innity

pages

Sunday, June 11, 2017

Tuduhan mufti larang baca Al-Fatihah lepas solat perlu diperbetulkan



Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk perbincangan dan diskusi yang boleh membuahkan manfaat kepada umat Islam dan seluruh masyarakat Malaysia, secara amnya.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, berkata pihaknya berpegang kepada prinsip dan paksi kebenaran serta sedia menarik balik sebarang kenyataan jika dapat dibuktikan salah.
“Kami menjunjung prinsip yang ditegaskan oleh Saidina Umar al-Khattab iaitu kembali kepada kebenaran itu lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan,” katanya dalam satu kenyataan dimuatkan dalam laman Facebook, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya mendapati ada yang menyebarkan sebahagian kecil kandungan daripada artikel asal ‘Irsyad Al-Fatwa Ke-121: Tanah kubur dibacakan surah Al-Qadr 7 kali‘ yang kemudiannya dipetik dan diberi tajuk ‘Hadis palsu kebaikan baca Al-Fatihah selepas solat’.
“Dinasihatkan supaya membaca artikel ini sehingga tamat kerana artikel yang diambil sebahagian kecil dan disebarkan itu seakan-akan menunjukkan larangan oleh SS Mufti WP untuk membaca Surah al-Fatihah selepas solat,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah, Zamihan Mat Zain, yang dianggap tersasar daripada apa yang hendak disampaikan oleh beliau mengenai bacaan Al-Fatihah selepas solat.
Zamihan dalam ceramahnya di Masjid Darul Ehsan, Ampang, baru-baru ini menyatakan ada pihak yang terbaca dalam Whatsapp kononnya ditulis oleh Mufti Wilayah Persekutuan bahawa amalan membaca Al-Fatihah setelah selesainya solat fardu itu disaring daripada Imam Ibnu Jauzi merupakan hadis palsu.
“Jadi ramai orang awam keliru dan rancu dengan kenyataan ini. Sebab dulu kita lepas sembahyang baca Fatihah, baca ayat Kursi, baca tiga Qul, baca dua ayat pada surah Ali Imran. Tiba-tiba ada tulisan daripada Mufti ini dan diviralkan mengatakan bacaan Fatihan lepas solat fardu yang diamalkan oleh Imam Ibnu Jauzi… Imam Ibnu Jauzi kata itu semua hadis palsu,” kata Zamihan.
Zamihan berkata, mereka yang berfahaman Wahabbi kini menjaja pandangan Mufti Wilayah Persekutuan ini yang mengatakan membaca Fatihah selepas solat fardu adalah hadis maudu, maka haram diamalkan amalan berkenaan.
Sehubungan itu, Dr Zulkifli berkata, pihaknya menjemput Zamihan untuk datang ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bagi merungkai salah faham dan isu-isu yang dibangkitkan, yang sedikit sebanyak mencalarkan imejnya sebagai Mufti Wilayah Persekutuan.
Katanya, sejak kebelakangan ini, pihaknya mendapati ada beberapa kenyataan daripada Zamihan yang seakan tersasar daripada maksud sebenar yang ingin pihaknya sampaikan.
“Malah, ianya langsung tidak menggambarkan pendirian kami dalam isu-isu tersebut. Sebagai contoh kenyataan bahawa “Mufti mengharamkan untuk membaca Surah al-Fatihah selepas solat” di sini [https://goo.gl/RMwQag],” katanya.
Beliau berkata, permasalahan itu timbul berpunca daripada dua faktor terbesar iaitu tidak membaca keseluruhan artikel yang dikeluarkan dan hanya bergantung kepada sebaran di media sosial semata-mata.
“Tidak ada apa yang kami ingin capai daripada pertemuan ini melainkan keharmonian dan solusi bagi salah faham ini. Kami amat tidak selesa jika kemelut ini berpanjangan dan mengeruhkan hubungan sesama Muslim,” katanya.

1 comment:

  1. Agaman bercelaru.ni.....kiamat latu tandanya..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com