innity

pages

Friday, March 10, 2017

Tulisan Terbaru Tun M: RASUAH


1. Rasuah sudah jadi sebahagian dari budaya warga Malaysia. Ia bermula dengan kesedaran di kalangan ahli UMNO bahawa melalui sogokan duit seseorang boleh mendapat tempat dalam parti sehingga menjadi menteri dalam Kerajaan. Apabila mendapat tempat maka peluang menjual apa juga kuasa boleh menjadi seseorang itu kaya.

2. Maka Kerajaan pun menubuh badan-badan pencegah rasuah untuk membendung amalan yang buruk ini. Masyarakat sedar bahawa rasuah adalah jenayah yang buruk dan agama Islam melarangnya. Sedikit sebanyak badan-badan pencegah rasuah berjaya membendung amalan jenayah ini.

3. Sesungguhnya tidak ada masyarakat yang berjaya membendung rasuah seratus-peratus. Tetapi apabila pemimpin tertinggi menggalak amalan ini dan terlibat secara terbuka dengan rasuah, maka rasuah lebih menjadi-jadi apabila pengikut ambil iktibar dari amalan pemimpin.

4. Inilah yang sedang kita lihat di Malaysia. Kita bangga dengan kejayaan badan pencegah rasuah membuat penangkapan pegawai-pegawai tinggi Kerajaan yang telah kumpul berjuta-juta Ringgit melalui rasuah. Mungkin ini disebabkan pencegah rasuah lebih cekap mengesan jenayah ini. Mungkin juga kerana hari ini lebih ramai pegawai tinggi yang bersedia menerima duit rasuah kerana percaya cash is king.

5. Rasuah di peringkat bawahan dan kecilan mungkin dipandang enteng. Apalah sangat sogokan ratusan atau ribuan Ringgit kepada pengundi dalam pilihanraya. Sedikit sebanyak wang sogokan yang sedikit boleh meringan tekanan kehidupan si miskin.

6. Tetapi yang harus disedari ialah sogokan kecil-kecilan ini boleh membawa malapetaka yang amat besar.

7. Perlu diingat bahawa sogokan dibuat kerana niatnya ialah bagi menjayakan sesuatu yang tidak baik, sesuatu yang salah yang akan membawa malapetaka dan kerosakan. Mereka yang berniat baik dan menghormati institusi pilihanraya dan kebebasan rakyat tidak akan menghulur wang atau lain-lain untuk mendapat undi pengundi.

8. Dan sesungguhnya yang menghulur wang rasuah dalam pilihanraya umum berhajat untuk menyalahguna kuasa sebagai PM, Menteri dan lain-lain jawatan yang diperolehi. Kita sedang lihat bagaimana pemimpin yang kita pilih dituduh melesapkan berbillion Ringgit, mengagihkan wang Kerajaan secara salah hanya kerana ingin menjadi popular supaya menang lagi dalam pilihanraya.

9. Kita lihat kerosakan negara, kejatuhan teruk nilai Ringgit, kekurangan duit Kerajaan yang terpaksa potong budget 30%, tidak cukup duit untuk biasiswa, terpaksa perah duit rakyat miskin dan kaya melalui GST dan bermacam lagi kerana memilih pemimpin yang mengguna sogokan untuk menang. Kita lihat bagaimana duit Kerajaan (rakyat) dimasukkan dalam akaun peribadi pemimpin yang dipilih kerana sogokan.

10. Akhirnya negara Malaysia yang dahulu digelar Harimau Asia, sekarang di kategori sebagai satu dari sepuluh negara yang tahap rasuahnya tertinggi di dunia. Kewangan negara merosot sehingga terpaksa perkenal GST dan meminjam berbillion dengan menggadai negara. Dan rakyat pun menderita, mengalami kerugian yang jauh lebih besar dari wang sogokan yang diterima.

11. Inilah sebabnya yang rasuah menjadi kesalahan dan ditegah sebagai jenayah. Inilah sebabnya rasuah dikutuk dan diharamkan. Duit yang diterima adalah duit haram seperti duit yang dicuri.

12. Apabila rasuah sudah menjadi sebahagian dari budaya bangsa, pemulihan tidak mudah dilakukan. Untuk ini badan-badan pencegah rasuah mestilah bebas dan dikuasai oleh Kerajaan seperti sekarang.

13. Jika terdapat Kerajaan dan pemimpin tertingginya yang terlibat dengan rasuah, pemulihan hanya boleh dijayakan jika pemimpin perasuah ini dijatuhkan dan diganti dengan yang lain.

14. Untuk ini tolak sebarang jenis rasuah. Jangan terima duit haram hasil pencurian.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com