innity

pages

Saturday, October 7, 2017

Ibarat ‘Little Myanmar’, Pandan Mewah jadi lubuk pelarian Rohingya


   
PANDAN MEWAH: Kawasan perumahan 12 blok bangunan flat Pandan Mewah, di sini kelihatan seakan-akan seperti perkampungan etnik Rohingya.

Selain sukar melihat penduduk tempatan di kawasan ini, pelbagai aktiviti perniagaan seperti restoran dan kedai runcit turut dikuasai etnik Rohingya.
Mereka bebas menjalankan aktiviti harian mereka di kawasan ini seperti menjual sireh, mengutip besi buruk, sehingga ada yang menternak ayam di kaki lima kedai.

Selain membuka kedai runcit dan restoran, etnik Rohingya di Pandan Mewah turut menternak ayam di kaki lima kedai.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad hari ini dalam lawatannya juga terkejut apabila dimaklumkan terdapat kira-kira 1,000 pelarian Rohingya menetap di kawasan berkenaan.
Iskandar mengadakan lawatan itu selepas menerima aduan daripada penduduk tempatan berkenaan kebanjiran etnik Rohingya di kawasan berkenaan.
“Kebanyakan mereka ini merupakan pemegang kad pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), jadi bermakna ini pihak imigresen perlu lihat sama ada mereka masuk secara sah atau tidak.
“Jadi adakah kita sebagai negara mengawal mereka di sini dan sama ada mereka bebas keluar masuk di sini.
“Ada lebih kurang 1,000 orang di Pandan Mewah ini sehingga mengakibatkan penduduk tempatan tersingkir dan kita tidak mahu kawasan itu menjadi tempat orang asing dan menjadikan penduduk tempatan takut nak masuk, macam dah jadi kampung mereka pula,” kata Iskandar kepada pemberita ketika sidang medianya selepas melakukan lawatan di kawasan tersebut.


Selain imigresen, lawatan berkenaan turut disertai polis dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
Iskandar berkata, komuniti Rohingya di Pandan Mewah turut mengakibatkan kekotoran apabila mereka menjadikan kawasan tempat meletak kenderaan sebagai stor simpanan barang lusuh dan terbuang sebelum menjualnya di pusat kitar semula.
“Perlu ada kawalan, tidak bermakna dengan hanya ada kad UNHCR. Kita kena pantau mereka.
“Kita tidak halang mereka untuk hidup, kita faham situasi di negara mereka. Rakyat Malaysia pun kita kawal kenapa rakyat asing ini tidak dikawal,” kata Iskandar.
Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Selangor Ramli Othman berkata, sebagai pemegang kad UNHCR, pelarian Rohingya tidak dibenarkan menjalankan urusan perniagaan.
“Mereka tidak dibenarkan berniaga tapi ada majikan yang ambil mereka sebagai pekerja. Majikan atau sesiapa sahaja yang gajikan pekerja asing tanpa permit adalah salah.
“Sepatutnya pemegang kad ini perlu dipindahkan ke negara ketiga dan tidak boleh menetap terus di Malaysia,” katanya pada sidang media sama.
Majikan yang menggaji mereka katanya boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 55 (b) Akta Imigresen, yang memperuntukkan denda tidak kurang RM10,000 hingga RM50,000 dan penjara tidak melebihi 12 bulan.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Pandan Mewah Shaharuddin Ismail berkata, kebanjiran etnik Rohingya di kawasan itu berpunca apabila terdapat pemilik kediaman yang menyewakan rumah mereka kepada kumpulan tersebut.
“Tuan rumah sewakan RM1,100 sebulan kepada warga Rohingya ini, sedangkan kalau sewakan kepada warganegara kadar sewa hanya sekitar RM700 sebulan,” katanya.
Shahruddin berkata, dalam satu unit kediaman, etnik Rohingya akan berkongsi menyewa sehingga 3 keluarga.
“Dalam satu rumah mereka paling kurang akan ada 10 orang yang duduk dalam rumah 3 bilik,” katanya.
Lebih memburukkan keadaan, Shahruddin berkata, ketika hujung minggu terdapat warga asing yang mabuk dan mula mengganggu ketenteraman penduduk setempat.
“Di kawasan ini macam-macam bangsa ada, ada Myanmar, Pakistan, Indonesia, dan Bangladesh, kadang-kadang malam minggu warga Myanmar ini mabuk, kawasan ini juga menjadi sarang judi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com