innity

pages

Saturday, January 28, 2017

Jadikan Rukun Negara mukadimah Perlembagaan tambah kekaburan, komplikasi


29 Rabiulakhir 1438H, Sabtu – Penambahan Rukun Negara sebagai mukadimah Perlembagaan hanya akan menambah kekaburan dan komplikasi terhadap dokumen negara itu, kata Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahya.
Beliau berkata, Perlembagaan adalah dokumen yang “supreme” yang mana darinya terwujudnya perundangan-perundangan yang lain.
Justeru, menambah apa-apa prasa di dalamnya memerlukan kajian amat teliti kerana implikasinya sangat besar di hadapan, tegas Aminuddin.
“Saya melihat perkara ini perlu diteliti dengan halus dan dikaji oleh semua pihak bukan hanya segelintir individu yang kita tahu selama ini mereka membawa fahaman liberal agama.
“Sehingga kini tidak ada perbincangan yang menyeluruh terhadapnya. Puak-puak agama Islam tidak dibawa berbincang yang menjadikan ia menimbulkan persoalan apakah objektif kumpulan ini?,” solanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Aminuddin berkata demikian sebagai mengulas gerakan Rukun Negara Sebagai Mukadimah Perlembagaan (RMP), diketuai oleh Dr Chandra Muzaffar, yang cuba mendapat sokongan ramai sebelum diusulkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu.
Beliau berkata, sekiranya objektif mereka adalah untuk mencapai perpaduan kaum, lantas beliau mempersoalkan samada apakah perkara yang terkandung di dalam Perlembagaan itu tidak cukup untuk mewujudkan perpaduan kaum.
“Alasan yang diberikan hanyalah sekadar untuk membawa perpaduan kaum dan Rukun Negara ini mereka lihat sebagai asas penting untuk dimasukkan dalam Perlembagaan.
“Rukun Negara diwujudkan selepas peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 sedangkan Perlembagaan diwujudkan ketika kemerdekaan negara.
“Ertinya, Rukun Negara adalah sangat spesifik kepada kejadian tersebut sedangkan Perlembagaan membawa skop yang lebih luas, menyeluruh dan berjangka panjang,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pernyataan di dalam Rukun Negara terlalu umum akan mengundang pelbagai tafsiran.
“Contoh “kepercayaan kepada Tuhan”. Ia tidak menyebut Islam dimana-mana sedangkan dalam Perlembagaan jelas Islam disebut sebagai agama Persekutuan.
“Ada yang menafsirkan bahawa Rukun Negara ini membawa pendekatan liberal yang membawa ideologi bahawa semua agama adalah sama, ingin kepada kebaikan. Ini sangat salah dari aspek penyamaannya.
“Ironi nya orang yang mendakwa kasih mereka kepada Islam dan kononnya mengatakan Rukun Negara ini tidak akan menjejaskan Islam, orang yang sama juga menentang RUU355 walaupun ia selaras dengan 3{1).
“Yang lebih dibimbangi ialah ini merupakan anasir yang cuba untuk mencairkan kemuliaan agama Islam dan jatidiri umat Islam secara halus kerana jika silap penafsiran maka akan membawa pemikiran pluralisme dan liberalisme dalam Perlembagaan yang akhirnya akan menjejaskan pandangan mahkamah yang menjadikan Perlembagaan sebagai bahan rujukan dan sandaran,” katanya. - ismaweb

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com