innity

pages

Tuesday, April 4, 2017

Mahfuz 'tak tahu' muktamar PAS April ini


Mungkinkah Datuk Mahfuz Omar kini sekadar melukut di tepi gantang PAS?
Bekas naib presiden PAS itu memberitahu, dia tidak dimaklumkan bahawa parti berkenaan akan mengadakan muktamar tahunannya pada hujung bulan ini.
Sebaliknya kata Mahfuz, setakat yang diberitahu muktamar PAS tahun ini akan diadakan pada Jun nanti.
Mengakui beliau masih menjadi anggota sah PAS, Mahfuz berkata, beliau akan hadir ke muktamar Jun nanti.
"Bulan enam nanti saya akan hadir. (Bulan April) saya tidak tahu, mana ada...," katanya ketika ditemui di parlimen hari ini.
PAS dijadual mengadakan muktamar tahunannya yang ke-63 mulai 29 April hingga 1 Mei ini di Alor Setar, Kedah.
Mahfuz adalah anggota parlimen Pokok Sena, Kedah, dan bekas pesuruhjaya PAS negeri itu.
Selain itu Mahfuz juga pernah dilantik sebagai ketua pemuda dan ketua penerangan PAS Pusat.
Tak semestinya jadi perwakilan
Bagaimanapun sejak selepas muktamar ke-61 PAS, Mahfuz dilihat selalu bersikap sinikal dan tidak sehaluan dengan pimpinan parti berkenaan.
Beliau sering hadir menyertai ceramah Parti Amanah Negara (AMANAH) yang sangat dimusuhi majoriti pimpinan PAS ketika ini.
Tindakan itu menyebabkan beliau digelar ahli "harum manis" dalam PAS - merujuk kepada buah mangga yang berwarna hijau tetapi berisi oren.
Malah pada pertengahan Februari lalu, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyarankan supaya Mahfuz meninggalkan PAS kerana sering mengkritik serta menyerang parti berkenaan.
“Seelok-eloknya dia yang keluar, daripada jadi macam sekarang ini, tidak tahu ke mana, duduk dalam PAS tapi serang PAS. Kritik PAS, baik dia isytihar keluar, buat apa duduk lama-lama dalam PAS,” kata Nik Amar yang juga naib presiden PAS ketika ini.
Sementara itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata, walaupun Mahfuz tidak dimaklumkan mengenai muktamar itu, beliau boleh hadir sebagai pemerhati jika tidak terpilih sebagai perwakilan.
Mengakui tidak pasti kedudukan Mahfuz sama ada dilantik menjadi perwakilan atau tidak, Takiyuddin berkata, semua orang boleh hadir ke muktamar PAS sebagai pemerhati.
Sebelum ini, kata anggota parlimen Kota Bharu itu, Mahfuz adalah yang dipertua PAS Pokok Sena, namun "bercuti banyak bulan" dan tidak bertanding mempertahankan jawatannya atau jawatan lain pada pemilihan lalu.
"Jadi, mungkin sebab itu beliau tak dapat maklumat mengenai muktamar.
"Saya tak pasti Mahfuz jadi perwakilan atau tidak.
"Tak semestinya beliau kena jadi yang dipertua kawasan baru jadi perwakilan. Ia terpulang kepada kawasan terbabit," katanya. - MK

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com