innity

pages

Saturday, February 4, 2017

Ahli Majlis Syura Ulama Pas: Perbincangan PAS-PPBM Serius, DAP sibuk kenapa?


4 FEB : Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad bersetuju dengan kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa pertemuan antara partinya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Rabu lalu, belum membawa ke arah kerjasama antara kedua-dua parti.
Ujar Idris, pertemuan dua hari lalu adalah bagi menghasilkan draf kerjasama yang mana ia kemudiannya akan diperincikan oleh kedua-dua pihak terlebih dahulu.
Menurut Ahli Majlis Syura Ulama (MSU) itu lagi, ini kerana pertemuan tersebut dihadiri oleh wakil parti, justeru hasil perbincangan perlu dibawa kepada peringkat jawatankuasa PAS Pusat dan MSU untuk diputuskan.
“Maknanya itu pertemuan awal dahulu…seperti orang yang nak berkahwin, ada merisik dulu, kemudian tetapkan bila nak kahwin. Sama juga seperti ini, kita jumpa untuk berbincang, kita berbincang secara agak serius bab ini,” katanya kepadaAntarapos.
Terdahulu, Hadi yang juga Presiden PAS dalam kenyataan berkata, pertemuan partinya dengan PPBM adalah pertemuan biasa atas permintaan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, dan bukan suatu perundingan khusus.
“Semalam (Rabu) ada pertemuan. PPBM minta jumpa dengan PAS. Jumpa sahaja. Belum ada apa-apa keputusan kerana perkara itu hanya boleh diputuskan oleh Jawatankuasa PAS Pusat,” demikian menurut Hadi.
Susulan itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mempersoalkan pendirian PAS berhubung rundingan kerjasama dengan PPBM dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Guan Eng yang dipetik Malaysiakini berkata, ini kerana kenyataan Hadi semalam bercanggah dengan keputusan mesyuarat pada Rabu lalu antara PPBM-PAS.
Mengulas mengenai perkara itu, Idris yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang menasihatkan pemimpin berkenaan untuk tidak ‘masuk campur’ kerana rundingan itu tidak melibatkan DAP.
“DAP sibuk kenapa, kita bukan bincang dengan dia,” katanya.
Dalam pada itu kata Idris lagi, PAS perlu meneliti segenap aspek sebelum membuat keputusan kerana rundingan antara parti merupakan satu perkara besar.
“Kita parti yang cermat. Kalau yang nak cepat, larikan kerusi orang, itu yang cepat,” katanya.
Terdahulu Rabu lalu, mesyuarat antara dua parti itu berlangsung secara rahsia yang mana PPBM diwakil Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, manakala PAS turut diwakili Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Mesyuarat itu menghasilkan draf kerjasama yang akan diperincikan oleh kedua-dua pihak untuk ditandatangani oleh Presiden kedua-dua parti pada satu tarikh terdekat.
Pada mesyuarat itu juga kedua-dua parti turut membentuk jawatankuasa teknikal bersama untuk mengambil tindakan susulan atas keputusan yang dipersetujui. - BNBBC

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com