innity

pages

Wednesday, March 15, 2017

VIDEO Ucapan TS Muhyiddin Bahas Titah Diraja di Parlimen sebentar tadi



Ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Pagoh dalam perbahasan Titah Diraja Mesyuarat Penggal Kelima, Parlimen Ke-13 sebentar tadi

TEKS UCAPAN
YB TAN SRI DATO’HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
PRESIDEN PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA/
AHLI PARLIMEN PAGOH
PERBAHASAN TITAH DI RAJA MESYUARAT PERTAMA,
PENGGAL KELIMA PARLIMEN MALAYSIA
Tuan Yang di-Pertua,
1. Terlebih dahulu saya merafakkan sembah tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad ke-V, di atas titah ucapan baginda yang menyentuh pelbagai persoalan penting yang berkait dengan keadaan ekonomi negara, bebanan kos sara hidup, keselamatan, pendidikan, alam sekitar, perpaduan dan kesejahteraan hidup rakyat. Titah ucapan baginda yang menyentuh pelbagai persoalan penting ini melambangkan keprihatinan dan kebertanggjawaban baginda terhadap negara dan rakyat jelata.
2. Seluruh isi kandungan titah ucapan baginda sebenarnya berkisar tentang suatu amanah besar yang kita semua galas untuk bersama-sama membina kemakmuran negara dan memelihara kesejahteraan rakyat. Lebih-lebih lagi, melaksanakan amanah adalah suatu tuntutan agama. Sepertimana firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Nisa’ ayat 58 yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
3. Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Allah s.w.t. menghendaki kita supaya melaksanakan amanah dan menegakkan keadilan. Dalam konteks kerajaan yang diberikan mandat oleh rakyat untuk mentadbir negara, maka amanah paling besar yang digalas oleh kerajaan ialah untuk menjaga kepentingan umum dan membela kebajikan rakyat.
4. Izinkan saya memetik kata-kata ahli falsafah Yunani, Aristotle, dalam karyanya The Politics, dengan izin:
“....governments, which have a regard to the common interest, are constituted in accordance with strict principles of justice, and are therefore true forms; but those which regard only the interest of the rulers are all defective and perverted forms, for they are despotic”.
Ertinya, “kerajaan yang memelihara kepentingan umum adalah dibentuk mengikut prinsip-prinsip keadilan yang ketat, dan itulah sebenar-benar bentuk (kerajaan); tetapi kerajaan yang hanya menjaga kepentingan para pembesar adalah rosak dan sesat, kerana mereka adalah orang-orang yang zalim ".
Tuan Yang Di-Pertua,
5. Tanggungjawab kerajaan yang paling utama pada waktu ini ialah untuk membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh rakyat. Beban yang paling besar ialah kenaikan kos sara hidup. Dalam satu kajian yang dijalankan oleh sekumpulan professor dari sebuah universiti awam tempatan pada tahun 2016 mendapati, beban kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat Malaysia telah meningkat hampir 300 peratus dalam tempoh tiga tahun sebelumnya. Ini adalah satu peningkatan yang amat besar. Kajian ini juga mendapati lebih 90 peratus rakyat risau mengenai kenaikan harga barang keperluan harian, kenaikan harga rumah, gejala rasuah, jenayah dan pendapatan yang merosot.
6. Kajian ini juga mendapati bahawa masyarakat berpendapatan rendah seperti nelayan, petani, peneroka FELDA, buruh dan pekerja bawahan dalam sektor swasta mendakwa bahawa mereka terjejas teruk dengan kenaikan kos sara hidup. Sementara harga barang meningkat secara berterusan, pendapatan bulanan mereka bukan sahaja rendah, tetapi menjadi semakin tidak menentu. Maksudnya, golongan berpendapatan rendah mengalami ‘’defisit pendapatan”, iaitu perbelanjaan untuk menyara kehidupan seharian melebihi pendapatan bulanan.
7. Lebih menyedihkan, golongan ini yang bukan berada di dalam kelompok miskin tegar, mengatakan bahawa mereka terpaksa berhutang untuk hidup. Lebih malang lagi, golongan ini juga terpaksa bersaing dengan pekerja asing yang sedia menerima gaji yang lebih rendah dengan keadaan persekitaran kerja yang lebih berat, menyebabkan mereka sukar mendapat upah yang lebih tinggi. Mereka mengatakan bantuan kewangan yang dihulurkan oleh kerajaan sedikit membantu, tetapi sekadar menyelesaikan masalah jangka pendek sahaja. Masalah pokok yang mereka hadapi iaitu pendapatan yang rendah, tekanan kos hidup yang tinggi dan persaingan dengan pekerja asing tidak selesai. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila mereka kehilangan pekerjaan. Kerajaan dikatakan tidak mempunyai sistem jaringan keselamatan sosial (social safety net) yang mapan dan menyeluruh untuk menangani isu tekanan ekonomi ke atas rakyat berpendapatan rendah.
8. Malah, kajian ini juga mendapati kumpulan berpendapatan sederhana juga berasa amat tertekan dengan keadaan ekonomi semasa. Golongan ini termasuk usahawan, peniaga kecil-kecilan, penjawat awam, guru, pensyarah dan pekerja sektor swasta. Menurut mereka, peningkatan kos sara hidup berlaku serentak dengan kenaikan harga semua barang keperluan dan harga rumah. Masalah ini ditambah pula dengan keadaan peluang pekerjaan yang terhad, bantuan untuk usahawan yang tidak mencukupi dan pinjaman membeli kelengakapan dan modal tetap untuk menjalankan perniagaan yang semakin sukar diperolehi. Bagi peniaga kecil, mereka terpaksa bersaing dengan pendatang asing yang seolah-olah diberikan kelonggaran dan kebebasan untuk menjalankan perniagaan akibat penguatkuasaan yang longgar. Malah, golongan berpendapatan sederhana ini berasa lebih terbeban kerana mereka tidak layak mendapat bantuan dan insentif daripada kerajaan seperti BRIM dan pada masa yang sama perlu membayar cukai pendapatan dan GST.
Tuan Yang di-Pertua,
9. Kita tahu bahawa masalah tekanan ekonomi yang dihadapi oleh rakyat adalah lebih menyeluruh. Bukan sahaja golongan miskin dan berpendapatan rendah yang berasa tertekan, malah golongan berpendapatan sederhana juga semakin terbeban. Sebab itu, bantuan dan insentif yang disediakan oleh kerajaan untuk golongan miskin dan berpendapatan rendah masih belum memadai untuk mengatasi masalah tekanan ekonomi yang dihadapi oleh rakyat. Justeru, usaha untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan menambah pendapatan rakyat mesti dilakukan secara lebih bersungguh-sungguh oleh kerajaan. Di samping itu, pelaksanaan dasar berpusatkan rakyat (rakyat-centric) yang lebih menyeluruh termasuk mengenai gaji dan pekerja asing perlu diberikan keutamaan.
10. Kita juga tahu bahawa antara sebab kos sara hidup semakin tinggi ialah kerana harga barangan keperluan harian di negara kita semakin meningkat. Sebahagian besar daripada barangan ini seperti daging, sayur-sayuran, tepung, susu dan sebagainya diimport dari luar negara. Dengan nilai ringgit yang semakin susut, harga barangan ini menjadi semakin mahal dan rakyat terpaksa membayar lebih daripada biasa untuk setiap barangan yang mereka beli. Masalah kenaikan kos sara hidup ini tidak akan dapat diatasi selagi nilai ringgit terus merosot.
11. Kita juga berhadapan dengan masalah sumber kewangan kerajaan yang semakin terhad. Banyak subsidi yang dahulunya menjadi mekanisme utama untuk membendung kenaikan harga barang dan membantu meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat kini telah dihapuskan. Dengan keghairahan kerajaan menghapuskan subsidi, maka rakyat terutamanya golongan miskin dan berpendapatan rendah terpaksa mengeluarkan wang yang lebih untuk menyara kehidupan seharian. Akibatnya, golongan B40 semakin terhimpit dan mereka menjadi lebih miskin.
12. Malah, seperti yang saya bangkitkan semasa perbahasan bajet pada bulan Oktober tahun lalu, dalam keadaan sumber kewangan kerajaan yang terhad, peruntukan yang ditetapkan kepada Kementerian-Kementerian belum tentu dapat disalurkan sepenuhnya. Ini menyebabkan pihak Kementerian terpaksa mengurangkan perbelanjaan yang memberi kesan kepada keupayaan Kementerian untuk menyampaikan perkhidmatan yang bermutu kepada rakyat.
13. Antara sektor utama yang terkesan dengan kekangan sumber kewangan kerajaan ialah kesihatan dan pendidikan, iaitu dua sektor perkhidmatan yang amat diperlukan oleh rakyat. Kini, pesakit yang mendapat rawatan di hospital kerajaan terpaksa membayar wang yang lebih untuk kos ubat-ubatan. Ada pesakit yang memberitahu saya, mereka hanya diberikan preskripsi oleh doktor dan terpaksa membeli sendiri ubat di farmasi kerana ubat yang diperlukan tidak lagi dibekalkan oleh pihak hospital. Selain itu, bayaran untuk perkhidmatan tertentu seperti pergigian juga telah dinaikkan.
14. Dalam sektor pendidikan, sepertimana yang telah dilaporkan secara maluas oleh media, ramai pensyarah termasuk para profesor yang berpengalaman telah tidak disambung kontrak perkhidmatan mereka kerana masalah kekangan kewangan yang dihadapi oleh universiti. Malah, peruntukan untuk ahli-ahli akademik melaksanakan kajian dan menghadiri persidangan di luar negara juga telah berkurangan menyebabkan kegiatan akademik mereka terbantut. Jika keadaan ini berterusan untuk beberapa tahun akan datang, maka kualiti pendidikan tinggi di negara kita akan terjejas dan saya khuatir kedudukan universiti awam tempatan dalam ranking antarabangsa akan menjunam.
15. Malah, saya diberitahu terdapat sekolah-sekolah yang terpaksa mencari sumber kewangan tambahan menerusi Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) untuk menampung aktiviti persekolahan. Kegiatan sukan dan ko-kurikulum yang amat penting kepada pembangunan sahsiah murid yang holistik juga terpaksa dikurangkan kerana kekangan kewangan yang dihadapi oleh Kementerian.
16. Ini memberi gambaran bahawa kedudukan kewangan kerajaan amat meruncing. Majoriti rakyat merungut kerana mereka membayar cukai. Jika dahulu hanya sebahagian kecil rakyat yang wajib membayar cukai pendapatan, tetapi kini dengan pelaksanaan GST, semua rakyat tanpa terkecuali telah menjadi pembayar cukai. Sebagai pembayar cukai mereka sepatutnya mendapat perkhidmatan yang lebih baik daripada kerajaan. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sudahlah cukai mesti dibayar, sekarang mereka perlu mengeluarkan wang yang lebih untuk menghantar anak ke sekolah dan mendapat rawatan di hospital.
17. Jadi, mereka bertanya ke mana perginya hasil kutipan GST, cukai pendapatan dan lain-lain cukai yang mereka bayar kepada kerajaan? Bagaimana kerajaan mengurus hasil pendapatan negara? Ke mana wang ini dibelanjakan? Untuk kebajikan rakyat atau untuk kepentingan siapa?
18. Semasa saya di dalam kerajaan dahulu kita bincang sepatutnya hasil kutipan GST cukup untuk menampung kekurangan pendapatan daripada hasil minyak yang setiap tahun dibayar oleh Petronas. Tahun lalu, kutipan GST sahaja berjumlah RM41.2 bilion, iaitu melebihi sasaran sebanyak RM39 bilion.
19. Jika kutipan GST telah melebihi sasaran, tetapi kerajaan masih lagi berhadapan dengan kekangan sumber kewangan yang meruncing, bermakna kewangan kerajaan sedang berada dalam situasi yang cukup parah. Tidak munasabah untuk kerajaan terus menekan rakyat dengan mengutip lebih banyak cukai daripada mereka semata-mata untuk menampung perbelanjaan kerajaan.
20. Keadaan ini menimbulkan pelbagai persoalan tentang bagaimana kerajaan mengurus hasil negara? Sejauhmana kecekapan kerajaan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan negara? Apakah ketirisan, rasuah dan penyelewengan dalam perbelanjaan kerajaan masih berleluasa? Sejauhmanakah kerajaan telus, bersih dan amanah dalam mengurus khazanah negara? Dan banyak lagi persoalan yang berkait dengan soal integiriti kerajaan dan pemimpinnya.
21. Tambahan pula, tatkala rakyat dihimpit dengan masalah kos sara hidup yang kian meningkat, nilai ringgit yang terus merudum, harga barangan keperluan harian yang semakin mahal, segelintir individu yang berkuasa rakus merompak harta negara dan membahagikan kekayaan sesama mereka. Malah, lebih menyedihkan, tatkala undang-undang negara digunakan untuk mendakwa rakyat jelata yang melakukan kesalahan, undang-undang yang sama jugalah digunakan untuk melindungi pembesar negara dan konco-konconya yang diketahui oleh seluruh dunia telah melakukan rompakan harta negara berjumlah berbilion ringgit. Inilah yang telah berlaku dalam skandal 1MDB.
22. Kemudiannya, kita dikejutkan pula dengan kerugian berbilion ringgit yang ditanggung oleh FELDA dan syarikat FELDA Global Ventures Berhad. Saham FGV yang bernilai RM4.55 semasa penyenaraiannya dahulu kini telah menjunam jatuh kepada hanya RM1.93. Para peneroka FELDA yang membeli saham FGV dengan meminjam wang daripada bank terpaksa menanggung beban hutang, sedangkan saham milik mereka sudah tidak bernilai lagi.
23. Bukan itu sahaja, para peneroka juga berhadapan dengan masalah kelewatan bayaran hasil sawit dan ramai yang mengadu bahawa pendapatan mereka juga semakin merosot. Dalam keadaan kos sara hidup yang kian meningkat, permasalahan ini menyebabkan peneroka FELDA terpaksa menanggung beban hidup yang lebih berat.
24. Dengan segala kekangan kewangan yang dihadapi oleh FELDA, agak menghairankan bagaimana FELDA boleh membuat keputusan untuk membeli 37 peratus pegangan saham dalam PT Eagle High Plantation bernilai RM2.3 bilion yang dikatakan lebih tinggi daripada harga pasaran. Pembelian saham ini dibiayai dengan menggunakan dana yang diperolehi menerusi penerbitan bon yang perlu dibayar balik oleh FELDA. Kita perlu ingat, FELDA adalah 100% milik kerajaan Malaysia. Jika FELDA gagal membayar balik hutang pembelian saham ini, maka kerajaanlah yang mesti menanggungnya. Bermakna, akhirnya beban hutang berbilion ringgit ini akan ditanggung oleh rakyat.
25. Dalam situasi sebegini, dikhuatiri tadbirusus yang baik tidak lagi menjadi asas di dalam pengurusan khazanah negara. Sebaliknya, penyelewengan dan pelaburan dalam usahasama yang tidak munasabah telah menjadi modus operandi satu skim untuk menipu dan menggelapkan wang negara
Tuan Yang Di-Pertua,
26. Perkara pokok yang perlu diberikan keutamaan oleh kerajaan ialah bagaimana nilai integriti dan amanah boleh dikembalikan sebagai tonggak utama dalam kepimpinan negara. Hanya kepimpinan yang amanah boleh menjamin kehidupan rakyat yang lebih sejahtera. Perbelanjaan wang rakyat mesti dibuat secara berhemah, ketirisan mesti dihentikan, sumber pendapatan negara perlu dipelbagaikan dan tindakan tegas hendaklah diambil terhadap mereka yang melesapkan khazanah negara. Yang penting kebajikan rakyat mesti dibela.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com