innity

pages

Saturday, July 22, 2017

Kesatuan Ulama Asia perlu ditubuhkan


KOTA BHARU, 28 Syawal 1438H, Sabtu – Nadwah Ulama Antarabangsa Rantau Asia telah memuktamadkan sepuluh resolusi untuk dilaksanakan, antaranya mewujudkan Kesatuan Ulama Asia dan Timur Jauh yang berpusat di Kuala Lumpur.
Kesatuan itu perlu ditubuhkan dengan tujuan menyelaraskan isu-isu umat Islam di rantau Asia dan sekitarnya.
Resolusi yang dibacakan oleh Pengerusi Nadwah Ulama yang juga Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Dr Nik Zawawi Nik Salleh turut menggariskan agar diwujudkan permuafakatan antara negara minoriti dengan negara majoriti muslim agar kekuatan Islam dapat digarap secara berkesan sekali gus dapat menaungi umat Islam yang lemah.
Nadwah yang berlangsung selama dua hari bermula semalam telah menampilkan tokoh-tokoh ulama tempatan dan antarabangsa membincangkan peranan ulama bagi memantapkan perpaduan umat Islam serantau.
Sepuluh resolusi nadwah adalah seperti berikut:
1. Mewujudkan Kesatuan Ulama Asia dan Timur Jauh yang berpusat di Kuala Lumpur untuk menyelaraskan isu-isu yang berkaitan umat Islam.
2. Mewujudkan permuafakatan antara negara minoriti dengan negara majoriti muslim agar kekuatan Islam dapat digarap secara berkesan dan sekali gus dapat menaungi umat Islam yang lemah.
3. Memastikan segala isu dan permasalahan dalam setiap negara Islam dan umat Islam tidak perlu dilibatkan campur tangan pihak luar (negara Barat) di dalam menanganinya.
4. Mempelopori usaha untuk mengharmonikan isu-isu khilafiyyah di kalangan masyarakat supaya tidak memberi ruang kepada musuh memecahbelahkan kesatuan umat Islam.
5. Mempergiatkan pengembangan ilmu Islam di kalangan masyarakat di negara masing-masing dengan pelbagai wasilah yang ada.
6. Mengambil inisiatif yang bersungguh-sungguh untuk melahirkan ulama pelapis yang akan mewarisi kepimpinan ulama di seluruh negara rantau Asia.
7. Menangani permasalahan dan isu umat Islam yang ditindas di negara -negara minoriti muslim seperti Chechnya, Pattani, Rohingya, Kashmir, Wilayah Xinjiang dan lain-lain.
8. Mengecam sekeras-kerasnya tindakan terkutuk yang telah dilakukan oleh rejim Zionis Yahudi dengan penutupan Masjidil Aqsa yang bertujuan untuk meroboh dan memusnahkannya.
9. Memahamkan masyarakat khasnya umat Islam bahawa Islam adalah agama pembawa kesejahteraan dan kesederhanaan ke arah mengekang pengaruh radikalisme dalam kalangan umat Islam.
10. Menggembleng tenaga ulama untuk mengembalikan peradaban Islam rantau ini sebagai model peradaban Islam sejagat.
- ismaweb

1 comment:

  1. Kenapa Asia sahaja...kenapa tak satu duniya??? Sohih la ni mengejar jawatan...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com