innity

pages

Tuesday, October 24, 2017

TERKINI: Yusof Azmi DIBEBASKAN dengan ikat jamin



Alhamdullilah semuanya telah selesai. Pengarah UTK PPIM, Yusuf Azmi dan Ketua Pegawai Operasi UTK PPIM, Abang Ali telah dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000.00 setiap seorang.
Jutaan terima kasih kami ucapkan diatas segala doa dan sokongan daripada semua.

[FELDA] SIAPA PEMILIK HOTEL di London SEKARANG?


FIC LONDON HOTEL PTE LIMITED, PEMILIK HOTEL FELDA GRAND PLAZA KENSINGTON – TELAH DITUTUP
SIAPA PEMILIK HOTEL INI SEKARANG?

Saya telah tunjukkan sepanjang minggu lepas bagaimana isu pelaburan Felda di London bernilai lebih RM1 bilion bukan saja persoalan keputusan pelaburan yang membazir (kerana harga yang dibayar terlalu mahal dan dicemari penyelewengan),bahkan secara rasminya Felda tidak pun memiliki hartanah-hartanah yang dibeli itu.

Saya telah melakukan carian rasmi dengan Pejabat PendaftarTanah UK dan terbukti bahawa menurut dokumen rasmi hakmilik pemilikan, sekurang-kurangnya dua hartanah mahal yang dibayar oleh Felda telah didaftarkan atas nama syarikat-syarikat yang berdaftar BVI (British Virgin Island), yang tidak ada kena mengena dengan Felda dan pemilik syarikat-syarikat itu masih tidak diketahui sehingga hari ini.

Maklumat yang sahih dari dokumen hakmilik rasmi telah membuktikan bahawa hartanh-hartanah berikut bukan dimiliki oleh Felda, sebaliknya milik syarikat-syarikat BVI berikut:

i. Grand Plaza Kensington Hotel dibeli dengan harga £60 juta (anggaran RM330 juta) pada tahun 2014 yang secara rasmi dimiliki oleh FIC London Hotel Pte Limited yang ditubuhkan di BVI

ii. Felda House yang dibina dengan anggaran kos RM380 juta dalam tahun 2015 dan secara rasmi dimiliki oleh FIC Global Limited yang juga ditubuhkan di BVI

(Saya lampirkan bersama geran-geran hakmilik hartanag sebagai bukti. Pembaca juga boleh menyemak kenyataan media terdahulu mengenai hartanah ini dan pelaburan Felda di London di http://rafiziramli.com/category/felda/)

Saya menantikan Tan Sri Shahrir Samad untuk memberi maklum balas kepada pendedahan ini tetapi beliau terus senyap sejak minggu lalu setelah menuduh saya tidur dalam isu ini.

Paling kurang, saya ada juga berharap agar ada sedikit penafian untuk menunjukkan saya tersilap kerana lebih baik saya dibuktikan salah daripada kemungkinan yang lagi satu iaitu sekurang-kurangnya RM1 bilion dana awam telah diselewengkan kepada syarikat-syarikat misteri yang tidak diketahui pemiliknya.

Sehingga hari ini, masih belum ada sebarang jawapan baik dari Felda, Tan Sri Shahrir, SPRM mahupun Dato’ Seri Najib.

Jika itu sudah dikira teruk, saya terpaksa membawa satu lagi perkembangan yang lebih teruk pada hari ini.

Saya boleh mengesahkan bahawa syarikat BVI yang memiliki Grand Plaza Kensington Hotel (seperti yang terkandung di dalam geran hakmilik) telah pun ditutup.

Syarikat tersebut, FIC Hotel London Pte Limited telah dibubarkan dari senarai syarikat yang didaftarkan di British Virgin Island (BVI) pada 3 Mei 2016 yang kerana tidak membayar yuran tahunan.

Saya lampirkan Bersama warta rasmi Kerajaan BVI Vol L, No 27 bertarikh 19 Mei 2016
(yang boleh dimuat turun dari https://data.occrp.org/text/2658944…)
yang secara rasmi menyenaraikan FIC Hotel London Pte Limited sebagai salah satu syarikat yang dibubarkan dan dibatalkan pendaftarannya selaras dengan undang-undang BVI.

Saya harap kenyataan media saya pada hari ini mendapat perhatian orang ramai serta pengurusan tertinggi Felda yang selama ini berdiam diri kerana mereka berdepan dengan risiko hotel yang dibeli pada harga yang mahal dengan wang Felda itu bukan sahaja didaftarkan atas nama syarikat lain, kini Felda akan kehilangan hotel dan wang pelaburan untuk selama-lamanya (jika ini tidak diselesaikan segera).

Saya dengan ini meminta penjelasan penuh dari Dato' Seri Najib dan Tan Sri Shahrir mengenai status pelaburan Felda di Grand Plaza Kensington Hotel di London:

i. Setelah FIC London Hotel Pte Limited disahkan telah dibubarkan pada kala syarikat itu secara rasmi adalah pemilik hotel RM330 juta yang dibeli oleh Felda (mengikut geran hakmilik), bagaimana Felda merancang untuk mendapatkan kembali hakmilik hotel tersebut?

ii. Jika Felda ingin mendapatkan kembali hakmilik hotel itu, Felda tidak mempunyai pilihan selain mengesan dan mendedahkan pemilik sebenar FIC London Hotel Pte. 

Siapakah yang berada di belakang penubuhan FIC London Hotel Pte Limited? 

Adakah Felda akan membuat kenyataan umum menjawab pelbagai persoalan yang saya timbulkan dalam siri pendedahan Felda yang saya buat sejak minggu lepas?

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Lebih 1000 ahli Umno SERTAI PPBM di Perlis


Hasil dari kelemahan pentadbiran kerajaan negeri yang ditadbir oleh Umno dan BN di Perlis, mengakibatkan lebih 1000 ahli Umno di negeri itu meninggalkan part dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Sekaligus ini membuktikan Umno di Perlis semakin susut dan menurun keanggotaan mereka jika dibandingkan sebelum kewujudan Bersatu.
Menurut Pengerusi Bersatu Perlis, Ameir Hassan, sokongan yang melonjak naik diterima oleh Bersatu adalah kerana ramai ahli Umno telah sedar akan tipu daya pimpinan mereka.
“Gerak kerja yang dilaksanakan oleh Bersatu bersama-sama dengan komponen Pakatan Harapan (PH) di Perlis memperlihatkan perubahan yang berjayan diraih.
“Kekerapan turun padang dan mendekati masyarakat secara rutin yang dilaksanakan sejak awal lagi berjaya menjelaskan segala kebobrokkan pimpinan Umno dan BN.
“Akhirnya Bersatu Perlis telah berjaya menarik lebih ramai ahli Umno, ” jelas beliau lagi.
Ameir Hassan
Malah katanya, setakat ini Bersatu Perlis mempunyai lebih 2000 ahli yang turut dianggotai oleh pengundi muda.
Umno di Perlis seharusnya sedar dengan penyertaan begitu ramai bekas ahli Umno yang meninggalkan parti tersebut mereka semakin susut dan kurang.
“Daripada lebih 3000 ahli yang mereka ada sebelum ini boleh dikatakan separuh daripadanya telah pun menganggotai Bersatu dan komponen PH yang lain.
“Ini juga memperlihatkan betapa Umno Perlis sudah semakin tidak mendapat kepercayaan ahli mereka sendiri sehingga meninggalkan parti lama tersebut, ” tegasnya lagi.
Beliau yang turut merupakan Pengerusi PH Perlis juga berkata, kerajaan negeri Perlis kini semakin lemah dalam menyediakan pelbagai infrastruktur kepada rakyat.
“Isu kemiskinan yang melarat di negeri ini tidak diberi perhatian serius oleh mereka.
“Lebih parah masih ada yang hidup di Perlis tanpa bekalan air bersih dan terpaksa menggunakan sungai sepertimana yang ada di Kampung Wai, Kuala Perlis.
“Kita mempunyai banyak buktik dimana penduduk miskin masih lagi tidak mempunyai bekalan elektrik dan hidup umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, ” tambahnya.
Oleh kerana itu katanya, rakyat negeri Perlis harus segera bangkit dan membuat perubahan dalam pilihan raya umum ke 14 yang akan datang tanpa memberi sedikit pun mandat kepada Umno dan BN.
“Umno dan BN tidak harus diberi peluang sekali lagi di Perlis untuk memerintah negeri.
“Rakyat Perlis mesti berani untuk menolak Umno dan BN sekiranya mereka tidak lagi mahu berada ditakok lama.
“Tolak kerajaan negeri yang ada serta beri peluang untuk PH membuktikan kemampuan bagi menerajui kepimpinan sepertimana yang dibuktikan di Pulau Pinang dan juga Selangor, ” katanya ketika hadir bersama pimpinan PH menemui penduduk di Tebing Tinggi. - malaysiadateline

Monday, October 23, 2017

[VIDEO] Yusof Azmi diminta SERAH DIRI di IPD Kajang esok



Kami baru menerima maklumat bahawa Yusuf Azmi & Abang Ali dipanggil untuk serah diri di IPD Kajang & kemudian ke Kompleks Mahkamah Kajang untuk ditahan dan didakwa esok berkenaan dengan kes kereta pajak AGR Trade esok pagi jam8pagi.. - Yusuf Azmi


23 Okt - Kami baru sahaja menerima maklumat bahawa esok Yusuf Azmi & Abang Ali perlu serah diri di IPD Kajang & kemudian ke Kompleks Mahkamah Kajang untuk didakwa berkenaan dengan kes kereta pajak AGR Trade.

Kami difahamkan Yusuf Azmi & Abang Ali akan didakwa tanpa gagal atau mungkin direman sehingga 1 minggu. Kami dihujani pelbagai soalan - Apakah motif tindakan ini? 

Adakah untuk melemahkan semangat memperjuangkan hak masyarakat? 

Mengapa tiada dakwaan keatas Dato’ Kabi walaupun ratusan laporan polis dibuat mangsa? Mengapa tindakan diambil keatas pembela dan bukannya keatas penjenayah?


Kami memohon sokongan dan doa dari semua agar segala urusan dipermudahkan. Kepada yang ingin memberi sokongan, sila berkumpul di hadapan Ibu Pejabat Daerah Kajang jam 7.30 pagi esok. 

Sila rujuk FB PPIM dari semasa ke semasa untuk mendapatkan perkembangan terkini.

07.30 AM
Berkumpul Di Hadapan Ibu Pejabat Daerah Kajang
IPD Kajang, (Jalan Cheras, Bandar Kajang, 43000 Kajang, Selangor, Malaysia)

08.55 AM
Bergerak Ke Kompleks Mahkamah Kajang
Kompleks Mahkamah Kajang (Jalan Cempaka Kuning, Bandar Kajang, 43000 Kajang, Selangor, Malaysia)

09.00 AM
Berkumpul Di Hadapan Kompleks Mahkamah Kajang
Waze / Google Maps: IPD Kajang

Dulu Amanat Hj Hadi, Sekarang Amanat Hj Marang


Isu dobi: Belum ada pihak kata hujah saya salah, kata Tun Abdul Hamid


BERDASARKAN apa yang dilaporkan oleh media massa, nampaknya saya seorang sahaja yang menghujahkan mengenai hak pengusaha dobi (laundret) untuk meletakkan tanda “Untuk Orang Islam Sahaja” itu.
Yang lainnya, daripada tokoh koporat, Mufti, parti politik Islam pembangkang, Perdana Menteri, Majlis Raja-Raja dan lain-lain sama ada tidak bersetuju hinggalah mengutuk tindakan pengusaha dobi tersebut.
Dua kumpulan agak senyap, jika saya tidak terlepas pandang. Pertama, parti-parti politik dan NGO-NGO bukan Islam. Saya tidak tahu apakah sebab yang sebenar. Mungkinkah mereka tidak perlu berbuat apa-apa. Biarlah orang Islam menghentam orang Islam sendiri.
Satu kumpulan lagi ialah kumpulan “ulama” selain daripada ISMA yang mengeluarkan kenyataan dan memuatkan rencana saya sepenuhnya di portalnya. PAS menyiarkan rencana itu sepenuhnya dalam Harakah Daily. Tetapi saya tidak jumpa pula kenyataan daripada Presidennya atau Jawatankuasa Ulamanya. Persatuan Ulama dan Ulama Muda juga tidak bersuara. Tidak seorang pun Mufti mempertahankan tindakan pengusaha dobi itu. Mungkinkah kerana Raja-Raja mereka, melalui Majlis Raja-Raja telah mengeluarkan kenyatan menyokong Sultan Johor? (Maaf jika terdapat kesilapan. Pembetulan dihargai)
Jika dilihat secara kasar, nampak seolah-olah suara saya adalah suara sumbang.
Tetapi, dalam masa sembilan hari saya menaikkan rencana itu ke laman-laman web saya, jumlah pelawat kepada  kedua-duanya adalah sebanyak 2,206. Saya juga menerima respon daripada orang-orang yang saya tidak kenali melalui email. Di antara mereka terdapat peguam, ahli perniagaan, ahli korporat, profesor dan orang yang saya tidak tahu profesyen mereka. Apabila ditanya di mana mereka membacanya, mereka mengatakan mereka menerimanya melalui WhattsApp. Mereka juga memberitahu saya bahawa rencana itu telah menjadi tular (viral); bahawa terdapat banyak sokongan senyap dan banyak NGO menyokong.
Yang menariknya ialah mereka bukan sahaja menyatakan mereka bersetuju, menyatakan sokongan dan syabas, mengucapkan tahniah kerana membela hak pengusaha dobi itu. Lebih menarik lagi adalah alasan yang mereka beri. 
Seorang peniaga menyifatkan hujah-hujah saya itu  sebagai tepat dan asli; seorang lagi mengatakan ia adalah hujah yang paling rasional yang beliau baca; ada yang mengatakan hujah terbaik; seorang ahli korporat menyifatkan rencana itu sebagai sangat “articulate” , malah ada yang mengatakan rakan-rakan  mereka di akhbar harian nasional Melayu memuji hujah-hujah saya itu. Mereka melihat kepada hujah, bukan kenyataan yang dibuat.
Biar apa pun, hingga ke hari ini belum ada orang menulis satu rencana untuk menunjukkan bahawa hujah-hujah saya itu tidak betul.
Tun Abdul Hamid Mohamad
Bekas Ketua Hakim Negara

[DEWAN RAKYAT BERMULA] Azmin soal Zahid di mana Jho Low



Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata polis telah mengemukakan permintaan kepada Interpol untuk mencari ahli perniagaan kontroversi, Jho Low.

Namun, kata Ahmad Zahid, polis masih belum memperolehi sebarang maklumat terperinci daripada pihak Interpol berhubung individu terbabit.

"Kita amat yakin pihak Interpol bertindak secara profesional dan PDRM masih belum memperolehi sebarang maklumat terperinci daripada pihak Interpol. 

"Namun kita yakin apa yang telah dilakukan beberapa pihak di peringkat antarabangsa terutamanya agensi perisikan telah dimuktamatkan. 

"Kita yakin kes itu tidak lagi relevan kecuali dibangkitkan ahli-ahli politik yang tidak berpuas hati mengenainya," katanya pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meminta penjelasan sama ada PDRM akan mendapatkan kerjasama daripada pihak Interpol untuk menahan dan membawa balik Jho Low bagi tujuan penyiasatan di atas dakwaan skandal kewangan terbesar yang melanda negara.

"Kerjasama yang diwujudkan melibatkan aktiviti ataupun jenayah perdagangan dan juga kewangan di mana pihak PDRM boleh mendapatkan bantuan interpol untuk menahan seseorang dan menyiasat bagi sesuatu kes yang telah banyak dinyatakan.

"Saya telah membangkitkan perkara ini beberapa bulan yang lalu di mana PDRM perlu mendapatkan khidmat Interpol untuk mengenal pasti kedudukan Jho Low yang disebut dalam banyak laporan di peringkat antarabangsa di mana beliau terlibat secara langsung dalam jenayah kewangan dan perdagangan.

"Persoalan saya, di manakah kedudukan PDRM dalam perkara ini? Apakah PDRM akan mendapat bantuan Interpol untuk mengenal pasti kedudukan Jho Low dan mendapat kerjasama daripada pihak Interpol untuk menahan dan membawa balik Jho Low bagi tujuan penyiasatan di atas skandal kewangan yang terbesar dalam negara pada hari ini," soal Azmin. - MK

Kerajaan akui pelaburan merosot


SUDAH banyak tahun dan banyak kali saya memberi amaran mengenai suasana serta keadaan pelaburan yang mungkin tidak lestari di negara kita.

Boleh kata setiap kali perangkaan rasmi dan tidak rasmi mengenai pelaburan dikeluarkan, saya akan beri amaran agar kita tidak terlalu gembira dengan 'berita baik' itu.

Saya sering mengingatkan mengenai perbezaan projek pelaburan yang diluluskan dengan pelaksanaan sebenar kerana ada projek yang diluluskan tetapi tidak dilaksanakan.

Saya juga memberi amaran, manakala projek-projek baru yang diluluskan belum tentu akan dilaksanakan, projek-projek sedia ada sama ada menguncup, berpindah ke negara lain atau ditutup terus.

Hari ini kalau kita memandu melalui kawasan-kawasan kilang di negeri perindustrian seperti Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Johor kita akan mendapati banyak bangunan kilang telah ditinggalkan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak pelabur asing yang sudah bergiat di negara kita berpuluh tahun lamanya, sama ada telah menutup perniagaan atau berpindah ke negara lain.

Antara faktor menyebabkan mereka berbuat demikian adalah pertubuhan ekonomi negara yang tidak cukup tinggi, prospek masa depan yang tidak meyakinkan dan kenaikan kos pengeluaran.

Saya tidak berani mengatakan sama ada pihak bertanggungjawab terhadap pelaburan, khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa (Miti) dan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Mida) ambil langkah secukupnya bagi menangani isu penuaan industri ini.

Yang jelas ialah perhatian Miti dan Mida dalam beberapa tahun kebelakangan ini terlalu tertumpu kepada rundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang sudah pun kecundang akibat penarikan diri Amerika di bawah Presiden Donald Trump.

Bertahun-tahun usaha dan belanja yang besar nampaknya hangus begitu saja. Sejak awal lagi saya mencurigai kebergunaan TPPA dan menyuarakan kebimbangan kepada menteri berkenaan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, dalam sesi-sesi dialog yang beliau adakan dengan pengamal media massa.

Kebimbangan yang saya suarakan sekian lama nampaknya makin menjadi kenyataan. Kadar pelaburan baharu jatuh dengan teruk dalam separuh pertama tahun ini.

Pada 19 Oktober media melaporkan kadar kelulusan pelaburan baharu bagi enam bulan pertama tahun ini jatuh 28.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut Mida, pelaburan yang diluluskan bagi semua sektor bernilai RM65.4 bilion yang terdiri daripada 2,294 projek yang boleh mewujudkan 61,930 pekerjaan jika dilaksanakan sepenuhnya.

Apa yang lebih membimbangkan ialah kejatuhan paling teruk iaitu sebanyak 41 peratus dideritai oleh sektor perkhidmatan yang berupa pemacu utama ekonomi negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kejatuhan sektor ini pula berkait rapat dengan kelembapan pasaran hartanah. Saya sudah sekian lama memberi amaran mengenai pertumbuhan sektor hartanah yang tidak lestari dan bahaya 'ekonomi buih' yang dicetuskannya.

Kita lihat projek hartanah, sama ada kediaman, ruang niaga atau pejabat, tumbuh ibarat cendawan muncul selepas hujan, tetapi tidak cukup pelanggan sama ada kerana kegiatan ekonomi yang tidak cukup rancak atau harga terlalu tinggi.

Keadaan ini akan menjadi semakin buruk dengan lebih banyak projek hartanah raksasa dimajukan di tapak-tapak seperti Tun Razak Exchange, Bandar Malaysia, Iskandar Malaysia dan cadangan Bandar Warisan Dunia di Melaka.

Atas sebab itulah saya berulang kali memberi amaran kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) agar tidak terikut-ikut dengan kegilaan memajukan projek hartanah raksasa, khususnya cadangan projek Merdeka PNB 118 di ibu negara.

Pengurusan PNB yang ada pada hari ini mungkin berasa bangga melaksanakan projek pencakar langit itu. Tetapi jika sesuatu yang buruk berlaku kepada PNB, yang akan menderita adalah Bumiputera, khususnya yang melabur skim saham amanahnya.

Dalam kenyataan media, Mida berkata pelaburan dalam sektor pengilangan pun jatuh juga, sebahagiannya disebabkan oleh pengaliran modal kepada projek-projek raksasa seperti Rapid di Pengerang, Johor.

Saya kurang yakin dengan alasan ini. Yang lebih ketara ialah kita tidak dapat lagi bersaing dengan negara-negara jiran dalam sektor pengeluaran.

Mida sendiri mengakui hal ini terutamanya daripada sudut kos tenaga buruh. Justeru saya tidak dapat berkongsi keyakinan dengan Mustapa buat masa ini bahawa keadaan akan berubah dalam jangka masa singkat.

Sebaliknya kita mungkin mengalami krisis kebolehpercayaan dan keyakinan yang lebih teruk buat beberapa bulan akan datang.

Seterusnya keadaan ini akan menjejaskan keyakinan pengguna dan pengusaha untuk berbelanja. Tanpa perbelanjaan yang secukupnya, ekonomi sebenar akan terus lembap.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin, Tokoh Wartawan Negara

[GAMBAR2] Malam Tadi di Kedah PENUH, Malam ni di Perlis JUGA PENUH [Jelajah Semarak]

 
((LIVE)) PROGRAM JELAJAH SEMARAK 3M PPBM PERLIS, bertempat di Pejabat PPBM Negeri, Jejawi.
Bersama,
1. YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad
2. YB Tan Sri Muhyiddin Yassin
3. YB Dato’ Seri Mukhriz Mahathir







'Sambutlah tangan UMNO' - veteran PAS, Datuk Mustafa Ali



KUALA TERENGGANU: PAS wajar menyambut tangan dihulur UMNO untuk duduk semeja dan berbincang mengenai kerjasama yang boleh dijalinkan di antara kedua-dua parti itu.
Pandangan itu disuarakan veteran PAS, Datuk Mustafa Ali, yang menyifatkan pemimpin PAS tidak lagi boleh duduk berdiam selepas parti itu memutuskan kerjasama dan tahaluf siyasi dengan Pakatan Harapan.
Bekas Setiausaha Agung PAS itu berkata, perbincangan itu penting supaya kedua-dua parti boleh memahami perspektif dan kehendak masing-masing, sebelum boleh dilanjutkan kepada sebarang kerjasama yang memanfaatkan rakyat, negara dan parti.
"Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah berkali-kali menyatakan bahawa PAS memang tidak akan kembali bekerjasama dengan DAP, Parti Keadilan Rakyat dan Parti Amanah Negara (PAN) dalam Pakatan Harapan.
"Jadi apa alternatif yang ada? Jadi sebab itu pandangan saya, PAS wajar menyambut tangan dihulurkan UMNO melalui Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa.
"Tetapi, bukanlah bererti PAS mesti bersama-sama Barisan Nasional (BN). Saya pun tidak fikir Annuar mahu ajak PAS masuk BN. Tetapi, bila disebut kerjasama ini untuk membangunkan negara, kita kena sambutlah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Bekas Ketua Pengarah Pilihanraya PAS itu berkata, ketika ini hanya dua parti, iaitu PAS dan UMNO yang menguasai pengundi Melayu, sekaligus 'penyatuan' kedua-dua parti akan memberi kebaikan kepada negara.
Beliau juga berpendapat, kerjasama UMNO dan PAS juga akan mewujudkan suasana pilihan raya yang lebih baik apabila berlaku pertembungan satu lawan satu dan bukan tiga penjuru iaitu, PAS, BN dan Pakatan Harapan.
"Jadi sebab itu, kalau berlakunya suasana politik yang lebih kondusif dan harmoni, itu baik bagi negara.
"Saya rasa UMNO dan PAS boleh berbincang untuk kepentingan masa depan negara. Tetapi, saya tidak nampak ada satu jawapan yang serius daripada pemimpin PAS setakat ini. Jadi, apabila tidak ada satu respons yang serius itu, saya rasa ia tak kena. Jadi pada padangan saya perlu berbincang," katanya.
Ditanya mengapa beliau yang dilantik sebagai penasihat PAS tidak menyuarakan pandangan itu kepada pimpinan atasan parti, katanya, beliau tidak lagi duduk dalam mana-mana jawatankuasa.
Mustafa berkata, usaha PAS untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 dengan hanya memperkukuhkan badan gabungan politik tidak rasmi seperti Gagasan Sejahtera, tidak memberi kelebihan kepada parti.
"Apabila hendak pilihan raya, orang akan lihat parti mana yang akan menjadi kerajaan. Jadi, PAS sudah cakap awal-awal lagi ia bukan mahu membentuk kerajaan.
"Kerjasama pun termanya ada banyak. Tahaluf siyasi, taawun, 'electoral understanding'. Saya nak tengok perbincangan antara PAS dan UMNO ini berlaku untuk kepentingan masa depan negara," katanya.

Kecoh apabila Pas cuba pasang bendera di Pejabat AMANAH

Penyokong Pas berkumpul di Wisma Tok Guru bagi memasang bendera mereka malam ini.
Kekecohan berlaku di pejabat Amanah yang juga pejabat Adun Salor malam ini apabila Pemuda Pas cuba memasang bendera mereka di Wisma Tok Guru itu.

Usaha memasang bendera itu dikatakan sedang dibuat oleh Jabatan Amal Kelantan dengan dokongan ahli dan penyokong Pas.

Menurut Hazmin Hassan, Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Pas membuat provokasi dengan memasang bendera Pas di bangunan Wisma Tok Guru itu.

“Kami akan membiarkan bendera Pas yang dipasang di luar bangunan ini di situ. Kita tidak akan buang,” katanya dalam ucapan kepada penyokong Pakatan Harapan (PH) yang turut berkumpul malam ini.

Wisma Tok Guru menjadi pertikaian apabila Setiausaha Kerja Pas Kelantan dikatakan membeli bangunan yang dijadikan bangunan pejabat Amanah itu dari isteri Allahyarham Datuk Rosli Ibrahim, pemilik bangunan itu.

Sedangkan menurut Adun Salor yang juga Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa, ketika hayatnya Rosli telah menyerahkan tapak bangunan itu untuk digunakan oleh beliau sampai bila-bila.

Ia telah dibuat melalui satu surat bertulis kepada Husam. Dalam majlis perasmian nama bangunan itu, Rosli juga mengesahkan tanah itu diserahkan kepada Husam untuk digunakan.

Program Jom Pasang Bendera di bangunan PAS Salor itu dikatakan dianjurkan oleh Pemuda Pas Kelantan.

Ia turut disertai oleh Ketua Pemuda Pas, Mohamad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari.

Ia telah menimbulkan kekecohan apabila Pemuda Amanah dengan bantuan Pemuda PH Kelantan bertindak menghalangnya.

Namun semua berakhir dengan aman apabila tidak ada sebarang insiden buruk berlaku. - malaysiadateline





BILA PULA HADI MAHU BERTAUBAT





Selain menyimpulkan mengundi Pakatan Harapan sama seperti mengiyakan kezaliman lama Tun Mahathir Mohamad, Presiden Pas Hadi Awang juga menuntut bekas Perdana Menteri itu agar bertaubat dan meminta maaf.

Kata beliau, bekas Perdana Menteri itu sepatutnya bertaubat kerana menjadi punca kepada kerosakan sistem negara, pengurangan kuasa Raja-Raja, amalan demokrasi yang tempang dan menjadi diktator ketika zamannya.

"Semua kesalahan ini beliau tidak mengaku dan tidak meminta maaf kepada mangsa, bahkan masih lagi mempertahankan salah lakunya. Ini menunjukkan beliau tidak jujur untuk selamatkan Malaysia.

"Yang beliau mahu adalah jatuhkan Najib sahaja. Hakikatnya, mengundi DAP, PKR, Amanah dan Bersatu adalah sama dengan mengundi dan mengiyakan kezaliman Mahathir," kata Hadi.
Memang tidak dinafikan ketika Tun Mahathir berkuasa dahulu, terdapat beberapa kelemahan atau ketidakwajaran yang telah dilakukannya.

Tetapi, sebahagian daripada ketidakwajaran itu, beliau bukan saja sudah mengakuinya, bahkan turut meminta maaf dengannya.

Ini menunjukkan beliau bukan saja ikhlas untuk menyelamatkan Malaysia daripada kerosakan yang dilakukan oleh Najib, bahkan tiada sebab lagi untuk terus meraguinya.

Terus meragui dan mempertikai perjuangan Tun Mahathir bersama Pakatan Harapan untuk menyelamatkan Malaysia tidak lain hanyalah kerana terlebih sayang kepada Najib berbanding masa depan negara, sedangkan pelbagai kerosakan dan kesengsaraan yang dilakukannya amat nyata.

Berkaitan pengurangan kuasa Raja-Raja, Tun Mahathir sebenarnya sudah pun meminta maaf kepada Agong pada 25 Ogos 2016 yang lalu.

Beliau meminta maaf berikutan tindakannya mengurangkan kuasa Raja-Raja melalui pindaan perlembagaan itulah yang akhirnya menyebabkan Akta Majlis Keselamatan Negara dipinda oleh Najib yang membolehkannya mengisytiharkan darurat di kawasan-kawasan tertentu, meskipun tidak ditandatangani oleh Raja-Raja.
Berhubung apa yang dilakukannya kepada Anwar Ibrahim, Tun Mahathir telah pun mengunjungi bekas Timbalan Perdana Menteri di mahkamah beberapa kali dan bersalam-salaman dengannya. 

Meskipun tiada kata maaf diungkapkan secara nyata, kesediaan Anwar menerima kunjungan Tun Mahathir secara empat mata dan bersalaman dengan erat memperlihatkan hubungan mereka sudah kembali jernih seperti sediakala.

Selain Anwar berkali-kali sudah memaafkan dan mengatakan tiada dendam antara beliau dengan Tun Mahathir, malah menganggap apa yang dialaminya hanya luka kecil, hubungan yang mesra antara Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah dengan bekas Perdana Menteri itu sekarang dan Tun Mahathir juga menerima mereka seadanya, hakikatnya tiada apa-apa isu lagi tentang hubungan kedua-dua pemimpin berkenaan.

Begitu juga pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan lain yang pernah dipenjara atau dikenakan tindakan lain semasa era kepimpinan Tun Mahathir, mereka turut menunjukkan jiwa besar dengan sedia memaafkan apa yang pernah berlaku kepada mereka dahulu.

Ia bukan saja kerana mereka sama-sama menyedari bahawa Najib jauh lebih penting untuk disingkirkan daripada memikirkan kesalahan lalu Tun Mahathir, malah ianya jua akan dijadikan ramuan penting untuk memastikan kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihanraya akan datang.

Dengan beberapa bukti di atas, tuntutan Hadi bahawa Tun Mahathir perlu bertaubat dan meminta maaf sebenarnya tidak lagi berbangkit. Selain Tun Mahathir sudah melakukannya, pihak yang terlibat turut memaafkannya.

Sebaliknya, terlanjur Hadi sendiri mengungkit kezaliman lama Tun Mahathir, apakah beliau sendiri pernah bertaubat dan meminta maaf berhubung kezalimannya kepada umat Islam dengan mengeluarkan "Amanah Hadi"  pada tahun 1981 dahulu?
Tidakkah beliau sedar melalui amanatnya itulah umat Islam negara ini berpecah, ramai yang taksub dan menjadi ekstrem, berlakunya kejadian sembahyang dua imam, kafir-mengkafir, memulaukan kenduri-kendara, tidak makan sembelihan sesama Islam yang berlainan parti dan sehingga kepada bercerai-berai dalam rumahtangga?

Berdasarkan kesan daripada amanat tersebut masih berlarutan sehingga sekarang dan Hadi sekarang sudah berbaik-baik dengan Najib dan UMNO, bukankah lebih baik jika beliau turut sama bertaubat dan meminta maaf kepada ahli-ahli UMNO berhubung perkara itu?

Jika pun Hadi tidak mahu bertaubat dan meminta maaf, apakah orang-orang UMNO sendiri pernah memaafkannya seperti mereka yang terkesan dengan tindakan Tun Mahathir yang sedia memberi kemaafan?

Atau, kiranya Hadi masih berpegang kepada amanatnya itu, beranikah beliau mengulangi membacanya di mana-mana ceramah Pas selepas ini?

Jadi, sebelum Hadi meminta Tun Mahathir bertaubat dan meminta maaf, suatu perkara yang sebenarnya sudah pun lebih awal dilakukan oleh bekas Perdana Menteri itu, ada baiknya Presiden Pas menujukan kata-kata tersebut kepada dirinya sendiri. 

Barulah ia dinamakan cakap serupa bikin sepertimana yang dituntut oleh Islam. (ShahbudinHusin 21/10/2017).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com