innity

pages

Sunday, September 10, 2017

Arab Saudi Negara Kaya PINJAM dengan IMF, Apa Sudah Jadi?

A KADIR JASIN
ARAB Saudi, negara pengeksport petroleum terbesar di dunia tiba-tiba terpaksa meminjam daripada pasaran kewangan antarabangsa, termasuk daripada Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF).

Ia bukan sembarangan negara. Ia adalah negara beraja mutlak dengan rizab minyak kedua terbesar di dunia dan menjadi pelindung dua kota suci Islam – Makkah dan Madinah.

Adakah ia sudah muflis atau hampir muflis hingga terpaksa pinjam AS$10 bilion (kira-kira RM43 bilion) daripada IMF?

Orang yang tahu berkenaan kewangan antarabangsa pula tentu hairan mengapa ia meminjam jumlah yang kecil. AS$10 bilion adalah jumlah kecil bagi negara kaya macam Arab Saudi.

Mereka juga tahu bahawa pinjaman IMF adalah jalan keluar penghabisan bagi negara-negara yang mengalami masalah kewangan kronik. Adakah ini bermakna Arab Saudi sedang mengalami masalah kewangan yang teruk?

Kita tahu bahawa boleh dikatakan semua negara pengeksport minyak menderita pengurangan hasil yang teruk apabila harga minyak mentah jatuh merudum daripada kira-kira AS$147 (kira-kira RM646.80) setong pada tahun 2008 kepada sekitar AS$47 (RM206.80) setong sekarang.

Saudi mengeksport kira-kira 7.5 juta tong minyak mentah sehari dan inilah hasil utama kerajaan. Boleh dikatakan hampir keseluruhan perbelanjaan negara ditampung oleh hasil minyak.

Yang jadi persoalan ialah ke manakah perginya pendapatan minyak Arab Saudi selama ini? Adakah semua habis dibelanjakan?

Kerajaan Saudi masih ada rizab walaupun jumlahnya jatuh dengan teruk daripada AS$737 bilion (RM3,242.8 bilion) pada Ogos 2014 kepada kurang daripada AS$500 bilion (RM2,200 bilion) April lalu, iaitu paras paling rendah sejak tahun 2011.

Jawapan mutakhir tentulah susah diperoleh kerana sebagai negara beraja mutlak (absolute monarchy), pemerintah tidak perlu berkongsi maklumat dengan rakyat jelata.

Berbanding kekayaan hasil buminya, Arab Saudi tidaklah terlalu banyak berhutang. Ia menduduki tempat ke-34 dalam dunia dengan hutang sebanyak AS$200.9 bilion (RM883.96 bilion). Malaysia yang menduduki tempat ke-33 lagi banyak berhutang dengan jumlah AS$201.8 bilion (RM887.92 bilion) pada 31 Mac lalu.

Masalah ekonomi Saudi ialah ia terlalu bergantung kepada hasil minyak. Menurut laporan Middle East Monitor, sebuah organisasi pemantauan media yang berpangkalan di London, pemerintah Arab Saudi tidak melabur secukupnya di dalam negara untuk memajukan prasarana, teknologi makanan, teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) dan sumber manusia.

Sebaliknya pelaburan disalurkan ke luar negara, terutama ke negara-negara Barat. Awal bulan lalu, Fahd bin Jumaa, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan Majlis Syura Arab Saudi memberitahu Arab News perangkaan Perbadanan Jaminan Kredit Arab (Dhaman), mendapati pelaburan Arab Saudi di luar negara berjumlah AS$$41.4 bilion (RM182.16 bilion) di antara tahun 2003 dengan 2015.

Terdapat sebanyak 526 projek Saudi yang dimiliki oleh 240 syarikat di 30 buah negara dengan peluang pekerjaan sebanyak 96,000.

Ini, kata Fahd merugikan rakyat jelata Saudi. Majlis Syura telah mencadangkan agar kerajaan mengenakan cukai 20 peratus ke atas pelaburan Saudi di luar negara. Kini, rakyat jelata Saudi mula bimbang mengenai masa depan negara mereka yang terkenal sebagai negara tanpa cukai dan sarat dengan subsidi.

Tanda keterdesakan kerajaan Arab Saudi ialah apabila ia mengenakan cukai keluarga sebanyak 100 riyal (kira-kira RM111.70) sebulan, memperkenalkan cukai tokok nilai (VAT) serta menarik balik subsidi air, elektrik dan minyak.

Rakyat jelata dan orang asing yang mencari rezeki di negara itu mula mengalami kesukaran dan kesusahan. Tetapi IMF dan pasaran kewangan antarabangsa gembira kerana Arab Saudi tidak lagi bebas di segi kewangan.

Campur tangan IMF menjadi prasyarat kepada bank-bank antarabangsa memberi pinjaman. IMF masuk untuk menjadi saksi dan penjamin bahawa Arab Saudi akan mematuhi syarat-syarat hutang dan sekiranya sesuatu terjadi, duit yang dipinjam daripada IMF itulah yang akan digunakan untuk membayar balik hutang Arab Saudi.

Sebab itulah kita selalu mengingatkan diri dan kerajaan kita agar jangan terlalu asyik berhutang walaupun ada pihak di dalam dan luar negara yang boleh memberi hutang dan mereka memuji fundamental ekonomi kita padahal rakyat jelata semakin hari semakin tertindas.

Sebab itulah apabila berlaku Krisis Kewangan Asia 1997/98, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, seboleh-bolehnya menolak campur tangan asing, khususnya IMF, dalam urusan ekonomi dan kewangan negara.

Wallahuaklam.

1 comment:

  1. Mungkin haritu najib dapat derma 2.6 billion dari keluarja diraja afrika, raja abumbi II kot?

    Mustahil kerajaan arab saudi pinjam wang dari imf,kerana keluarga diraja mereka boleh beri derma 2.6 billion kepada najib?

    Bukankah rizab negara ada peningkatan? Bukankah ekonomi negara menunjukkan peningkatan?

    Mustahil amaran pakar ekonomi tempatan mengatakan, keadaan ekonomi jangka sederhana dan jangka panjang tidak dapat dikekalkan mengikut senario keaadaan hari.

    Antara pakar ekonomi ini adalah Bekas timbalangabenor Bank Negara Malaysia ( BNM), Tan Sri Lin See Yan yg melihat masa depan malaysia yg malap ini.

    Bagaimana pula dengan hutang negara yg hampir mencecah 1 trillion?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com