Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menafikan dakwaan bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam yang sebelum ini menyatakan bahawa beliau meletak jawatan selepas dituduh cuba menyingkirkan perdana menteri.

Menerusi catatan terbaharu diblognya, bekas perdana menteri itu, telah menyiarkan dua pucuk surat yang ditulis oleh Musa kepadanya pada tahun 1984, bagi menafikan dakwaan tersebut.

"Untuk melihat bagaimana berterus terangnya cerita Musa tentang dirinya, sila baca kedua-dua suratnya. Salinan asal sukar dibaca, jadi saya menulis semula kandungan. Anda boleh membuat perbandingan," katanya.

Mahathir mendedahkan perkara itu bagi menjawab dakwaan penulisan Musa dalam buku baharu memoir Musa yang berjudul Frankly Speaking.

Jelas Mahathir, perkara sebenar adalah Musa meletak jawatan kerana tidak bersetuju dengan tindakannya menawarkan Tengku Razaleigh Hamzah jawatan menteri perdagangan dan perindustrian pada 1984.

Kedua-dua surat itu yang ditulis pada tahun 1984, yang mana surat pertama di tulis pada 5 Julai dengan paparan perkataan top secret (rahsia besar) di atasnya, manakala surat kedua pada 31 Julai.

Kandungan surat pertama menyatakan Musa menyenaraikan sebab mengapa beliau membantah tindakan Mahathir yang memberikan kepercayaan kepada Tengku Razaleigh Hamzah menjawat jawatan menteri di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Tun Musa Hitam ialah Timbalan Perdana Menteri kelima di Malaysia dari 1981-1986 di bawah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad sementara itu Tengku Razaleigh pernah menjawat jawatan sebagai menteri perdagangan dan perindustrian antara 1984 hingga 1987.

Musa meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1986, disebabkan percanggahan pendapat dengan Mahathir terhadap dasar-dasar negara. - SH