innity

pages

Thursday, November 10, 2016

China mahu minyak, bukan pertukaran kerajaan, kata Chandra

KUALA LUMPUR: Perbezaan antara kepentingan antarabangsa China dan Amerika Syarikat ialah Beijing hanya berminat dengan akses minyak, manakala Washington lebih cenderung mengawal komoditi itu, kata Dr Chandra Muzaffar.
Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat (JUST) itu berkata, ini sebabnya AS berminat dengan pertukaran kerajaan, “tetapi anda tidak nampak China mahukan perubahan rejim”.
Chandra berkata demikian pada perbincangan meja bulat “Reaksi terhadap ekstremisme dan sektarianisme di dunia Islam”, semalam.
Beliau mendakwa negara Barat menyebarkan Islamofobia melalui media untuk mendapatkan kawalan terhadap sumber utama minyak.
Beliau berkata, pengeksport terbesar minyak adalah negara-negara Islam di Asia Barat dan Afrika Utara.
“Minyak adalah nadi tamadun perindustrian dan sebahagian besar daripada Amerika adalah tamadun perindustrian. Ia mahu mengawal nadi minyak ini.”
Chandra mendakwa media Barat bertindak berat sebelah terhadap Islam dengan melaporkan fanatik agama yang menekankan “pelampau Islam” dan kurang melaporkan aspek ekstremisme agama lain.
Beliau memberi contoh pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya oleh penganut Buddha di Myanmar dan mendakwa sayap kanan mubaligh Kristian di AS yang sebahagian besarnya menyokong perang di Iraq dengan ada di antara mereka yang menyertai tentera Amerika.
Katanya, istilah “Pengganas Islam” dicipta media Barat dan tiada bentuk lain keganasan agama di dunia yang dilabelkan nama agama padanya.
Beliau berkata, selain mengawal minyak, kuasa-kuasa Barat juga mahu mengawal laluan laut, di mana 8 daripada 10 laluan paling strategik itu bersambung ke dunia Islam.
Katanya, satu lagi alasan permusuhan Barat terhadap umat Islam ialah Islam ialah satu-satunya tamadun bukan Barat di dunia yang memberi cabaran kepada mereka.
Beliau berkata, cabaran ini, daripada segi sejarah, wujud dalam bentuk kemajuan Islam dalam bidang sains, seperti fizik, matematik dan perubatan.
“Barat tidak dapat menerimanya. Selama 600 tahun, teks perubatan utama yang digunakan, ditulis Ibn Sina.”
Bagaimanapun, beliau kecewa dengan sesetengah umat Islam yang bertindak balas terhadap permusuhan Barat dengan cara mundur.
“Saya tidak cuba membebaskan umat Islam yang melakukan tindakan ekstremisme. Tindakan sedemikian patut dikutuk. Malangnya sesetengah umat Islam bertindak balas terhadap misi merosakkan imej Islam ini dengan cara bodoh.”
Ahli pengasas G25, Datuk Redzuan Kushairi ketika berucap pada forum itu berkata, banyak masalah yang dihadapi umat Islam kontemporari adalah hasil pemikiran sempit mereka .
“Kami digalak menggunakan akal dan logik. Pertimbangan perlu dihidupkan kembali. Keamanan dan kesederhanaan perlu dihidupkan semula. Ini hilang dalam banyak wacana Islam semasa.”

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com