innity

pages

Thursday, October 13, 2016

AGENDA LENYAPKAN Sejarah Melayu, Bahasa Melayu oleh "Pemaju Pembangunan"


SEMASA memandu melalui Jalan Pantai Baru menuju ke Bangsar tidak lama dulu, saya ternampak kain rentang yang berbunyi, “Selamatkan Kampung Kerinchi.” Perutusan pada kain rentang yang seakan meruntun perhatian kita. Manusia yang lalu-lalang di situ tidak tertarik dengan “Selamatkan Kampung Kerinchi.”
Mengapa perlu pedulikan sebuah ‘kampung’, lagipun ia ditulis dalam bahasa Melayu. Akibatnya wujudlah Bangsar South City. Ini bukan hanya soal nama dalam bahasa Melayu, malah apabila diubah nama asal sesuatu tempat, maka terhakislah sejarah dan wa­risan tempat itu. Akan terpadamlah cerita kewujudan penuturnya dari peta negara, alam Melayu dan dunia.
Keadaan sebegini tidak patut berlaku kerana bahasa kebangsaan kita ialah bahasa Melayu. Kita semua bertanggungjawab da­lam hal ini, terutama pihak berkuasa tempatan (PBT). Dalam hal ini - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Bagi menyemarakkan kesedaran kita, alam bina persekitaran kita memainkan peranan kritikal. Sesuatu bahasa itu tidak boleh subur jika alam sekitar penggunaannya gersang. Dan alam sekitar yang paling hampir dengan kita ialah rumah, kawasan kejiranan, sekolah dan ruang-ruang di kampung/pekan atau bandar di mana kita bermastautin. Sete­rusnya ruang-ruang media seperti – papan tanda, nama-nama jalan dan bangunan, media cetak, media elektronik, dan media baru.
Bunyi dan wajah bahasa itu diumpamakan seperti air yang mengalir sehingga ke lubuk-lubuk jiwa manusia penutur sesuatu bahasa itu. Inilah semangat Anugerah Akademik Bahasa Melayu (ATABM) yang dimulakan pada 2012, iaitu sebagai salah satu inisiatif strategik yang terkandung dalam Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Universiti Awam (UA) 2016-2020.
Objektif utamanya, Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu. Semangatnya ialah melihat bahasa Melayu digunakan dengan betul dan meluas sebagai wadah melalui pelbagai media dan pelantar.
ATABM satu-satunya anugerah negara untuk mengiktiraf ahli akademik yang berusaha mempertingkatkan peranan dan martabat bahasa Melayu dalam kerjaya mereka. Pengiktirafan ini meliputi sumbangan cemerlang ahli akademik dalam mengembang dan menggunakan bahasa Melayu sebagai wahana penyelidikan, penerbitan, pengajaran dan khidmat ikhtisas kepada masyarakat.
Perlu diingatkan bahawa anu­gerah ini bukan hanya untuk sarjana Bahasa dan Budaya Melayu, tetapi untuk semua disiplin dan bidang akademik daripada Seni dan Kesusasteraan, kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Perubatan.
Penganugerahan diadakan setahun sekali bersempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Pe­­­ringkat Sektor Pendidikan (BBKSP). Majlis tahun ini diadakan di Shah Alam pada Khamis 13 Oktober ini.
Sehingga 2014, seramai tiga ahli akademik telah dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Bahasa Melayu.
Pemenang 2013, Profesor Datuk Dr. Mohd. Yusof Othman, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ialah sarjana dalam bidang Fizik, dan pakar dalam Teknologi Fotovoltan dan Fotovoltan-terma; serta Falsafah Sains Islam. Tokoh 2014, Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin yang juga dari UKM pula pakar bahasa.
Salah satu ciri ketokohan pene­rima anugerah ialah penyerla­han dalam mempromosikan penggu­naan bahasa Melayu terutama pen­­­ceburan dalam aktiviti advokasi awam di dalam dan luar negara. Ciri ini terserlah pada Tokoh Akademik Bahasa Melayu yang pertama pada 2012, Profesor Datuk Seri Dr. Md. Salleh Yaapar. Beliau ialah penyandang keempat Kursi Eropah bagi Pengajian Melayu (2003-2006), di Universiti Leiden, Belanda. Di sana beliau telah menggalakkan minat pelajar dan komuniti akademik Eropah terhadap bahasa dan Persuratan Melayu.
Profesor Md. Salleh ialah pakar dalam Kesusasteraan Bandingan, Kesusasteraan Dunia Melayu dan Teori Kesusasteraan. Beliau kini menjadi Ombudsman, Universiti Sains Malaysia (USM), Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Ahli Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu.
Dari 2014 hingga 2016, penyer­taan bukan hanya daripada bidang Bahasa dan Sastera, bahkan bidang sains dan teknologi se­perti Geologi, Kejuruteraan, Ma­­tematik, Teknologi Maklumat, dan Sains. Juga terdapat penyertaan daripada bidang Sosiologi Pembangunan, Pendidikan serta Perumahan, Bangunan dan Perancangan. Namun, kebanyakan penyertaan daripada bidang Bahasa dan Sastera.
Kita tidak sepatutnya menghadapi masalah dalam menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di universiti awam (UA). Namun, pemartabatan bahasa Me­layu di UA belum mencapai sasaran yang ditetapkan. Penerbitan buku atau bahan-bahan akademik dalam bahasa Melayu masih belum menjadi syarat pengesahan jawatan, termasuk untuk kenaikan pangkat ke profesor madya dan profesor. UA juga memandang sepi anugerah karya ilmu dalam bahasa Melayu, terutama daripada gugusan Sains, Kejuruteraan, Perubatan dan Sains Sosial, pada peringkat universiti.
Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan, bukan hanya bahasa bagi orang Melayu dan ahli akademik Melayu dalam bidang Pengajian Melayu.
Penganjuran Bulan Bahasa Ke­­bangsaan Sektor Pendidikan (BB­KSP) setiap tahun dari September hingga November adalah acara kebangsaan bagi semua kaum. Ia perlu diwajahkan sedemikian.
Jika universiti awam dan PBT masih tidak menganjak sikap dan mengamalkan etika dalam penggunaan bahasa Melayu, kita akan menjadi pengemis bahasa sendiri pada masa depan.
PROFESOR DATUK DR. A. MURAD MERICAN ialah Ahli Akademik Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa, Universiti Sains Malaysia (USM).

2 comments:

  1. ini zaman Ah Jib Gor.....

    ReplyDelete
  2. Money is king kan
    Bsgusla...rakyat malaysiakan sokong ros jib
    Keris pahang

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com