Penyertaan ahli keluarga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam lawatan ke China merupakan satu kebiasaan untuk pemimpin besar negara itu menjalinkan keakraban melalui hubungan peribadi dan keluarga dengan pemimpin lain.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khas Pejabat Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor berkata, oleh itu tidak menjadi kesalahan untuk Najib membawa bersama ahli keluarganya dalam lawatannya ke negara tembok besar itu.

"Kerajaan China telah menjemput Perdana Menteri dan keluarganya dalam lawatan ke China kali ini....Walaupun Perdana Menteri jarang membawa keluarga beliau, tetapi adalah normal jika PM mahukan anak-anaknya bersama ketika lawatan panjang selama seminggu - apatah lagi jika terdapat jemputan khas untuk membawa keluarga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan Ahli Parlimen Padan, Rafizi Ramli yang mempersoalkan kenapa ahli keluarga Perdana Menteri turut serta dalam kunjungan kerajaan ke China.

Semalam Najib tiba di Beijing untuk lawatan rasmi enam hari ke China dengan matlamat mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang lama terjalin antara kedua-dua negara.

Ujarnya, sepatutnya isu ini tidak perlu dibangkitkan kerana 'ada perkara yang lebih penting' untuk dilihat dalam kunjungan Najib kali ini.

"Terdapat banyak perjanjian perdagangan dan pelaburan yang akan ditandatangani dalam lawatan rasmi ini, ianya bakal membawa puluhan bilion ringgit pelaburan dan manfaat untuk Malaysia," katanya.

Jadi ujarnya, mengapa perlu dibangkitkan soal kecil mengenai kedua anak mengikuti beliau dalam lawatan ini?

"Lagipun lawatan ke China bukan untuk menunggang kuda ataupun melawat ladang," katanya. - SH