innity

pages

Saturday, February 11, 2017

Sampaikah bantuan disalurkan melalui pembunuh Rohingya?


Oleh: USTAZ HAKIM MOHD NOR

PETANG 10 Februari 2017, hari kelapan misi ini, tepat jam 4.46 pagi waktu Malaysia ataupun jam 3.16 pagi waktu tempatan, kapal Nautical Aliya berlepas meninggalkan port Yangoon.

Di sebalik kegembiraan kami akan bertemu dengan hampir 100,000 orang pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh - Myanmar lagi tiga hari, ada sesuatu yang memerlukan perhatian kami.

Kecoh di media sosial mempertikaikan misi FFFM ini apabila dilihat memberikan bantuan ini melalui kerajaan Myanmar. 

Ramai berkata, mana mungkin bantuan akan sampai apabila melalui si pembunuh Myanmar?

Namun, itu apa yang orang lihat dan tahu melalui media sosial semata mata. Tetapi apa yang ramai tidak tahu ialah, kita sudah terima surat jaminan daripada kerajaan Myanmar boleh ada wakil Malaysia sekurang kurangnya tiga orang yang akan ikut trak bantuan dari Port Yangoon ke Sittwee, Rakhine (Arakan), tempat konflik berlaku. Ini penting untuk kami saksikan sendiri bantuan itu sampai dan tiada ketirisan berlaku.

Dari awal lagi, komiti FFFM isytihar kita akan pastikan sendiri semua bantuan sampai. Soal mereka patuh kepada janji atau tidak adalah di luar dari kemampuan kita semua. Pelbagai pelan sandaran kami lakukan untuk pastikan bahawa benar-benar bantuan ini sampai ke tangan Rohingya.

Menjawab persoalan bahawa Flotilla ini mempunyai misi politik dan pelbagai misi sampingan, kalau boleh ingin saya kongsikan sejarah awal bagaimana Flotilla ini terbentuk . Saya sendiri ada di dalam mesyuarat pertama saat idea FFFM ini timbul.

Waktu itu, Mapim panggil banyak NGO bermesyuarat di Selangor. Saya, Nazri dan Abu hadir wakili Serantau Muslim.
Dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ustaz Tirmizi, Naib Presiden Mapim itu, Serantau Muslim cadangkan untuk diwujudkan Flotilla ini seumpama Woman Boat To Gaza. Hujah kami, bila Flotilla ini tidak dibenarkan masuk atau ada halangan, maka misi akan berjaya kerana seluruh dunia akan fokuskan pandangan kepada Rohingya.

Hujah kami diterima. Serantau Muslim kemudiannya mencadangkan nama Food Flotilla For Rohingya kerana mahu tarik simpati dan perhatian orang ramai dengan elemen makanan di hadapan nama misi ini.

Namun setelah dibahaskan panjang, semua yang hadir sepakat pilih nama Food Flotilla For Myanmar kerana tidak mahu misi terganggu dari awal dan tidak dapat akses ke Sittwe hanya kerana ada nama Rohingya di nama misi.

Waktu itu kami berhujah walaupun tulis Myanmar, tapi memang niatnya adalah untuk Rohingya. Sebab itu masa mula mula ada tertulis nama kecil, Rakhine State dalam logo FFFM. Rakhine State adalah nama lain bagi Arakan, negeri asal Rohingya.

Namun bila tiba saat perlaksanaan, ia tidak semudah yang disangka. Proses mencari kapal yang sesuai cukup sukar. Ke Thailand, Indonesia, Bangladesh dan seluruh Malaysia kita mencari kapal yang sesuai. Memang tiada. Ramai tak setuju beri kebenaran guna kapal mereka kerana misi ini dianggap misi yang berbahaya. Insurans tak melindungi, kata mereka.

Kalau ada pun kapal yang sesuai. Harganya sangat mahal dan kami para NGO Islam ini tidak mampu untuk menanggung kosnya. Pada waktu itu, datang tawaran dari KP1M yang ada wakil dalam kerajaan Malaysia untuk bekerjasama.

Terlalu panjang perbahasan sama ada mahu kerjasama dengan pihak kerajaan atau tidak untuk dicoretkan di sini. 

Cukuplah saya ringkaskan bahawa misi ini hampir terbatal sekiranya tidak mendapat sokongan daripada pihak kerajaan. Dan niat kita ikhlas, Rohingya mesti dibela segera! Sehari misi ini tertangguh, semakin banyak Rohingya yang mati kebuluran.

Apabila pihak kerajaan mula terlibat dalam misi sebesar dan sepenting ini, terdapat banyak perkara melibatkan G2G (Goverment To Government) yang perlu diperhalusi.

Ia tidak semudah melaungkan slogan "Jom putuskan hubungan dengan Myanmar". Ada perkara jangka panjang yang melibatkan kepentingan keselamatan, perdagangan, pendidikan, perundangan dan banyak lagi.

Jadinya, misi ini bukan lagi satu misi yang boleh 'hit and run'. Ada cadangan kata ,"Langgar aje berlabuh di Sittwee, Rakhine, Myanmar. Apa nak jadi pun jadilah. Kalau kena tembak boleh syahid." Sahabat, ia bukan semudah perkiraan itu.

Kita tidak mahu dengan tindakan singkat kita ini menyebabkan kesan buruk yang berpanjangan. Kita tidak mahu masuk ke zaman perang. Ia tidak berbaloi.

Kalau peserta kapal ini mati ditembak oleh tentera Myanmar, tidakkah nanti ia akan mencetuskan peperangan yang tidak disangka sangka antara dua buah negara. Ia mungkin akan merebak lebih besar kerana di atas kapal ini ada 13 warganegara. Hanya kerana tindakan singkat kerana terbawa bawa dengan emosi kita, ia membawa kesan buruk yang berpanjangan.

Sebab itu, kita masih percaya kepada jalan diplomasi. Ironinya, kita mahu khabarkan kepada dunia, Myanmar telah checkmate! Saat mereka terima bantuan, saat itu mereka telah isytihar bahawa betul ada Rohingya yang perlukan bantuan. Mengapa Rohingya perlukan bantuan? Kerana kamu Myanmar, telah berlaku zalim kepada mereka!

Ramai yang berbahas dari sudut , habislah semua bantuan kena "sebat" oleh rejim Myanmar.

Namun, tidak nampak kalian dari sudut bahawa Myanmar terpaksa tunduk rebah mengaku mereka berlaku zalim.

Hinggakan yang terima barang bantuan itu adalah "pak menteri" yang pegang portfolio kebajikan cepat-cepat balik tanpa tunggu majlis tamat kerana tahu sebenarnya dia malu untuk terima bantuan itu.

Sahabat, jalan juang kita panjang. Kita tahu Rohingya telah tertindas sejak sekian lama. Namun janganlah kecam usaha kecil kami ini semata mata ada perbezaan pandangan. 

Boleh jadi semasa kami membuat keputusan , itulah keputusan yang terbaik untuk semua..

Justeru, mohon doakan kami. Mohon dengan sangat. Harapan dan doa kalian lah yang menjadi obor semangat kami membelah lautan yang serba seribu kemungkinan ini. Berjauhan dengan keluarga hampir 20 hari.

Kos kewangan yang ditanggung sendiri. Dan pelbagai lagi pengorbanan kecil kami ini hanya dapat kami harungi dengan doa dan harapan dari anda semua. Tolonglah kami dengan doa kalian.

USTAZ HAKIM MOHD NOR,
Setiausaha Serantau Muslim, Peserta Food Flotilla For Myanmar (FFFM).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com