innity

pages

Thursday, March 16, 2017

Che Det Café dibuka sejak 2010 untuk kenang jasa Tun M


LELAKI ini cukup mengkagumi kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau kemudian mengabadikan potret tokoh itu di segenap ruang kafe yang diusahakannya sebagai menghormati jasa pemimpin berkenaan dalam membangunkan negara.

Anak jati Kampung Kota Mengkuang Jitra, Kedah, Tajudin Awang, 64, itu turut menamakan kafe yang dibuka sejak 2010 dengan nama Che Det Café.

Bermastautin di Port Dickson sejak 30 tahun lalu, bapa kepada enam anak itu mengenali Tun M sejak kecil lagi.

“Masa tu umur dalam tujuh ke lapan tahun, ikut mak ke klinik Tun M (di Alor Star) untuk dapatkan rawatan sebab demam. Masa tu juga, Tun M memang dah dikenali sebagai Che Det.

"Semua orang kenal, Che Det tu nama panggilan kepada Mahathir. Beliau berbakti kepada masyarakat terutamanya di Alor Star melalui perkhidmatan pemeriksaan kesihatan di kliniknya. 

"Malah Che Det sendiri turun padang membuat rawatan susulan di rumah pesakit yang pernah dirawatnya.

“Amalan bantu dan ambil berat terhadap kesusahan orang lain dilakukan Che Det sejak beliau masih belum aktif dengan politik lagi. 

"Itu antara momen yang saya kagum tentang beliau walaupun ketika itu saya masih berusia kanak-kanak,” katanya ketika ditemuikafenya yang terletak di Jalan Pasar Baru Bandar Port Dickson.

Che Det Café dikunjungi Tun M

Ditanya apa yang paling membuatkan dirinya begitu mengkagumi Tun M, Tajudin menjawab ringkas, Tun M membina Malaysia di mata dunia!

Katanya, dia sering ke luar negara atas urusan perniagaan yang ada negara yang disinggahinya itu tidak mengetahui Malaysia tetapi lebih mengenali Dr Mahathir.

“Tapi bila di sebut Mahathir, mereka dengan pantas mengatakan Dr Mahathir bagus sambil menunjukkan ibu jari.

“Orang luar kenal Malaysia melalui Tun M. Memang saya bangga dan untuk mengabadikannya, kafe ni saya jenamakan sebagai Che Det Café. 

"Hiasan kafe ini juga memaparkan wajah-wajah ceria Che Det,” katanya.

Tajudin berkata, pada awalnya ada juga timbul kegusaran menggunakan nama tokoh terkemuka itu sebagai nama restorannya.

Namun kegusaran itu berakhir apabila pada 23 Februari lalu, apabila Tun M bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali datang dan menjamu selera di Che Det Café.

“Tun M sangat positif malah beliau mencadangkan agar Che Det Café dibuka lebih banyak di kawasan lain supaya perniagaan ini berkembang lebih maju,” katanya.

Tajudin memberitahu, kunjungan Tun M ke Che Det Café bermula apabila anak kepada tokoh itu, Datuk Seri Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), mengadakan Dialog Rakyat Siri ke-2 di kafe tersebut pada 19 Februari lalu.

“Mukhriz yang cadangkan untuk bawa ayahnya ke sini. Sudah pasti saya teruja.

“Masa Tun M datang, hampir sejam dia habiskan masa di kafe ini bersantai minum petang bertemu dengan warga PD pelbagai usia. 

"Beliau juga bercerita  mengenai zamannya berkhidmat sebagai doktor, tentang Langkawi, Kubang Pasu sehinggalah ke perkara berkaitan politik dan isu semasa.

“Satu penghargaan kepada saya dan juga keluarga apabila orang yang kita kagumi dan abadikan namanya di perniagaan diusahakan, datang dan menyokong usaha dilakukan.

"Sebenarnya saya tak pernah terbayang Tun M akan singgah makan di Che Det Café ni,” katanya.

Tajudin berharap usaha kecilnya itu untuk mengenang jasa Tun M dapat mencapai matlamatnya.

Katanya, dia berharap pelanggan khususnya generasi muda mengenali satu-satunya pemimpin negara yang berkhidmat selama 22 tahun sebagai perdana menteri, 35 tahun sebagai ahli Parlimen dan tokoh yang membawa Malaysia dikenali di peringkat antarabangsa melalui pelbagai pencapaian cemerlang.

Che Det Café dibuka setiap jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam menghidangkan makanan ala Thailand dengan  harga berpatutan. - SH

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com