innity

pages

Tuesday, July 12, 2016

[ULASAN KPDNKK] Benarkah Ayam NAIK HARGA kerana ayam-ayam kena SAKIT KERONGKONG


KUALA LUMPUR, Selasa – Dikatakan bahawa harga ayam turut naik semasa musim hari raya kali ini yang berpunca daripada ayam-ayam mengalami wabak bronkitis berjangkit (IB) atau sakit kerongkong.

Sebaliknya pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan(KPDNKK) beranggapan ia hanya merupakan andaian semata-mata.

“Ia hanyalah spekulasi. Kita tidak pasti harga ayam naik sebab apa kerana pihak kita belum menerima sebarang maklum balas daripada mana-mana peruncit berkenaan kenaikan harga ayam,” kata Timbalan Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Ahmad Dahuri Mahmud.

Namun beliau berkata kementerian akan mengambil tindakan tegas kepada peruncit yang mengaut keuntungan secara tidak munasabah apatah lagi sempena musim perayaan.

“Kita tunggu peruncit berikan fakta dan sebab mengapa mereka naikkan harga ayam. Kalau sengaja mereka naikkan, tindakan tegas akan diambil ke atas mereka,” katanya kepada Bernama.

Harga ayam di seluruh negara didapati naik mendadak sehingga dijual RM10 sekilogram sejak Khamis lalu berbanding harga kawalan RM7.90.

Ahmad Dahuri juga berkata pihaknya sedang menunggu maklumat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) untuk mengesahkan perkara sama ada berlaku serangan penyakit kerongkong terhadap ayam-ayam.

Bagaimanapun Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Kamarudin Mat Isa menyangkal dakwaan Persatuan Penternak Ayam Selangor bahawa harga ayam naik disebabkan berlaku serangan wabak IB.

“Setakat bulan Julai ini, kami hanya mengesan enam insiden wabak IB dalam kalangan ayam komersial dan ayam kampung iaitu satu di Kedah dan lima di Perak. Jadi kematian ayam disebabkan wabak IB tidak setinggi seperti yang didakwa,” katanya.

Persatuan itu dilaporkan sebagai berkata beribu-ribu ekor ayam mati akibat wabak tersebut sehingga menjejaskan 20 peratus pengeluaran ayam di seluruh negara.

Dr Kamarudin menegaskan IB merupakan penyakit endemik yang disebabkan jangkitan virus yang boleh dikawal melalui suntikan vaksin.

“DVS telah meluluskan 14 jenis vaksin berkaitan pencegahan wabak IB. Penternak dan kontraktor membekal ayam, atas nasihat pihak kami boleh menggunakan mana-mana vaksin yang telah didaftar dan diluluskan oleh DVS,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan mengambil sampel ayam yang didakwa mati akibat wabak IB untuk dikaji dan dibuat siasatan lanjut dan menambah wabak berkenaan bukan merupakan penyakit yang baharu muncul di negara ini.

Sementara itu Pengarah Insititut Pertanian Tropika, Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Zulkifli Idrus berkata kenaikan harga ayam pada musim perayaan kemungkinan disebabkan peningkatan kos produksi ayam dan bukan serangan wabak IB seperti yang didakwa.

“Banyak faktor kenapa harga ayam naik mendadak. Salah satu sebabnya adalah disebabkan harga makanan ayam meningkat kepada RM200 setiap tan selain suhu panas yang membantutkan prestasi pembesaran ayam,” katanya.

Beliau yang merupakan pakar pengeluaran ternakan berkata musim perayaan turut menyebabkan permintaan ayam melebihi daripada bekalan dan ini  membuatkan peruncit mengambil kesempatan atas situasi berkenaan.

“Bila tiba musim perayaan, ayam yang beratnya tidak sampai dua kilogram akan turut dijual. Justeru harga tinggi yang diletakkan sesetengah peruncit mungkin kerana mereka hendak menanggung kos pengeluaran ayam,” katanya.- Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com