innity

pages

Saturday, May 20, 2017

LIVE Jelajah Semarak Bersama Tun M dan TS Muhyiddin


Tulisan Tun M: PAS Sejarahnya, Ikut Islam Sebenar atau Bai'ah Taksub Parti & Pemimpin


1. Seperti yang disangka, PAS tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia; parti Melayu Islam dan Pribumi. Samada PAS akan adakan kerjasama dengan UMNO atau tidak, penyertaan PAS dalam PRU 14 tetap akan menghakis sokongan kepada Pakatan Harapan dan kepada PAS sendiri.

2. Pakatan Harapan dan PAS akan kalah dan Barisan Nasional akan menang. Inilah sebenarnya perjuangan PAS. Ia bukan untuk bangsa dan agama. Ia bertujuan melemahkan orang Melayu.

3. Sejak penubuhannya lagi hasilnya ialah untuk melemahkan politik Melayu. Diwaktu UMNO ditubuh semua orang Melayu selain dari ahli Malay Nasional Party (MNP) menyertai parti itu. Orang yang berpelajaran agama semuanya menyertai UMNO. Mereka dikenali sebagai ulama UMNO.

4. Sehingga penubuhan Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu atau nama Inggerisnya United Malays National Organisation atau UMNO, tidak ada pertubuhan yang diiktiraf sebagai parti politik orang Melayu.

5. Kesatuan Melayu Muda dan Parti Kebangsaan Melayu bukanlah parti politik tetapi hanyalah kumpulan-kumpulan kecil intelek Melayu yang memberi perhatian kepada beberapa masalah yang dihadapi oleh orang Melayu. Mereka bukan gerakan massa yang memiliki ideologi tertentu dan berusaha untuk mempengaruhi sistem pemerintahan Tanah Melayu. Mereka juga tidak memberontak melawan penjajah.

6. Sebaliknya UMNO ditubuh khusus untuk menentang cadangan British merampas Semenanjung Tanah Melayu untuk menjadikannya tanah takhluk yang diperintah secara langsung oleh mereka.

7. Demikianlah kuatnya tentangan orang Melayu melalui UMNO sehingga British terpaksa akur kepada kehendak UMNO dan membatalkan Malayan Union.

8. Demikianlah kehormatan British kepada UMNO sehingga Tunku Abdul Rahman, sebagai Yang diPertua UMNO diberi hak untuk melantik beberapa ahli dalam Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Council) dan juga dalam state council negeri-negeri.

9. Tunku memilih individu yang berpengalaman dalam bidang pentadbiran. Kebanyakannya berpelajaran Inggeris. Hanya beberapa orang sahaja dari ulama-ulama UMNO dipilih oleh Tunku.

10. Di waktu ini ramai dari ulama UMNO pilih untuk keluar UMNO dan menubuh PMIP (Pan Malayan Islamic Party).

11. Dengan kononnya PMIP akan perjuang Islam ramailah ahli dan penyokong UMNO terpikat. Dalam PRU untuk 52 dari 98 kerusi pada 1955, PMIP menang hanya 1 kerusi. 51 kerusi dimenangi oleh Perikatan (UMNO, MCA dan MIC).

12. Dalam PRU 1959, yang pertama selepas merdeka, PMIP memperalatkan agama Islam sepenuhnya. Orang UMNO dikafirkan kononnya kerana bekerjasama dengan orang kafir MCA dan MIC.

13. Ramai orang Melayu terpengaruh dengan dakwaan ini sehingga ada yang mengkafir ibubapa mereka, dan ada yang berkahwin semula kerana perkahwinan mereka sebelum menjadi ahli PAS tidak sah dan anak mereka menjadi anak haram.

14. Tetapi PAS hanya menang 13 kerusi Parlimen tahun 1959 dari 104 yang dipertandingkan. Walaubagaimanapun PAS tawan Kelantan dan Terengganu.

15. Sejurus selepas pilihanraya perpecahan berlaku dalam Kerajaan PAS di Terengganu dan ianya jatuh, diganti dengan Kerajaan Perikatan.

16. Pada 1964 dan 1969 prestasi PAS merosot dengan memperoleh hanya 9 kerusi pada 1964 dan 12 kerusi pada 1969.

17. Selepas rusuhan kaum 1969, PAS menyertai Barisan Nasional dan memenangi 14 kerusi.

18. Perpecahan berlaku dalam PAS dan parti itu keluar dari BN. Pada 1978, 1982 dan 1986 prestasi PAS turun semula. Ia mendapat 5 kerusi pada 1978, 5 kerusi pada 1982 dan hanya 1 kerusi pada 1986.

19. Apabila Tengku Razaleigh tubuh parti Semangat 46, PAS mengadakan Pakatan dengannya. Dengan itu pada PRU 1990 dan 1995 PAS memenangi 7 kerusi tiap PRU.

20. Pada tahun 1999 PAS menyertai Barisan Alternatif bersama dengan Parti Keadilan Rakyat dan Parti DAP.

21. Ulama PAS bekerja keras untuk menghalalkan kerjasama dengan parti kafir DAP. Mereka mengeluarkan sebuah kertas bertajuk Tahaluf Siyasi.

22. Penggunaan bahasa Arab jelas bertujuan untuk menunjuk kerjasama PAS dengan parti kafir DAP diterima oleh agama Islam. Ayat-ayat diceduk dari Al-Quran yang kononnya mengizinkan kerjasama PAS dengan kafir walaupun berlawanan dengan dakwaan PAS dahulu bahawa orang UMNO menjadi kafir kerana bekerjasama dengan orang kafir MCA dan MIC.

23. Tahaluf Siyasi hanya bermakna bekerjasama (pakatan) politik dalam bahasa Melayu atau political cooperation dalam bahasa Inggeris. Ayat-ayat Al-Quran yang disebut dalam kertas Tahaluf Siyasi itu tidak menentukan kerjasama politik seperti itu halal atau tidak.

24. Semasa PAS berada dalam Barisan Nasional dalam PRU 1974 ia juga bekerjasama dengan orang UMNO yang telah dikafirkan dan ramai parti-parti anggota BN yang dimiliki dan disertai oleh orang kafir.

25. Yang menjadi kenyataan ialah di masa PAS bekerjasama dengan DAP dalam Barisan Alternatif (PKR, PAS, DAP) kemenangan PAS bertambah kepada 27 pada 1999.

26. Pada tahun 2004 apabila DAP tidak menyertai Barisan Alternatif, PAS memperoleh hanya 7 kerusi.

27. Kemudian pada 2008 dan 2013, apabila Pakatan Alternatif dijadikan Pakatan Rakyat dan DAP kembali menyertainya prestasi PAS meningkat semula. Pada tahun 2008 PAS memenangi 23 kerusi dan pada 2013, 21 kerusi.

28. Yang jelas dari rekod ini ialah pencapaian PAS merosot teruk apabila bersendirian, tetapi sebaliknya apabila berpakat dengan DAP, pada 1999, 2008 dan 2013 PAS mendapat kemenangan tertinggi iaitu 27 pada 1999, 23 kerusi pada 2008 dan 21 kerusi pada 2013.

29. Semua ini adalah kenyataan yang benar dari rekod rasmi.

30. Al-Quran melarang mengkafir orang Islam. Sesiapa yang membuat dakwaan ini tanpa soal selidik keatas beribu-ribu orang Islam, orang yang mengucap dua kalimah syahadah, maka kafir itu akan kembali kepadanya. Benarlah apa yang disebut dalam Al-Quran apabila PAS bekerjasama dengan kafir DAP dan lain-lain orang kafir. Mengikut fahaman ajaran Islam oleh PAS, ahli parti itu sudah jadi kafir.

31. Membaca sejarah benar ini tidak akan mengubah pendirian orang PAS. Mereka begitu taksub dengan pemimpin dan parti mereka sehingga dakwaan Nik Aziz bahawa Tuhan mencarut pun diterima baik oleh mereka.

32. Mereka dipercayai membaiah kepada parti dan pemimpin mereka. Bai’ah ini mengikat mereka sehingga mereka sanggup membelakangkan Islam dan Al-Quran.

33. Bahawa Al-Quran melarang berpakat untuk membuat jahat, dan sebaliknya berpakat hanya untuk amal ma’aruf tidak sedikit pun dipedulikan oleh PAS dan pemimpinnya.

34. Sekarang PAS akan bertanding kononnya untuk melawan UMNO, tetapi sebenarnya untuk memberi kemenangan kepada UMNO. Samada dedak terlibat atau tidak Wallahu A’lam. Allah Subhanahu Wata’ala Maha Mengetahui.

35. Kita manusia cuma boleh teka. Yang jelas ialah apa yang baik datangnya dari Allah Subhanahu Wataala. Keburukan datang daripada kita sendiri.

36. Terpulanglah kepada ahli PAS samada mengikut ajaran Islam atau terus membai’ah dan taksub kepada parti dan pemimpinnya yang berjuang untuk nafsu didunia.

13 fakta berkenaan kisah umat Nabi Lut a.s. yang DISEMBUNJYIKAN pendukung LGBT


Al-Qattan dalam kitab Mabahith fi ‘Ulum al-Qur’an menyatakan, di antara faedah kisah-kisah yang disebut oleh Allah S.W.T. s.w.t di dalam al-Qur’an yang merangkumi kisah para Nabi, adalah untuk :
a) Menerangkan asas-asas dakwah menuju Allah S.W.T. dan perkara asas syariat yang dibawa oleh para Nabi.
b) Meneguhkan hati Rasulullah s.a.w. dan hati umat Muhammad s.a.w. di atas agama Allah S.W.T., mengukuhkan keyakinan orang beriman mengenai kemenangan para pendukung kebenaran dan kehancuran para pembela kebatilan.
c) Menarik perhatian para pendengar dan memantapkan pesanan yang terkandung di dalamnya ke dalam jiwa mereka.
Solah al-Khalidi di dalam kitabnya al-Qasas al-Qur’aniyy ‘Ardu Waqa’i‘ wa Tahlil Ahdath menjelaskan bahawa kisah berkenaan Nabi Lut a.s. dan umatnya disebutkan oleh Allah S.W.T. SWT sebanyak 27 kali di dalam al-Qur’an. Ia merangkumi 3 keadaan iaitu :
i) Kisah secara terperinci mengenai Nabi Lut a.s. bersama umatnya yang mengisahkan penyelewengan akhlak mereka, dakwah Nabi Lut kepada umatnya agar dibersihkan perlakuan mereka yang salah, penolakan dakwah oleh umatnya serta menerangkan azab dan seksa ke atas umatnya.
ii)  Kisah yang disebutkan secara sepintas lalu mengenai Nabi Lut a.s.
iii)  Ayat yang menyatakan nama Nabi Lut a.s. sebagai sebahagian dari nama  para Nabi
Solah al-Khalidi menjelaskan sekurang-kurangnya 13 fakta penting menurut al-Qur’an dan al-Hadith berhubung kisah Nabi Lut a.s. dan umatnya. Di antaranya ialah :
1) Nabi Lut a.s. adalah di antara kalangan para Nabi yang diutuskan oleh Allah S.W.T. Di dalam al-Qur’an, Allah S.W.T. menjelaskan bahawa Nabi Lut a.s. beriman kepada Nabi Ibrahim a.s. sewaktu Baginda menyampaikan dakwah di negerinya iaitu Iraq. Beliau juga menjelaskan Nabi Lut a.s. berhijrah bersama Nabi Ibrahim a.s. dari Iraq ke Palestin berdasarkan ayat 26, Surah al-Ankabut dan ayat 71, Surah al-Anbiya’, sebelum diutuskan kepada suatu kaum yang tinggal di sebuah perkampungan di utara Palestin.
2) Solah al-Khalidi menegaskan bahawa tidak wujud dalam sebarang hadith sahih mengenai dari mana asalnya umat Nabi Lut a.s., nama mereka serta nama daerah atau kawasan yang mereka diami. Ini kerana sebarang riwayat Israiliyyat yang tercatat di dalam kitab sejarah umat terdahulu, tidak boleh diyakini sepenuhnya. Apa yang jelas diungkapkan oleh al-Qur’an, bahawa umat Nabi Lut a.s. melakukan banyak perlakuan keji dan di antaranya perlakuan homoseksual ataupun liwat iaitu mereka mendatangi golongan lelaki yang sama jenis dengan mereka dan ia tidak pernah dilakukan oleh mana-mana umat terdahulu sebelum mereka.
3) Selanjutnya, Solah al-Khalidi menjelaskan hikmah Nabi Lut a.s. yang diutuskan  untuk mencegah perlakuan keji di kalangan umatnya, berbanding para Rasul yang lain yang diutus kepada umat mereka dengan ajakan untuk beriman kepada Allah S.W.T. Di antara hikmahnya ialah, umat para Rasul yang lain melakukan penyelewengan dari sudut aqidah dengan menyembah berhala, sedangkan umat Nabi Lut a.s. melakukan penyelewengan akhlak dengan perlakuan homoseksual yang keji itu.
Beliau menegaskan, bagaimana suatu umat yang telah sebati dengan perlakuan keji tersebut boleh beriman kepada Allah S.W.T. jika tidak diseru kepada mereka peringatan supaya meninggalkan terlebih dahulu perlakuan keji itu? Justeru, dakwah Nabi Lut a.s. yang lebih utama dalam berhadapan umatnya adalah membersihkan jasmani dan keinginan mereka daripada perlakuan seks songsang. Ini kerana, seruan untuk mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. seakan-akan tidak bermanfaat kepada kelompok manusia yang telah sebati dengan perlakuan seks songsang tersebut.
4)  Tidak diketahui secara tepat bilakah perlakuan homoseksual yang dilakukan oleh umat Nabi Lut a.s. itu bermula. Bahkan, Solah al-Khalidi menegaskan tidak dijelaskan dalm al-Qur’an siapakah orang yang pertama melakukan perlakuan homoseksual itu di kalangan Nabi Lut a.s., bagaimana keadaan orang yang melakukan perlakuan homoseksual itu dan bagaimana pula keadaan orang yang diperlakukan. Justeru, peringatan Allah S.W.T. yang menzahirkan perlakuan keji umat Nabi Lut a.s. di dalam al-Qur’an sudah memadai untuk menjadi peringatan kepada umat kemudian, tanpa perlu merujuk kepada riwayat Israiliyyat yang dinukilkan secara terperinci tanpa dapat dipastikan kebenarannya.
Apa yang penting, penyelewengan seks tersebut bermula secara terpencil di kalangan umat Nabi Lut a.s. , sebelum ia merebak di kalangan mereka serta dilakukan secara terbuka di tempat pertemuan mereka. Tegas Solah al-Khalidi lagi, umat Nabi Lut a.s. menzahirkan perlakuan homoseksual tersebut tanpa ada rasa malu dan ia merupakan bukti bahawa perlakuan keji tersebut berleluasa di kalangan umat Nabi Lut a.s. dan hanya sedikit dari kalangan mereka yang tidak terlibat.
5) Perlakuan homoseksual oleh umat Nabi Lut a.s. secara jelas menyalahi fitrah manusia. Ini kerana, Allah S.W.T. telah menjadikan golongan perempuan sebagai pasangan yang lengkap bagi seorang lelaki kerana ia memenuhi tuntutan dari sudut perasaan seperti kasih sayang dan kebahagiaan serta jasmani yang sihat. Justeru, bagaimana seorang lelaki yang normal dan waras sanggup membenarkan dirinya melakukan persetubuhan melalui dubur atau disetubuhi oleh lelaki lain? Ternyata, mereka yang terlibat dengan perlakuan homoseksual atau liwat ini mengalami penyakit jiwa dan perasaan kerana sanggup melakukan sesuatu di luar fitrah.
6) Nabi Lut a.s. dilihat secara tegas menegah perlakuan homoseksual yang dilakukan oleh umatnya. Ini kerana, Solah al-Khalidi menyatakan Nabi Lut a.s. berpandangan bagaimana umatnya sanggup menjadikan lelaki yang sama jenis dengan mereka menjadi tempat untuk memuaskan nafsu syahwat mereka? Mengapa umatnya tidak memadai dengan perempuan sebagai pasangan hidup mereka yang halal?
Mengapa pula umatnya sanggup menggantikan peranan perempuan dengan lelaki yang bersifat keperempuanan atau mukhannath di kalangan mereka? Ia semua berlaku disebabkan umat Baginda melampaui batas dengan mengikut kehendak syahwat songsang mereka dan mengutamakan perkara yang haram berbanding apa yang dihalalkan untuk mereka.Perkataan al-Zukran dalam ayat 165, Surah al-Syu’ara’ menggambarkan kehendak mereka yang melampau sehingga tidak ada lagi yang dikehendaki untuk memuaskan nafsu syahwat mereka, melainkan golongan lelaki yang sama jenis dengan mereka.
7) Umat Nabi Lut a.s. didapati memperolok-olokkan Nabi Lut a.s. dengan menyatakan kepada Baginda, seandainya Baginda berkata benar iaitu dalam mencegah perlakuan homoseksual yang dilakukan oleh mereka, maka mohonlah kepada Allah S.W.T. supaya ditimpakan azab ke atas mereka. Mereka juga didapati mengancam untuk mengusir Nabi Lut a.s. dan golongan yang beriman yang merupakan pengikut Nabi Lut a.s., sekiranya Baginda terus-menerus mencegah perlakuan homoseksual yang dilakukan oleh mereka. Ini kerana umat Nabi Lut a.s. merasakan Baginda adalah orang luar yang datang ke tempat mereka dan tiada hak untuk menegah apa yang mereka lakukan dari perlakuan homoseksual tersebut.
Walau bagaimanapun Nabi Lut a.s. tetap istiqamah dalam mencegah perlakuan keji yang dilakukan oleh umatnya. Solah al-Khalidi menegaskan, Nabi Lut a.s. dan pengikutnya yang beriman dimuliakan oleh Allah S.W.T. daripada melakukan perlakuan homoseksual yang menjadi amalan umat Baginda. Ia dapat dilihat dalam suasana masa kini, di mana golongan yang melakukan kemungkaran merasakan golongan yang mencegah kemungkaran mereka perlu diusir dari kalangan mereka kerana tidak melakukan kemungkaran yang dilakukan oleh mereka.
8) Nabi Lut a.s. dibantu oleh Allah S.W.T. sejajar dengan permohonan Baginda yang mengharapkan bantuan Allah S.W.T. dalam berhadapan umatnya yang berterusan dalam melakukan penyelewengan seks. Justeru, jelas Solah al-Khalidi, berdasarkan sunnatullah setelah Nabi Lut a.s. menyampaikan dakwah kepada umat Baginda dan tidak mampu untuk mengubah kehendak umatnya yang telah sebati dengan perlakuan homoseksual, maka Allah S.W.T. telah menimpakan azab dan kemusnahan kepada umat Baginda yang jelas kufur kepada Allah S.W.T. Manakala, pada waktu yang sama Allah S.W.T. menyelamatkan Nabi Lut a.s. dan pengikut Baginda yang beriman.
Solah al-Khalidi menyatakan lagi, sebelum azab ditimpakan kepada Nabi Lut a.s., Allah S.W.T. telah memerintahkan kepada para malaikat untuk bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s. untuk membawa dua berita iaitu berita Nabi Ibrahim a.s. akan dikurniakan seorang anak yang bernama Ishak dan berita mengenai umat Nabi Lut a.s. yang akan dimusnahkan. Pada ketika itu, Nabi Ibrahim a.s. bimbang tentang nasib Nabi Lut a.s. yang berada di kalangan umatnya yang akan dimusnahkan. Walau bagaimanapun, para malaikat menenangkan Nabi Allah S.W.T. Ibrahim a.s. berdasarkan ayat 32, Surah al-‘Ankabut bahawa Nabi Lut a.s. dan pengikutnya yang beriman akan diselamatkan, kecuali isteri baginda kerana dia termasuk di kalangan umat Nabi Lut a.s. yang dibinasakan oleh Allah S.W.T.
9) Nabi Lut a.s. sedaya upaya mempertahankan tetamu Baginda iaitu para malaikat yang dijelmakan sebagai pemuda berwajah tampan oleh Allah S.W.T. Beliau sangat bimbang mengenai keselamatan para tetamunya, lantaran mengenangkan perlakuan keji yang dilakukan oleh umat Baginda iaitu mendatangi golongan lelaki yang sama jenis dengan mereka. Ternyata, kebimbangan Nabi Lut a.s. Berasas apabila umat Baginda memaksa supaya menyerahkan tetamu Baginda kepada mereka. Jelas Solah al-Khalidi, Nabi Lut a.s. menegaskan kepada umat Baginda, apakah tidak ada di kalangan mereka seorang lelaki yang waras akalnya yang boleh menasihatkan mereka, agar menyedari bahawa perlakuan homoseksual itu sememangnya perlakuan yang keji? Apatah lagi, mereka ingin melakukan perbuatan terkutuk itu bersama tetamu Baginda.
Mereka dibayangkan seolah-olah hilang akal dan mendesak Nabi Lut a.s. menyerahkan tetamu Baginda kepada mereka. Perbuatan Nabi Lut a.s. yang mempertahankan tetamu daripada diperlakukan dengan perlakuan yang keji termasuk di antara adab Islam supaya memuliakan tetamu. Walau bagaimanapun, ternyata tidak terdapat seorang pun di kalangan umat Nabi Lut a.s. yang berfikiran waras supaya mengingatkan mereka agar tidak meneruskan kehendak mereka yang semakin menggila untuk melakukan perlakuan homoseksual bersama tetamu Nabi Lut a.s.
10) Selanjutnya, Solah al-Khalidi menjelaskan bahawa dalam usaha untuk menyelamatkan tetamu Baginda daripada diapa-apakan, maka Baginda telah menawarkan kepada umat Baginda anak anak perempuan Baginda. Tegas beliau lagi, tidak perlu kita mendapatkan sumber daripada Israiliyyat tentang siapakah anak perempuan Baginda dan meninggalkan perselisihan di kalangan para ahli sejarah dan mufassirin. Apa yang lebih utama adalah berpandukan kepada apa yang telah termaktub di dalam al-Qu’ran.
Anak-anak perempuan Nabi Lut a.s.digambarkan sebagai perempuan yang suci serta lebih utama untuk dipergauli dalam memenuhi kehendak syahwat mereka mengikut cara yang dibenarkan.  Solah al-Khalidi menyatakan lagi, pandangan yang lebih tepat mengenai anak-anak perempuan Nabi Lut a.s. adalah merujuk kepada anak-anak perempuan di perkampungan umat Baginda. Ini kerana, Nabi Lut adalah Rasul dan Nabi di perkampungan Baginda. Dan Baginda merupakan orang tua serta pemimpin di kalangan umat Baginda. Justeru, Baginda diibaratkan sebagai bapa kepada golongan perempuan di perkampungan Baginda berdasarkan pengertian maknawi.
11) Seterusnya, Nabi Lut a.s. menyeru umat Baginda agar memilih jantina yang berlawanan iaitu golongan perempuan dan meninggalkan perlakuan homoseksual yang keji itu. Walau bagaimanapun, permintaan Baginda tidak diendahkan oleh umat Baginda, bahkan mereka menegaskan bahawa Nabi Lut a.s. sepatutnya jelas tentang kehendak syahwat mereka yang hanya ingin mendatangi golongan lelaki sama jenis dengan mereka dan mereka tidak sekali-kali menginginkan golongan perempuan di perkampungan mereka.
Pada ketika ini, Nabi Lut a.s. menyatakan munajatnya berdasarkan ayat 80, Surah Hud bahawa alangkah baiknya sekiranya Baginda mempunyai kekuatan atau berlindung dengan perlindungan yang lebih kuat dalam usaha menyelamatkan tetamu Baginda daripada diapa-apakan. Ini kerana, Baginda digambarkan sebagai orang luar dari kalangan umat Baginda, dan tidak mempunyai sanak saudara di kalangan mereka untuk membantunya bagi menyelamatkan tetamu Baginda. Justeru, Baginda meyakini tidak ada perlindungan yang lebih baik melainkan perlindungan Allah S.W.T.
12)  Nabi Lut a.s. pada asalnya tidak mengenali tetamu Baginda sebagai malaikat yang diutuskan oleh Allah S.W.T. untuk menghancurkan umat Baginda. Di antara hikmahnya ialah, supaya malaikat tersebut menyaksikan dengan jelas penyelewengan seks yang berlaku di kalangan umat Nabi Lut a.s. Justeru, ia menjadi hujah yang kuat bagi Allah S.W.T. mengazab mereka disebabkan perlakuan homoseksual yang ingin dilakukan oleh mereka bersama tetamu Baginda yang sebenarnya adalah malaikat.
Solah al-Khalidi menjelaskan lagi, para malaikat tersebut kemudiannya memberitahu Nabi Lut a.s.supaya bersegera keluar dari perkampungan Baginda beserta pengikut Baginda yang beriman sebelum waktu Subuh keesokan harinya. Ia bertujuan menyelamatkan Baginda dan pengikutnya daripada ditimpa azab Allah S.W.T. yang sangat dahsyat yang akan ditimpakan kepada umat Baginda pada waktu Subuh. Ternyata, kesemua umat Nabi Lut a.s. dibinasakan oleh Allah S.W.T. yang masih tinggal di perkampungan tersebut tanpa ada seorang pun daripada mereka yang terselamat.
13)  Isteri Nabi Lut a.s. diberitakan di dalam al-Qur’an sebagai di antara mereka yang dibinasakan bersama umat Nabi Lut a.s. Ini kerana tegas Solah al-Khalidi, isteri Baginda memilih untuk kufur kepada Allah S.W.T., tidak menyerap di dalam jiwanya keimanan yang ada pada suaminya iaitu Nabi Lut a.s., sebaliknya isteri Nabi Lut a.s. Memilih untuk teguh di atas agama umat Nabi Lut a.s. yang kufur kepada Allah S.W.T. dan melakukan penyelewengan seks. Ia dinyatakan dengan jelas oleh Allah S.W.T. pada ayat 10, Surah al-Tahrim. Meskipun isteri Nabi Lut a.s. di bawah pengawasan Baginda, namun dengan sifat khianat yang dilakukan oleh isteri Baginda, maka ia dimasukkan oleh Allah S.W.T. ke dalam neraka.
Solah al-Khalidi menjelaskan bahawa, khianat yang dimaksudkan bukan bermaksud isteri Nabi Lut a.s. melakukan zina atau perlakuan keji sebagaimana umat Baginda, sebaliknya pengkhianatan dalam agama dengan menolak agama yang benar, memlih agama yang batil dan dia merupakan seorang yang kufur kepada Allah S.W.T. Justeru, meskipun dia merupakan isteri kepada seorang Nabi, ia sedikit pun tidak memberikan manfaat kepadanya , menyelamatkannya daripada azab yang ditimpakan kepada umat Nabi Lut a.s. serta Baginda tidak berupaya untuk menghalang isteri Baginda daripada dimasukkan ke dalam neraka pada hari akhirat kelak.
Kesimpulannya, ini adalah 13 fakta berkenaan kisah umat Nabi Lut a.s. yang biasanya tidak didedahkan oleh pendokong LGBT. Moga Allah merahmati kita semua.
Dr Izwan Yusof
Putrajaya

Friday, May 19, 2017

[SOMBONGNYA] Mahathir ibarat 'singa tua tak ada gigi', kata PAS



Naib Presiden PAS, Idris Ahmad menyifatkan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai 'singa tua tak ada gigi' disebabkan keghairahan tokoh itu yang baru sahaja menjadi pemimpin pembangkang kerap mengkritik PAS.

Ini kerana, kata Idris, PAS konsisten menjadi pembangkang sejak lama dahulu dalam menentang Umno-BN.

"Tiba-tiba Dr Mahathir nak ajar kita jadi pembangkang. Dia baru sehari dua jadi pembangkang.

"Saya kadang-kadang saya malas nak serang Dr Mahathir kerana dia tak ada kuasa dah. Tak guna kita lawan kalau tak ada kuasa.

"Dr Mahathir ibarat singa tua tak ada gigi. Kita nak marah dia pun tak guna," katanya.

Beliau berkata demikian dalam cermah isu semasa di Tumpat, Kelantan pada 18 Mei lalu.

Polis digesa tangkap Mat Over

Polis sekali lagi dituntut mengambil tindakan ke atas pelakon Sulaiman Yassin yang menyerang penerbit filem Datuk David Teo di khalayak ramai pada sebuah majlis dihadiri perdana menteri Rabu lalu.
Peguam dan Ahli Parlimen DAP, Ramkarpal Singh berkata kegagalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bertindak akan hanya memberikan mesej buruk mengenai kecekapan polis di samping “satu tamparan kepada prinsip kedaulatan undang-undang”.
“Saya menyeru supaya Khalid mengambil langkah perlu dengan menangkap Sulaiman bagi menyiasatnya kerana menyerang Teo,” kata Ramkarpal dalam kenyataan hari ini, sambil menambah Khalid sedia maklum polis perlu bertindak walaupun tanpa laporan polis, oleh kerana rakaman kejadian itu tersebar luas.
Beliau berkata kegagalan polis berbuat demikian akan ditafsirkan sebagai kelalaian Khalid dalam tugasnya di samping memberikan mesej “orang ramai boleh terlepas daripada tindakan walaupun jenayah dilakukan di hadapan perdana menteri”.
Dalam insiden di Seri Perdana, Putrajaya Rabu lalu, sesi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dihadiri Datuk Seri Najib Razak dan puluhan penggiat seni terganggu seketika apabila Teo tampil mempersoalkan moderator Datuk Rosyam Nor kerana tidak memberi peluang kepada mereka yang berada di barisan belakang.
Keadaan menjadi kecoh apabila Sulaiman, juga dikenali sebagai Mat Over, tiba-tiba meluru ke arah pentas dan menampar Teo, sambil disaksikan Najib.
Teo dan Mat Over kembali ke pentas di akhir sesi itu untuk memohon maaf kepada Najib. Bagaimanapun, Mat Over dilaporkan berkata beliau tidak menyesali perbuatannya, malah berkata ia perlu supaya mengajar Teo yang menurutnya biadap terhadap Najib.
Insiden itu menerima pelbagai reaksi daripada rakyat Malaysia termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata kejadian itu memalukan, sambil mempersoalkan kelewatan meleraikan Mat Over dan Teo.
Namun, ada juga pihak seperti beberapa kumpulan pro-Umno, yang menyalahkan Teo kerana “biadap” terhadap Najib.
“Dunia yang pelik. Seseorang tampar saya, tetapi saya perlu minta maaf kepada dia dan orang ramai?” kata Teo kepada FMT semalam.
Kawalan lembap
Sebelum ini, peguam PKR N Surendran mempersoalkan Najib kerana tidak menegur Mat Over.
Surendran berkata tindakan Mat Over jelas satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.
Ramkarpal hari ini mempertikaikan mengapa Mat Over yang jelas dilihat sedang meluru ke arah Teo tidak dihalang serta merta oleh pasukan keselamatan.
“Pemerhatian rakaman insiden yang menjadi viral itu menunjukkan Sulaiman meluru ke arah Teo di hadapan 2 pegawai polis yang berada di sebelah Teo. Sepatutnya sudah jelas Sulaiman perlu dihalang atau diberkas sebelum dia sampai kepada Teo, tetapi kedua-dua pegawai polis tidak berbuat apa-apa mengelak insiden itu daripada berlaku walaupun ia mudah dilakukan mereka.
“Bagaimana sekiranya sasaran Sulaiman ialah perdana menteri sendiri? Apakah kawalan keselamatan pada masa itu pun masih longgar?” soal Ramkarpal.

Krisis politik Selangor: 13 wakil rakyat PAS ugut letak jawatan


Kepemimpinan PAS Selangor mengugut untuk menarik diri daripada kerajaan campuran diketuai PKR, jika Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali terus memaksa tiga Exco daripada parti itu meletak jawatan.
Kepimpinan parti negeri itu memutuskan bahawa semua 13 wakil rakyat akan melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri jika Azmin terus menerima tekanan daripada sekutu pakatan harapan untuk mengasingkan PAS.
Keputusan itu dibuat pada mesyuarat yang diadakan lewat malam kelmarin, dipengerusikan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi.
Mesyuarat pada Selasa dihadiri oleh semua pemimpin kawasan dan sayap PAS Selangor di mana mereka diberimaklumat terkini oleh Sallehen mengenai krisis politik yang melanda kerajaan negeri, berikutan keputusan Majlis Syura Ulama menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR.
Memetik laporan The Star Online, Sallehen ditugaskan untuk menyampai keputusan itu kepada jawatankuasa pusat parti yang dijangka mengadakan pertemuan hari ini.
Sekiranya ugutan itu benar-benar menjadi kenyataan, ia dijangka akan menggugat kerajaan negeri itu dengan 29 wakil rakyat pakatan harapan di Dewan Undangan Negeri (DUN), daripada 56 kerusi keseluruhannya.
Ia bermakna, kerajaan negeri Pakatan Harapan hanya mempunyai 29 wakil rakyat iaitu 14 daripada DAP, 13 (PKR) dan PAN (dua).
Malah, pakatan harapan juga akan mempunyai pembangkang baharu di negeri itu yang terdiri daripada 13 dari PAS, 11 (UMNO) dan dua (Bebas).

Sunday, May 14, 2017

PAS KHIANATI RAKYAT: Tun M: BN AKAN MENANG jika Pertandingan 3 Penjuru

Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui pertandingan 3 atau 4 penjuru antara parti utama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan memberi kemenangan kepada BN.

Bekas perdana menteri itu berkata, parti pembangkang yang bekerjasama di bawah Pakatan Harapan berkemungkinan besar menang jika pilihan raya hanya membabitkan mereka dan BN.

Bagaimanapun, katanya, ada parti lain yang kononnya akan menurunkan calon untuk melawan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan BN.

“Kesannya ialah pengundi yang berhasrat mengalahkan Najib akan berpecah 2 atau 3.

“Penyokong Najib, kerana sebab-sebab tertentu akan bersatu mengundi BN. Najib akan menang kerana berpecahnya undi pembangkang.

“Dengan perkataan lain, parti-parti yang memecahkan pengundi penentang sehingga pertandingan menjadi 3 atau 4 penjuru, sebenarnya menyokong BN dan Najib,” tulisnya dalam blognya semalam.

Beliau menyifatkan tindakan parti itu sebagai mengkhianati usaha menjatuhkan Najib dan menghentikan kerosakan kepada negara.

“Najib akan teruskan cara pentadbiran yang umum tahu,” katanya.

Walaupun Dr Mahathir tidak menamakan mana-mana parti, ia difahamkan beliau merujuk PAS.

Khamis lalu, PAS menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR selepas Majlis Syura Ulamanya meluluskan usul dikemukakan di Muktamar PAS ke-63 pada 30 April lalu.

Pada 12 Februari lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menutup pintu kerjasama dengan PPBM dengan alasan parti Islam itu tidak akan bekerjasama dengan parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan Amanah.

Dr Mahathir juga mendakwa pemimpin Pakatan Harapan merancang mengambil alih negara pada PRU14 mempunyai rekod tanpa jenayah atau penyalahgunaan kuasa.

Beliau berkata, mereka mempunyai keupayaan dan pengalaman untuk menguruskan sebuah kerajaan baru jika BN digantikan.

“Kerajaan yang bercadang mengganti Najib ialah kerajaan parti campuran pembangkang yang akan dipimpin pemimpin-pemimpin yang mahir dalam politik dan dibantu dengan mereka yang berpengalaman dalam pentadbiran negara.

“Mereka tidak ada rekod jenayah atau menyalah guna kuasa. Mereka terpelajar dan pernah menjadi anggota kerajaan.”

Saturday, May 13, 2017

[GEMPAR] Azmin Minta Tiga Exco PAS Lepas Jawatan , Sabar Ada Hadnya

Tiga exco PAS di Selangor telah diminta oleh Datuk Seri Azmin Ali supaya melepaskan jawatan masing-masing sebagai ahli exco kerajaan negeri.

Menteri Besar Selangor membuat permintaan mengejutkan itu semasa mesyuarat selama satu jam dengan Datuk Iskandar Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.

Pesuruhjaya PAS negeri yang baharu, Sallehen Mukhyi juga hadir dalam mesyuarat tersebut.

Namun, Azmin telah memberi jaminan bahawa PAS masih boleh kekal sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri selaras dengan mandat kemenangannya pada pilihan raya umum 2013.

Difahamkan, wakil PAS akan terus menikmati peruntukan pembangunan negeri, kekal sebagai ahli majlis perbandaran dan jawatankuasa kampung.

Azmin memanggil mesyuarat itu berikutan keputusan Majlis Syura PAS pada Khamis menamatkan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan PKR.

Beliau menerima tekanan daripada rakan-rakan Pakatan Harapan untuk memutuskan hubungan dengan PAS kerana tidak masuk akal untuk mereka 'tinggal serumah' selepas parti itu mengumumkan 'perceraian'.

Difahamkan bahawa wakil-wakil PAS terkejut dengan permintaan menteri besar dan mereka mahu berbincang dengan parti sebelum tampil dengan satu keputusan.

Turut difahamkan, pemimpin-pemimpin PAS telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan mesyuarat pimpinan tertinggi parti akan dipanggil tidak lama lagi.

Langkah 'luar jangkaan' oleh Azmin itu telah mengejutkan pimpinan PAS kerana parti itu tidak mempunyai rancangan untuk melepaskan mana-mana jawatan dalam kerajaan negeri walaupun Majlis Syura telah membuat keputusan mengenai hubungan mereka yang boleh diibaratkan sebagai 'cerai talak tiga'.

Dalam mesyuarat itu, Sallehen, yang baru-baru ini mengambil alih jawatan daripada Iskandar sebagai ketua pesuruhjaya PAS negeri, menjelaskan bahawa dasar tahaluf siyasi itu akan digantikan dengan konsep taawun, satu kerjasama untuk manfaat rakyat dan negara.

Sallehen berkata konsep taawun akan membolehkan PAS menjalankan tugasnya dalam kerajaan negeri.

Walau bagaimanapun, difahamkan Azmin tidak berminat dengan penjelasan itu yang difikirkan tidak akan diterima baik orang masyarakat umum di Selangor.

Sumber PAS berkata mesyuarat antara Azmin dan wakil-wakil PAS berlangsung dengan baik walaupun menteri besar melahirkan rasa kesal dengan keputusan Majlis Syura untuk menamatkan hubungan antara dua parti.

Alasan yang diberikan termasuklah kegagalan PKR untuk menyokong agenda Islam PAS, termasuk isu RUU355 dan serangan pemimpin PKR terhadap kepimpinan PAS.

Sebab-sebab lain adalah, PKR sedang merancang untuk bekerjasama dengan parti lain untuk menjatuhkan kerajaan Kelantan dan menentang PAS di Sungai Besar dan Kuala Kangsar dalam pilihan raya kecil lalu.

Azmin bertemu media selepas mesyuarat itu tetapi enggan mengulas mengenai butiran perbincangan kecuali menyatakan kekecewaannya dengan keputusan Majlis Syura dan mengatakan bahawa beliau akan memberi taklimat kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang sedang dalam perjalanan pulang dari New York.

Azmin kemudian memberitahu The Star bahawa kestabilan kerajaan negeri adalah paling utama, dan beliau perlu mengkaji situasi sebelum membuat keputusan muktamad.

"Saya telah melakukan segala yang mungkin dari segi kemanusiaan, melalui perbincangan dan rundingan tetapi mereka telah menutup pintu. Kesabaran ada hadnya," katanya.

Walaupun sedang berdepan krisis, Azmin dan ahli-ahli exco negeri PAS dilihat berbual secara baik pada satu majlis di Rawang.

Azmin kemudian memberitahu pemberita bahawa PKR bersedia untuk bertanding menentang PAS dalam pilihan raya umum

Ku Nan : "Syukur...akhirnya PAS sedar"



Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini melahirkan rasa bersyukur berhubung tindakan PAS yang memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

Katanya, setelah sekian lama PAS akhirnya sedar bahawa gabungan yang disertainya dulu tidak membawa kebaikan kepada rakyat.

"Saya bersyukur kerana PAS akhirnya sedar bahawa gabungan yang dia telah campur dulu tak bawa kebaikan untuk rakyat," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada surau-surau di Parlimen Putrajaya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita yang bertanya tentang perkembangan politik semasa antara PAS dan PKR.

Friday, May 12, 2017

[VIDEO] Dr Rozaimi Ramle Kritik Satu Set Pemimpin PAS ?



Dr Rozaimi Ramle adalah seorang pakar hadis mempunyai pemikiran yang cerdik lagi bijak beliau juga adalah president IQ malaysia.

[Miliki Kewarganegaraan Australia] ADUN DAP Pujut hilang kerusi



Pilihan raya kecil Pujut bakal diadakan tidak lama susulan wakil rakyat DAP, Ting Tiong Choon (DAP-Pujut) yang dilaporkan hilang kelayakan daripada menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak.

See Hua Online melaporkan bahawa DUN Sarawak dalam pengundian 70-10 menyokong penyingkiran Ting, selepas di dakwa memiliki kewarganegaraan Australia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh (BN - Bawang Assan) mengemukakan usul terhadapnya.

Beliau dilaporkan memetik Perkara 17 (1) (g) Perlembagaan Sarawak yang menyatakan bahawa mana-mana orang yang dengan sukarela memperoleh kewarganegaraan asing atau menikmati hak-hak kerakyatan asing akan hilang kelayakan sebagai seorang ADUN.

Wong mendakwa Ting memperoleh kewarganegaraan Australia pada 20 Januari 2010.

Beliau juga mendakwa bahawa Ting telah dua kali diisytiharkan muflis di Australia, dan mendakwa Ting tidak berkelayakan, tidak sesuai, dan tidak boleh dipercayai sebagai ADUN.

Calon BN Pujut yang tewas kepada Ting, Hii King Chiong sebelum ini memfailkan petisyen pilihan raya terhadap kemenangan DAP itu, tetapi Mahkamah Pilihan Raya menolak kes itu atas alasan teknikal tahun lalu.

Sementara itu, pada sidang akhbar yang disiarkan di laman Facebook DAP Sarawak, Ting berkata beliau melepaskan kerakyatan Australia selepas dirinya direkrut oleh Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) untuk kembali ke Malaysia.

Beliau berkata proses untuk memulangkan kerakyatan Australia itu memakan masa selama setahun, dan selesai sebelum Pilihan Raya Negeri Sarawak, yang diadakan pada 7 Mei tahun lalu.

Ting menambah bahawa beliau tidak pernah hilang kerakyatan negara ini.

PAS-PKR 'putus': Ini respon Wan Azizah



Keputusan Majlis Syura Ulama PAS membatalkan hubungan politik tahaluf siyasi dengan PKR tidak sama sekali menjejaskan kerajaan negeri Selangor.

Dalam satu kenyataan, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan negeri mendapat mandat penuh rakyat negeri Selangor.

Jelasnya, kerajaan negeri Selangor di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan terus berfungsi seperti biasa untuk fokus membangun negeri dan memakmur rakyat.

Semalam, Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh mengumumkan bahawa majlis itu menerima usul dibawa dalam muktamar parti itu baru-baru ini untuk membatalkan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR.

Sehubungan itu, Wan Azizah berkata, PKR mengambil maklum keputusan majlis syura itu walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengekalkan muafakat politik demi memenuhi aspirasi rakyat.

Jelas Wan Azizah, PKR tidak pernah mengkhianati prinsip tahaluf siyasi semenjak terbentuknya muafakat politik.

Sementara PKR berusaha secara muafakat dengan parti-parti politik untuk menawan Putrajaya, tegasnya, PKR juga komited dan tuntas mempertahankan kerajaan-kerajaan negeri iaitu Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

Wednesday, May 10, 2017

Kenapa penjara 30 tahun, denda RM100,000? - Dr Rozaimi




Pendakwah terkenal, Dr Rozaimi Ramle mempersoalkan kekurangan butiran mengenai keperluan untuk meningkatkan hukuman berkaitan mengenai cadangan pindaan Akta 355.

"Saya tidak nampak justifikasi yang jelas untuk laksanakan 30 tahun penjara, RM100,000 denda. Memperkasakan mahkamah syariah bukan sahaja dengan hukuman. Perlu untuk letakkan kewajaran.

"(Ia) bebanan atas golongan yang usulkan, golongan yang pro. Saya belum lihat kewajaran itu ada," kata Rozaimi dalam forum anjuran Invoke di Kuala Lumpur, malam tadi.

Terdahulu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu meminda Akta 355 untuk menaikkan hukuman atas kesalahan syariah kepada denda RM100,000, penjara selama 30 tahun dan 100 kali sebatan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com