innity

pages

Thursday, December 29, 2016

THE NOT-SO-GREAT WALL OF CHINA: TEMBOK BESAR SIMBOL KELEMAHAN CHINA


oleh: Ayman Rashdan Wong

THE NOT-SO-GREAT WALL OF CHINA: TEMBOK BESAR SIMBOL KELEMAHAN CHINA

Saya tahu akan ada yang mengaitkan Tembok Besar China dengan tembok Iskandar Zulkarnain dan Yakjuj wal Makjuj selepas menonton filem ‘The Great Wall’ hari ini, maka bermula lah sesi mendajjal selepas itu. Seperti filem arahan Zhang Yimou yang lain, filem yang dibintangi Matt Damon dan Andy Lau ini hanya digarap dengan visual tetapi kurang dari segi pengisian. Apatah lagi bila plot filem ini mengarut tentang cerita melawan ‘taotie’ (sejenis raksasa yang rakus makan). Kalau anda berniat untuk memahami sejarah Tembok Besar atau cuba merungkai misteri mengenainya, anda akan kecewa.

Istilah ‘Tembok Besar China’ ialah terjemahan dari ‘Great Wall of China’. Orang Barat melihat tembok sepanjang 8852 km ini sebagai suatu keajaiban, jadi istilah ‘great’ lebih membawa maksud ‘greatness’, yakni keagungan, keunggulan, kehebatan. Kata-kata luahan Richard Nixon pada tahun 1972 selepas melawat Tembok Besar berbunyi “this is a great wall and that it had to be built by a great people” menggambarkan persepsi ini, walaupun Nixon hanya ingin mengampu Mao Zedong pemimpin China ketika itu.

Adakah Tembok Besar dianggap simbol kehebatan oleh masyarakat China dahulu? Jawapannya tidak. Orang Cina hanya menggelar tembok ini sebagai ‘Tembok Panjang’ (‘Changcheng’ – ‘chang’ bermaksud panjang, ‘cheng’ bermaksud tembok), tiada apa yang ‘great’. Tidak dinafikan ia boleh dianggap sebagai ‘keajaiban’ dari segi pembinaan, namun sekiranya anda mempunyai kuasa mengerah beratusan ribu manusia seperti maharaja China, maka tiada apa yang ajaib tentangnya. Malah ratusan ribu manusia mati kerana pembinaan Tembok Besar, membuat tembok ini digelar ‘kubur terpanjang di dunia’.

Tujuan pembinaan Tembok Besar adalah untuk mencegah serangan dan menghalang kemasukan orang-orang nomad yang mengancam sempadan utara China. Bangsa-bangsa nomad yang mendiami padang rumput Eurasia (Eurasian Steppe) cuba merebut sumber alam dan kekayaan tamadan China yang merupakan tamadun pertanian. Pada zaman Warring States (475-221 Sebelum Masihi), negeri-negeri utara China seperti Yan, Wei dan Zhao telah membina tembok masing-masing untuk menghalang bangsa Xiongnu (atau Hun). Selepas Yin Zheng dari negeri Qin menyatukan negeri-negeri China pada tahun 221 SM (dengan gelaran Qin Shi Huang atau Shi Huangdi, bermaksud ‘Maharaja Pertama’), baginda telah mengerahkan beratusan ribu manusia untuk menyambung tembok-tembok di Qin, Yan, Wei dan Zhao untuk mempertahankan China dari bangsa Xiongnu.

Namun tembok binaan Dinasti Qin ini tidak lagi wujud pada hari ini, tembok yang kita dapat lihat hari ini ialah binaan Dinasti Ming (1368-1644) untuk mencegah bangsa Mongol dan kemudian Manchu yang mengancam sempadan utara dan ibu kota China di Beijing. Kubu-kubu (‘guan’) dibina sepanjang tembok untuk pengawasan dan pertahanan sempadan. Kubu Jiayu terletak di hujung barat tembok manakala Kubu Shanhai terletak di hujung timur tembok.

Tembok Besar China bukan simbol kekuatan tamadun China kerana dinasti yang kuat tidak fokus untuk membina tembok semata-mata. Selepas Shi Huangdi, ada empat dinasti yang melakukan pembinaan semula iaitu awal Dinasti Han (202 SM – 220 Masihi), Dinasti Sui (581-618), Zaman Lima Dinasti (907-960), dan Dinasti Ming. Pembinaan tembok tidak pernah berjaya melindungi China dari serangan atau taklukan bangsa-bangsa nomad. Dua kali utara China dikuasai oleh orang-orang nomad iaitu dari abad ke-4 hingga ke-6 dan dari abad ke-10 hingga ke-13. Dua kali seluruh China ditakluk oleh bangsa nomad iaitu Mongol (1279-1368) dan Manchu (1644-1911). Tembok panjang ini hanya melambangkan mentaliti bertahan yang pasif dan tidak berkesan dalam menghadapi musuh.

Dinasti yang paling hebat dalam sejarah China ialah Dinasti Han dan Dinasti Tang (618-907). Mereka tidak mencapai keagungan dengan menyorok di belakang tembok, tetapi melalui strategi yang proaktif dan agresif. Dinasti Han telah membuka Jalan Sutera (Silk Road) untuk memotong logistik dan memulaukan bangsa Xiongnu dengan menjalin hubungan dengan negara-negara Asia Tengah. Akhirnya Xiongnu tewas dengan China dan mereka berhijrah ke barat (ada pandangan yang melihat Atilla the Hun yang menyerang Empayar Rom ialah keturunan Xiongnu). Pada zaman Dinasti Sui dan Tang, bangsa Turk menjadi ancaman baru kepada China. Dengan itu, pemerintah Tang melakukan strategi proaktif dengan memperluaskan pengaruh ke Asia Tengah, Tibet dan India untuk melemahkan kuasa Turk. Akhirnya Turk tewas dengan China, berhijrah ke barat dan menyerang Empayar Rom Timur (Byzantine), dan cucu cicit mereka lah orang Turki yang kita kenali hari ini.

Peninggalan monument Tembok Besar China harus mengingati kita tentang kelemahan dan ketidakgunaan strategi pertahanan yang defensif dan pasif. Semasa Perang Dunia Kedua, Perancis juga pernah membina tembok pertahanan bernama Maginot Line, namun ia hancur berkecai dengan serangan ‘blitzkrieg’ Jerman. Manakala ‘Atlantic Wall’ binaan Hitler juga gagal untuk melindungi empayarnya. Pada zaman moden, Tembok Besar tidak lagi relevan selain menjadi tarikan pelancong. Dan apabila orang Amerika Syarikat rasa selesa dengan idea pembinaan tembok Trump, kita tahu Amerika telah pun memasuki era kemerosotan.

- Artikel untuk The Patriots -

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com