Itu rayuan Azlina Husin, 27, yang bimbang keselamatan diri selepas abangnya, Muhammad Shukri, 34, maut ditikam bertubi-tubi dipercayai dengan pisau oleh bakal suaminya di pekarangan tempat letak kereta Kompleks Seri Iman di sini kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.
Insiden berlaku selepas mereka bertengkar sebaik sahaja keluar dari Pejabat Hal Ehwal Agama ­Daerah di sini dan suspek yang berusia 29 tahun kemudian melarikan diri de­ngan seorang rakan menaiki sebuah kereta Honda Civic.
Menurut Azlina yang merupakan anak keenam daripada sembilan beradik, dia sememangnya merancang untuk berkahwin tahun ini tetapi bakal suaminya sering membangkitkan masalah sehingga sukar untuk membuat ketetapan.
Dakwa gadis itu, abangnya pernah menyelidik status suspek yang sudah berkahwin namun dia tidak berpuas hati lalu datang bersama keluarga untuk mendapatkan pengesahan hari ini.
“Setelah pengesahan diperoleh saya memberitahu dia untuk putus dan tidak sangka akan ber­akhir dengan abang saya ditikam,” katanya ketika ditemui di pekara­ngan Rumah Mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.
Seorang lagi abang Azlina, Alias, 29, pula memberitahu, selama ini suspek mengaku bekerja sebagai arkitek dan masih bujang tetapi rupa-rupanya dia bekerja sebagai tukang rumah.
Katanya, tembelang lelaki itu pecah semasa dia dan keluar­ganya datang dari Kelantan dan bersemuka dengan suspek di pejabat agama daerah di sini untuk pengesahan statusnya dengan pihak berkuasa agama.
“Azlina telah menjalin hubu­ngan dengan suspek yang berasal dari Kampung Baloh, Manir dekat sini sejak tahun 2011. Suspek berjanji mengahwini Azlina namun kami sekeluarga curiga selepas dia datang bersendirian malah telah menangguhkan majlis pertunangan mereka Mac lalu dengan alasan ayahnya mati.
“Sebagai abang yang tua, Muhamad Shukri yang mengesyaki sesuatu telah merujuk ke Pejabat Agama Islam Kuala Terengganu pada September lalu dan mendapati suspek sebenarnya telah berkahwin pada tahun 2010. Namun Azlina enggan percaya dan sebab itulah kami sekeluarga ke pejabat agama hari ini untuk memuaskan hatinya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah yang mengesahkan kejadian memberitahu, siasatan awal menemukan enam kesan tikaman dengan dua daripadanya di dada kiri dan leher mangsa.
“Kita turut menemukan kertas surat khabar berukuran enam inci dipercayai digunakan untuk membalut pisau dan polis tidak menolak kemungkinan suspek sudah bersedia melakukan jenayah,” katanya.
Sementara itu, polis mencari Mohd. Hafiz Mohamad bagi membantu siasatan kes tersebut.

- UTUSAN ONLINE