innity

pages

Sunday, January 22, 2017

Pengiktirafan UEC suatu cabaran kepada percikan amarah bangsa Melayu


TEMAN Pedang pernah kata, tiap kali persidangan tahunan parti keramat Melayu – UMNO – bergegar Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan pekikan perjuangan Melayu. “Hidup Melayu… Hidup Melayu”.
Dia kata, dulu pekikan itu terus membekas di hati dan dijelmakan dalam bentuk tindakan yang memberi kemajuan kepada orang Melayu. Tapi, itu dulu, tak sama seperti sekarang, biarpun nama dan logo tetap sama.
Jika dulu hati Melayu membekas kerana pekikan ‘Hidup Melayu’, dua tiga hari ini hati Melayu membekas kerana Melayu sendiri yang menjaga entiti Bumiputera, telah hilang semangat Melayu. Sebaliknya kerana berbilion- bilion ringgit yang bakal disuapkan oleh China, entiti Melayu pun digadai, apa yang Cina minta diberi.
Terbaharu, kenyataan dan pendirian Pengerusi Mara, Annuar Musa yang membenarkan pemegang Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), diterima masuk ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) iaitu entiti di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) – sebuah nama keramat yang lahir daripada percikan amarah suatu bangsa.
UEC adalah Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah-Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dikeluarkan oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia. Langsung tidak mematuhi Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Walaupun, telah berulang kali dijelaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak mengiktiraf sijil ini, ia tetap menjadi salah satu agenda rasis Gabungan Persekutuan Persatuan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) dan ahli jawatankuasanya Dong Zong.
Dong Jiao Zong sudah bertekad untuk memelihara kebudayaan dan pendidikan Cina di Malaysia. Sebab itu bagi UEC, bahasa Cina menjadi bahasa pengantar kurikulum dan peperiksaannya. Bahasa Cina atau bahasa Inggeris pula adalah bahasa pengantar bagi subjek Matematik, Sains (Biologi, Kimia dan Fizik), Simpan Kira, Akaun dan Perdagangan.
Walaupun, Annuar kata UniKL adalah institusi pengajian tinggi swasta yang telah mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menerima permohonan pemegang sijil itu, Pedang rasa Annuar patut bertegas jika dia sayangkan Melayu serta menyedari objektif asas dan konsep penubuhan UniKL ini.
Atau, Pedang rasa Annuar sengaja mengeluarkan kenyataan UniKL mengiktiraf UEC untuk kemasukan ke universiti itu, setelah menerima arahan orang atas, untuk melihat reaksi orang Melayu sekiranya kerajaan mengiktiraf UEC bagi memasukan ke universiti awam.
Setakat mana Melayu akan membantah? Sejauh mana bantahan itu akan berlaku dan berterusan? Adakah sehingga orang Melayu bangkit berarak mengadakan demonstrasi di jalan raya membuat bantahan? Adakah Melayu akan membantah hanya dengan membuat kenyataan?
Semua ini boleh diambil kira. Jika orang Melayu hanya membantah menerusi kenyataan, maka tiada masalah bagi kerajaan untuk mengiktiraf UEC bagi kemasukan ke universiti awam. Sekali gus membuatkan orang Cina pun gembira dan menganggap kerajaan Barisan Nasional (BN) prihatin terhadap tuntutan mereka.
BN akan menganggap Cina akan memberi undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Parti anti-Islam seperti MCA dan Gerakan akan berlumba-lumba menjadi ‘jaguh kampung’, mendakwa mereka lah yang berusaha untuk memastikan kerajaan mengiktiraf UEC.
Tapi, benarkan orang Cina akan terus mengundi parti-parti komponen BN itu, sedangkan pemimpin BN terpalit dengan pelbagai skandal. Pada pilihan raya lalu telah berlaku tsunami politik Cina apabila hanya berapa kerat saja calon MCA dan Gerakan yang menang.
Apakah BN tidak memikirkan tsunami politik Melayu? Kata Tun Dr Mahathir Mohamad, Melayu mudah lupa. Tapi insya-Allah, Pedang dan rakan-rakan akan ingat, dan akan memperingatkan orang Melayu sekiranya mereka lupa, termasuk bagaimana MCA, Gerakan, MIC, DAP dan yang lain menentang usaha memartabatkan undang-undang Islam di Malaysia.
KPM sebenarnya tidak mengiktiraf UEC bagi kemasukan ke universiti awam kerana tidak mematuhi Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK), sedangkan adalah jelas bahawa semua sistem berkaitan pendidikan yang hendak dilaksanakan di negara ini, perlu berlandaskan dasar itu seperti diperuntukkan dalam Akta Pendidikan 1996.
Dan, dalam hal ini, UEC tidak akur terhadap kehendak seperti digariskan menerusi DPK seperti diperuntukkan mengikut akta itu. Tapi, dalam pengambilan khas guru untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ambilan Khas, KPM iktiraf juga UEC.
UniKL adalah di bawah Mara. Dan, Mara ditubuhkan pada 1 Mac 1966 mengikut Akta Parlimen sebagai sebuah badan berkanun, hasil daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera pertama pada 1965.
Allahyarham Sasterawan Negara, Datuk Dr Usman Awang yang juga dikenali dengan nama penanya, Tongkat Warrant, dalam puisinya sempena 25 tahun Mara, mengatakan bahawa Mara adalah sebuah nama keramat yang lahir daripada percikan amarah suatu bangsa yang mundur sosio-ekonominya. Suatu bangsa yang masih menadah tangan menjadi peminta di tanah air sendiri dan yang hampir 10 tahun merdeka.
Pedang berpendapat pendirian Annuar mengenai pemegang sijil UEC itu adalah satu berita buruk buat orang Melayu. Annuar mudah lupa percikan amarah bangsanya.
Pedang mahu apa yang diperuntukkan khas untuk bangsa Melayu dikekalkan. Jika Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak boleh dibuka kepada kaum lain, sama juga UniKL. Jangan kerana undi dan wang, segala hak Melayu hendak digadai.
Jangan biar Melayu hanya tinggal nama pada kereta api (Keretapi Tanah Melayu), tanah (Tanah Rizab Melayu) atau askar (Rejimen Askar Melayu Diraja) sahaja. Negara ini walaupun bernama Malaysia, tetapi nama asalnya Tanah Melayu, dan bahasa rasminya adalah bahasa Melayu.
Benarlah kata pepatah: “Meruntuhkan adalah lebih mudah daripada membangunkan.”
Kata Pedang: Teringat kata-kata Presiden Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman sebelum ini, “Rakyat Malaysia bijak, tapi dipimpin oleh orang bodoh.” 
- ismaweb

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com