innity

pages

Friday, September 8, 2017

Amanat Dr M lawan Amanat Hadi


Pada Pilihan Raya Umum ke-13, BN bertembung dengan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada tiga parti politik - PKR, PAS dan DAP dengan teraju utama, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menguasai 52 peratus undi rakyat Malaysia.
Dalam masa beberapa bulan lagi, BN akan bertembung pula dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dianggotai empat parti politik yakni BERSATU, PKR, AMANAH dan DAP dengan teraju utama Tun Dr Mahathir Mohamad dalam PRU14.
Bezanya pada PRU kali ini, pakatan pembangkang tidak disertai oleh PAS setelah Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama lima panglima 'tembikai' parti Islam itu memutuskan untuk tidak sertai HARAPAN pada PRU14.
Bagaimanapun, 'kehilangan' PAS dalam pakatan pembangkang telah digantikan dengan BERSATU dan AMANAH. Maknanya, hilang satu, dapat ganti dua.
Dengan perkembangan semasa itu, rakyat tertanya-tanya potensi pembangkang untuk mengambil alih Putrajaya setelah PAS tidak mahu bersepakat dalam pakatan pembangkang seperti yang ditunjukkan pada PRU13.
Kalau menurut kajian Institut Darul Ehsan (IDE), HARAPAN jika bersepakat dengan PAS boleh menang besar sehingga menguasai tujuh negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Kedah, Perak, Pahang dan Melaka.
'Pengebom berani mati'
Namun, PAS tetap tidak mahu untuk bekerjasama atas apa jua alasan, dan bagi PAS ia tidak mengapa atau 'takpa' kata orang utara.
Takpa - kerana PAS diramal mengalami banyak kekalahan dan gagal untuk mempertahankan 21 kawasan daripada 73 kerusi yang ditandinginya pada PRU13.
Menurut congakan Ketua Anggota Parlimen DAP, Lim Kit Siang, PAS sanggup membiarkan calon-calon parti itu menjadi 'pengebom berani mati' dengan harapan dapat memenangkan BN dalam pertembungan tiga penjuru.
Takpa - kerana jika dibandingkan aura Mahathir dan Abdul Hadi yang pernah menuturkan amanat beliau pada 1981, boleh dikatakan Mahathir lebih hebat.
Walaupun dikatakan pakatan pembangkang tidak lagi mendapat undi PAS, namun aura Mahathir masih mampu untuk menawan undi ahli-ahli Umno untuk mengundi HARAPAN.
Logiknya bernas, atas sebab Mahathir mempunyai pengalaman dan kepakaran tersendiri dalam menumbangkan ramai perdana menteri - terbaru Tun Abdullah Ahmad Badawi menerusi PRU12.
Teori RAHMAN
Jika diimbas kembali teori RAHMAN yang menyebut bahawa Datuk Seri Najib Razak adalah perdana menteri terakhir dari Umno, kita juga harus ingat bahawa Mahathir jugalah individu yang membunuh karier politik Tunku Abdul Rahman.
Pada PRU14, Mahathir tanpa paksaan mana-mana pihak sudi untuk menyertai pakatan pembangkang untuk menumbangkan Najib sekali gus mengakhiri pemerintahan BN selama berdekad-dekad lamanya.
Jadi, kali ini, Mahathir juga akan menamatkan teori tersebut yang benar-benar terjadi selepas hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disebut-sebut bakal menjadi perdana menteri selepas Mahathir, tidak kesampaian.
Seakan menuruti teori RAHMAN, Mahathir mengangkat seorang lagi pemimpin Umno yang namanya bermula dengan huruf A iaitu Abdullah selepas menyingkirkan Anwar.
Abdullah pula, seakan-akan 'terasuk' untuk mengikuti teori tersebut, bertindak menyerahkan jawatan nombor satu negara itu pada pemimpin Umno yang namanya bermula dengan huruf N iaitu Najib.
Sama ada mahu percaya atau tidak, teori RAHMAN telah menjadi nyata dan jika ia terus berlaku, nama perdana menteri terakhir dari Umno akan bermula dengan huruf N. Semua orang tahu siapa beliau.
Justeru, Mahathir mungkin menjadi individu yang melengkapkan teori RAHMAN kerana beliau jugalah individu yang menumbangkan kerjaya politik bapa kemerdekaan tersebut.
Amanat Dr M
Faktor atau amanat Mahathir, menjelang PRU14 agar tumbangkan Najib dan BN bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Antara amanat Mahathir yang dinyatakan dalam bentuk sajak sebelum ini ialah :
Aku tidak perlu apa-apa kekayaan
Aku mengerti umurku yang tua
menunggu masa bertemu Ilahi
Aku boleh selesa diam tidak bersuara
Supaya dijulang dan diangkat oleh mereka
Sepanjang nafas dan usia

Tetapi aku harus bersuara di akhir hayat
Tanpa meminta apa-apa untuk diriku
Malah tidak mengapa aku dihina dan dicerca
Semuanya kerana mataku melihat kemusnahan
oleh pemimpin di puncak kuasa
Yang rakus dan boros tidak terhalang
Menabur rasuah dan membeli orang

Pada mata tuaku
Aku melihat hutang berbilion
yang akan dibayar oleh cucu dan cicit rakyat
Aku melihat wang dipinjam hari ini
seperti tiada lagi hari esok

Semuanya
untuk membeli segala undi
untuk membeli segala kuasa

Pada senja hayatku
Aku melihat apa yang dibina berdekad lama
Dimusnahkan dengan wang
yang bukan miliknya

Dia menghidangkan wang haram untuk semua memujanya
Dia menjanjikan bulan dan bintang kepada semua tanpa mengira harga yang perlu dibayar
oleh cucu cicit kita setelah dia tiada lagi bernafas

Segala wang haram
Disamun, dirompak dan dipinjam secara halus
Untuk dibayar oleh rakyat

Wang haram diselerakkan untuk suap dedak mereka yang tiada lagi nilai dan hormat diri

Mereka menjual negara
Mereka menjual diri
Mereka menjual maruah
Mereka menjual agama

Aku tidak dapat melakukan semua
Namun pada yang muda kusematkan harap
Untuk membetulkan Malaysia
Dengan bersama, BERSATU, berganding
Supaya ia tidak tenggelam
Dengan tangan kotor
Dan harganya dibayar
Oleh cucu dan cicit kita
Selain itu, Mahathir juga pernah berkata :
"Kita setia kalau parti itu jalankan tugasnya dengan baik, Umno tidak lagi dipimpin oleh pemimpin yang berwibawa, dipimpin oleh pemimpin yang dikenali oleh seluruh dunia.
"Umno kini tidak lagi perjuangkan rakyat, hanya perjuangkan Najib.
"Kalau nak lawan Umno, kena lawan dari segi semangat kerana semangat ini tak boleh dijual beli.
"Kalau kita sayang negara kita, kita sayang masa depan anak cucu kita, kita mesti kuat semangat untuk lawan Umno, kuat semangat untuk selamatkan negara kita, saya dah tua, esok lusa mati dah...", kata Mahathir.
Dengan jangkaan berlakunya peralihan 10 peratus undi Melayu dan 5 peratus undi bukan Melayu daripada BN kepada HARAPAN, Malaysia mampu mengalami tsunami Melayu pada PRU14.
Ini kerana, pengundi berbangsa Melayu termasuk dalam kalangan ahli-ahli Umno akan memberikan sokongan kepada Mahathir.
Penyokong PAS sebelum ini yang tetap menyokong Abdul Hadi tetapi mempercayai pelakuan Najib dalam skandal 1MDB mungkin tidak akan keluar mengundi.
Trend undi Cina, India
Para pengundi berbangsa Cina dan India pula akan terus memberikan undi mereka kepada HARAPAN atas sebab terlalu bencikan isu 1MDB, pendedahan Jabatan Keadilan (DOJ) selepas ini selain menghargai rekod pentadbiran Pulau Pinang dan Selangor selepas 2008.
Bak kata Kit Siang baru-baru ini, jika gandingan 3M iaitu Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz tidak mampu mencetuskan tsunami Melayu pada PRU14, maka tiada sesiapa lagi yang boleh melakukannya.
Apapun, sama ada BN mahupun HARAPAN, kedua-dua gabungan sedang bersiap dengan 'peluru' masing-masing untuk dihamburkan pada PRU14, sama ada tsunami Melayu buat parti Najib atau pakatan Mahathir.

AMRAN AHMAD NOR, anggota DAP yang juga bekas pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan Melayu dan masih menjejaki perjuangan arwah Ahmad Nor, bekas naib pengerusi DAP.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis - MK

3 comments:

  1. Strategi memenangi hati org melayu haruslah diberi tumpuan kepada 4 golongan iaitu;

    1.peneroka felda
    2.golongan belia
    3.kakitangan kerajaan
    4.golongan pesara

    Antara strategi yg perlu menyakinkan mereka adalah;

    1.hapuskan gst
    2.kekalkan bantuan kepada rakyat seperti brim
    3.hak agama islam melayu dan kepentingan bumiputra dipergiatkan lagi.
    4.tanah kaum melayu bumiputra.
    5.kerajaan bersih cekap amanah dan berintegriti.
    6.biasiswa dan bantuan pelajaran.
    7.meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kesihatan.

    InsyaAllah jika perkara ini dilakukan kemenangan besar boleh dicapai.

    Undilah pakatan harapan, sekaligus menyelamatkan negara yg sudah terlalu korup demi masa depan anak2 kita.

    Ya Allah selamatkanlah negaraku!

    ReplyDelete
  2. Anon 12:24 apa yang kau dok merepek setan! kik3

    ReplyDelete
  3. Perbezaan amanat Tun Dr.M lwn Hj Hadi?

    1.Amanat Tun Dr.M.

    Menghantar tentera mengempur tentera serbia di bosnia, hanya selepas itu, iran,arab saudi,pakistan dan lain2 negara islam menghulurkan bantuan.

    Selepas Perang Bosnia reda, Tun hantar pula hantar tentera pengaman ke Bosnia, selepas ini pula, negara barat dan islam lain turut menghantar tentera pengaman mereka.

    Kesannya?

    Hari ini Bosnia aman damai, bahagia sejahtera dan berjaya sepertimana kami rakyat merasai nikmat kegemilangan malaysia semasa zaman Tun Dr Mahathir. Bagaimanapula dengan Hari ini? Najib?

    2.Amanat hj hadi?

    peristiwa memali

    dan bercelomot, berpelukan,berpegang tangan, bahu bergeseran dengan najib pada saat ketika mereka menaiki dan menuruni anak tangga stadium tasik titiwangsa, kami rakyat terharu melihat aksi berdua mereka ini, kerana seorang penyamun dan seorang lagi penerima laba habuan hasil rompakan terhadap rakyat.

    Kesannya?

    Bantuan kepada rohinghya melalui kapal tempohari jatuh ketangan majoriti tentera dan penduduk beragama buddha myanmar, manakala baki tertinggal diagih agihkan kepada pelarian rohingya oleh kerajaan myanmar.

    Terbaru, dengan bantuan hj hadi dan najib, tentera myanmar sudah pun menanam periuk api dan jerangkap samar sepanjang sempadan mereka dengan bangladesh dengan tujuan menghalang pelarian rohingya kembali ke negeri mereka.

    Kepada pembaca dan rakyat malaysia, kurniaan dan anugerah akal diberikan ini, kita boleh beri rumusan, berfikirlah mana baik dan yg buruk diantara amanat Tun Dr Mahathir lwn Hj Hadi.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com