innity

pages

Sunday, April 9, 2017

Semoga RUU355 bukan wayang hipokrit di padang siasah

ULASAN | Seluruh masyarakat dunia yang berfikiran waras mahukan keharmonian dan kesejahteraan dalam kehidupan masing-masing. Mana mungkin mereka sukakan kehidupan yang bergelumang dengan maksiat, pencerobohan dan kekalutan.
Buat masyarakat Islam khususnya, semua yang berpegang utuh kepada al-Quran dan sunnah pasti mempunyai impian untuk melihat Islam ditegakkan pada setiap aspek di negara ini.
Justeru usaha menambah baik dan meningkatkan fungsi mahkamah syariah adalah antara langkah awal ke arah itu.
Latar belakang RUU 355

Akta 355 adalah peruntukan yang memberi mahkamah syariah membicarakan kesalahan jenayah mengikut enakmen sesebuah negeri. Nama lain bagi akta ini ialah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
Hukuman maksimum yang tersenarai pada akta ini ialah denda RM1,000 dan penjara enam bulan. Pindaan pertama dilaksanakan pada 1984 untuk meluaskan lagi kuasa menghukum kepada tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan.
Selepas itu, akta ini dipinda lagi pada 1989 untuk diluaskan ke Sabah dan Sarawak [dinamakan sebagai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan dan Perluasan) 1989].
Pindaan terakhir berlaku pada 1997, tetapi ia hanya pada tafsiran sahaja, dan digelar Akta Tafsiran (Pindaan) 1997.
Kesemua pindaan diusulkan pihak kerajaan sehinggalah - buat kali pertama - pada 2016 apabila cadagan meminda Akta 355 dibawa melalui usul persendirian oleh Anggota Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertujuan untuk meluaskan lagi bidang kuasa hukuman mahkamah syariah.
Di situlah bermulanya polemik pertama berkenaan usul ini. Mengapa tidak diberikan kepada kerajaan saja membawa usul ini ?
Matlamat RUU 355

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Zuhdi Marzuki, dalam wacana RUU 355: Wajarkah Bukan Islam Bimbang? dengan jelas menyatakan bahawa matlamat utama usul pindaan Akta 355 itu adalah untuk meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah dan memberi ruang kepada profesyen kehakiman syariah.
Kronologi RUU 355

Tarikh 26 Mei 2016 merupakan hari pertama usul RUU355 berjaya dibawa di parlimen. Usul persendirian itu disenaraikan pada turutan ke-15 dalam mesyuarat parlimen. Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menggunakan Peraturan Mesyuarat 14(2) mencadangkan usul Abdul Hadi dinaikkan ke nombor satu.
Presiden PAS itu berjaya membacakan usul tersebut buat kali pertama. Ia merupakan usul persendirian pertama daripada pembangkang yang berjaya dibacakan dalam sejarah Dewan Rakyat. Tetapi atas faktor keterbatasan masa, beliau meminta perbahasannya ditangguh ke mesyuarat akan datang.
Penulis ulangi, faktor keterbatasan masa dikatakan sebab mengapa usul itu ditangguhkan.
Pada 24 November 2016, sekali lagi residen PAS diberi peluang membuka perbahasan kepada usul ini. Sekali lagi, ditangguhkan. Presiden PAS meminda RUU335 dengan memasukkan had hukuman penjara tidak melebihi 30 tahun, rotan tidak melebihi 100 sebatan dan denda tidak melebihi RM100,000.
Oleh sebab usul yang dipinda ini berbeza daripada usul terdahulu, maka perbahasannya ditangguhkan sekali lagi untuk memberi lebih ruang kepada anggota parlimen mengkajinya.
Diulangi: dikatakan penangguhan kali kedua adalah untuk memberi lebih ruang kepada anggota parlimen mengkaji.
Pada 18 Februari 2017, diadakan pula suatu himpunan di Padang Merbok, Kuala Lumpur bagi mengumpul kekuatan umat Islam.
Seluruh kronologi yang disebutkan di atas berlaku ketika usul persendirian Abdul Hadi menjadi buah mulut yang sangat hangat dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia.
Analogi lebuh raya lima lorong
Disebabkan polemik ini juga, berpuluh wacana dianjurkan, entah berapa banyak berita disiarkan media massa, dan yang paling parah, cukup ramai orang yang terlibat dalam praktik sangat buruk dalam agama iaitu mengkafirkan sesama umat Islam.
Amalan meraikan perbezaan pandangan dalam Islam tergadai dek kononnya ingin memperjuangkan Islam. Amalan mendengar hujah yang pelbagai tercalar, juga “kerana Islam”.
Pada wacana RUU 355: Wajarkah Bukan Islam Bimbang? itu, salah seorang panelis wacana tersebut memberikan analogi yang sangat menarik bagi merungkai polemik dan persoalan mengenai RUU355 ini.
Penulis sangat bersetuju dengan analogi yang diutarakan Dr Zulfakar Ramlee, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa.
“Pindaan Akta 355 ini seumpama permit atau lesen untuk membina lebuh raya lima lorong (lima lorong yang memperkasakan lima asas maqasid syariah).”
Apabila menyebut cadangan pembinaan lebuh raya, terdapat dua pandangan. Pandangan pertama daripada golongan yang tidak bersetuju, kerana tanahnya akan diambil, dan akan ada tol membebankan. Pandangan kedua pula datang daripada golongan yang bersetuju, dengan alasan pembinaan itu akan menjadikan perjalanan lebih lancar dan selesa.
Beginilah analoginya untuk usul pindaan Akta 355 ini. Ada yang tidak bersetuju kerana belum terbukti kesempurnaan proses perancangan dan beberapa isu teknikal untuk pindaan ini. Mungkin mereka bukan tidak bersetuju, sebaliknya cuma belum bersetuju.
Proses ke arah pembinaan lebuh raya memerlukan perancangan yang sangat rapi, seperti rundingan dengan pemilik tanah, bayaran pampasan sewajarnya, menyediakan pusat rehat dan rawat yang terurus baik. Ia bukan sekadar membina tol dan mendenda mereka yang melanggar peraturan.
Begitu juga untuk pindaan RUU355. Ia memerlukan perancangan yang rapi, rundingan dengan pelbagai pihak dan pelaksanaan dalam suasana yang adil dan jauh daripada fitnah.
Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Usul Abdul Hadi seolah-olah usul yang wajib disokong. Tidak boleh tidak. Lalu pada masa tertentu akhlak seseorang penganut Islam bertukar menjadi sesuatu yang sangat menjelekkan – kononnya atas nama Islam.
Dipamerkan dengann keanehan
Kemudian ada pula penngumuman oleh Presiden Umno dan timbalan perdana menteri mengenai cadangan kerajaan membawa usul berkenaan. Namun ia ternyata tidak menjadi kenyataan.
Apakah nasib RUU355? Ada yang mengatakan ia ibarat anak luar nikah, ada yang mendakwa ia ibarat bola sepak dan macam-macam lagi perumpamaan lain.
Sampailah tarikh 6 April 2017. Walaupun pada awalnya ia cuba dilambatkan oleh beberapa anggota parlimen, akhirnya ia berjaya dibawa oleh Abdul Hadi. Kemudian, disokong anggota parlimen Kota Bharu dengan perbahasan lebih kurang dua jam.
Kedua-dua mereka menyampaikan ucapan dengan cukup baik sekali.
Namun, alangkah malangnya, tiba-tiba sahaja Speaker Dewan rakyat menangguhkan sidang hingga ke tarikh lain.
Sekali lagi, usul ini dipamerkan dengan keanehan. Mengapa perlu tiba-tiba ditangguhkan padahal malam sebelumnya Dewan Rakyat hanya taamatk kira-kira jam 5 pagi?
Lebih membuatkan kita menggaru kepala, mengapa tiada anggota parlimen BN dan PAS bangun membantah? Mengapa speaker tidak buka perbahasan? Mengapa ada beberapa pihak harus bersorak sedangkan usul ini masih belum diluluskan?
Banyak lagi persoalan yang timbul mengenai drama yang nampaknya masih belum selesai ini.
Harapan

Apa sebenarnya sedang melanda? Ramai bertanya, mengapa usul ini harus ditakuti, mengapa tidak disokong sahaja seperti pindaan terdahulu.
Penulis berpandangan sebab utamanya ialah senario dahulu dan sekarang berbeza. Dahulu dibawa oleh kerajaan, tidak ditangguh sampai sebegini rupa, tidak ada sebarang himpunan diadakan dan tiada sesiapa dikafirkan. Namun kali ini, sangat berbeza dan lain dari sebelumnya.
Lebih mengecewakan apabila tiada seorang pun ahli parlimen dari Pakatan Harapan yang diberi peluang berbahas seperti yang diluahkan oleh anggota parlimen Pandan, Kapar dan Shah Alam.
Medan dakwah apa yang ingin kita bawa dan ketengahkan? Medan dakwah bagaimana yang ingin kita tonjolkan? Keadilan, kejujuran, kesopanan, keramahan semuanya hapus tergadai. Yang diketengahkan adalah caci-maki, pengkafiran dan hina menghina.
Dalam penubuhan sebuah negara yang berbilang kaum, penulis sangat bersetuju dengan saranan Prof Dr Siddiq Fadzil supaya perkataan “kafir” dibuang daripada perbendaharaan lisan kita dan diganti dengan “bukan Islam”. Ia jelas lebih menyerlahkan kesantunan Islam.
Dalam usaha ingin mendaulatkan Islam, sesetengah kita mengetepikan keadilan. Kita telah mengenepikan adab dan sopan santun. Islam apa yang diperjuangkan? Islam apa yang ingin ditegakkan? cukup banyak unsur Islam yang lain dinyahkan.
Mungkin kita sudah lupa apa yang pernah ditulis oleh Imam Ibn Qayyim dalam kitab I’lam al-Muwaqi’in: “Syariah itu binaan dan asasnya berdasarkan hikmah dan maslahah hamba di dunia dan di akhirat. Semuanya merupakan keadilan, seluruhnya merupakan maslahah. Setiap persoalan yang keluar daripada keadilan kepada kezaliman, daripada kasih sayang kepada sebaliknya, daripada maslahah kepada mafsadah, daripada hikmah kepada sia-sia, semua itu bukan dari syariah walaupun didakwa sebagai syariah menerusi tafsiran tertentu".
Penulis cuma berharap agar usul ini tidak digunakan sebagai modal politik pihak tertentu. Jujurlah jika mahu membawa Islam. Jika usul ini terus dilacurkan sebagai modal politik, nescaya negara kita akan terus berhadapan dengan penjual agama sehingga agama bakal jadi perkara paling laris menggapai keuntungan duniawi.
Harapan ramai pihak ingin melihat polemik ini terhenti dengan perbahasan di Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan lagi.
Penulis sayangkan Islam dan umatnya. Maka, penulis punya mimpi yang diyakini bukan sekadar fatamorgana, iaitu Islam menjadi agama yang ditonjolkan kesempurnaanya dari segenap aspek kehidupan, agama yang menjadi kebanggaan kepada seluruh umat Islam.
Dan yang paling penting, Islam menjadi agama yang mempesonakan penganut agama lain.
Semoga usul RUU355 tidak terus menjadi wayang hipokrit dalam padang siasah Malaysia. Kita harus sentiasa ingat bahawa Islam adalah agama dan warisan yang mesti dikongsi bersama seluruh masyarakat di dunia ini.
Penulis sangat yakin dan bersetuju dengan salah satu tulisan Sheikh Rached Ghannouchi, bahawa politik Islam bukan dalam keruntuhan tetapi sebenarnya mengalami proses pembentulan ke arah fasa baru, dengan urus tadbir yang lebih baik.
Ia melalui beberapa jejak langkah ke belakang dan bersiap sedia untuk pelancaran baru maju ke hadapan. Rintangan-rintangan yang dihadapi itu hanyalah titik-titik kejatuhan sementara pada rajah keluk peningkatan menyeluruh.
RUU 355 telah menjadi polemik yang mengecewakan ramai. Moga ia tidak terus mengecewakan.

MOHAMMAD MIRZAN ABDUL MAJID ialah pelajar tahun dua fakulti fiqh wa usuluh Universiti Mu'tah, Jordan.

3 comments:

  1. Sekiranya pandangan dtg dr org berfikiran positif, berpandangan jauh dan sayangkan bangsanya maka positiflah apa yg diimpikan oleh pencadang RUU355. Kalau nak tgk umat melayu gen muda kita dididik dgn tarbiyah dan hukuman keras sekaligus maka mrk akan berasa lebih berhati2, berfikir dua kali sebelum melakukan maksiat.

    Namun bagi yg memikirkan dr sudut mencari alasan tak mau apa2 perubahan berlaku pd kuasa mahkamah syariah atau mau buat secara drastik hukum hudud ni di mahkamah maka mrk akan membangkang.

    Apa2 pun jgn kita tertipu dgn jarum kaum yg memusuhi Islam. Mrk ini yg menggunakan medium media mengaku nuetral kononnya menentang sebab hal politik, hal hak asasi, juga sebab hal rasuah pemerintah tetapi adalah sebenarnya mrk tak mahu melihat kedudukan Islam bertambah kuat dan umat melayunya bertambah baik dan berjaya. Semakin ramai umat melayu menjauhi maksiat semakin rugi bisnes maksiat mrk. Iblis akan menjerit memarahi agen2nya syaitan yg bergerak memerangi Islam kerana gagal menghalang RUU355.

    ReplyDelete
  2. salam, penangguhan timbul isu. kalu sebelum ini, tangguh hingga pukul 4 pagi, apa salahnya pada hari terakhir, ditangguh sehingga jam 12 malam bagi menghormati ruu yang telah menjadi perbahasan sehingga dibahas di london dan padang merbok hingga ke masjid dan surau. kasi la peluang kepada ahli parlimen utk bahas walaupun ayat bodoh kerana speaker pun dah dengar ayat bodoh hampir belasan tahun. dengar jerlah untuk beberapa jam lagi untuk puaskan hati. nak tunggu bulan julai, ramai yang tak sabar. tapi bila tamat tanpa berbahas, maka timbul la isu dan semuanya perasan bagus ajer dan ramai rakyat tertipu dengan drama ini terutamanya penyokong pas yang buta cara diluluskan ruu keraa selama ini hanya membangkang ajer kerja ahli parlimennya.

    ReplyDelete
  3. Heran kenapa bentang ruu 355 last minute.knapa tk awal2..si lanun skrg tngah main wsyang dgn hadi. Kalau dia steady ada telor dh tentu kompenaan bn lain kena sokong ruu 355 diakan president bn..kita tunggu babak seterusnya wayang ni.rakyat tnga tunngu jer

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com