untuk berucap tetapi Timbalan Speaker terus menutup persidangan dan tidak pula memberi notis sesi perbahasan telah tamat. 4.30 petang masih awal untuk ditutup. Ia boleh berlangsung paling kurang, sampai jam 5 petang. Bahkan, Parlimen ada masanya berbahas sampai malam.
Adun Amanah hanya se orang dalam Dewan Undangan Kelantan.
Peluang untuk hanya Adun tunggal Amanah pun tidak berani diberikan, sedapat mungkin.
Saya yakin persidangan DUN Kelantan kali ini akan ditamatkan tengah hari ini.
Pada hal, lazimnya DUN atau Parlimen bersidang sampai petang.
Setiap Adun yang menghadiri sidang DUN layak menuntut elaun.
Elaun itu untuk persidangan sehari penuh. Tetapi atas suka hati Speaker, elaun sehari penuh itu terbayar untuk persidangan separuh hari.
Alhamdulillah, saya merasa terhibur, sekalipun layak menuntut elaun persidangan, saya tidak pernah berbuat demikian.
Apa tah lagi dengan persidangan separuh hari seperti hari ini, yang disengajakan. Pada hal, keadaan memerlukan persidangan sehari penuh.
YB Dato Husam Musa
22 Mac 2017/23 Jamadilakhir 1438
Dewan Undangan Negeri Kelantan

Berambus – Sultan Johor beritahu ejen tawar RM2 juta beli ‘Tan Sri’

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata darjah kebesaran yang dikurniakan di negeri itu tidak boleh dijual beli, dan mendedahkan bagaimana orang tengah cuba menawarkan sejumlah wang yang besar kepadanya untuk menganugerahkan gelaran kebesaran kepada orang tertentu.
“Nak bagi saya RM2 juta untuk satu Tan Sri. Saya kata pada ejen… saya tak nak bagi namakan nanti dia malu… saya kata pergi berambus. Itu bukan periuk nasi saya jual darjah,” katanya dalam wawancara khas bersama Berita Harian sempena Hari Keputeraan Sultan Johor esok.
Sultan Ibrahim bagaimanapun enggan mengulas sekiranya darjah dan pingat diraja dijual beli di negeri lain.
“Itu bukan hak saya untuk komen pun. Negeri lain terpulang kepada negeri masing-masing bukan hal saya, saya tengok Johor sahaja,” katanya.
Menurutnya, ramai “ejen-ejen penipu” menawarkan gelaran kebesaran akan muncul menjelang Hari Keputeraan.
“Pada mereka yang mudah tertipu, itu nasib awaklah. Pesanan saya sekarang… ingat datuk Johor, pingat, darjah kebesaran Johor tak boleh dibeli.”
Sultan Ibrahim berkata mereka yang bakal menerima darjah kebesaran akan dimaklumkan baginda sendiri.
“Contoh tahun ni, mungkin satu dua datuk. Nilai pingat saya dah sama macam datuk. Bermakna… betul-betul orang yang patut layak menerima atas jasa dia baru saya bagi.
“Saya dimaklumkan ada yang menubuhkan kelab datuk dari negeri lain. Di Johor ini, kita tidak ada kelab untuk datuk, malah kita juga tidak ada jata untuk ditunjukkan.”
Sultan Ibrahim berkata apa yang membezakan darjah kebesaran Johor ialah pihak istana akan menerima dengan “hati penuh ikhlas” sekiranya seseorang penerima memulangkan semula darjah yang dianugerahkan kepadanya.
“Kalau fikir sendiri itu dah tak layak memakai darjah Johor, kalau nak pulang boleh pulang. Siapa makan lada dialah rasa pedas.” - FMT

[PRU14 KENA CEPAT NI] Laporan: AS buat persediaan untuk dakwa Jho Low


Pihak berkuasa Amerika Syarikat sedang membuat persediaan untuk memfailkan tuduhan jenayah terhadap jutawan kelahiran Pulau Pinang Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, kerana terlibat dalam apa yang mereka percaya sebagai "salah satu penipuan kewangan terbesar dalam sejarah".
The Wall Street Journal yang memetik sumber-sumber biasa dengan siasatan sebagai berkata, pendakwa AS merancang memfailkan tuduhan jenayah penipuan dan pengubahan wang haram terhadap Low dan beberapa rakan-rakannya yang berpotensi.
Sumber-sumber itu bagaimanapun tidak menjelaskan bilakah tuduhan jenayah itu akan difailkan.
Rancangan itu juga boleh diubah atau digugurkan memandangkan siasatan masih diteruskan, menurut laporan itu.
Menurut sumber itu, Low menjadi tumpuan siasatan jenayah dan beliau juga digambarkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang memfailkan tindakan undang-undang sivil Julai lalu sebagai 'pusat yang didakwa menyalurkan berbilion-bilion dolar daripada 1MDB.
Dalam saman sivil yang berasingan daripada siasatan jenayah, WSJ memetik sumber sebagai berkata bahawa DOJ kini sedang menyiasat hartanah baru keluarga Low ke dalam senarai aset untuk disita, termasuk AS$ 165 juta kapal layar bernama Equanimity. - MK

Saya mengaku tak akan undi Umno-BN PRU14 - Nakhaei

Bekas ahli Umno Datuk Mohd Nakhaie Ahmad menegaskan, tiada alasan kukuh yang boleh dijadikan sandaran untuk beliau terus mengundi BN dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Beliau yang keluar daripada Pas dan menyertai Umno pada tahun 1989 itu berkata, Umno-BN sudah hilang integriti khususnya selepas dakwaan skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menjadi perhatian antarabangsa.
"Dengan jujur saya mengaku tidak akan memberi undi kepada Umno-BN dalam PRU14. Sebabnya saya cukup tak puas hati bagaimana isu 1MDB dikendalikan oleh kerajaan.

"Propagandis kerajaan kelihatan merapu dalam memberi penjelasan mengenai isu ini. Hasil-hasil kajian mengenainya diletak di bawah kawalan OSA, pegawai penyiasat ditamat perkhidmatan, ditukar, tindakan yang kelihatan rahsia nengenai 1MDB hendak disembunyikan daripada pengetahuan rakyat.
"Di luar negara isu ini disenaraikan sebagai skandal rasuah yang memalukan negara," tulisnya di Facebook hari ini.
Beliau berkata, kerajaan langsung tidak membuat sesuatu untuk membersihkan nama mereka demi maruah negara sekaligus memberi isyarat seolah-olah skandal itu benar berlaku dan rakyat terpaksa menanggung beban daripada hutang akibat kerugian 1MDB.
"Rakyat sudahlah dibebankan dengan cukai GST yang kononnya untuk kepentingan rakyat. Yang pastinya, rakyat membayar lebih dalam semua barangan dan perkhidmatan melainkan harga kangkung.
"Kerajaan memujuk rakyat dengan BR1M. Kononnya kerajaan membantu ketika rakyat dalam kesusahan. Tetapi kerajaan menipu mereka. Mengaut hasil titik peluh mereka berganda dan memulang kembali hanya secebis. Mereka hilang banyak kemudahan yang dinikmati sebelum ini; sebelum GST dikenakan, sebelum subsidi minyak dihapuskan," katanya lagi.
Bekas naib presiden Pas itu meninggalkan Pas dan menyerti Umno pada tahun 1989.
Pada tahun 2014 beliau membuat keputusan meninggalkan Umno meninggalkan Umno pada tahun 2014 selepas menyertai parti itu pada tahun 1989.
Beliau meninggalkan Umno kerana berpandangan parti itu sudah lari dari perjuangan asal iaitu membela nasib Melayu sebaliknya lebih mengutamakan kepentingan individu.
- Malaysia Dateline

Debat: JADI ATAU TAK JADI?


Setelah debat di Padang Rengas tidak menjadi kenyataan berikutan pihak polis tidak meluluskan permitnya, tarikh baru bagi perdebatan antara Tun Mahathir Mohamad dengan Nazri Aziz kini ditetapkan pada 7 April depan.

Kedua-dua pendebat dilaporkan bersetuju untuk ia diadakan pada tarikh tersebut, jam 9.30 malam di Auditorium Karangkraf, Shah Alam iaitu di lokasi yang menjadi milik penerbit akhbar Sinar Harian.

Kata Nazri, kawasan itu merupakan milik persendirian,  jadi tidak perlu untuk memohon permit dengan pihak polis.

Dalam masa yang sama, berikutan tempat yang agak terhad, Sinar Harian selaku penganjur juga akan membuat siaran secara live debat itu melalui SinarTV.

Lebih menarik, atas permintaan Nazri, beliau mahukan Ahli Parlimen Shah Alam daripada Amanah, Khalid Samad  sebagai moderator bagi mengendalikan debat tersebut.
Hmmm....Nampak macam tiada masalah lagi untuk debat tersebut menjadi kenyataan pada tarikh baru yang dipilih itu.

Cuma, oleh kerana tajuk debat itu banyak yang berkait secara langsung berkenaan Najib Razak,  antaranya tentang 1MDB, duit RM2,600 juta, hutang RM55 bilion untuk landasan keretapi pantai timur  dan lain-lainnya, kebimbangan ia mungkin  dibatalkan di saat-saat akhir tetap ada.

Apakah kita boleh benar-benar yakin Najib begitu rasional, terbuka dan tidak akan berbuat sesuatu dengan merelakan saja dirinya disasar dan ditembak sesuka hati serta semahunya pada acara debat itu oleh musuh utamanya, Tun Mahathir?

Lebih dari itu, debat itu juga akan disiarkan secara live melalui SinarTV yang bermakna jutaan rakyat dan pengundi dapat menontonnya secara bebas.

Sekali lagi, apakah Najib akan membenarkan ia berlaku di saat-saat beliau amat memerlukan kepercayaan rakyat bagi menghadapi PRU 14?

Meskipun seperti kata Nazri, tiada permit polis diperlukan kerana ia diadakan di kawasan milik persendirian, apakah Najib tidak ada cara lain untuk menghalangnya?

Jika debat di Padang Rengas tiba-tiba ditolak kelulusan permit polis sedangkan beberapa hari sebelumnya Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi telah memberi lampu hijau dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed pula mengatakan ia sudah diberi kebenaran, apakah tidak mungkin silap mata di saat-saat juga boleh berlaku sebelum 7 April nanti?

Walau seakan-akan ada berita gembira kepada rakyat untuk melihat debat Tun Mahathir dengan Nazri itu menjadi realiti pada 7 April nanti, sehingga debat itu tidak benar-benar dilangsungkan, keraguan sama ada jadi atau tak jadi, tetap menghantui sebahagian besar daripada kita.

Sama-sama kita tunggu, harapnya tiada lagi kejutan di saat-saat akhir akan berlaku.(ShahbudinHusin 22/03/2017).

Nazri ada masa sampai tengah hari esok - Mahathir


Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mempunyai masa sehingga tengah hari esok untuk mengatur debat bersama beliau.
Debat yang dinanti-nantikan banyak pihak itu dijadualkan berlangsung di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar, Sabtu ini.
Mahathir, dalam sidang akhbar hari ini berkata, beliau mencadangkan debat tersebut diadakan di Padang Rengas, tetapi bukan Nazri yang memilih MRSM yang dipersetujuinya.
"Saya mahu teruskan debat itu, tidak seperti forum 'Nothing to Hide' dan saya bersedia berdebat mengenai apa-apa isu-isu yang dibangkitkan oleh mereka, termasuk skandal BMF.
"Saya beri Nazri sehingga esok untuk menguruskannya kerana beliau telah aturkan. Saya tidak ke sana semata-mata berjumpa beliau tetapi untuk berdebat. Jika beliau mahu berjumpa dengan saya, beliau boleh membuat temu janji," kata Mahathir.
Persoalan berlegar-legar mengenai nasib debat tersebut setelah polis negeri Perak menegaskan tidak akan membiarkan debat tersebut diteruskan, tetapi Nazri berkata, beliau akan hadir di tempat berkenaan pada hari Sabtu ini kerana Malaysia bukan 'negara polis'.

Tuesday, March 21, 2017

SITI KASIM BUKAN ISLAM? Melalui ‘Getaran’ Kita Hasilkan Tuhan – Siti Kasim


AKTIVIS liberal, Siti Kasim mendedahkan dalam sebuah rancangan temubual media berbahasa Cina beberapa tahun lalu bahawa beliau pernah berfikir tentang asal usul kewujudan tuhan.
Beliau mengatakan sekiranya tuhan itu menciptakan segala-galanya, tentulah tuhan itu pun diciptakan oleh sesuatu.
“Tidak ada seorang pun yang mampu memberi jawapan yang memuaskan kepada saya sehinggalah pada suatu hari, seorang lelaki memberitahu kepada saya tentang apa yang dia faham tentang tuhan,” katanya kepada wartawan Pocketimes.
Menurut Siti Kasim, lelaki tersebut mendakwa bahawa tuhan itu wujud melalui ‘tenaga’ yang dihasilkan dalam diri manusia, iaitu setiap daripadanya bergantung sama ada ia mempunya aura tenaga positif ataupun negatif.
“Kita ada aura tenaga positif yang baik, oleh itu saya percaya tuhan yang ‘baik’ akan dihasilkan.
“Akan tetapi sekiranya terdapat kenegatifan di kalangan kamu, lalu kamu akan menghasilkan tuhan yang ‘jahat’,” katanya.
Tambah peguam kontroversi itu lagi, beliau meluahkan rasa tidak menyukai ajaran Islam disebabkan perspektif undang-undang yang diamalkan di negara ini menurutnya adalah kolot, tidak masuk akal dan tidak bersifat keterbukaan.
Melihat segelintir tindak tanduk daripada mereka membuatkan saya tidak mungkin akan mengikut mereka.
Saya tertarik dengan kenyataan Dr. Juanda yang mengatakan segala perkara adalah perlu dinilai melalui common sense (logik akal).
“Jika sesuatu perkara itu tidak masuk akal, maka perkara itu adalah salah, katanya sambil mempersoalkan hukumam hudud yang dikenakan kepada seorang wanita mengandung anak luar nikah, di mana menurut pemahamannya adalah berbeza.
Menurutnya, hukuman hudud tetap akan dikenakan kepada wanita mengandung terbabit tanpa sebarang pemeriksaan dilakukan; adakah dia hamil disebabkan pemerkosaan atau sumbang mahram.
Itu hanyalah pemahaman Siti yang ternyata sangat bertentangan dengan hukum Islam yang sebenarnya seperti yang tercatat dalam kitab suci Al-Quran.
Siti kemudian berbicara, sekiranya golongan bukan Islam ini tidak wujud di sini, tentulah negara ini akan jatuh ke tangan ektremis Islam.
“Secara peribadi sebagai seorang Melayu saya ingin berkata, syukur kepada tuhan disebabkan ada golongan kafir di dalam negara ini! Syukur kepada Tuhan kerana orang-orang kafir, orang-orang bukan Melayu.
“Sekiranya tidak ada bukan Melayu di negara ini, oh tuhan, tentulah golongan ekstremis ini akan mengambil alih negara ini,” katanya.
Siti Kasim juga merayu kepada golongan bukan Islam untuk menghasilkan lebih ramai zuriat agar dapat mengimbangi masyarakat Melayu Muslim di Malaysia.
“Tolonglah, kaum Cina, kaum India, tolonglah hasilkan lebih ramai anak. Bukan sekadar seorang atau dua orang. Tolonglah, saya benar-benar merayu kamu semua untuk menghasilkan lebih anak.
“Kita harus menjadikannya seimbang. Ada ramai Melayu seperti saya, cukup ramai, akan tetapi mereka tidak berani untuk tampil ke hadapan,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

Monday, March 20, 2017

[video] MP Saling BODOH MEMPERBODOH sesama sendiri



Dewan Rakyat hari ini gamat apabila anggota parlimen kerajaan dan pembangkang saling bodoh memperbodohkan sesama sendiri.
Semuanya bermula apabila Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) bertegas untuk tahu sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah suspek dalam siasatan kes berkaitan 1MDB.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada mulanya enggan menjawab soalan itu tetapi setelah diasak Gobind berkata mahu menjawabnya di luar dewan.
Gobind bagaimanapun bertegas untuk mendapatkan jawapan itu di dalam dewan.

“Kamu mahu jawab di luar dewan, maksudnya kamu ada jawapan,” katanya yang juga pengamal undang-undang.

Johari kemudian menjelaskan soal siasatan adalah tugas agensi-agensi kerajaan berkaitan dan oleh itu apa yang dibangkitkan oleh Gobind adalah “soalan bodoh”.
Jawapan itu membuatkan Gobind bingkas bangun dan berkata “bukan soalan bodoh, tapi menteri yang bodoh”.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar kemudian menyertai perang mulut itu dengan memanggil Gobind “peguam bodoh”.
Timbalan Speaker Ronald Kiandee mengingatkan supaya anggota dewan menjaga bahasa masing-masing.

Kebanyakan perbahasan berkaitan kes itu dilontar dalam bahasa Inggeris.
SPRM telah melengkap siasatan terhadap 1MDB tahun lalu dan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali memutuskan tiada tindakan lanjut akan diambil.
SPRM juga menyiasat bekas anak syarikat SRC International dan kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib.
Apandi juga membersihkan Najib daripada sebarang salah laku.

Bagaimanapun, pihgak polis masih menyiasat berkata itu, dengan mengambil kira laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkaitan 1MDB.
Najib juga menafikan menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi.

Dosa-dosa UMNO pada bahasa Melayu, Dulu Kini dan Selamanya

DULU, kini dan selamanya UMNO sentiasa berdosa terhadap bahasa Melayu. Walaupun mendakwa memperjuangkan kedudukan bangsa Melayu, sejarah dosa mereka terhadap bahasa Melayu tak pernah pudar.
Bukan sekadar kesalahan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, yang mahu kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), ramai lagi pemimpin parti itu cenderung untuk memperlekehkan bahasa Melayu.
Annuar bukan bersendirian dalam isu ini. Annuar bercakap bukan mewakili pandangan individu. Tentunya ada suara yang lebih tinggi mahukan UEC diiktiraf kononnya setaraf dengan pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Annuar dilihat hanya jurucakap kepada pihak lain yang lebih berkuasa.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, sehingga kini membisu isu UEC. Mustahil dia tidak tahu pentingnya UEC bagi menjalin hubungan lebih akrab dengan China yang kini pelabur mega di Malaysia terutama di Forest City.
UEC kini mendapat pengiktirafan beberapa universiti di Taiwan dan tak mustahil juga China akan mengiktirafnya bagi mengimbangi proses pengambilan pelajar dari Malaysia.
Kita tahu China dan Taiwan bersaing secara terbuka dalam pentas politik antarabangsa Pascaperang Dunia Kedua dan era Perang Dingin. Taiwan – sekutu kuat AS dan Britain di Asia Timur – sentiasa menjadi seteru sepanjang zaman China yang kini kuasa ekonomi terbesar selepas Washington. Menjelang 2025 China dijangka menjadi kuasa ekonomi utama dunia mengatasi gabungan AS dan Kesatuan Eropah.
BN boleh hilang kuasa
Perluasan wilayah China menjadi kewajipan kepada Beijing untuk mereka menyaingi AS dan sekutu Eropah. Mereka sedang memperluaskan wilayah dengan menambak Laut China Selatan. Kewujudan pulau buatan manusia hanya mengukuhkan lagi China di Asia Tenggara. Malaysia pula di bawah pimpinan Najib terpaksa rapat dengan China selepas Barat semakin kritikal terhadap isu 1MDB.
Najib juga masih ingat tsunami Cina pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 2013 yang hampir menumbangkan kerajaan BN pimpinannya. BN hanya menang 133 kerusi Parlimen berbanding 140 pada 2008. Merosot tujuh kerusi petanda merosotnya sokongan terhadap Najib.
Kawasan bandar besar yang majoriti didiami pengundi Cina dimenangi DAP. Daripada 222 kerusi Dewan Rakyat, BN hanya raih undi popular 5,237,699 berbanding Pakatan Rakyat yang meraih 5,623,984. Najib tahu undi popular BN merosot dengan hanya 47.38 peratus berbanding pembangkang 50.87 peratus.
Jika keadaan berterusan, BN boleh hilang kuasa pada PRU ke-14. Justeru, pelbagai langkah bidan terjun terpaksa dilakukan. Keadaan rakyat yang terdesak dengan peningkatan kos hidup, krisis keyakinan dan skandal rasuah menjadikan BN terpaksa memperalatkan isu bahasa bagi meraih sokongan.
Kecenderungan pengundi Cina terhadap pembangkang semakin meningkat. Mimpi Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, untuk meminda Akta 355 yang kononnya direstui UMNO tidak membantu sokongan pengundi Cina.
PAS boleh berfantasi dengan politik matang dan hudud. Namun keteledoran lidah beberapa pemimpin baru mereka sukar diterima oleh pengundi atas pagar dan kaum lain. Hasrat kerjasama UMNO dan PAS belum menjamin kepentingan politik.
Justeru, UEC menjadi alat untuk menarik sokongan Cina terhadap BN walaupun ia meneruskan dosa UMNO terhadap kedaulatan bahasa Melayu yang diperakui sebagai bahasa kebangsaan di negara ini.
Utamakan jati diri bahasa
Di Malaysia, tidak ada peraturan yang melarang dan menghukum pihak yang mengaibkan bahasa Melayu. Tidak pernah mana-mana individu dan kumpulan yang enggan menggunakan bahasa Melayu dibawa ke mahkamah sivil. Justeru, bahasa akan terus menjadi mangsa mainan orang politik di negara ini.
Indonesia dan Thailand mendaulatkan bahasa ibunda mereka secara total. Perlembagaan diamalkan secara budaya hidup seharian. Pancasila di Indonesia bukan saja mengutamakan bahasa Indonesia dalam perlembagaan dan urusan harian, bahkan kaum lain terpaksa menggunakan nama tempatan untuk jati diri.
Ardi Wiranata, Hendrawan dan Rudi Hartono adalah di antara bintang badminton Indonesia bertaraf dunia keturunan Cina namun bernama tempatan.
Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, yang mentadbir negara Gajah Putih itu di antara 2001 hingga 2006 adalah ahli politik keturunan Cina yang menggunakan nama tempatan. Thailand – seperti juga Indonesia – sentiasa mengutamakan jati diri bahasa dan budayanya.
Dalam kes Malaysia, kepentingan politik menyebabkan isu bahasa timbul berdasarkan suasana tempat dan masa. Dalam majlis sastera dan bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mereka bermuka-muka untuk mendaulatkan bahasa Melayu. Namun dalam isu pendidikan dan politik, bahasa asing sering menjadi cagaran demi kepentingan politik.
Isu tsunami Cina dan hubungan dengan Beijing menjadikan bahasa Melayu diperalatkan demi kuasa politik. Cara untuk lebih akrab dengan China adalah mendewakan bahasa Mandarin, sekali gus menafikan ketuanan bahasa Melayu di Malaysia.
Lagi pun isu bahasa di Malaysia bukan penting sangat. Tidak ada mana-mana parti politik yang memperjuangkan isu bahasa ini secara benar-benar ikhlas dan jujur.
Terkenang Asri Muda
UMNO, PAS, PKR atau DAP lebih dekat dengan diskusi tentangg kerusi dan kuasa. Parti bunga raya masih kabur dengan perjuangan. Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggerakkan parti berkenaan pun tak sunyi daripada dosa. Dialah yang perkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2003.
Alasan Dr Mahahir kononnya Sains dan Matematik lebih mudah dipelajari dalam bahasa Inggeris yang menjadi pengantar utama dunia. Maka bising dan riuhlah pejuang bahasa, sasterawan dan budayawan sehingga ada yang berkerat rotan dengan UMNO, tapi akhirnya menjadi tunggangan kepada BN pada PRU 2004 dengan menyokong pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu.
Dosa sejarah UMNO terhadap bahasa Melayu tak pernah pudar. Dulu, kini dan selamanya. Wajar kita renung penutup ucapan Allahyarham Tan Sri Asri Muda, tokoh Pas yang juga ketua pembangkang di Parlimen ketika menentang Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan (1967) di Dewan Rakyat pada Mac 1967 di depan Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abd Rahman:
“Akhirnya, Tuan Yang Dipertua, saya berani menyatakan di sini bahawa tentulah bangkangan yang saya kemukakan ini akan ditindas atau akan dikalahkan dengan jumlah kepala-kepala penyokong kerajaan dalam Dewan ini nanti, tetapi, Tuan Yang Dipertua, biarlah sejarah mencatatkan bahawa kelulusan rang undang-undang ini adalah tambahan daripada dosa-dosa jenayah politik Umno… yang telah begitu banyak untuk diadili oleh mahkamah sejarah keturunan bangsa Melayu yang akan datang kelak” (KERANDA 152, halaman 20).
Ucapan berkenaan ada kaitan usaha Tunku Abdul Rahman yang meletakkan bahasa Inggeris setanding bahasa Melayu dalam pentadbiran negara. Walaupun ketika itu sudah 10 tahun merdeka, Tunku tidak yakin bahasa Melayu mampu digunakan sebagai bahasa utama di sektor awam dan swasta, walaupun banyak bantahan secara terbuka dan lantang.
Tan Sri Syed Nasir Ismail antara tokoh yang lantang mempertikaikan usaha meremehkan bahasa Melayu. DBP menjadi markas gerakan penentangan terhadap golongan yang mengiktiraf bahasa Inggeris. Hari ini orang kanan DBP sendiri menyokong pelaksanaan program dwibahasa kononnya untuk memperkasa sistem pendidikan di Malaysia.
Suara politik lebih berkuasa dan lebih kejam. Politikus dan sekutu kapitalis mereka menggunakan pelbagai akta untuk mengekang pejuang bahasa. Ada yang tersingkir dan ada juga yang dinafikan hak asasi pejuang bahasa.
Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam.
Bangkang tak berkesan
Ayat di atas menjelaskan “kedudukan dan hak bahasa lain” di negara ini selain bahasa Melayu. Justeru, bahasa Melayu berhak dicabar sepanjang masa. Dosa berulangkali dilakukan oleh UMNO dan dicatatkan oleh sejarah hitam negara:
1. Era Tunku Abdul Rahman pada 1967 (10 tahun selepas merdeka) membenarkan bahasa Inggeris dalam pentadbiran dan Parlimen ‘di samping’ bahasa Melayu.
2. Era Dr Mahathir memperkenalkan PPSMI yang menggunakan bahasa Inggeris untuk pengajaran Sains dan Matematik di sekolah.
3. Era Najib memperkenalkan dwibahasa kononnya untuk berdaya saing. Melayu glokal.
4. Hasrat Annuar Musa dan Datuk Seri Nazri Aziz adalah mengiktiraf sijil lain selain SPM sebagai syarat kemasukan IPTS. Alasan universiti di Taiwan iktiraf sijil berkenaan.
Dalam kenyataan kepada media, Nazri secara konsisten menyokong gesaan Putrajaya mengiktiraf UEC dan tidak mengalami sebarang masalah politik berikutan isu itu.
“Dalam Kabinet, kita amalkan kebebasan bersuara …Universiti Taiwan menerima UEC dan kita iktiraf universiti Taiwan. Jadi apa masalahnya?” katanya ketika mengulas temu bual Sin Chew Daily dengan Annuar.
Kita yakin bukan dua tokoh UMNO itu saja yang menyokong UEC diiktiraf. Ramai lagi anggota Kabinet dan ahli Majlis Tertinggi UMNO yang akan berbuat demikian. Jika Annuar berjaya membawa usul itu ke Parlimen, kehangatan polemik UEC akan hanya panas seketika sebelum akhirnya reda.
Pejuang bahasa termasuk Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Persatuan Penulis Nasional (PENA) sudah menyuarakan bangkangan terhadap kenyataan Annuar.
Kita yakin bangkangan berkenaan tidak memberi kesan. Kuasa politik dan kapitalis lebih ampuh berbanding ahli bahasa, sasterawan dan budayawan.
Politik dan kaum pemodal akan menentukan segala-galanya. Dulu, kini dan selamanya. Dosa UMNO terhadap bahasa Melayu dan kedaulatan jati diri sentiasa berlaku. Tunku Abdul Rahman, Dr Mahathir dan Najib adalah pewaris kuasa yang kekal menidakkan bahasa Melayu.
Bagi pencinta bahasa, sedarlah. Anda hanya sampan kertas di lautan terbuka. Dulu, kini dan selamanya!
Oleh Imlan Adabi
Sasterawan dan bekas penyunting Berita Harian

Joget lagi Dato', Joget lagi

ewahhh
Tiada kereta ku bawa kau jalan2
rumah ku pun tiada
ada pun pr1ma punya
eh eh joget lagi datuk joget lagiii

KEKALAHAN Nik Abduh KESAYANGAN UMNO Amaran Buat Hj Hadi - Pemilihan PAS Pengkalan Chepa


Anggota Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, dilaporkan kalah teruk dalam pemilihan pimpinan peringkat kawasan di Pengkalan Chepa hari ini. Pemilihan itu adalah untuk tempoh sehingga 2019.
Ketua Pemuda PAS itu tewas kepada Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Dr Izani Husin.
Dr Izani adalah penyandang jawatan berkenaan pada penggal lepas.
Menurut sumber, Dr Izani memperoleh 207 undi berbanding anak bekas menteri besar Kelantan itu yang hanya mengumpul 37 undi. 
Bagaimanapun Malaysiakinitidak dapat mengesahkan kesahihan maklumat berkenaan secara bebas.
PAS Pengkalan Chepa kini diketuai Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Kawasan Pengkalan Chepa dilihat signifikan kerana ia dikenali sebagai satu daripada kubu terkuat PAS di Kelantan.
Kerusi kawasan parlimen itu pernah diwakili dua tokoh kanan PAS, iaitu Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Nik Abdullah Arshad yang juga bapa kepada Mohd Amar.
Kemenangan itu disahkan Dr Izani kepada Malaysiakini sebentar tadi.
Bagaimanapun beliau enggan memberikan komen lanjut, sebaliknya menegaskan mereka perlu bekerjasama "untuk Islam".
"Maaf dehNo comment. (Kita) kena ppakat bekerja untuk lslam," katanya.
Sementara itu cubaan Malaysiakini mendapatkan komen daripada Nik Abduh belum berjaya setakat ini.
Sementara itu PAS Pengkalan Chepa menghantar senarai pemimpin yang dipilih perwakilan kawasan itu kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun, pada senarai itu tidak disertakan jumlah undi yang diterima setiap calon.
Mereka termasuklah ADUN Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood, dan Senator Khairiah Mohamed.
Ahmad Fathan adalah wakil rakyat yang dipilih PAS mengisi kekosongan kerusi berkenaan selepas Nik Aziz meninggal dunia pada 12 Februari 2015.
Beliau memenangi pilihan raya kecil Chempaka yang diadakan pada 22 Mac 2015 dengan majoriti 10,092 undi.
Mesyuarat agung itu tadi diadakan di Dewan Haji Nik Abdullah Arsyad, Kompleks Purnama, Jalan Tok Guru dan dirasmikan oleh Mohd Amar sendiri, manakala proses pengundian dikendalikan PAS kawasan Tumpat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com