innity

pages

Monday, December 12, 2016

Perutusan Maulidurrasul TS Muhyiddin: Masyarakat Hargai Kejujuran PASTI Angkat Pemimpin Amanah


PERUTUSAN MAULIDURRASUL
YB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

12 Rabi'ul Awwal adalah suatu hari yang amat istimewa dalam sejarah Islam. Pada tanggal inilah Rasulullah S.A.W dilahirkan sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam.


Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Anbiya' Ayat 7:
‎وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
Yang bermaksud:
"Dan tidaklah Kami utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam"

Sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W maka wajarlah kita memperingati kelahiran Rasulullah sebagai peringatan dan dorongan untuk kita sentiasa mengamalkan sunnah baginda dan mencontohi budi pekertinya yang mulia.

Baginda bukan sahaja seorang Rasul yang diutuskan oleh Allah S.W.T untuk menyeru manusia supaya beriman kepada-Nya dan mengajak mereka untuk melakukan kebaikan, malah sebagai seorang insan yang berkeperibadian mulia untuk dijadikan contoh teladan kepada umat manusia.

Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Ahzab ayat 21:
‎لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Yang bermaksud:
"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)."

Antara keperibadian Rasulullah S.A.W yang wajar dijadikan ikutan oleh seluruh umat Islam ialah sikap amanah. Baginda sentiasa bersikap jujur dan amanah dalam kehidupan sehingga dikenali sebagai Al-Amin. Dengan sikap amanah inilah baginda berjaya menyelesaikan pertikaian dalam kalangan penduduk Kota Mekah ketika peristiwa peletakan semula Hajarul Aswad di sisi ka'bah, dan baginda kemudiannya diangkat sebagai pemimpin.

Masyarakat yang menghargai nilai kejujuran pastinya akan mengangkat seorang pemimpin yang amanah untuk memimpin mereka. Pemimpin yang amanah dan bertakwa pastinya akan membawa kebaikan dan rahmat kepada masyarakat yang dipimpinnya sepertimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. Sebaliknya, seorang pemimpin yang pecah amanah akan menyebabkan kerosakan dan porak peranda dalam masyarakat dan negara.

Sempena sambutan Maulidurrasul pada tahun ini, marilah kita bersama-sama mencontohi keperibadian Rasulullah S.A.W yang mulia dan berdoa semoga kita dikurniakan pemimpin yang amanah dan bertakwa untuk memimpin umat ke jalan yang diredhai-Nya.

Salam Maulidurrasul.

TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Presiden

Parti Pribumi Bersatu Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com