innity

pages

Tuesday, December 13, 2016

[BERDEBARKAH NAJIB?] Peribadi YDP Agong ke-15 disenangi rakyat jelata

SERI Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika tiba di majlis Istiadat Keberangkatan Tiba di Dataran Parlimen, Kuala Lumpur.

HARI ini  dianggap hari bersejarah buat rakyat Kelantan apabila Sultan Muhammad V secara rasminya ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Penghormatan rakyat Kelantan terhadap Sultan Muhammad V sangat tinggi, apalagi perwatakannya begitu dekat dengan sanubari rakyat.

Keterampilan Sultan berjiwa rakyat, Sultan Muhammad V, yang sering kali memakai jubah dan sederhana ketika bersua dengan rakyat jelata amat dikagumi seluruh masyarakat.

Sisi pandangan menyerlahkan lagi keperibadian Baginda apabila berkopiah, berjubah putih, kadang kala hitam, berkain pelekat setiap kali menghadiri program tidak rasmi menampakkan kewarakan Sultan Muhammad V dan berjiwa rakyat.

Diputerakan pada 6 Oktober 1969, Tengku Muhammad Faris Petra berkenan menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan  sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September 2010, tidak pernah kekok berperwatakan seperti ‘rakyat biasa’.

Baginda tidak lokek dengan senyuman itu menjadikan rakyat tidak kira tua, muda mahupun kanak-kanak lebih selesa mendampinginya setiap kali Tuanku turun ke kampung-kampung menziarahi orang ramai.

Biarpun dibesarkan dalam persekitaran Istana namun Baginda mempunyai aura tersendiri menyebabkan rakyat tertunggu-tunggu untuk menyambut ketibaan Baginda bahkan berebut-rebut untuk bersalaman.

Bukan itu sahaja, kebolehan Baginda menyembelih lembu yang mana kepandaian itu jarang-jarang dimiliki oleh individu biasa amat mengagumkan rakyat jelata.

Begitu berjiwa rakyatnya Baginda, kerana sanggup ‘mengotorkan’ tangan dengan darah lembu pada Majlis Korban Perdana yang dianjurkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Sikap Putera sulung Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra dan Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid yang sentiasa merendah diri bukan sahaja menjadi perhatian ketika Baginda menjadi Sultan Kelantan bahkan disenangi semenjak ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan.

Sesuatu yang amat menyentuh jiwa rakyat, walaupun Baginda berstatus Sultan tetapi selesa membahasakan diri dengan ‘ambo’ atau ‘kito’ bukannya ‘beta’ ketika bertemu rakyat.

Detik menggembirakan seluruh rakyat Kelantan apabila Baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Kelantan dimasyhurkan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April 2012.

Alhamdulillah, hari ini saat lebih bermakna buat negeri Serambi Makkah apabila Baginda  ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dalam upacara penuh istiadat di Istana Negara.


Sultan Muhammad V dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dalam mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja baru-baru ini bagi menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Tuanku juga banyak terlibat dalam bidang sosial dan kebajikan serta berpersatuan termasuk yayasan. Baginda adalah penaung Yayasan Sultan Kelantan (YSK) yang banyak memberi sumbangan kepada anak-anak yatim, fakir miskin, asnaf, orang kurang upaya (OKU) dan bantuan pendidikan.

Baginda adalah seorang Sultan yang mempunyai karisma tersendiri. “Sultan di hati rakyat” merupakan ungkapan paling tepat bagi menzahirkan taat setia rakyat dan sanjungan hormat rakyat kepada Baginda.

Didikan sempurna dalam bidang keagamaan dan rohani telah menjadikan Tuanku cemerlang dalam bidang diceburi dan memastikan pembangunan negeri berjalan dengan sempurna.

Bahkan dalam titah sempena perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-47 baru-baru ini pun baginda menyeru agar Kelantan terus ditadbir dan dibangunkan secara seimbang, makmur selari dengan kemajuan zaman sepanjang peninggalan Tuanku setelah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Rakyat negeri ini sangat bertuah dapat menumpang kasih dan bernaung di bawah Sultan Muhammad V. 

Tidak dapat dinafikan baginda memiliki sikap keprihatinan tinggi terhadap rakyat di bawah taklukan Baginda dan terbukti dengan kunjungan serta sumbangannya kepada asnaf, OKU, anak-anak yatim, mangsa bencana dan rakyat daif melalui program yang diatur sepanjang tahun.

Turut membanggakan semua apabila, sebelum ini pernah juga tersebar gambar menunjukkan Baginda tanpa sebarang protokol Istana, berpakaian kasual turun menjenguk dan menyelami masalah rakyat yang terlibat dengan banjir. 

Tidak terkecuali juga, baginda tidak melupakan Orang Asli dan turut ke perkampungan tersebut bagi menyampaikan bantuan kepada penduduk di kawasan pedalaman negeri ini.

Bukan itu sahaja, Tuanku juga menzahirkan idea yang hebat bagi lebih mendekatkan jiwanya dengan rakyat iaitu memperkenalkan Program  Walkathon D’Raja pada tahun 2011 yang mana orang ramai dapat berjalan bersama Baginda.

Program berjalan bersama Raja itu juga telah iktiraf Malaysian Book Of Records sebagai penyertaan terbesar Walkathon D’Raja ketika itu dengan penyertaan sebanyak 21,111 peserta sejauh 10 kilometer.

Sementara itu, bagi menyemai spiritual umat Islam di negeri ini, Baginda juga turut memperkenalkan program ‘Qiam With Me’ yang mana rakyat jelata dapat bersama-sama menunaikan solat tarawih, menghidupkan satu pertiga malam dengan solat sunat dan bersahur bersama Tuanku.

Bahkan, idea Baginda yang mahu berjalan malam bersama lebih 21,000 rakyat sempena Program Let’s Go With Me juga mencipta sejarahnya tersendiri yang mana orang ramai tanpa mengira peringkat umur tidak berganjak biarpun hujan.

Selain itu, selaras dengan jiwa keislaman Baginda juga, Tuanku telah berkenan untuk menukar seruan ‘Daulat Tuanku’ kepada ‘Allahhuakbar’ dan ia digunapakai bagi setiap ucapan perayaan mahupun ucapan tahniah rasmi Istana. Subhanallah.

Semoga ALLAH mempermudah dan memberkati Tuanku.
Selamat memimpin negara Tuanku. Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar. - SH

8 comments:

  1. tuanku tak tengok pon ke mata najib,

    ReplyDelete
  2. Rakyat akan bertuah kalau Tuanku titahkan siasat 1MDB. Titah Wisma Putra beri dan bekerjasama melalui MLA dgn Spore, Switzerland, UK, Hong Kong, US dll. Wallahuaklam....

    ReplyDelete
  3. Moga keduanya dirahmati Allah.

    ReplyDelete
  4. Semoga Allah merahmati Duli Tuanku Yang Dipertuan Agung..... Duli-duli Sultan Tanah Melayu... Yang DiPertua Negeri... Yam Tuan dan sekelian Pemimpin Utama negara.

    ReplyDelete
  5. 12.26
    bila putrayahudi dah mampos x bersiaran dedak dah abis.... beralih pulak ke vlog ini.... kikikikiki...

    ReplyDelete
  6. Kebusukan yg berbau di negara ini angkara najib and the gang dapatkah diharumkan semula dengan perlantikan YDA yg baru.Tunggu...........

    ReplyDelete
  7. InsyaAllah. DYMM Tuanku tidak akan berdiam diri tentang 1MDB. Bila peluang Tuanku masuk ofis dulu. Allahuakbar x3...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com