innity

pages

Monday, July 25, 2016

Siapa '1MDB Officer 1, 2, 3' dan lain dalam senarai Amerika?


Dalam saman Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan skandal 1MDB, antara individu yang dinamakan dalam saman sivil itu adalah '1MDB Officer 1' ‘1MDB Officer 2' dan ‘1MDB Officer 3'.
Seperti ‘Malaysian Official 1' yang berulang-kali dirujuk dalam dokumen itu, nama-nama pegawai 1MDB lain juga banyak kali dirujuk.
Namun, setakat ini, hanya sedikit perhatian diberikan mengenai pegawai 1MDB berkenaan.
Malaysiakini akan akan melihat kembali sejarah skandal 1MDB dalam usaha untuk menjelaskan pembabitan beberapa individu yang belum dikenal pasti walaupun nama mereka disebut dalam saman berkenaan.
1MDB Officer 1
‘1MDB Officer 1' adalah rakyat Malaysia yang berkhidmat sebagai pengarah eksekutif 1MDB dari masa penubuhannya sehingga kira-kira Mac 2011.
Saman mahkamah itu menyatakan bahawa 1MDB Officer 1 pernah berkhidmat sebagai pengarah eksekutif pembangunan perniagaan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) dan kemudiannya dilantik sebagai pengarah eksekutif 1MDB.
Casey Tang Keng Chee adalah satu-satunya orang yang sesuai dengan keterangan itu.
TIA adalah pendahulu 1MDB sehingga ia diambil alih oleh kerajaan persekutuan dan dijenamakan semula sebagai 1MDB pada tahun 2009.
Bank Negara Malaysia pada Julai tahun lalu ‘mencari’ Tang, 51, berkaitan dengan siasatan di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953.
Satu posting Facebook oleh bank pusat itu menyenaraikan nama penuh Tang, nombor kad pengenalan dan alamat terakhirnya yang diketahui, dan merayu kepada orang ramai untuk maklumat mengenai lokasinya.
Saman DOJ mendakwa ‘1MDB Officer 1'memesongkan bank-bank dan menyembunyikan fakta-fakta tertentu daripada lembaga pengarah 1MDB supaya memindahkan AS$700 juta kepada Good Star Ltd, yang dipercayai kononnya dimiliki oleh ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang Low Taek Jho (juga dikenali sebagai Jho Low).
1MDB Officer 2
‘1MDB Officer 2' adalah rakyat Malaysia yang berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB antara 2009 hingga 2013.
Ketua Eksekutif 1MDB sepanjang tempoh berkenaan adalah Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, yang memegang jawatan itu sehingga Mac 2013, yang bermaksud bahawa ‘1MDB Officer 2' merujuk kepadanya.
Sebahagian besar urusniaga penting 1MDB berlaku semasa dikendalikan oleh siswazah lulusan Universiti Stanford ini, termasuk penerbitan sukuk TIA sebanyak RM5 bilion, pemindahan berjumlah AS$1.3 bilion 1MDB kepada Good Star Ltd, pengambilalihan aset tenaga bernilai berbilion-bilion ringgit, dan banyak lagi.
Walaupun menerajui TIA sebagai ketua pegawai eksekutif, Shahrol tidak mematuhi arahan lembaga untuk menggantung penerbitan sukuk RM5 bilion itu dan kemudiannya dipecat daripada jawatannya.
Namun , menurut catatan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang menyiasat 1MDB, beliau kemudiannya dibawa masuk semula.
Menurut DOJ, Shahrol telah mememesongkan bank dan lembaga pengarah 1MDB supaya mempercayai bahawa Good Star Ltd dimiliki oleh PetroSaudi International, dan bukannya kepunyaan Jho Low.
1MDB Officer 3
‘1MDB Officer 3' adalah rakyat Malaysia yang berkhidmat sebagai peguam 1MDB dan pengarah eksekutif strategi kumpulan itu sepanjang 2012 dan 2013. ‘1MDB Officer 3' menjadi perantara utama hubungan antara 1MDB dan Goldman berkaitan dengan penerbitan tiga bon pada tahun 2012 dan 2013.
Jasmine Loo Ai Swan, 43, sebelum ini adalah peguam 1MDB dan pengarah eksekutif strategi kumpulan, dan adalah calon kemungkinan ‘1MDB Officer 3'.
Seperti Tang, Bank Negara juga membuat rayuan kepada orang ramai untuk mengenal-pasri lokasinya pada Julai tahun lalu.
Menurut DOJ, kira-kira AS$1.367 bilion disalurkan dari 1MDB semasa fasa penyelewengan 'Aabar-BVI'.
Daripada jumlah itu, kira-kira AS$5 juta berakhir di sebuah akaun bank di Zurich, Switzerland, pada 6 Dis 2012, yang dimasukkan di bawah nama 'River Dee International SA. ‘1MDB Officer 3' didakwa sebagai pemilik sebenar akaun ini.
Sam,an mahkamah juga menyatakan bahawa ‘1MDB Officer 3' adalah penandatangan yang diberi kuasa bagi akaun bank atas nama Tanore Finance Corporation.
Akaun ini digunakan pada bulan Mac 2013 untuk memindahkan AS$681 juta ke akaun Ambank atas nama peribadi ‘Malaysian Official 1’di mana AS$ 620 juta dipulangkan sekitar 26 Ogos tahun itu.
Dua bukan warga Malaysia juga dinamakan
DOJ secara langsung mengaitkan lima nama sebagai 'individu relevan' dalam kes itu, tiga daripada mereka adalah rakyat Malaysia: Jho Low, anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz dan sekutu Low, Eric Tan Kim Loong.
Kedua-dua bukan rakyat Malaysia itu adalah Khadem Abdulla al-Qubaisi, warga Emiriah Arab Bersatu yang adalah pengarah urusan, firma International Petroleum Investment (IPIC) dan Pengerusi Aabar Investments PJS dan Mohamed Ahmed Badawy al-Husseiny, seorang warga Amerika Syarikat yang adalah ketua eksekutif Aabar PJS.
Kedua-dua mereka juga adalah pengarah Aabar Investments PJS Ltd yang berpangkalan di Kepulauan British Virgin (Aabar-BVI).
Khadem Abdulla al-Qubaisi
“Khadem Abdulla Al Qubaisi ( 'Qubaisi'), seorang warganegara UAE, adalah pengarah urusan IPIC sepanjang 2007 hingga 2015. Beliau juga adalah pengerusi Aabar bagi tempoh 2012 dan 2013 ... Qubaisi juga merupakan pengarah Aabar-BVI."
Menurut Reuters, Khadem, 45 menyertai Lembaga Pelaburan Abu Dhabi pada tahun 1993, tahun yang sama beliau memperolehi ijazah sarjana muda dalam bidang ekonomi, dan dipindahkan ke IPIC pada tahun 2000 untuk menjadi pengurus pelaburannya.
Beliau dilantik sebagai pengarah urusan IPIC pada Mei 2007, tetapi secara tiba-tiba diganti pada April tahun lalu ketika skandal 1MDB dan kemudiannya meletakkan pelbagai jawatan dalam lembaga pengarah dan pengurusan di UAE dan di rantau itu pada bulan-bulan berikutnya.
Pada 2 April tahun ini, kerajaan UAE membekukan aset Khadem dan Badawy dan akaun bank mereka, serta melarang mereka daripada ke luar negara sementara siasatan ke atas urusan mereka dengan 1MDB.
Mohamed Ahmed Badawy al-Husseiny
"Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny ( 'Husseiny'), seorang warganegara Amerika Syarikat, adalah ketua pegawai eksekutif Aabar dari tahun 2010 hingga 2015. Beliau juga adalah pengarah Aabar-BVI."
Khadem dan Badawy memegang jawatan penting dalam kedua-dua Aabar Investments PJS dan Aabar Investments PJS Ltd.
Saman DOJ mendakwa bahawa pada bulan Mei dan Oktober 2012, Goldman Sachs International mengumpul sebanyak AS$3.5 bilion melalui terbitan bon 1MDB, yang diberi nama kod 'Projek Magnolia' dan 'Projek Maximus’. Daripada jumlah ini, AS$1.367 bilion berakhir dengan Aabar-BVI.
Selepas beberapa pemindahan, wang itu kemudiannya berakhir di dalam akaun bank Khadem, Badawy dan beberapa yang lain. Ada yang digunakan untuk membeli harta mewah.
DOJ mendakwa Aabar-BVI dicipta dan dinamakan sedemikian untuk memberi tanggapan palsu bahawa ia dikaitkan dengan Aabar Investments PJS, walaupun pada hakikatnya, Aabar-BVI tidak mempunyai hubungan dengan Aabar mahupun IPIC.
Siapa ‘Malaysian Official 1’?
‘Malaysian Official 1’adalah pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia yang juga memegang kedudukan yang berkuasa dalam 1MDB.
"Sepanjang masa berkaitan dengan aduan itu, ‘Malaysian Official 1’adalah 'pegawai awam' sebagai istilah dalam 18 U.S.C. § 1956 (c) (7) (B) (iv) dan 'penjawat awam' sebagai istilah yang digunakan dalam Seksyen 21 Kanun Keseksaan Malaysia. "
Berikutan saman DOJ berhubung dengan skandal 1MDB, spekulasi bertiup kencang mengenai identiti ‘Malaysian Official 1’ itu.
Menurut tuntutan mahkamah itu, ‘Malaysian Official 1’mempunyai hubung kekeluargaan dengan Riza Aziz dan memegang jawatan penting dalam 1MDB sejak ia ditubuhkan.
Sebarang komitmen kewangan 1MDB yang mungkin memberi kesan kepada polisi atau jaminan kerajaan Malaysia memerlukan kelulusannya.
Di samping itu, notis saman itu mendakwa bahawa pemindahan terbesar dibuat kepada akaun bank rasmi ‘Malaysian Official 1’pada Mac 2013 dengan jumlah transaksi AS$681 juta ke akaun AmBank peribadi miliknya. - MK

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

innity

Recent Posts

Recent Posts Widget

Blog Archive

Total Pageviews

Alexa

review http://www.celahgelegar.blogspot.com on alexa.com