innity

pages

Tuesday, January 31, 2017

JANGAN SAMPAI DUNIA PERCAYAKAN DAKWAAN TRUMP - Dr. Maza


JANGAN SAMPAI DUNIA PERCAYAKAN DAKWAAN TRUMP

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang Trump dan falsafah pentadbirannya. Ramai yang sudah membantah tentang sikap dan langkah ekstrimis lagi rasis yang ditampilkan oleh beliau. Ini menunjukkan masih ramai penduduk dunia ini dari pelbagai latar agama, negara dan kaum yang mempunyai kewarasan dan nilai kemanusiaan.

Apa yang saya kagum ialah rakyat Amerika yang pelbagai latar belakang; datuk bandar, senator, artis, peguam dan ratusan ribu yang lain yang bukan beragama Islam turut membela hak rakyat muslim Amerika. Mereka bukan sekadar bersuara tetapi sanggup berkorban masa, tenaga, harta dan emosi untuk pembelaan tersebut. Mereka bukan sekadar tidak bersetuju bahkan berdemonstrasi, membawa isu ke mahkamah dan pelbagai langkah yang lain. Ini memberikan kesedaran kepada kita bahawa hubungan keinsanan ataupun kemanusiaan itu merentasi sempadan agama.


Persoalan, apakah kita dalam dunia muslim dapat menunjukkan contoh yang sama iaitu membela hak setiap insan tanpa mengira latar agama?!

Islam mengajar untuk adil kepada semua pihak tanpa mengira latar agama dan bangsa. Dunia Islam hendaklah menjadi model dalam hal ini. Pemikiran lapuk yang menganggap keindahan Islam itu hanya dapat dilihat dengan dipancung yang murtad, dipotong tangan pencuri dan direjam penzina semata, hendaklah dihentikan di dunia Islam. Itulah yang menyuburkan ideologi IS dalam dunia ini.
Keindahan Islam itu akan dapat dilihat apabila dunia muslim itu anti-rasuah, mempunyai urus tadbir yang baik, menjaga hak setiap warganya dan memelihara alam sekitar dan segala makhluk Allah yang lain. Itulah Islam yang menjadi rahmat untuk sekelian alam.

Jika ada muslim memikirkan kejayaan muslim itu dengan memancung yang tidak menyokong golongan mullah, memotong tangan pencuri dan merejam penzina tanpa bertungkus lumus memikirkan bagaimana membela hak setiap warga, memastikan kebajikan mereka, prinsip-prinsip kemanusiaan dan alam sekitar maka itu wajah Islam yang Trump mahu dunia percaya.

Mereka yang sibuk ingin menjelmakan Islam dalam wajah hukuman, permusuhan antara penganut agama, tidak menghormati hak pihak yang lain, membiarkan korupsi, menindas golongan minoriti, tidak mementingkan alam sekitar merupakan mereka yang secara tidak langsung menyokong misi Trump. 

Penduduk dunia ini ramai yang masih simpati dan membela umat Islam, maka marilah kita tampilkan wajah Islam yang tulen, yang harmoni yang benar-benar menjadi rahmat untuk sekelian alam. Dengan itu mereka semua pihak akan rasa berbaloi membela umat Islam.

DrMAZA.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com