innity

pages

Friday, October 7, 2016

Calon BN PRU14 Terengganu tersebar, MB Ahmad Razif Tanding Parlimen, Ahmad Said, Idris Jusoh, Shabery Cheek Tidak Tersenarai


KUALA TERENGGANU - Senarai cadangan calon tidak rasmi bagi PRU14 Terengganu dikatakan telah pun dikeluarkan peringkat negeri untuk ditapis ke peringkat Pusat.

Senarai itu dikatakan sebagai maklumat sulit yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp baru-baru ini, turut menyenaraikan lebih 50 peratus muka baharu ditampilkan pada PRU14, di samping mengekalkan wakil rakyat sedia ada termasuk Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman serta beberapa bekas penyandang kerusi terdahulu.

Berdasarkan maklumat tersebut, senarai itu meletakkan Ahmad Razif yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus akan bertanding mewakili kerusi Parlimen Kuala Nerus.

Bagaimanapun, beberapa ketua bahagian tidak tersenarai, antaranya Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Adun Kijal.

Ketua Umno Bahagian Besut, Nawi Mohamad yang juga Adun Hulu Besut dan Ketua Umno Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee (Adun Permaisuri) turut tidak tersenarai.

Lebih mengejutkan, senarai itu mengetepikan dua Ahli Majlis Tertinggi Umno, yang juga menteri Kabinet iaitu Datuk Seri Idris Jusoh (Ahli Parlimen Besut) dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (Ahli Parlimen Kemaman).

Senarai itu mengekalkan sembilan wakil rakyat BN sedia ada iaitu sama ada dengan meletakkan mereka di kerusi sedia ditandingi pada PRU13 atau memindahkan mereka ke kerusi lain.

Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman; Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar; Adun Pengkalan Berangan, A Latiff Awang; Adun Telemong, Datuk Rozi Mamat dan Adun Bukit Besi, Roslee Daud kekal bertanding di kerusi masing-masing.

Manakala Adun Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof bertanding di Kota Putera, Adun Seberang Takir yang juga Menteri Besar, Ahmad Razif bertanding di Parlimen Kuala Nerus; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Jailani Johari mewakili Dun Kuala Berang dan Adun Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar di Parlimen Kemaman.

Ditanya sejauh mana benar maklumat senarai tersebut, Setiausaha Umno Terengganu, Datuk Muhammad Pehimi Yusof ketika dihubungi menegaskan, pihaknya tidak terlibat dengan penyenaraian cadangan nama berkenaan.

Beliau berkata, belum menerima sebarang arahan daripada Putrajaya berhubung perkara membabitkan isu calon.

“Kita tidak menerima sebarang arahan daripada peringkat Pusat. Kita tidak diarah terima (senarai calon dari peringkat bahagian) atau hantar (senarai nama calon) ke Putrajaya,” katanya.

Ditanya sama ada negeri sudah mempunyai calon tertentu sebagai persiapan memandangkan PRU14 dikatakan akan berlangsung lebih awal pada tahun depan, beliau percaya pucuk pimpinan sudah ada penilaian perkara itu.

“Presiden parti akan mengguna pakai sumber-sumber sedia ada, selain merujuk kepada ketua bahagian dan Pengerusi Umno negeri. Buat masa ini, kita belum ada lagi (senarai cadangan nama calon BN).

"Yang penting, calon-calon yang dipilih pucuk pimpinan sudah tentu yang akan menangkan parti,” katanya. - SH

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com