innity

pages

Wednesday, September 6, 2017

[PAS KELANTAN GOYAH] Keyakinan PAS tanpa Nik Aziz


ULASAN | Bau sayur, ikan, beras dan kuih-muih yang bersatu dalam Pasar Siti Khadijah masih sama seperti selalu. Ia adalah bau yang mesra pada deria peraih, peniaga dan rakyat.
Sibuk peniaga di Pasar Borong Wakaf Che Yeh, geger ayam itik lembu kerbau atau bola di kedai kopi, sesak di jalan stadium dan keluar-masuk orang dari Golok ke Rantau Panjang atau sebaliknya juga tidak banyak berubah.
Namun, landskap politik negeri Cik Siti Wan Kembang ada hiruk-pikuk tersendiri mengiring rutin golongan marhaen yang masih mewarnai sebahagian penduduknya.
Perkembangan terkini negeri ini adalah dalam fasa peralihan pascapemergian bekas menteri besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Tanggal 12 Februari 2015 pastinya meninggalkan kesan mendalam buat rakyat Kelantan yang kehilangan seorang murabi tercinta.
Tokoh yang menabur segala kudrat untuk Kelantan dengan begitu banyak ilmu agama dicurahkan pada setiap kesempatan yang ada, dan berwawasan menjaga pertadbiran negeri. Sentuhan itu tiada galang gantinya.
Walaupun PAS berjaya mengekalkan pentadbirannya di Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) lalu, menjelang detik mengundi akan datang situasinya bakal berbeza.
Perkembangan politik Malaysia khususnya mutakhir ini tidak dapat memisahkan Kelantan daripada menerima tempias sama ada dalam skala suam-suam kuku, hangat pijar atau sejuk membeku sekalipun.
Mata dan telinga pemerhati tidak akan terlepas pandang untuk menjadikan Kelantan sebagai kayu ukur, khususnya sebagai satu-satunya negeri yang berjaya mempertahan pemerintahan PAS.
PAS adalah buah hati majoriti anak jati tanah serendah sekebun bunga ini yang dibuktikan saban pilihan raya sejak lebih 20 tahun lalu.
Dan kini, waktu untuk menguji ketahanan PAS sebagai pemerintah negeri yang bersih daripada kedai mesin judi, rumah urut, jualan arak di kedai serbaneka, dan pelbagai lagi punca penyakit sosial kembali lagi.
Bukan segala-gala unsur itu tidak ada secara mutlak, tetapi wujudnya terlindung, atau dalam bahasa mudah aktiviti tidak sihat itu tidak berlaku secara terbuka.
PAS Kelantan sentiasa kuat
Kita sedia maklum, PAS secara umumnya kini bersendirian selepas keluar dari Pakatan Rakyat dan tidak menyertai Pakatan Harapan (HARAPAN). Dan wujudnya perpecahan dengan tertubuh Parti Amanah Negara (AMANAH) sedikit sebanyak memberi kesan kepada parti itu sendiri.
Di Kelantan, PAS dilihat sudah tentu mahu mengekalkan penguasaan mereka walau apa jua situasi yang berlaku di peringkat nasional. Mustahil untuk parti itu melepas 'anak butir' mereka pada PRU ke-14 kelak.
PAS Kelantan masih kuat walaupun sedikit sebanyak terkesan dengan kewujudan AMANAH khususnya.
Sayangnya, jika dilihat momentum pentadbiran PAS selepas PRU ke-13 lalu, tiada pencapaian yang besar dan boleh dibanggakan dalam aspek pembangunan ekonomi, infrastruktur awam, sosial dan seumpamanya.
Atau mungkinkah Kelantan menerima projek-projek pelaburan impak tinggi yang tidak didedah secara umum?
PAS secara holistik mentadbir Kelantan dengan meneruskan rangka sedia ada yang ditinggalkan daripada hasil tangan Nik Abdul Aziz.
Tidak dapat dipastikan setakat sebab-musababnya. Mungkinkah mereka kekeringan idea? Atau kering kantung selain mengharap belas ihsan kerajaan persekutuan dan syarikat-syarikat swasta yang pastinya mengutamakan keuntungan.
Kenyataan itu mungkin dipandang sebagai 'bias' yang boleh disangkal, namun hakikatnya sukar ditolak.
Dalam politik PAS, mereka yakin parti itu akan tetap bertakhta di hati pengundi Kelantan yang sentiasa mahukan sentuhan syurgawi, dan menolak pelampau duniawi.
Bagi PAS di situlah kekuatan mereka yang berjaya dipupuk secara tradisi.
Sentuhan halus AMANAH
Sementara itu, parti AMANAH yang lahir daripada serpihan PAS menjadikan Kelantan sebagai tumpuan utama mereka.
Setakat ini keberadaan dan pengaruh AMANAH di Kelantan masih kabur. Terlalu awal untuk memberi jangkaan mudah betapa mereka dapat menawan hati pengundi negeri ini.
Bukan tidak ada, tetapi ia terlalu subjektif. Lawan terkuat kepada PAS Kelantan masih lagi Umno. AMANAH hanya hal kecil yang mungkin tidak perlu terlalu berada dalam khayalan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.
Namun, PAS sendiri perlu ingat bahawa AMANAH akan bergerak sebagai entiti dalam HARAPAN. Justeru, pengundi mungkin tidak menilai AMANAH semata-mata sebaliknya membuka mata terhadap gabungan HARAPAN itu sendiri.
PAS tidak boleh terlalu sedap duduk di tempat sekarang kerana AMANAH bakal menjadi ancaman dan membuka peluang kepada Umno untuk meraih kelebihan undi jika berlaku pertandingan tiga penjuru.
Tidak mustahil keadaan itu berlaku jika pecahan undi antara PAS dan AMANAH atau mana-mana parti kompenan HARAPAN terlalu ketara.
Cap bunga yang melankolik
Dalam wacana kedai kopi rakyat kebanyakan di negeri ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah paling tidak popular.
Di kalangan penyokong PAS dan Umno, BERSATU digelar sebagai 'parti cap bunga' yang pengaruhnya belum mengancam.
Ramai orang bercakap mengenai pendirian politik Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi tidak banyak yang menyentuh BERSATU itu sendiri.
Sama seperti AMANAH, nasib BERSATU dicanang musuh sebagai tempat bersila orang-orang kecewa atau berkepentingan peribadi.
Kekuatan BERSATU di Kelantan juga tidak jelas, pengaruhnya subjektif dan dampaknya hanya boleh dilihat bertenaga melalui HARAPAN.
Mereka diyakini akan memberi tumpuan terhadap kawasan-kawasan yang dimenangi Umno dengan majoriti tipis dalam PRU lalu.
Bagaimanapun, gerak kerja BERSATU agak melankolik dengan kekuatan jentera yang terhad. Mereka pastinya bersandar pada pengaruh HARAPAN dan Dr Mahathir selaku pengerusi parti.
PKR Kelantan tersepit
"JKR (Jabatan Kerja Raya) lebih kuat berbanding PKR Kelantan" - itu antara ayat gurauan yang keluar dari mulut sesetengah peminat politik tempatan apabila ditanya kesediaan parti itu menjelang PRU ke-14.
Isu perundingan antara PKR dan PAS di Kelantan yang hangat diperbincangkan kini memperlihatkan betapa PKR mencari jalan lebih selamat.
Sekiranya ada persetujuan antara kedua-dua parti itu kemungkinan besar PAS akan memberi laluan kepada PKR untuk bertanding tanpa pertembungan tiga penjuru.
PKR Kelantan dilihat tersepit dengan kemelut dalaman parti di peringkat pusat. Putusnya tahaluf siyasi antara PKR dan PAS nampaknya belum benar-benar berlaku apabila masih ada sesetengah pimpinan parti itu yang berpendirian untuk masih bergantung pada PAS.
Namun, PKR Kelantan pastinya mahu kekalkan kerusi yang dimenangi mereka pada PRU lalu sama ada melalui pembahagian kerusi antara kompenan HARAPAN atau kaedah perundingan dengan PAS.
Secara keseluruhannya, Kelantan dilihat bakal menempuh satu arus politik baru selepas terkuburnya Pakatan Rakyat dan PAS memilih jalan membentuk Gagasan Sejahtera.
PAS bakal menghadapi cabaran hebat. Jika usaha mengekalkan pentadbiran Kelantan pun dirasakan sudah mencabar, bagaimana pula usaha mereka untuk memperluaskan pengaruh di negeri-negeri lain agaknya.

N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini berpangkalan di Kota Bharu, Kelantan.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com