innity

pages

Thursday, August 4, 2016

Terbukti Azwan fitnah tiga Tan Sri


SHAH ALAM - Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun terbukti memfitnah tiga Tan Sri yang dikaitkan dengan kononnya ada konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Malaysia dalam laporan polis dibuat, minggu lalu.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata ia susulan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam yang menutup kes tersebut kerana laporan dibuat berasaskan andaian dan tiada bukti.

“Maksudnya ia fitnah terhadap ketiga-tiga tokoh ini dan institusi yang mereka ketuai dulu iaitu Bank Negara Malaysia, Kamar Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya melalui kemas kini status di Facebook, hari ini.

Khalid mengesahkan pihaknya telah menghentikan siasatan berhubung laporan polis dibuat Khairul Azwan terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang didakwa terlibat dalam konspirasi menggulingkan Najib dan kerajaan Malaysia.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, Khairul Azwan sepatutnya berterima kasih kerana tidak dikenakan tindakan selepas membuat laporan palsu.

“Kalau saya sudah lama kena simpan bercuti di lokap Jinjang, ihsan Kerajaan Malaysia.

“Beliau patut berterima kasih kerana tidak ditangkap dan didakwa kerana membuat laporan palsu dan memfitnah ketiga-tiga institusi itu,” katanya. - SH



Komen A Kadir Jasin
http://kadirjasin.blogspot.my/

PADA 29 Julai, empat hari selepas Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun membuat laporan polis dengan tuduhan yang sangat berat barulah Perdana Menteri, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak, bersuara.

Beliau berkata tindakan Khairul Azwan - orang nombor dua pergerakan pemuda itu - adalah tindakan peribadi dan bukan tindakan parti.

Pada 26 Julai, Khairul Azwan membuat aduan polis di Jalan Dang Wangi terhadap bekas Peguam Negara (Tan Sri) Abdul Gani Patail, bekas Gabenor Bank Negara (Tan Sri) Zeti Akthar Aziz dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), (Tan Sri) Abu Kasim Mohamed.

Beliau mendakwa ketiga-tiga individu itu dipercayai terbabit dalam satu konspirasi menjatuhkan Mohd Najib dan kerajaan Malaysia.

Soalnya mengapakah Mohd Najib mengambil masa begitu lama untuk mengulas satu isu besar yang menyentuh batang tubuh beliau sendiri?

Begitu juga dengan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin. Hanya pada 30 Julai, sehari selepas Mohd Najib membuat kenyataan, barulah beliau bersuara dengan berkata bahawa tindakan Khairul Azwan itu bersifat individu dan tidak mewakili pendirian Pemuda.

Khairy (kiri) tak tahu apa Khairul Azwan (kanan) buat?
Mengapa mereka mengambil masa begitu lama untuk memberi penjelasan sedangkan tindakan orang nombor dua Pemuda itu sudah dibincangkan secara meluas oleh media atas talian dan sosial?

Tanda Tanya

1. Adakah kerana Umno begitu demokratik sehingga seorang pemuka pertengahan seperti Khairul Azwan bebas bertindak atas kapasiti peribadi ke atas hal-hal yang menyentuh kebajikan presiden parti sendiri?

2. Kalau Umno begitu demokratik, mengapakah Timbalan Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan ahli Majlis Tertinggi (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) dibuang parti dan Naib Presiden (Datuk Seri Shafie Apdal) digantung keahlian kerana mengkritik Mohd Najib?

3. Adakah kebebasan dalam Umno hanya untuk memuji, memuja, mengampu dan mempertahankan Presiden dan konco-konconya sahaja?

4. Adakah Khairy juga begitu demokratik atau tidak peduli hal ehwal parti sehingga orang bawahan beliau membuat laporan polis yang jelas boleh menjadi senjata makan tuan kepada Presiden parti?

5. Atau Khairy tahu dan bagi restu tetapi buat-buat tidak tahu kerana laporan polis Khairul Azwan itu adalah jenis senjata makan tuan dan udang sebalik batu?

6. Atau Mohd Najib sendiri baru sedar bahawa laporan Khairul Azwan itu sangat berbahaya ke atas diri beliau sekiranya polis menyiasat aduan itu tanpa rasa takut dan bebas?

Konspirasi Dalaman Umno

Penafian dan penjelasan lewat oleh Mohd Najib dan Khairy mengukuhkan lagi teori bahawa wujud unsur-unsur persekongkolan (conspiracy) dalam tindakan Khairul Azwan itu.

Lagi teruk ia bukan satu tetapi dua konspirasi yang berlainan dan bercanggahan tetapi dengan kesan yang sama buruk terhadap Mohd Najib.

Pertama, konspirasi untuk memperluaskan tindakan undang-undang ke atas semua pihak yang terbabit dalam usaha menggesa Mohd Najib meletakkan jawatan.

Laporan polis ke atas Abdul Gani, Zeti dan Abu Kassim adalah kes ujian (test case) dan pendahulu kerana peranan mereka dalam siasatan ke atas SRC International Sdn Berhad, “derma” RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Mohd Najib dan skandal 1MDB.

Kedua, konspirasi dalaman Umno untuk menggunakan tiga tokoh itu bagai “membenamkan paku terakhir atas keranda” Mohd Najib.

Konspirasi pertama adalah langkah Pemuda untuk mengambil hati Mohd Najib dan yang kedua, pemberontakan Pemuda terhadap Mohd Najib.

Kalau saya andaikan bahawa Pemuda Umno masih ada keberanian, kepedulian terhadap keluh kesah akar umbi dan mementingkan kelangsungan (survival) parti, tindakan Khairul Azwan itu jatuh dalam kategori kedua, iaitu pemberontakan terhadap Mohd Najib.

Kalau konspirasi itu adalah untuk menyelamatkan Mohd Najib, kesannya adalah sebaliknya. Lebih ramai rakyat jelata bersimpati dengan tiga orang itu dan bertambah benci terhadap Mohd Najib dan Umno.

Tetapi sekiranya konspirasi itu adalah untuk menggugat (undermine) Mohd Najib dari dalam maka ia mengukuhkan lagi satu teori yang sedang rancak dibincangkan.

Teori itu mengatakan bahawa sedang berlaku penjajaran (alignment) di kalangan pemimpin tertinggi Umno yang melibatkan Pemuda sebagai pelakon utama.

Pemuda mempunyai kepentingan (stake) yang tinggi dalam penjajaran tersebut. Kalau Umno selamat, Pemuda akan menjadi pewarisnya tetapi kalau Umno musnah kerana Mohd Najib, Pemuda terpaksa membangsat mencari perlindungan.

Akan tetapi, sekiranya apa yang saya coret di atas hanyalah khayalan saya mengenai keintelektualan dan komitmen Pemuda Umno kepada perjuangan maka tindakan Khairul Azwan itu - seperti kata ramai pembahas sosial media - adalah tindakan otak udang dan publisiti murahan.

1 comment:

  1. "dia kata dia Berjaya mematahkan cubaan menggulingkan najib degan hanya buat laporan polis"

    polis pula kata azwan bro buat laporan berbadasarkan persepsi yang tidak benar

    kalau rafizi dah lama kena soal siasat mungkin juga akan didakwa kerana memfitnah

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com