JAKARTA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengulangi kenyataan supaya dunia Islam menolak campur tangan asing kerana secara jelas tindakan itu akan menghancurkan sesebuah negara.


Beliau berkata, akibat campur tangan asing dalam negara Islam, ia membawa kepada wujudnya negara yang gagal sehingga melumpuhkan ekonomi, golongan pengganas yang menimbulkan tindakan keganasan melampau sejak kebelakangan ini sehingga mengancam negara Islam dan negara bukan Islam.

Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas ucapan khasnya pada pembukaan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-12 di sini semalam.

"Kita juga tidak mahu rakyat kita mengundang campur tangan asing kerana kita berhak menentukan hala tuju dan masa depan kita sendiri," katanya kepada pemberita setelah mengakhiri lawatan kerjanya selama tiga hari di sini.

Najib mengetuai delegasi kerajaan Malaysia bagi menghadiri Perundingan Tahunan Malaysia-Indonesia dan juga WIEF ke-12 di sini.   

Perdana Menteri berkata, ucapannya disambut baik oleh negara-negara anggota WIEF dan ia seharusnya menjadi pendirian semua pihak.

Dalam ucapan khas itu, Najib berkata, dunia Islam mesti jelas menolak campur tangan, yang biasanya berasaskan maklumat yang tidak lengkap, salah dan berpihak.

"Kita mesti menolak mereka yang bermotifkan politik, menggesa kuasa asing ini untuk campur tangan dalam negara mereka sendiri. Kita sebagai ummah, akan bertanggungjawab ke atas diri sendiri, dan berdoa untuk diberi panduan dalam usaha itu," katanya.

Secara perbandingan, beliau berkata kebanyakan negara Islam seperti Malaysia dan Indonesia, yang tidak terlibat dengan campur tangan asing, merupakan oasis yang aman dan stabil.

Beliau berkata, tanpa kestabilan politik, ekonomi sesebuah negara tidak akan makmur dan berlaku huru-hara dalam dunia Islam sejak kebelakangan ini, khususnya seperti penaklukan Iraq yang mencetuskan rantaian kemusnahan.  

Baru-baru ini, beberapa pihak termasuk para pemimpin parti pembangkang membantah tindakan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat yang mengeluarkan kenyataan untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyita hartanah bernilai lebih daripada US$1 bilion (RM4 bilion) berkaitan 1MDB.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggesa semua pihak tidak mendedahkan ruang kepada kuasa asing untuk masuk campur urusan negara.

Katanya apa yang penting kes mesti disiasat dengan adil dan telus secara dalaman dan jangan sampai membiarkan orang asing campur tangan masalah dalaman negara.

Sementara itu, Najib menyifatkan Perundingan Tahunan Malaysia-Indonesia yang berlangsung Isnin lepas, adalah sangat mesra dan memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua buah negara.

Katanya, antara perkara yang menjadi keutamaan dalam Perundingan itu ialah Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk mencari penyelesaian isu perairan Laut Sulawesi Selatan secara tuntas bagi mencapai satu keputusan yang komprehensif dan boleh diterima kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Indonesia bersepakat tidak mahu membawa tuntutan wilayah laut itu ke peringkat timbang tara antarabangsa dan akan menyelesaikan isu itu menerusi rundingan.

Katanya, walaupun isu itu adalah sesuatu yang sukar kerana ia melibatkan kedaulatan negara tetapi Malaysia dan Indonesia yakin ia boleh diselesaikan secara rundingan dan kedua-dua buah negara bersetuju untuk memberi arahan baharu kepada utusan khas masing-masing bagi mencari satu penyelesaian secara tuntas.

Rundingan antara Malaysia dan Indonesia berlangsung sejak lebih 10 tahun bagi menyelesaikan kawasan sempadan dan hak milik di perairan selatan Sulawesi atau dikenali sebagai Ambalat di Indonesia namun setakat ini masih belum mencapai keputusan muktamad mengenainya.

Najib berkata, isu mengenai jerebu juga turut dibincangkan dan setakat ini keadaan jerebu yang berpunca akibat kebakaran hutan di Indonesia telah terkawal.

Katanya, Malaysia, Indonesia dan Singapura telah bersetuju membentuk satu rangka kerja bagi mengatasi masalah jerebu yang merentasi sempadan hampir setiap tahun. - Bernama