innity

pages

Friday, July 28, 2017

MCA marah DAP banyak bantu Melayu

MCA menyelar DAP yang berkata parti itu meminggirkan masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu, dan mempersoalkan kerajaan Pulau Pinang kerana lebih banyak membantu Bumiputera daripada kumpulan lain.
“Selepas mengambil alih Pulau Pinang pada 2008, dalam hanya 8 tahun, ketua menteri Pulau Pinang membelanjakan RM4.5 juta untuk hal ehwal Islam di negeri itu, tetapi memperuntukkan cuma RM7.7 juta yang diagihkan kepada semua agama lain,” kata Ketua Biro Publisiti MCA, Datuk Chai Kim Sen dalam kenyataannya.
Beliau turut mempersoalkan peruntukan RM8 juta oleh kerajaan Pulau Pinang kepada 20 buah sekolah aliran agama, di samping pemberian 90% kontrak kerajaan kepada Bumiputera.
Dibandingkan era Dr Mahathir, Pulau Pinang di bawah DAP lebih banyak memperuntukkan kepada masyarakat Bumiputera,” kata Chai.
Chai berkata DAP merupakan komponen paling lemah dalam gabungan Pakatan Harapan (PH), sambil menyifatkan slogan “Malaysian Malaysia” yang dibawanya “sudah terkubur”.
“Penyokong diperdaya oleh slogan ‘Malaysian Malaysia’ DAP. Amat jelas DAP sendiri tidak percaya atau mengamalkan slogan politiknya,” katanya.
Chai turut mempertikaikan jaminan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mempertahankan hak Melayu di bawah kerajaan PH, dengan berkata ia menunjukkan parti berteras Melayu itu mempunyai “pengaruh paling besar dalam gabungan itu walaupun hanya diwakili seorang ahli Parlimen”.
Sebelum ini, beberapa pimpinan Umno menganggap DAP mengawal hala tuju PH walaupun pemimpinnya tidak dipilih dalam 3 jawatan tertinggi gabungan itu.
Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata DAP adalah parti dominan dalam gabungan itu, dan barisan kepimpinan yang diumumkan hanya untuk mengaburi pengundi Melayu.
“Namun dalam demokrasi, angka tidak menipu. DAP kekal parti paling dominan. Orang yang memimpin DAP untuk separuh abad lalu kini bersembunyi di belakang seorang yang pernah memenjarakannya,” katanya merujuk Dr Mahathir dan Lim Kit Siang. - FMT

Thursday, July 27, 2017

Pas seperti KALAH sebelum bertanding

GAMBAR HIASAN: Mereka ini PAS atau BN? ini adalah Mesyuarat  Perwakilan UMNO Bahagian beberapa hari lalu

Pas kini dilihat sebagai parti yang seakan-akan kalah sebelum bertanding PRU14 apabila mengambil pendekatan bergerak sendiri tanpa bersama BN atau Pakatan Harapan.


Penganalisis Politik Ideas, Wan Saiful Wan Jan berkata, apa yang berlaku kepada Pas adalah kesan daripada kesalahan strategi parti itu.

Menurutnya, Pas gagal menguruskan perbezaan pandangan pimpinan parti tertinggi mereka.

"Disebabkan itulah, sebahagian kepimpinan tertinggi mereka keluar parti dan menubuhkan parti baharu.

“Pas dilihat seolah-olah bersikap seperti ahli politik. Mereka tidak boleh begitu, bahkan tidak boleh bersikap seperti NGO,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana sinar Harian siri ke-48 bertajuk Pakatan Harapan vs Barisan Nasional: Mari Kita Nilai, semalam.

Wan Saiful berkata, kesilapan itu membantu BN untuk mengatur kemenangan dalam PRU14.

“Sikap Pas memberikan faedah kepada BN,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pas daripada awal mengatakan mereka adalah gerakan Islam.

“Politik hanya wadah untuk menyebarkan Islam. Pas bukan semata-mata nak menang pilihan raya.

“Agenda mereka adalah membawa mesej Islam mengikut cara yang mereka tafsirkan,” katanya.

Wan Saiful berkata, usaha untuk membawa Pas progresif tidak akan berhasil kerana kebanyakan mereka lebih suka duduk sebagai konservatif sahaja.

“Pas kini kembali kepada sifat asal Pas yang hanya menjadi parti ketiga antara BN,” katanya. - SH

[ADA SELERA?] Polis tangkap lelaki ancam rogol Siti Kasim


Seorang lelaki tempatan ditahan kerana dipercayai membuat ancaman terhadap aktivis dan peguam Siti Zabedah Kasim, yang lebih dikenali sebagai Siti Kasim, melalui media sosial baru-baru ini.
Perkara berkenaan disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh ketika dihubungi.
“Saya mengesahkan bahawa suspek telah ditahan berhubung kes berkenaan semalam,”katanya ringkas kepada Bernama.
Beliau berkata suspek juga direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Beberapa hari lalu, peguam yang pernah mencetuskan kontroversi, terutama apabila membabitkan isu berkaitan perundangan Islam, membuat laporan polis berikutan ancaman yang diterimanya.
Dia mendakwa menerima pelbagai ancaman serius seperti mahu merogolnya, menyimbah asid ke wajahnya, merejamnya dengan batu, dan juga ancaman untuk memancungnya. - ismaweb

Wednesday, July 26, 2017

Sudah-sudahlah perjuangkan Anwar jadi PM ketujuh


Pakatan Harapan seharusnya tidak lagi memperjuangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh, kata penganalisis Politik Ideas, Wan Saiful Wan Jan.

Menurutnya, Pakatan Harapan seharusnya sedar, keadaan semasa Anwar dan harus mengangkat calon lain untuk menyandang jawatan tersebut.

"Sudah-sudahlah tu... Teruskan dengan calon lain.

"Untuk jawatan perdana menteri, fikirlah orang muda," katanya dalam Wacana Sinar Harian Siri ke-48 bertajuk Pakatan Harapan vs Barisan Nasional, Mari Kita Nilai.

Katanya, hari ini Pakatan Harapan dilihat lebih banyak tersangkut dengan kepimpinan orang lama.

"Daripada 1998 berlaku zaman reformasi hingga sekarang masih ada kumpulan-kumpulan yang berdebat apa nak jadi pada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.

"Beliau dalam penjara. Beliau tidak akan jadi perdana menteri ketujuh," katanya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk PKR berubah.

"Sedangkan, kalau dilihat di kalangan orang muda ramai yang boleh memimpin.

"Dalam Pakatan Harapan sendiri, ramai orang muda," ujarnya. - SH

Rafizi dakwa Malaysia ‘derma’ RM142 juta kepada Arab Saudi



Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini mendakwa bahawa Malaysia sebenarnya yang menderma kepada negara Arab Saudi, dan bukan sebaliknya.

Beliau merujuk kepada kerugian sebanyak RM142 juta oleh Prasarana Malaysia Bhd akibat pembabitannya dalam dua projek landasan kereta api di negara ini.

"Rakyat dapat melihat dengan jelas - yang menyumbang adalah Malaysia kepada Arab Saudi, bukannya Arab Saudi kepada Perdana Menteri Najib Razak," kata Rafizi pada sidang akhbar di bilik media Parlimen hari ini.

Projek kereta api Arab Saudi yang dirujuk oleh Rafizi itu adalah Al Mashaer Al Mugaddash Metro Southern Line (MMMSL) dan Makkah Shadow Operator.

Prasarana mempunyai kontrak RM930 juta untuk mengendalikan keretapi itu dari Disember 2014 hingga Mei 2018.

Rafizi berkata, berdasarkan laporan kewangan Prasarana yang bocor, yang diterimanya, menunjukkan bahawa menjelang Mei 2018, Prasarana akan kerugian SAR125 juta (RM142 juta) apabila jumlah pendapatan ditolak dengan kos operasi.

Beliau mendakwa bahawa jawapan parlimen bertulis daripada Kementerian Kewangan menyokong dokumen bocor yang diperolehinya itu.

Dalam jawapan bertarikh 24 Julai, Kementerian Kewangan menyatakan sehingga 30 Jun tahun ini, jumlah hasil daripada kedua-dua projek itu adalah RM580 juta, manakala jumlah perbelanjaan puloa adalah sebanyak RM679 juta.

Ini bersamaan dengan kerugian sebanyak RM99 juta.

Rafizi berkata laporan kewangan yang bocor itu menyatakan sehingga Mei 2017, jumlah hasil Prasarana daripada kedua-dua projek itu ialah SAR474 (RM530 juta), manakala jumlah perbelanjaan adalah SAR563 (RM630 juta).

Perbezaan antara dokumen bocor itu dan jawapan parlimen, katanya, berada dalam julat yang munasabah memandangkan perbelanjaan untuk bulan Jun dan Julai tidak diperincikan dalam laporan itu.

Walau bagaimanapun, jawapan parlimen juga menyatakan bahawa Prasarana telah membuat tuntutan sebanyak RM115 juta yang telah diluluskan tetapi belum diterima.

Malaysiakini telah menghubungi Prasarana untuk mendapatkan maklum balas mereka. - MK

((Live)) Sidang Media Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia


Suruhanjaya Tenaga: Kenaikan tarif elektrik, pengguna perlu bersedia dikenakan surcaj


Suruhanjaya Tenaga (ST) berkata, biarpun kerajaan amat prihatin dengan kenaikan tarif elektrik, pengguna seharusnya menyedari bahawa rebat yang dinikmati sekarang tidak akan berterusan selamanya dan perlu bersedia dikenakan surcaj.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Kanan Pembangunan Industri dan Kawal Selia Pasaran Elektrik suruhanjaya itu, Ir Azhar Omar berkata memandangkan pemberian rebat itu bukan bersifat kekal, rakyat perlu bersedia dengan kemungkinan itu dan menggunakan tenaga elektrik secara berhemah.
“Walaupun kita sepatutnya mengenakan mengenakan surcaj, tetapi atas sikap keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat, kerajaan masih menggunakan wang yang ada untuk menampung kenaikan.
“Ini kerana duit yang ada mungkin tidak dapat menampungnya pada masa hadapan. Rakyat perlu bersedia,” katanya dalam temu bual program “Santai Ekspresi” Bernama Radio, baru-baru ini.
Program bertajuk “Tarif Elektrik Kekal” ini telah disiarkan pada 6.15 petang, 11 Julai 2017 di frekuensi radio FM 93.9 MHz serta melalui platform media sosial Facebook live.
ST merupakan badan kawal selia industri bekalan elektrik di negara ini.
Mengulas selanjutnya, Azhar menjelaskan, kerajaan bukannya tidak dapat menanggung kenaikan kos tersebut, sebaliknya sumber kewangan itu sewajarnya digunakan bagi tujuan pembangunan ekonomi dan negara memerlukan banyak sumber kewangan untuk pembinaan hospital, jalan raya dan sebagainya.
“Peranan suruhanjaya ini ialah memastikan bekalan elektrik yang berdaya harap pada harga munasabah dan telah mengambil kira kos-kos membekal elektrik serta pulangan munasabah untuk pihak utiliti, kos-kos bekalan api dan sebagainya,” katanya.
Azhar berkata, ST juga tidak mahu syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) meraih keuntungan secara berlebihan, malah ia sedang melakukan audit ke atas TNB serta semua akaunnya bagi memastikan kos-kos yang ditanggung pada tempoh regulatori pertama adalah munasabah serta efisyen, sebagaimana yang ditetapkan.
“Tempoh regulatori pertama untuk proses semakan tarif akan berakhir pada 31 Disember 2017. Mulai 1 Januari, 2018, kita akan mulakan semakan kedua untuk tempoh regulatori kedua,” katanya.
Beliau berkata, dalam perjanjian pembelian tenaga (PPA) generasi pertama, kebanyakan pengeluar penjana bebas (IPP) mencatat sedikit keuntungan.
Atas dasar itu, kerajaan telah merundingkan kadar yang ditetapkan sebelum ini dan kebanyakan IPP bersetuju untuk mengurangkan harga.
“Kita telah kumpul sebanyak RM1.8 bilion. Selama ini, kita menggunakan dana ini untuk memberi rebat dan sebagainya.
“Sehingga Disember 2017, kita masih mempunyai baki (daripada RM1.8 bilion), tetapi untuk Januari dan seterusnya, saya kena tengok semakan sama ada (berlaku) peningkatan atau tidak,” katanya. 
Menurutnya, ST juga telah menggunakan RM1.3 bilion daripada jumlah dikumpul itu.
Inisiatif lain yang diguna pakai sejajar dengan perubahan persekitaran global itu adalah rebat Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT).
“Dasar rebat ICPT itu ialah untuk mengimbangi kos-kos yang tidak boleh dikawal oleh pihak utiliti.
“Ia berkait rapat dengan kos-kos bahan api dunia. Jika ianya tidak dapat dilepaskan dari segi rebat atau surcaj, kos ini terpaksa ditanggung oleh pihak kerajaan,” katanya.
Azhar berkata, bagi membolehkan TNB memberi perkhidmatan yang baik, ia juga memerlukan pendapatan yang boleh digunakan bagi menampung kos.
“Sekiranya kos asyik meningkat tetapi pendapatan masih tidak dapat diperolehi secara mencukupi, lama-lama ia (TNB) akan tutup, perkhidmatan akan merosot dan kerajaan terpaksa menyelamatkannya,” katanya. –  Bernama

Tulisan Terbaru Tun M: Kami tahu dan Tuhan lebih tahu, Jika berani bersumpahlah

1. Ada komen bahawa saya tahu isi kandungan laporan-laporan oleh Bank Negara, MACC dan Auditor General kepada Apandi. Ya. Saya tahu. Saya memang tahu.

2. Saya tahu isi kandungan laporan Bank Negara kerana A.G. Gani Patail telah menunjuk laporan itu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa dia masih menjadi Timbalan Perdana Menteri. Dalam ucapan Muhyiddin sebagai Presiden PPBM, dia sering menyebut berkenaan laporan-laporan yang ditunjuk kepadanya oleh A.G. semasa A.G. belum dipecat oleh PM. Dan kepimpinan PPBM, termasuk saya telah bincang laporan-laporan ini. Sebab itu saya tahu. Saya tidak akan cabar Apandi bersumpah jika saya tidak tahu kandungan laporan. Saya tahu A.G. Apandi bohong, sebab itu ia letak laporan itu di bawah Akta Rahsia Rasmi.

3. Kami tahu dan Tuhan lebih tahu. Jika berani bersumpahlah.

4. Wang tidak boleh dipindah dari satu tuan punya kepada tuan punya yang lain tanpa surat menyurat. Wang berbillion bahkan bermillion pun tidak boleh disimpan sebagai wang tunai. Ia perlu disimpan dalam bank. Jika melalui bank, bank juga akan masuk dalam buku akaunnya semua butir-butir berkenaan tuan punya, jumlah, matawang, haribulan, cek, bahkan kedudukan kewangan dan punca kekayaan orang yang menderma, atau membayar, atau membeli. Juga akan disebut nama penerima, haribulan, dan segala transaksi yang melibat wang berkenaan. Tidak mungkin wang tunai sebanyak itu diguna. Semua transaksi mengguna cek. Dan segala-galanya ditulis dalam cek berkenaan, dan buku akaun bank.

5. Satu surat dari pemilik asal tidak mencukupi. Siapa sahaja boleh tulis surat seperti ini. Dokumen-dokumen lain perlu ditunjuk sebagai bukti kebenaran kenyataan kedua-dua pihak, pemilik, penerima, bank yang mengeluar dan bank yang menerima. Setakat ini dokumen-dokumen ini tidak ditunjuk sebagai bukti.

6. Sesungguhnya pemidahan wang yang begitu banyak perlu direkod dalam berjela-jela kertas. Paper trail memang ada untuk pihak berkuasa menyelidiki akan kebenaran dakwaan oleh mana-mana pihak. Orang lain juga boleh mendapat maklumat jika mereka membuat kajian.

7. Tetapi dalam kes US$681 million bersamaan RM2.6 billion yang ada dalam akaun Najib di Ambank, selain dari kononnya pengakuan oleh penderma Arab, tidak ada dokumen lain untuk bukti kesahihan pemindahan wang yang begitu banyak kepada Najib. Kita juga perlu diberitahu bagaimana duit ini diperolehi oleh Arab kaya ini. Tentulah ia memiliki jauh lebih banyak dari duit yang diberi. Cakap mulut Arab, Najib dan A.G. tidak cukup untuk menyakini mahkamah atau orang ramai berkenaan punca USD 681 million yang masuk dalam akaun Najib. Juga bahagian yang kononnya dikeluar.

8. Sebaliknya Dept. Of Justice Amerika Syarikat memberi keterangan yang cukup berkenaan dengan pengaliran wang dari 1MDB kepada beberapa syarikat dan bank di Cayman Island, British Virgin Islands, Singapura dan akhirnya ke dalam akaun Najib di Ambank yang kemudian melalui beberapa bank dan syarikat kepada Jho Low. Jika DoJ membohong, samanlah jabatan ini. Tetapi Apandi atau Najib tidak saman walaupun tuduhan itu kena pada batang hidung mereka.

9. Jikalau Apandi tidak tahu semua ini ia patut berhenti dari jadi Pendakwa Raya (AG). Bahawa dia masih pegang jawatan penting ini ialah kerana dia melindung dan dilindungi oleh Najib.

10. Sesungguhnya satu lagi Royal Commission of Inquiry perlu diadakan untuk selidik kes ini. Jikalau isu tiga puluh tahun dahulu perlu disiasat kenapakah jenayah terkini disembunyi.

11. Berani kerana benar. Jika takut menubuh RCI untuk ini, sebabnya tentulah kerana salah.

[DEWAN RAKYAT] VIDEO: Noh Omar dan Hanipa Maidin bertelagah isu bomba, dakwa tak jawab soalan



Sidang Dewan Rakyat hari ini mencuri tumpuan apabila berlaku perang mulut di antara Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar dan Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin berkenaan isu bomba.

Pada mulanya, Noh sedang menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang berhubung masalah pembinaan bangunan bomba yang sering bertukar-tukar kontraktor yang sehingga kini belum lagi siap.

Kemudian, Hanipa bangun mencelah dan mendakwa Noh berkempen dengan tidak menjawab soalan ahli parlimen tersebut.

Perang mulut berlaku apabila Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad turut mencelah, namun berjaya dileraikan Timbalan Speaker Dewan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Najib dimohon SERAH KUASA dengan baik APABILA KALAH PRU14 kelak

Gambar Hiasan Semata-Mata
Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memastikan peralihan kuasa yang baik sebaik sahaja Umno BN tewas dalam pilihan raya umum akan datang.
Seruan itu dibuat presiden KEADILAN tersebut sebagai maklum balas kepada kenyataan Najib yang memburuk-burukkan pembangkang pada satu majlis bersama pelabur asing hari ini.

Saya ingin mencadangkan agar Datuk Seri Najib tidak memperlekeh kekuatan dan iltizam Pakatan Harapan dalam membina Malaysia yang lebih baik.
“Sebaliknya, beliau perlu mengumumkan bahawa beliau bersedia menerima kehendak rakyat dan memastikan peralihan kuasa yang baik sekiranya Pakatan Harapan pilihan raya umum ke-14 nanti,” katanya dalam kenyataan.
Najib hari ini mengkritik kerajaan Selangor di bawah pimpinan KEADILAN iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyaksikan PAS, KEADILAN dan DAP masih bergabung walaupun tiada kerjasama politik rasmi dengan PAS.
Menurut Wan Azizah, kenyataan Najib yang dibuat pada acara bukan politik itu memberi petanda akan ketakutan beliau terhadap kemungkinan hilang kuasa.
“Kenyataan Datuk Seri Najib hari ini menunjukkan betapa takutnya beliau sekiranya Pakatan Harapan memenangi PRU14, maka para kleptokrat dan perompak wang rakyat akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya. http://www.keadilandaily.com

[VIDEO] Forum bincang kesesuaian Tun M dalam PH jadi panas


KUALA LUMPUR: Sebuah forum membincangkan sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad sesuai memimpin gabungan pembangkang menjadi hangat dengan pelbagai pandangan dilontarkan, termasuk penyokong pembangkang yang membidas pimpinan Pakatan Harapan (PH) kerana mempertahankan bekas perdana menteri itu.
Presiden Amanah Mohamad Sabu, antara yang pernah menjadi tahanan politik di zaman bekas perdana menteri itu bagaimanapun berkata Dr Mahathir yang dianggap diktator dulu kini mengalami perubahan sikap apabila menyertai PH.
Malah Mat Sabu berkata pemimpin PKR, DAP dan Amanah yang menjadi “diktator” kepada pengerusi PPBM itu dalam menentukan sebarang keputusan ketika bermesyuarat.
“Saya yakin bahawa Tun Mahathir seorang, kami (pemimpin Amanah, PKR dan DAP) yang mengepung beliau dalam mesyuarat Pakatan Harapan, beliau tidak boleh menjadi diktator lagi, sudah 6 kali mesyuarat Pakatan Harapan dia tidak diktator,” katanya pada forum bertajuk “Mahathir Agen Perubahan atau Agen Pemusnah” anjuran Kelab Bangsar Utama, khusus bagi membincangkan perdana menteri paling lama memerintah itu.
Turut menjadi ahli panel dalam forum dihadiri lebih 100 orang itu ialah Ahli Parlimen Sungai Siput dari PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj, serta aktivis Hishamuddin Rais dan Haris Ibrahim.
Mat Sabu percaya Dr Mahathir berubah, memberikan contoh persetujuan beliau dengan beberapa tuntutan PH.
“Kami yang menjadi diktator kepada Tun Mahathir. Di antaranya, beliau setuju selepas Pakatan Harapan ambil alih pemerintahan, langkah pertama membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berusaha mendapatkan pengampunan diraja, kemudian untuk hapuskan GST,” kata Mohamad yang terkenal dengan panggilan Mat Sabu.
“Ini bukan senang beliau nak setuju, sama ada beliau berlakon atau tidak, yang penting beliau setuju dengan keputusan kita.”
Mat Sabu berkata pemimpin, Amanah, PKR dan DAP menerima Dr Mahathir dan sanggup melupakan permusuhan lampau demi menyelamatkan Malaysia daripada pemerintahan semasa Barisan Nasional (BN).
Pada forum itu, beberapa soalan peserta mendesak parti pembangkang yang kini bersatu dalam Pakatan Harapan tidak terlalu menjadi “pak turut” kepada Dr Mahathir.
Mat Sabu berkata isu utama ialah mejatuhkan Najib dan kerajaan BN, bukan mengungkit kembali kisah silam yang menurutnya tidak membantu menyelamatkan negara.
“Perubahan seseorang itu perlu dilihat pada fizikalnya, bukan pada hati. Sebab dalam hati kita tidak tahu.”
Mat Sabu berkata Dr Mahathir seorang yang sudah pencen dan tanpa kuasa, berlainan dengan Datuk Seri Najib Razak.
“Kita maki Mahathir 24 jam pun dia tidak boleh tangkap kita. Kalau maki Najib dan pemerintah sekarang, dia ada kuasa dan boleh ambil tindakan kepada kita. Sebab itu kalau nak uji iman kita, kita kena lawan pemerintah, sama juga dengan kami bila kami (PH) jadi pemerintah, kalau kami tidak betul, lawan kami,” katanya.
‘Bangang’ bercakar soal calon PM
Sementara itu, menyentuh calon perdana menteri pembangkang, Hishamuddin berkata ia tidak timbul kerana yakin PH tidak akan memenangi pilihan raya umum akan datang.
“Saya tidak percaya bahawa Pakatan Harapan akan menang dalam pilihan raya nanti. Najib akan menang, jadi jangan bangkitkan persoalan bangang siapa yang jadi perdana menteri dari Pakatan Harapan.
“Dalam negara dunia ketiga, tidak akan berlaku peralihan kuasa melalui pilihan raya,” katanya.
Hishamuddin sebaliknya berkata jalan terbaik menjatuhkan Najib dan kerajaan BN ialah melalui revolusi secara besar-besaran dengan menggabungkan seluruh pimpinan parti pembangkang.
Menurutnya, penyertaan bekas pemimpin kerajaan adalah perlu bagi melahirkan “gerakan massa untuk menjatuhkan Najib”.
Pada forum itu, ramai penyokong pembangkang yang hadir dilihat tidak setuju dengan pandangan yang mempertahankan Dr Mahathir.
Mereka rata-rata merujuk kembali peranan Dr Mahathir dalam melawan gerakan reformasi pada lewat 1990-an.
“Mahathir dulu diktator sampai sekarang. Pakatan Harapan tidak memerlukan diktator seperti Mahathir mengetuainya. Kami generasi Y kami tidak mahu Mahathir,” kata seorang peserta.
Menurutnya, selama ini pembangkang “menghasut” orang ramai membenci Dr Mahathir.
“Tapi sekarang kita disuruh percaya kepada Mahathir. Ini semua mengarut. Kami dah penat nak dengar ceramah badut-badut ini.” - FMT

[VIDEO] Ahli Parlimen DAP DIARAH KELUAR Dewan SEMALAM

PARLIMEN l Seorang ahli parlimen DAP diarahkan keluar dari sidang Dewan Rakyat apabila beliau berkeras bahawa Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam cuba mengelirukan Dewan Rakyat dengan mendakwa terdapat vaksin anti-rabies yang mencukupi.
“Tadi menteri kata vaksin mencukupi tetapi sebenarnya tak mencukupi,” kata Julian Tan Kok Ping (DAP - Stampin) sambil membangkitkan Seksyen 36 (12) Peraturan Mesyuarat.
Seksyen 36 (12) menyatakan bahawa mana-mana anggota yang membuat kenyataan yang mengelirukan dianggap sebagai menghina Dewan dan anggota itu boleh dirujuk kepada jawatankuasa hak dan keistimewaan.
Tan beberapa kali bangun dan cuba menganggu sesi pertanyaan lisan walaupun Timbalan Speaker Datuk Seri Ronald Kiandee mengarahkannya supaya duduk.
"Kamu belum dengar penjelasan saya, bagaimana kamu boleh memutuskan bahawa saya salah?" soal ahli parlimen pembangkang itu.
Kiandee, bagaimanapun, berkata seksyen 36 (12) hanya boleh dibangkitkan jika menteri berulang kali membuat pernyataan berkenaan dengan niat jahat.
"Sebab itulah saya kata duduk," katanya.
Tan terus berhujah bahawa wabak rabies semakin tidak terkawal walaupun kerajaan menegaskan sebaliknya.
Berikutan itu, Ronald meminta Tan keluar dari Dewan.
"Kenapa suruh keluar dewan. Ada krisis di kawasan saya, ada orang yang telah mati!” jeritnya sebagai tanda protes.

[VIDEO] ARMADA-Umno bertembung lagi di parkir, ini kesudahannya



Beberapa anggota Pemuda Umno dan ARMADA Bersatu bertembung di tempat parkir kereta di sebuah pusat beli belah ibu negara, selepas kekecohan di hadapan PWTC berjaya dileraikan pihak polis.

Petang tadi, kira-kira 30 anggota ARMADA mahu menghantar jemputan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menghadiri forum Nothing To Hide 2.0 bertukar kecoh apabila mereka dihalang oleh Pemuda Umno.

Kali ini, keadaan hampir kecoh di tempat parkir apabila Exco Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Hanifah 'berperang mulut' dengan Ketua Penerangan ARMADA, Ashraf Mustaqim bagi meminta penjelasan mengenai isu dakwaan memukul.

Bagaimanapun, Ashraf menafikan perkara itu.

Rakaman tersebut dimuat naik di Facebook Armand Azha.

Terdahulu, kira-kira 30 anggota ARMADA pada awalnya berarak dari Pusat Membeli Belah Sunway Putra menuju ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi menyampaikan jemputan kepada perdana menteri untuk berdebat dengan Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun mereka dihalang kira-kira 100 Pemuda Umno hingga menyebabkan berlaku tolak menolak.

[VIDEO] "Kau nak tampar aku?" ARMADA-Umno hampir bertumbuk di PWTC



Tindakan sekumpulan anggota Pemuda Parti Pribumi Bersatu (ARMADA) menghantar jemputan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menghadiri forum Nothing To Hide 2.0 bertukar kecoh apabila mereka dihalang oleh Pemuda Umno.

Kira-kira 30 anggota ARMADA pada awalnya berarak dari Pusat Membeli Belah Sunway Putra menuju ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi menyampaikan jemputan kepada perdana menteri untuk berdebat dengan Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun mereka dihalang oleh kira-kira 100 Pemuda Umno hingga menyebabkan berlaku tolak menolak antara mereka.

Dalam kejadian itu, Exco ARMADA, Ashraf Mustaqim mendakwa beliau turut ditumbuk.

Turut kelihatan beberapa anggota polis cuba menghalang dan mengarahkan kedua-dua kumpulan itu supaya bersurai.

Tuesday, July 25, 2017

[VIDEO] DUN Selangor panas isu 'pemakan dedak'



Persidangan DUN Selangor kecoh apabila beberapa ADUN pembangkang mencadangkan supaya perkataan 'dedak' tidak boleh digunakan di dalam dewan, pada petang semalam.

Pada mulanya, ADUN Sekinchan, Ng Sue Lim menemplak golongan dinamakan sebagai ‘pemakan dedak’ yang dipercayai merujuk kepada pemimpin Umno dan BN yang menerima imbuhan bagi mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam skandal 1MDB.

Bagaimanapun, perkataan 'dedak' dibantah ADUN BN yang mengatakan dedak juga merupakan bahan penting dalam sektor penternakan makanan haiwan.

Kemudian, ADUN pembangkang kemudiannya meminta supaya Sue Lim memberikan definasi sebenar perkataan ‘dedak’.

Bagaimanapun, permintaan pembangkang ditolak Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh berikutan Sue Lim bukanlah pihak yang mempunyai kuasa menjelaskan makna perkataan itu sebaliknya pihak bertanggungjawab dalam isu Bahasa Melayu seperti pakar bahasa.

Susana kecoh itu akhirnya dileraikan Hannah Yeoh dengan meminta Sue Lim meneruskan perbahasan usul dengan tidak menujukan kepada ADUN lain.

BERATUR PANJANG mahu semak Wang Tak Dituntut (WTD) di Menara Maybank


RATUSAN pemegang akaun bank beratur di Menara Maybank di Kuala Lumpur bagi membuat semakan wang di Bahagian Pendaftar Wang Tak Dituntut (WTD) Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) susulan isu WTD tular di media sosial sebelum ini.
Tinjauan Harian Metro sejak 9 pagi hari ini mendapati orang beratur panjang bagi mendaftar nama sebelum diberi nombor giliran untuk membuat semakan di Bahagian Pendaftar Wang Tak Dituntut, Tingkat 42.
Kakitangan JANM yang bertugas di kaunter berkata, orang ramai mula beratur sejak 8.30 pagi dan mereka terpaksa membahagikan barisan kepada dua bahagian iaitu warga emas dan bukan warga emas.
Keadaan bagaimanapun terkawal dan tidak menimbulkan suasana tidak diingini.
Wartawan yang turut beratur sejak 9.50 pagi terpaksa mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mendaftar nama di ruang kaunter kakitangan JANM sebelum sekali lagi beratur untuk naik ke tingkat 42.
"Encik perlu tunggu sebelum dibenarkan ke tingkat 42 kerana kita perlu mengurangkan kesesakan di Bahagian WTD.
"Setiap hari, kami hanya hadkan 2,000 pemegang akaun saja untuk membuat semakan," katanya.
Sehingga 11 pagi ini, orang ramai masih beratur untuk membuat semakan.
Seorang pemilik akaun yang enggan dikenali berkata, dia datang membuat semakan selepas terkejut melihat rakannya yang hanya mempunyai baki belasan ringgit di dalam akaun bank tidak aktif kira-kira 10 tahun lalu mempunyai sejumlah RM700 di dalam senarai WTD.
"Sebab itu hari ini saya sanggup beratur panjang sejak 10 pagi kerana kalau dapat RM300 ke RM400 pun sudah berbaloi," katanya.
Semakan WTD hanya boleh dibuat sendiri oleh pemilik akaun dengan hanya membawa kad pengenalan dan WTD akan dipindahkan terus ke mana-mana akaun mereka yang aktif. - MyMetro

(APA KATA PAS) Strategi BAJU HIJAU UMNO dipergiatkan

Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Langat 2017.








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com