innity

pages

Tuesday, December 13, 2016

[PPBM BUKAN SERTAI PAKATAN] MoU setuju guna satu logo, PAS, parti lain akan terus dirunding


13 Rabiulawal 1438H, Selasa – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diketuai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bersama pakatan harapan untuk menggunakan satu logo dalam Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) akan datang.
Pada majlis yang diadakan di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Petaling Jaya itu, Bersatu menyatakan persetujuan untuk menjalin kerjasama dengan PKR, DAP dan PAN dalam pakatan berkenaan.
Perjanjian ini ditandatangani oleh Datuk Seri Wan Azizah Ismail mewakili PKR, Lim Guan Eng (DAP), Mohamad Sabu (PAN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu).
Dalam kerjasama yang dijalinkan, keempat-empat parti bersetuju untuk menggunakan menifesto bersama dalam PRU14 akan datang.

Perjanjian hari ini hanya membabitkan kerjasama bagi menghadapi PRU14, bukan bermakna Bersatu menyertai pakatan harapan sebagaimana diberitahu Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail.
Katanya, Bersatu buat masa ini memerlukan lebih banyak masa sebelum memutuskan untuk menyertai pakatan harapan sepertimana yang diumumkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.
“Dalam mesyuarat ini, Bersatu lebih selesa bekerjasama dahulu dan meminta lebih banyak masa sebelum menyertai Pakatan untuk membolehkannya terus berbincang dengan PAS,”katanya.
Perjanjian antara Bersatu dan pakatan harapan menggariskan tujuh perkara dipersetujui bersama, termasuk perkara keempat iaitu mengadakan rundingan dengan parti yang belum berada dalam perjanjian ini bagi memastikan tiada pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya nanti.
Perjanjian itu turut menggariskan mewujudkan gabungan parti politik pembangkang sebelum PRU14 bertujuan membentuk kerajaan selepas pilihan raya.
Perkara lain yang turut dimuatkan dalam dokumen perjanjian itu adalah seperti berikut:


BAHAWASANYA Pakatan Harapan (yang terdiri daripada KEADILAN, DAP dan AMANAH); dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan ini bersetuju dan komited akan perkara-perkara berikut:
1. Berjuang dengan berlandaskan kepada peruntukan dan semangat Perlembagaan 1957/63 terutamanya:
i. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas, aman dan damai di di negara ini sejajar dengan Perkara 3; serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153;
ii. Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja berperlembagaan; dan
iii. Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan dan pembelajaran bahasa ibunda semua kaum, serta meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris demi memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa.
2. Memperjuangkan Agenda Reformasi dalam kebangunan-semula negara demi rakyat dengan berpaksikan nilai-nilai yang dikongsi bersama, termasuk kebenaran, keadilan, kebebasan, integriti, kebajikan dan tatakelola yang baik.
3. Meletakkan satu calon sahaja untuk mewakili Pakatan Harapan – PPBM di dalam sesuatu pilihanraya di mana-mana peringkat setelah pembahagian kerusi ditentukan melalui perundingan di antara kedua pihak berdasarkan prinsip kebolehmenangan (winnability).
4. Berunding dengan parti yang belum berada di dalam perjanjian ini untuk memastikan seboleh mungkin satu calon sahaja yang akan mewakili pembangkang bagi melawan Barisan Nasional.
5. Mewujudkan gabungan parti-parti politik pembangkang sebelum Pilihanraya Umum ke 14 dengan tujuan untuk membentuk kerajaan selepas pilihanraya.
6. Mewujudkan Jawatankuasa Teknikal Bersama untuk membincangkan pembahagian kerusi pilihanraya, manifesto dan logo bersama dan merangka gerakerja Pilihanraya Umum ke 14.
7. Atas semangat setiakawan dan kerjasama, parti-parti dalam rangka perjanjian ini hendaklah memelihara hubungan baik antara satu sama lain dan menyelesaikan pertikaian menerusi perundingan bersama.

- ismaweb

1 comment:

  1. Amin syukur..insyallah pribumi warisan harapan menang pru14

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com