innity

pages

Wednesday, December 14, 2016

DEWAN NEGARA: SKMM sekat lebih 5,000 laman sesawang


KUALA LUMPUR, 14 Rabiulawal 1438H, Rabu – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat 5,044 laman sesawang melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, sejak 2015 sehingga Oktober tahun ini.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata, daripada jumlah itu, 4,277 merupakan laman sesawang berunsur lucah, jelik dan mengancam keselamatan, manakala 767 lagi memaparkan unsur perjudian, pelacuran, penipuan, cetak rompak, produk palsu, ubat tidak berdaftar dan lain-lain.
“SKMM menyekat semua laman sesawang itu berdasarkan permohonan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan serta agensi berkaitan yang lain.
Sehingga Oktober lepas, SKMM juga menyekat 72 laman sesawang berkaitan penyebaran ideologi Daesh,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.
SKMM juga telah menyiasat 181 kes penyalahgunaan Internet dan media sosial melibatkan penyebaran kandungan dan maklumat palsu melalui platform WhatsApp, Facebook, Twitter dan sebagainya di bawah akta sama.
Jailani berkata daripada jumlah itu, enam kes dihadapkan ke mahkamah dengan lima kes telah menjalani pendakwaan, manakala 10 kes dikompaun.
Beliau menjawab soalan tambahan Ramli Shariff yang ingin tahu bilangan kes kesalahan yang dibuat melalui penggunaan internet dan penyebaran maklumat melalui media sosial.
Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Jailani berkata kementerian melalui SKMM mememperkenalkan aplikasi ‘alat untuk kawalan ibu bapa’ bagi memudahkan ibu bapa memantau dan menyaring kandungan internet yang diakses oleh anak-anak mereka.
“Aplikasi ini menggalakkan ibu bapa terlibat sama dalam proses memantau dan menyaring laman sesawang yang dilayari anak-anak mereka. Apa yang penting kita harus ada kawalan kendiri,” katanya.
Katanya, aplikasi itu adalah antara program di bawah kempen ‘Klik dengan Bijak’ yang turut diperkenalkan kepada pelajar sekolah bagi memberi kesedaran dalam isu-isu yang berkaitan dengan dunia siber.
Dalam pada itu, mengenai ‘parodi’ yang sering menjadi viral di internet,Jailani berkata tindakan akan diambil jika ia menyentuh sensitiviti seperti mengandungi unsur lucah kerana ia tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia.- Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com