innity

pages

Thursday, February 9, 2017

[Ulasan Peguam] ADAKAH KEDAH BERHAK MENUNTUT PULAU PINANG SEBAGAI MILIK KEDAH PADA MASA KINI ??!!


Siri : 686
ADAKAH KEDAH BERHAK MENUNTUT PULAU PINANG SEBAGAI MILIK KEDAH PADA MASA KINI ??!!

APAKAH KEDUDUKAN PERJANJIAN INGGERIS-KEDAH 1786 DI SISI UNDANG-UNDANG MALAYSIA ??!!

Wahai Rakyat Malaysia yang prihatin,
Assalamualaikum dan Salaam sejahtera :

1. Walaupun dilahirkan di Kelang, Selangor, namun sejak kecil lagi saya dibesarkan di PULAU PINANG. Persekolahan menengah saya pula adalah bertempat di asrama di MRSM Kulim, KEDAH. Justeru, secara sepontan, saya tertarik dengan satu kandungan Laporan MALAYSIAKINI 08.02.2017 bertajuk "EXCO : KEDAH MAHU AMBIL SEMULA PULAU PINANG", (Gambar tajuk Laporan ini adalah seperti di paparan dan link Laporan : https://www.malaysiakini.com/news/371850 ), di mana dilaporkan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya, Exco KEDAH, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid, sebagai berkata :

"Justeru, kami bukan saja membantah sekeras-kerasnya cadangan menjadikan Pulau Langkawi sebagai sebahagian dari Wilayah Persekutuan malah akan berusaha mengambil semula Pulau Pinang ... ",

" Bila merdeka, Pulau Pinang dimasukkan sebagai sebuah negeri secara senyap-senyap tanpa mengira perjanjian pajakan yang telah dimeterai dahulu.", dan

" ... kerajaan Kedah telah menghantar surat kepada kerajaan pusat pada bulan lalu berhubung perkara berkenaan."

2. PERSOALAN UNDANG-UNDANG : Adakah hasrat Exco Kerajaan Negeri KEDAH ini mempunyai asas yang kukuh untuk direalisasikan ??

3. PANDANGAN RINGKAS :

(a) Dari segi dokumentasi sejarah yang wujud, tidak boleh dinafikan bahawa pada asalnya PULAU PINANG merupakan sebahagian dari wilayah di dalam Kerajaan KEDAH. Namun, melalui PERJANJIAN INGGERIS-KEDAH 1786, yang ditandatangani oleh Francis Light bagi pihak INGGERIS dan Sultan Abdullah bagi pihak Kerajaan KEDAH, maka di atas BALASAN SAH di sisi undang-undang, iaitu Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) akan membantu Kerajaan KEDAH sekiranya diserang, dan SHTI membayar pampasan sebanyak 30,000 Dollar Sepanyol kepada Kerajaan KEDAH, maka SHTI telah menduduki PULAU PINANG secara rasminya mulai 11.08.1786, dengan menaikkan Bendera 'Union Jack', serta PULAU PINANG dinamakan sebagai Prince of Wales Island, dan kawasan penempatan SHTI pula dinamakan sebagai Georgetown, sempena nama Raja Inggeris, King George III. Dua perjanjian terkemudian pada 1791 dan 1800 telah menetapkan bayaran pampasan 6,000 dan 4,000 (untuk tambahan Province Wellesley) Dollar Sepanyol setahun, masing-masing untuk tempoh "as long as the Sun and Moon gives light".

(b) Kemudiannya, PULAU PINANG telah menjadi sebahagian dari Negeri-Negeri Selat pada tahun 1826, selepas termeterainya PERJANJIAN INGGERIS-BELANDA 1824, yang pada peringkat permulaannya ditadbir dari Calcutta, India dan, setelah itu PULAU PINANG dijadikan pusat pentadbiran Negeri-Negeri Selat pada 1832. Setelah dijadikan Koloni Mahkota Inggeris, maka kemudiannya sejak 01.04.1867, ianya ditadbir secara terus dari Pejabat Tanah Jajahan di London, dengan dikemudi oleh Gabenor Neger-Negeri Selat, yang dibantu dengan kewujudan Ahli-ahli Majlis Pentadbiran, dan Badan Perundangan di PULAU PINANG sendiri.

(c) Di tahap ini, rentetan peristiwa sejarah akan menunjukkan bahawa sejak dari 1786 sehingga kemasukan PERJANJIAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU 1948 dan PERJANJIAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU 1957, PULAU PINANG adalah pada setiap masa material untuk tempoh 162, dan 171 tahun, masing-masing, diterima oleh kesemua pihak, yakni KEDAH, INGGERIS dan KERAJAAN NEGERI LAIN di Tanah Melayu, sebagai satu NEGERI BEBAS dan TERSENDIRI.

(d) Dari segi undang-undang, tindak-tanduk mana-mana pihak yang terlibat dalam pertikaian akan diambil kira dalam menentukan hak tuntutannya. Melainkan, adanya mana-mana dokumentasi lengkap secara KONSISTEN dalam tempoh beratus tahun tersebut, yang menZAHIRkan dengan jelas bahawa KEDAH seringkali membuat tuntutan perolehan semula PULAU PINANG, maka untuk mana-mana pihak di tahap ini yang menuntut hak KEDAH di atas PULAU PINANG, adalah sukar untuk mempunyai asas yang kukuh.

(e) Tambahan pula, tujuan rujukan dibuat kepada kedua-dua PERJANJIAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU 1948 dan PERJANJIAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU 1957, di perenggan (c) di atas, adalah kerana melalui Perjanjian-Perjanjian tersebut yang dimasuki secara SUKARELA oleh kesemua negeri bagi tujuan mempersetujui struktur kewujudan negara baru MALAYA sebelum perolehan kemerdekaan dari INGGERIS pada tahun 1957, juga menambahkan KESUKARAN dalam membantu tuntutan KEDAH ke atas PULAU PINANG.

(f) PERJANJIAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU 1957, seperti yang dapat dilihat di mukasurat pertama Perjanjian itu, menzahirkan fakta bahawa Sultan Tunku Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Alimshah telah mewakili dan menandatanganinya bagi pihak Kerajaan KEDAH, dan Sir Donald Charles MacGillivray mewakili dan menandatanganinya bagi pihak Kerajaan INGGERIS (Gambar Mukasurat Pertama : Atas). Dengan ketiadaan mana-mana klausa khusus dalam Perjanjian-Perjanjian itu, pada masa ianya dimeterai, maka undang-undang akan MENGANGGAP DENGAN SAH bahawa kerajaan KEDAH telah MENGABAIKAN tuntutannya terhadap PULAU PINANG, selewat-lewatnya pada 05.08.1957, tarikh termeterainya PERJANJIAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU 1957.

(g) Perkara ini adalah amat penting, disebabkan sejarah dokumen rundingan dan perolehan kemerdekaan akan menunjukkan bahawa pihak kerajaan INGGERIS, tidak akan bersetuju memberikan kemerdekaan, selagi tiada persetujuan penuh diperolehi daripada kesemua Negeri-negeri Tanah Melayu, berkaitan tuntutan dan hak kenegerian masing-masing, selain daripada struktur pentadbiran pusat/negeri dan hak-hak Rakyat. Justeru, dengan persetujuan KEDAH untuk tidak membantah, PADA KETIKA ITU, berkaitan kewujudan PULAU PINANG sebagai negeri bebas, maka, asas tuntutan KEDAH terhadap PULAU PINANG, adalah semakin rapuh.

(h) Akhir sekali, antara perkara yang penting dalam perolehan kemerdekaan itu juga adalah untuk kelulusan dan kewujudan PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN, iaitu Undang-undang tertinggi negara kita. Menurut PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN :

PERKARA 1(2) :

"Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada Johor, KEDAH, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, PULAU PINANG, Perak,Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu." 

(Sabah dan Sarawak disenaraikan di dalam PERKARA 1(2) melalui pindaan kepada PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN setelah termeterainya PERJANJIAN MALAYSIA 1963)

(i) Sekali lagi, melalui undang-undang TERTINGGI negara kita sekalipun, memandangkan KEDAH, selewat-lewatnya pada masa kelulusan PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN itu, dengan TIDAK MEMBANTAH, malah BERSETUJU dengan kandungan PERKARA 1(2) itu, maka kini, peluang untuk KEDAH teruskan dengan jayanya akan hasrat untuk menuntut hak ke atas PULAU PINANG, adalah TERAMAT SUKAR, di sisi undang-undang.

SEKADAR PANDANGAN SEORANG INSAN YANG BERTUAH UNTUK BERPELUANG MENDIAMI DI KEDUA-DUA NEGERI INDAH INI !!!

DEMI AGAMA DAN NEGARA TERCINTA !!!

4 comments:

  1. Bangang, kena tgk sejarah juga yang Inggeris telah mungkir janji dan melanggar kontrak trtssbut bila Siam melanggar Kedah dan British tidak melindungi negeri Kedah. Ini bermakna inggeris telah menipu dan melanggar kontrak maka kontrak terbatal.

    Jangan sebab politik sehingga Kedah kerugian.besar

    ReplyDelete
    Replies
    1. eh siam ada serang kedah ke lepas perjanjian 1786? seingat aku xde,sebab pendudukan kat kedah oleh siam cuma sekejap je masa jepun bagi kedah pada siam.tapi bila british datang semula lepas jepun kalah, siam rela hati pulangkan balik kedah pada british sebab takut dikaitkan dengan jepun n takut dengan tindakbalas british.

      Delete
  2. Aku sokong Penang dijadikan Wilayah Persekutuan demi memastikan DAP dan Cina tidak akan mengulangi sikap seperti pemimpin lama Singapura.

    ReplyDelete
  3. Dah terdesak sangat, nampaknya. Baik buat kerja lainlah. Pamerkan ketinggian budi, ketinggian integriti, lebih inklusif, dan berhenti daripada menipu rakyat serta berhenti daripada melaga-lagakan kaum. Tengok kelemahan diri. Suluhlah peribadi anda dan amalkan Islam dengan baik, bukannya menjadikan Islam itu alat mengekalkan kuasa. Jika itu dilaksanakan dengan tulus, rakyat kembali menyayangi anda.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com