innity

pages

Wednesday, March 22, 2017

Debat: JADI ATAU TAK JADI?


Setelah debat di Padang Rengas tidak menjadi kenyataan berikutan pihak polis tidak meluluskan permitnya, tarikh baru bagi perdebatan antara Tun Mahathir Mohamad dengan Nazri Aziz kini ditetapkan pada 7 April depan.

Kedua-dua pendebat dilaporkan bersetuju untuk ia diadakan pada tarikh tersebut, jam 9.30 malam di Auditorium Karangkraf, Shah Alam iaitu di lokasi yang menjadi milik penerbit akhbar Sinar Harian.

Kata Nazri, kawasan itu merupakan milik persendirian,  jadi tidak perlu untuk memohon permit dengan pihak polis.

Dalam masa yang sama, berikutan tempat yang agak terhad, Sinar Harian selaku penganjur juga akan membuat siaran secara live debat itu melalui SinarTV.

Lebih menarik, atas permintaan Nazri, beliau mahukan Ahli Parlimen Shah Alam daripada Amanah, Khalid Samad  sebagai moderator bagi mengendalikan debat tersebut.
Hmmm....Nampak macam tiada masalah lagi untuk debat tersebut menjadi kenyataan pada tarikh baru yang dipilih itu.

Cuma, oleh kerana tajuk debat itu banyak yang berkait secara langsung berkenaan Najib Razak,  antaranya tentang 1MDB, duit RM2,600 juta, hutang RM55 bilion untuk landasan keretapi pantai timur  dan lain-lainnya, kebimbangan ia mungkin  dibatalkan di saat-saat akhir tetap ada.

Apakah kita boleh benar-benar yakin Najib begitu rasional, terbuka dan tidak akan berbuat sesuatu dengan merelakan saja dirinya disasar dan ditembak sesuka hati serta semahunya pada acara debat itu oleh musuh utamanya, Tun Mahathir?

Lebih dari itu, debat itu juga akan disiarkan secara live melalui SinarTV yang bermakna jutaan rakyat dan pengundi dapat menontonnya secara bebas.

Sekali lagi, apakah Najib akan membenarkan ia berlaku di saat-saat beliau amat memerlukan kepercayaan rakyat bagi menghadapi PRU 14?

Meskipun seperti kata Nazri, tiada permit polis diperlukan kerana ia diadakan di kawasan milik persendirian, apakah Najib tidak ada cara lain untuk menghalangnya?

Jika debat di Padang Rengas tiba-tiba ditolak kelulusan permit polis sedangkan beberapa hari sebelumnya Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi telah memberi lampu hijau dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed pula mengatakan ia sudah diberi kebenaran, apakah tidak mungkin silap mata di saat-saat juga boleh berlaku sebelum 7 April nanti?

Walau seakan-akan ada berita gembira kepada rakyat untuk melihat debat Tun Mahathir dengan Nazri itu menjadi realiti pada 7 April nanti, sehingga debat itu tidak benar-benar dilangsungkan, keraguan sama ada jadi atau tak jadi, tetap menghantui sebahagian besar daripada kita.

Sama-sama kita tunggu, harapnya tiada lagi kejutan di saat-saat akhir akan berlaku.(ShahbudinHusin 22/03/2017).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com